Anda di halaman 1dari 8

PENGENALAN The Myth of the Lazy Native adalah sebuah buku yang ditulis oleh Syed Hussein Alatas.

Penyiapan buku ini mengambil masa tujuh tahun sejak tahun 1966, dan akhirnya diterbitkan pada tahun 1977. Buku ini telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Ahmad Rofie dan diubahsuai ke bahasa Malaysia oleh Zainab Kassim dengan judul Mitos Peribumi Malas. Syed Hussein Alatas adalah seorang tokoh sosiologi Malaysia. Alatas juga adalah seorang tokoh politik, di mana beliau adalah salah seorang tokoh intelektual yang membentuk Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) pada tahun 1968. Beliau juga adalah Naib Canselor Universiti Malaya pada tahun 1988 hingga 1991. Tujuan utama Alatas menulis buku ini adalah untuk menganalisis asal-usul dan fungsi mitos pribumi pemalas di samping memperbetulkan pandangan penjajahan terutamanya daripada tokoh-tokoh Barat terhadap masyarakat pribumi di Asia Tenggara. Alatas dalam satu artikel daripada Faezah Ismail menyatakan secara terang-terangan bahawa beliau tidak suka cara penulis kolonial menggambarkan sejarah Asia Tenggara. Alatas menggunakan pendekatan metodologi sosiologi pengetahuan (the sociology of knowledge) dalam penulisan buku ini. Beliau mengutamakan pandangan yang objektif dan tidak mempunyai bias dalam memberikan hujah. Sebagai contoh, beliau mencontohi kajian yang dijalankan oleh seorang ahli sosiologi Myanmar, U Khin Maung Kyi yang mengkaji masalah ekonomi masyarakat Myanmar (Burma pada ketika dahulu), namun beliau mengkritik kajian beliau yang kurang objektiviti dan menampakkan ideologinya melalui penulisannya. Alatas adalah salah satu ahli sosiologi Malaysia yang paling terkemuka dalam menghujahkan konsep-konsep baru dan original, terutamanya perihal mengenai Asia Tenggara. Dalam buku ini, beliau terus mengemukakan konsep, istilah dan hujah-hujah beliau yang tersendiri mengenai kesan penjajahan terhadap negara-negara kolonial di Asia Tenggara, yakni Malaysia, Indonesia dan Filipina. Malah, penulisan Alatas tentang buku ini dinyatakan sebagai startlingly original ataupun tersendiri dan mengujakan oleh Edward Said dalam hasil kerjanya Culture and Imperialism. Syed Hussein Alatas meninggal dunia pada 23 Januari 2007 di usia 78 tahun. Meskipun menyumbang banyak dalam bidang sosiologi di Asia Tenggara, kematian Alatas tidak memberi impak yang mendalam terhadap rakyat Malaysia. Dalam penulisan Deborah
1

Johnson (2007), kematian Alatas menunjukkan hubungan yang kurang baik antara rakyat Malaysia dengan tokoh-tokoh ilmuwan yang kian menonjol. The Myth of the Lazy Native menggambarkan kewibawaan Alatas dalam memperkenalkan konsep dan idea-idea baru. Antara idea-idea utama beliau dalam buku ini adalah ideologi kolonial, kapitalisme kolonial, dan kesan penjajahan serta istilah malas dan tawanan minda. RUMUSAN IDEA UTAMA Alatas mengetengahkan dua konsep utama dalam buku ini, iaitu ideologi kolonial (colonial ideology) dan kapitalisme kolonial (colonial capitalisme). Kedua-dua konsep ini adalah konsep yang diperkenalkan sendiri oleh Alatas berdasarkan kepada kesan penjajahan kuasa Barat di Asia Tenggara, khasnya Malaysia, Indonesia dan Filipina terhadap masyarakat pribumi di situ. Alatas melihat kedua-dua konsep ideologi kolonial dan kapitalisme kolonial sebagai konsepkonsep yang membawa kesan negatif, khususnya kepada masyarakat pribumi seperti masyarakat Melayu di Malaysia, masyarakat Jawa di Indonesia dan masyarakat Filipino di Filipina. Kesan negatif yang paling ketara adalah sepertimana tajuk buku ini, iaitu stigma atau mitos kemalasan masyarakat pribumi yang sering digambarkan oleh masyarakat luar, iaitu dalam konteks buku ini adalah daripada penjajah dari rantau Barat. Secara amnya, ideologi selalunya muncul apabila berlakunya konflik antara dua pihak, terutamanya di antara pihak atasan dengan pihak bawahan. Berdasarkan teori Karl Marx, konflik wujud kerana ketidaksamaan akses hak milik terhadap alat pengeluaran di antara dua pihak, iaitu di antara pihak yang mendominasi dengan pihak yang didominasi, yakni masyarakat kelas bourgeoisie dengan masyarakat kelas proletariat. Konflik ini adalah antara teori utama yang membentuk ideologi Marxisme. Seorang lagi tokoh sosiologi yang membentuk sesebuah ideologi melalui teorinya tentang konflik adalah Max Weber. Jika Marx melihat konflik melalui sudut ekonomi sahaja, Weber menjelaskan bahawa konflik bukan sahaja disebabkan oleh faktor ekonomi tetapi turut berpunca dari sudut lain, seperti politik dan sosial. Hal ini adalah kerana masyarakat adalah terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang pelbagai, maka berlakunya konflik yang membentuk birokrasi atau stratifikasi sosial dalam masyarakat. Dari sudut ekonomi, masyarakat terbahagi mengikut kelas. Dari sudut sosial, masyarakat terbahagi mengikut kumpulan status. Manakala dari sudut politik pula, masyarakat terbahagi mengikut parti.
2

Meskipun begitu, persamaan antara ideologi Marx dan Weber adalah ideologi ini terhasil akibat konflik di antara dua pihak yang mempunyai kuasa yang berbeza. Berbeza dengan ideologi Marx dan Weber, ideologi kolonial yang dikemukakan oleh Alatas tidak terhasil akibat konflik di antara dua pihak yang mempunyai kuasa yang berbeza seperti antara bourgeoisie dengan proletariat ataupun antara dua kumpulan status atau parti yang berbeza. Ideologi kolonial ini terhasil akibat konflik yang berlaku dalam kalangan golongan yang sama. Dalam konteks buku ini adalah konflik di antara golongan penjajah itu sendiri, di mana golongan penjajah ini ingin menjustifikasikan pemerintahan Barat di negara-negara jajahan dengan alasan untuk memajukan negara-negara tersebut. Ideologi kolonial secara amnya adalah ideologi para tokoh ilmuwan Barat yang berhaluan Barat. Interpretasi yang mereka lakukan terhadap masyarakat di rantau Asia Tenggara selalunya dibuat perbandingan dengan interpretasi di yang mereka lakukan terhadap masyarakat mereka sendiri. Hal ini menyebabkan sesetengah tokoh nampak etnosentrik dan berat sebelah dalam membuat pandangan. Sebagai contoh, seorang pengembara iaitu Thomson membuat andaian terus terhadap orang Melayu di Pulau Pinang bahawa disebabkan beliau tidak pernah berjumpa dengan pedagang Melayu, maka dia terus melabelkan Melayu buat kerja secara seminima yang boleh. Penjajah menggunakan ideologi kolonial untuk menghalalkan penjajahan mereka di sesebuah negara itu. Alatas memberi contoh-contoh yang menerangkan bahawa ideologi kolonial ini mempengaruhi pemerhatian dan penginterpretasian tokoh-tokoh ilmuwan Barat untuk membuat kenyataan-kenyataan tertentu demi meneruskan penjajahan mereka di sesebuah negara itu dengan alasan yang bernas dan mulia, iaitu demi kemajuan negara jajahan itu. Salah satu kenyataan tersebut termasuklah kenyataan pribumi adalah pemalas. Alatas juga menjelaskan perbezaan antara kapitalisme biasa di Barat dengan kapitalisme kolonial di rantau Asia Tenggara. Sistem kapitalisme di Asia Tenggara adalah sangat berbeza dengan sistem kapitalisme di negara-negara Barat kerana negara di rantau Asia Tenggara kebanyakannya dijajah oleh kuasa Barat. Dengan demikian, pemanipulasian cara pengeluaran sumber di Asia Tenggara adalah di antara golongan penjajah dengan golongan bawahan yang terdiri daripada golongan pribumi dengan golongan imigran. Di Malaysia, Alatas menggambarkan masyarakat Melayu sebagai golongan pribumi manakala masyarakat Cina dan India (digelar Tamil atau Kling oleh Alatas) sebagai golongan imigran.

Alatas menggambarkan fasa-fasa kapitalisme mengikut pandangan dua tokoh sosiologi Barat, iaitu Max Weber dan Amintore Fanfani. Fasa pertama adalah kapitalisme komersial (commercial capitalism), kedua kapitalisme industri (industrial capitalisme) dan ketiga adalah kapitalisme kewangan (financial capitalism). Alatas mencadangkan bahawa di rantau Asia Tenggara, fasa kapitalisme kewangan wujud lebih awal berbanding fasa kapitalisme komersial. Malah, akibat penjajahan, fasa kapitalisme seterusnya terutama di Indonesia adalah kapitalisme monopoli (monopoly capitalism). Disebabkan perbezaan aliran fasa kapitalisme seperti ini, maka Alatas mencadangkan konsep kapitalisme kolonial sebagai sistem kapitalisme di rantau Asia Tenggara. Berbeza dengan sistem kapitalisme di Barat, kapitalisme kolonial di rantau Asia Tenggara memberi lebih keutamaan kepada golongan penjajah (Barat) berbanding golongan tempatan. Di Barat, setiap warganya mempunyai hak yang lebih kurang sama rata untuk mendominasi mod pengeluaran. Walau bagaimanapun, di Asia Tenggara, golongan penjajah mendominasi mod pengeluaran, khususnya sumber industri. Alatas juga mendefinisikan istilah malas dalam konteks stigma masyarakat pribumi adalah pemalas yang sering dinyatakan oleh tokoh-tokoh ilmuwan Barat pada zaman penjajahan. Beliau memetik definisi malas daripada Rizal, iaitu little love for work, lack of activity atau tidak suka untuk bekerja, atau kurang melakukan aktiviti. Alatas percaya bahawa stigma malas yang telah diberikan oleh tokoh ilmuwan Barat seperti Clive Day, Stamford Raffles, and J. S. Furnivall adalah berat sebelah. Kemalasan pribumi yang digambarkan oleh tokoh ilmuwan Barat adalah berlandaskan ideologi mereka masingmasing. Alatas menyatakan bahawa sesetengah tokoh adalah bias dan berhaluan kiri dalam membuat andaian dan pemerhatian, kerana minda mereka ditawan dengan ideologi penjajahan. Justeru, satu lagi konsep yang Alatas perkenalkan adalah tawanan minda (captive mind). Namun, Alatas tidak menggunakan istilah tawanan minda dalam buku ini, namun terdapat hujah-hujahnya yang mempunyai ciri-ciri tawanan minda dalam buku ini. Tawanan minda ini terjadi akibat ideologi kolonial yang mengaburi pandangan tokoh-tokoh ilmuwan Barat. Alatas juga membincangkan tentang pedagang pribumi. Pedagang pribumi di Asia Tenggara pada suatu ketika dahulu adalah sangat mahsyur. Bukti arkeologi di Lembah Bujang membuktikan bahawa masyarakat pribumi di sekitar Kedah pada ketika itu berdagang dan melakukan industri peleburan besi seawal abad ke-2 Masihi dengan jumpaan jeti purba di
4

Sungai Batu. Namun, sepertimana kata Thomson, pedagang Melayu semakin berkurangan, terutama sejak zaman penjajahan. Sistem kapitalisme kolonial memainkan peranan yang amat penting dalam hal ini. Masyarakat pribumi kurang berminat untuk melakukan kerja untuk kebaikan orang lain. Lebih-lebih lagi penjajah yang menceroboh tanah air mereka dan mengambil alih pentadbiran tempatan. Alatas menyatakan bahawa dalam sistem penjajahan, adalah menjadi perkara biasa bahawa penjajah mendominasi kuasa yang memberi signifikan sosial yang kuat, seperti kuasa ekonomi. PANDANGAN KRITIS Idea-idea utama Alatas, iaitu ideologi kolonial, kapitalisme kolonial, kesan penjajahan dan istilah malas dan tawanan minda menunjukkan bahawa Alatas adalah seorang yang berpandangan jauh. Kebanyakkan teori-teori sosiologi dipelopori oleh Barat, seperti Plato, Augustus Comte, Karl Marx dan Herbert Spencer. Namun, Alatas berani untuk memperkenalkan konsep dan istilah yang baru dengan hujah yang sangat berilmiah. Secara dasarnya, Alatas menolak mitos pribumi yang pemalas. Kesemua idea-idea utama Alatas sebenarnya adalah hujah beliau untuk membidas dan menolak kenyataan-kenyataan tokoh-tokoh barat sebelum ini yang menyatakan bahawa masyarakat pribumi adalah pemalas. Pada pendapat saya, saya bersependapat dengan Alatas. Mitos pribumi pemalas hanyalah gambaran atau bayangan semata-mata tanpa sebarang bukti yang kukuh. Bukti yang kukuh sebenarnya adalah kesan daripada penjajahan. Masyarakat pribumi tidak akan berminat untuk melakukan kerja yang memberi keuntungan kepada orang lain, khususnya penjajah. Tokoh-tokoh ilmuwan Barat sebenarnya amat dipengaruhi oleh ideologi kolonial yang mereka bawa dalam diri mereka secara langsung atau secara tidak langsung. Ideologi kolonial mengaburi minda dan buah fikiran mereka untuk berfikir secara general dan objektif tanpa sebarang bias atau berat sebelah. Tokoh-tokoh ini mengalami tawanan minda kerana memberi pandangan dan andaian berdasarkan budaya dan pengalaman mereka dari Barat. Hal ini seharusnya tidak boleh berlaku kerana konsep asas sosiologi bahawa tingkahlaku manusia adalah tidak tetap dan berubah-ubah mengikut masa dan juga tempat. Norma bagi sesebuah masyarakat itu pastinya berlainan di Eropah berbanding di Asia Tenggara. Penjajahan daripada kuasa Eropah di Asia Tenggara adalah punca utama wujudnya pribumi yang pemalas. Hal ini adalah kerana menurut Alatas, masyarakat pribumi digelar sebagai pemalas kerana mereka tidak berminat untuk melibatkan diri dalam perindustrian atau
5

perniagaan yang berunsurkan kapitalisme. Hal ini bukan kerana masyarakat pribumi dapat meneka keburukkan kapitalisme, tetapi mereka lebih selesa untuk menjalani kehidupan demi keluarga dan bangsa masing-masing. Masyarakat pribumi tidak boleh mengelak daripada mempunyai unsur etnosentrik kerana mereka mempunyai sistem sosial, norma, nilai dan budaya yang tersendiri. Campur tangan daripada pihak luar ke atas struktur kemasyarakatan mereka akan meragukan lantas memprovokasikan mereka untuk mempertahankan budaya turun-temurun mereka. Ideologi kolonial dalam kalangan tokoh-tokoh Barat itu juga menunjukkan betapa mereka merendah-rendahkan masyarakat pribumi dan betapa mereka menginginkan faedah penjajahan mereka. Membandingkan masyarakat pribumi dengan masyarakat golongan imigran adalah tidak wajar kerana masyarakat pribumi telah hidup secara turun-temurun di tanah air mereka. Semestinya mereka akan bekerja sendiri dan bukannya bekerja di kilang atau estet demi menguntungkan penjajah luar. Masyarakat pribumi mempunyai tanah sendiri, rumah sendiri, dusun sendiri, kebun sendiri dan mempunyai keupayaan untuk memburu dan mencari makanan sendiri. Mereka tidak mempunyai minat untuk mencari nafkah yang melebih-lebih kerana mereka sudah biasa dengan kehidupan sederhana melalui sistem pemerintahan tempatan seperti Kesultanan Melayu. Bagi saya, budaya masyarakat pribumi yang mempunyai sistem pemerintahan tempatan akan menjalani kehidupan mengikut unsur-unsur Calvinisme, di mana setiap manusia masingmasing mempunyai takdir masing-masing, justeru mereka perlu terus hidup berdasarkan takdir berikut. Bagi masyarakat pribumi, sebagai contoh Melayu, mereka yang lahir sebagai kaum kerabat diRaja akan menjalani kehidupan mewah di istana, manakala mereka yang lahir sebagai rakyat biasa harus akur dan menjalani kehidupan di kampung halaman. Oleh sebab itu, masyarakat pribumi dianggap sebagai pemalas, kerana mereka enggan melawan takdir yang telah mereka terima. Antara cara terbaik untuk menerangkan segala tentang tingkahlaku manusia dan masyarakat adalah dengan melihat mereka sebagai hasil daripada rasionaliti individu dalam mengejar matlamat mereka. Begitulah juga tentang masyarakat penjajah dengan pribumi. Mereka akan bertindak mengikut apa yang rasional berdasarkan daripada norma, nilai dan budaya masingmasing. Dengan demikian, tidak hairanlah bahawa para tokoh ilmuwan Barat akan mempunyai tawanan minda lantas berlaku bias dalam membuat penerangan dan pandangan.

Secara ironi, selepas kemerdekaan negara-negara kolonial, yakni Malaysia, Indonesia dan Filipina dalam konteks buku ini, penggunaan istilah pribumi malas sudah mula untuk berkurangan dalam penulisan ilmiah. Namun, istilah ini terus kekal dalam kalangan masyarakat untuk terus melakukan stereotaip antara satu sama yang lain. Sebagai contoh, di Malaysia, orang Melayu distereotaip sebagai pemalas, manakala orang Cina dan India digelar sebagai pendatang (selain daripada penipu dan pemabuk). Hal ini menunjukkan betapa pentingnya etika seseorang yang mempunyai kelayakan dalam membuat sesuatu kenyataan. Hal ini adalah kerana kenyataan-kenyataan yang diguna pakai tersebut akan diikuti oleh orang lain yang mencontohi tokoh-tokoh tersebut. Pada pandangan saya, Alatas membuat analisis melalui buku ini adalah untuk menjernihkan stigma negatif ini dalam kalangan masyarakat umum terhadap masyarakat pribumi. Konsep istilah malas oleh Alatas juga adalah wajar, kerana seseorang yang sekadar bekerja sebagai pekebun untuk menyara keluarga tidak patut digelar pemalas. Saya sependapat bahawa kita tidak seharusnya melabelkan seseorang itu sebagai malas hanya melalui pekerjaannya. Tidak dinafikan bahawa seseorang yang tidak berpelajaran juga mampu menjadi orang yang terkemuka suatu hari nanti berdasarkan nasibnya, namun kadang-kadang seseorang itu tetap tidak mampu untuk mencapai matlamat meskipun telah berusaha bersungguh-sungguh. Bagaimana pula jika seorang penganggur rajin mencari kerja? Adakah dia akan dilabel sebagai pemalas kerana menganggur, ataupun seorang yang rajin mencari kerja? Mesti ada sebab mengapa dia menganggur, tetapi yang sudah pasti bukannya kerana sikap malas. Jika melihat di zaman moden ini, terdapat pandangan bahawa masyarakat pribumi adalah malas terutamanya di Malaysia kerana mereka mendapat status sebagai bumiputera. Oleh yang demikian, mereka mempunyai keistimewaan yang khas berbanding mereka yang bukan bumiputera. Sebagai contoh, kuota kemasukkan ke Program Matrikulasi mempunyai kuota kemasukan bumiputera melebihi yang bukan bumiputera. Namun, adakah benar keistimewaan ini dirasai oleh masyarakat pribumi lantas menyebabkan mereka menjadi semakin malas? Pada pendapat saya, kemalasan dan kerajinan seseorang itu dipengaruhi oleh persekitaran yang mereka hadapi dan pengaruh rakan-rakan sebaya. Ideologi kolonial dan kapitalisme kolonial sebenarnya adalah penyebab utama mitos pribumi pemalas ini timbul dan melekat di ingatan setiap masyarakat.

KESIMPULAN Mitos pribumi pemalas adalah mitos semata-mata. Pada pendapat saya, tiada bukti yang kukuh untuk menggelar sesebuah masyarakat itu sebagai malas berdasarkan definisi malas yang telah diterangkan oleh Alatas dalam bukunya. Buku ini bukan sahaja berperanan penting dalam penjelasan sebenar mengenai mitos kemalasan pribumi, malah turut membuktikan kewibawaan seorang ahli sosiologi Malaysia dalam membina konsep-konsep dan idea-idea baru dalam bidang sosiologi. BIBLIOGRAFI Syed Hussein Alatas (1977), The Myth of the Lazy Native. London: Frank Cass And Company Limited. Mokhtar Saidin, Jaffrey Abdullah, Jalil Osman dan Azman Abdullah, (2011). Issues and Problems of Previous Studies in the Bujang Valley and the Discovery of Sungai Batu. Dalam Stephen Chia dan Barbara Watson Andya (Ed.) Bujang Valley and Early Civilisations in Southeast Asia, p. 16. Department of National Heritage, Ministry of Information, Communications and Culture, Malaysia. Faezah Ismail (2010), Revisiting The Myth of the Lazy Native [pdf], Terdapat di <http://multiworldindia.org/wp-content/uploads/2010/05/Revisiting.pdf> [Diakses 24 November 2013] Deborah Johnson (2007), An Intellectual Life, [Online] Terdapat di

<http://www.aseanfocus.com/asian_analysis/Malaysia%20An%20Intellectual%20Life%20.php>

Anda mungkin juga menyukai