Anda di halaman 1dari 2

REFLEKSI PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM 2012 Perkhemahan Unit Beruniform pada tahun ini telah dijalankan pada 3 5 September

r 2012. Perkhemahan ini telah melibatkan kesemua guru pelatih PISMP Ambilan Januari 2011 yang kini menuntut di semester empat. Perkhemahan ini merupakan syarat lulus kursus yang wajib dijalani oleh semua guru pelatih. Perkhemahan tiga hari dua malam ini banyak memberi input baharu dan juga tauladan kepada saya dalam menghadapi dunia perguruan pada masa hadapan.

Pada hari pertama kami seluruh pasukan telah bertungkus lumus menyiapkan khemah dan gajet-gajet yang diperlukan. Walaupun kesemua daripada kami adalah wanita dengan hanya berkekuatan 23 orang namun kami berjaya menyelesaikan tugasan. Semangat saling membantu dan bekerjasama amat penting dalam situasi seperti ini kerana kami rata-rata merasa agak tertekan dengan keadaan sekeliling. Bermula pada hari kedua saya mula rasa kurang senang dengan perkhemahan ini. Kami tidak dibekalkan dengan jadual yang pasti dan hanya menunggu arahan daripada ketua dan pensyarah penasihat.

Saya terpaksa bergerak mengikut firasat hati tanpa ada perancangan yang kukuh untuk bersedia melakukan aktiviti seterusnya. Ini menyebabkan saya mula melakukan aktiviti dengan separuh rela kerana kurang persediaan. Selain itu, saya juga berasa penjadualan perkhemahan ini agak berterabur berbanding

perkhemahan-perkemahan yang pernah saya sertai sebelum ini. Kami juga lebih banyak menyertai aktiviti Unit Beruniform yang lain berbanding mengadakan aktiviti

sendiri. Saya jadi tertanya-tanya jika berada di sekolah nanti apa yang perlu saya lakukan jika kebanyakan aktiviti yang dilakukan sepanjang perkhemahan ini hanyalah menyertai aktiviti Unit Beruniform yang lain.

Disebabkan saya baru bergiat sebagai ahli Puteri Islam pada tahun ini maka saya tiada pengetahuan yang mendalam tentang pergerakan ini, dan perkhemahan ini tidak banyak membantu saya dalam memahami objektif sebenar pergerakan. Namun demikian saya masih memperoleh ilmu-ilmu baharu seperti teknik bantu mula yang amat penting untuk dipelajari. Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan perkhemahan ini walaupun saya kurang didedahkan dengan aktiviti Puteri Islam itu sendiri. Mungkin kerana inilah Puteri Islam menjadi sebuah Unit Beruniform yang suram semenjak dari saya berada di bangku sekolah rendah lagi. Saya sedar saya perlu mencari jalan bagi melakukan perubahan terhadap pergerakan ini yang mempunyai objektif yang murni sebenarnya.