BAHAGIAN C Soalan 1 : Alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita. Jelaskan langkah-langkah yang patut kita lakukan untuk menjaga kebersihan alam sekitar.
Pembangunan arus globalisasi tanpa limitasi kini merupakan anjakan yang kian pesat berlaku di negara kita. Namun kemajuan yang dikecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata ingin mengejar kemajuan? Di manakah peranan kita sebagai ahli masyarakat dalam menangani masalah ini? Kebersihan alam sekitar dapat dijaga dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia kerana bahan kimia akan menyebabkan berlakunya pencemaran. Selain itu, mendatangkan kesan jangka panjang kepada alam sekitar. Contoh yang paling ketara pada hari ini ialah penggunaan racun serangga dan penghawa dingin. Kesannya, akan berlaku pencemaran air bawah tanah serta menipiskan lapisan ozon oleh Kluoroflurokarbon (CFC). Oleh itu, penggunaan bahan ini perlu dikawal bagi menjaga kebersihan alam sekitar. Selain itu, penguatkuasaan undang-undang yang dikenakan kepada masyarakat boleh membantu menjaga kebersihan alam sekitar. Jika kita lihat pada hari ini, berapa banyakkah kilang-kilang yang dibina mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan. Contohnya, pelepasan asap kilang dan pembuangan sisa toksik ke dalam sungai atau laut. Implikasi daripada tindakan undang-undang yang diperketatkan oleh pihak berkuasa mampu mengurangkan pencemaran alam sekitar. Kitar semula yang diperkenalkan oleh kerajaan mampu menjaga kebersihan alam sekitar. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi. Contohnya, bahan buangan yang diproses boleh dijadikan baja nutrien bagi mengelakkan pembaziran. Melalui cara ini, negara bukan sahaja bersih tetapi juga dapat menjimatkan kos. Di samping itu, kebersihan alam sekitar dapat dijaga dengan mengadakan kempen menjaga alam sekitar dan kempen kesedaran sivik. Melalui kempen, masyarakat ditiup kesedaran untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit sebanyak akan dapat membendung masalah
alam sekitar dan memastikan kualiti kebersihan alam sekitar akan sentiasa dijaga. Kesimpulannya, kita harus bekerjasama dan memainkan peranan masing-masing untuk mengekalkan kebersihan alam sekitar. Kita tidak patut meletak masalah ini di bahu pihak kerajaan semata-mata. Kerjasama yang erat antara masyarakat dengan pihak kerajaan tentunya akan lebih bermakna dan hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Sinonim dengan slogan negara Negara Bersih, Rakyat Sihat.
Dewasa ini telefon bimbit sudah menjadi sejenis alat komunikasi yang digunakan oleh orang ramai. Harga seunit telefon bimbit di pasaran dan kos penggunaan bulanannya tidaklah begitu mahal. Akibatnya, banyak orang yang dapat menggunakan kemudahan alat komunikasi yang unik ini. Jika diteliti, telefon bimbit memang membawa banyak manfaat kepada kehidupan masyarakat masa kini. Dari segi perhubungan, seseorang pemilik telefon bimbit dapat menghubungkan seseorang walau di mana dia berada. Sebelum terciptanya telefon bimbit, mereka yang keluar dari rumah terpaksa mencari telefon awam jika perlu menghubungi seseorang. Ada kalanya telefon awam didapati rosak. Dengan adanya telefon bimbit, si pemilik tidak perlu berbuat demikian lagi. Sebaliknya, orang lain juga dapat menghubungi si pemilik telefon bimbit walaupun di mana sahaja dia berada. Dengan kata lain, apabila berlakunya sebarang kes kecemasan, peluang untuk seseorang menghubungi si pemilik telefon bimbit adalah tinggi. Seseorang pemandu yang keretanya rosak umpamanya dapat menghubungi rakannya di tengahtengah jalan untuk mendapatkan bantuan. Hal yang sedemikian tidak berlaku sebelum terciptanya telefon bimbit. Dalam bidang perniagaan, telefon bimbit memainkan peranan yang sangat penting. Peniaga dapat menghubungi pelanggannya dengan pantas dan mudah. Begitu juga apabila pelanggan ingin mendapatkan maklumat tentang sesuatu barangan dengan pantas. Cara komunikasi dua hala yang berkesan menyebabkan bidang perniagaan seperti insurans, penjualan terus, perkhidmatan pengangkutan, dan bidang-bidang perniagaan lain berkembang maju. Secara keseluruhannya, penggunaan telefon bimbit telah menukarkan cara komunikasi manusia masa kini yang sibuk. Dalam apa jua keadaan sekalipun, telefon bimbit telah memudahkan corak komunikasi dalam kalangan semua lapisan masyarakat, tidak kira untuk tujuan apa sekalipun.
Bertanggungjawab
Nilai
Kasih sayang
Berdikari
Rajah di atas menunjukkan tiga nilai murni. Huraikan nilai-nilai tersebut berserta contoh peristiwa yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.
Contoh jawapan
Novel yang telah saya kaji di Tingkatan 3 ialah 6:20 karya Siti Jasmina Ibrahim. Terdapat beberapa nilai murni dalam novel ini. Nilai murni yang pertama adalah bertanggungjawab. Haji Syaqir bertanggungjawab terhadap tugasnya sebagai wakil rakyat. Selain itu, Ros turut menunjukkan tanggungjawab sebagai seorang pegawai polis. Sukma pula memainkan perannnya sebagai anggota masyarakat yang peka terhadap kepincangan yang berlaku dalam kalangan remaja di daerahnya. Nilai murni yang kedua ialah nilai kasih sayang. Sukma masih menyayangi ibunya walaupun pada mulanya dia menyangka ibunya itu pengkhianat negara tetapi setelah dia mengetahui kisah sebenar, kasih sayangnya terhadap ibunya itu semakin mendalam. Nilai murni yang ketiga ialah nilai berdikari. Sukma tidak bergantung sepenuhnya pada bantuan ayah dan ibunya, sebaliknya dia lebih selesa berdikari dalam setiap perkara yang dilakukannya.
Selamat pagi dan salam sejahtera diucapkan kepada Yang Berusaha Tuan Pengerusi Majlis, pihak penganjur, ahli-ahli jawatankuasa majlis serta hadirin yang dikasihi sekalian. Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana diberi peluang untuk berucap pada hari yang berbahagia ini. Saya amat berbangga kerana saudara dan saudari dapat meluangkan masa untuk mendengar ucapan saya. Kehadiran saudara dan saudari teleh menunjukkan bahawa anda semua merupakan satu golongan masyarakat yang penyayang. Seperti yang kita sedia maklum, masyarakat harus menitikberatkan rasa kasih sayang dalam perhubungan seharian untuk mewujudkan satu masyarakat yang berbudaya penyayang. Hadirin yang dihormati, Perbuatan mendera kanak-kanak telah banyak berlaku di negara kita. Masyarakat kita sibuk memperkatakan tentang kejadian ini. Daripada kes-kes yang berlaku, didapati kanak-kanak ini didera oleh penjaga mereka dan ada juga didera oleh ibu bapa mereka sendiri. Ini menunjukkan pendera-pendera ini lemah dari segi pemikiran mereka manakala golongan yang didera adalah mereka yang tidak berdaya. Pendera ini boleh disifatkan sebagai golongan yang tidak berhati perut. Saudara dan saudari sekalian, Kita harus sedar bahawa kanak-kanak adalah satu generasi yang bakal memimpin dan mencorakkan keadaan negara kita pada masa hadapan. Merekalah yang akan menjadi pemimpin yang berkaliber dan kreatif. Oleh itu, penderaan yang dilakukan ke atas mereka boleh menyebabkan mereka menjadi lemah, terganggu pemikiran dan kesihatan. Mungkin juga kecederaan yang mereka alami membantutkan perkembangan fizikal dan mental mereka, sedangkan kita amat memerlukan mereka pada masa akan datang.
Penderaan ke atas kanak-kanak tidak boleh mendisiplinkan mereka. Malah akan menyebabkan rasa hormat terhadap orang-orang yang lebih tua hilang. Sebaliknya menimbulkan ketakutan kepada mereka. Terdapat sesetengah kes yang lebih teruk lagi, kanak-kanak yang didera menemui ajal. Saya amat berharap dan menyeru agar setiap golongan masyarakat sedar dan insaf terhadap segala yang telah terjadi kepada kanak-kanak. Mereka merupakan aset negara yang amat berharga. Curahkanlah kasih sayang yang sejati kepada mereka kerana kasih sayang harus dimiliki oleh setiap manusia tanpa mengambil kira kaum dan darjat seseorang. Sekian, terima kasih.