Anda di halaman 1dari 6

Cabaran Profesyen Perguruan Pada Masa Kini Pengenalan Ramai berpendapat secara umumnya kerjaya sebagai seorang guru

merupakan suatu pekerjaan yang murni. Tambahan pula dikatakan guru mempunyai cuti yang banyak. Ada juga yangmengatakan menjadi seorang guru senang dan memperoleh pendapatan tinggi dan tetap. Tidak kurang juga yang menyatakan menjadi seorang guru merupakan jalan mati setelah profesion lain tidak memberikan peluang yang baik. Pelbagai tanggapan yang boleh disimpulkan sama ada dalam kalangan masyarakat umum tentang profesion guru. Namun sebenarnya profesion menjadi seorang guru bukan sahaja suatu pekerjaan yang murni dan baik malah menjadi seorang guru perlu menggalas suatu tugas dan cabaran yang hebat untuk mendidik, membimbing dan menunjuk ajar dalam proses membentuk seorang manusia untuk menjadi modal insan yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Dalam mengharungi proses dan sistem pendidikan tersebut khususnya di Negara kita seorang guru sering menghadapi pelbagai cabaran dalam melaksanakan konteks tugasannya di bilik darjah dan sekolah.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ( 2007 : 232) cabaran didefinisikan sebagai hasil mencabar (mempersoalkan, mempertikaikan, ajakan (untuk berlawan dan sebagainya), sesuatu (unsur, faktor dan sebagainya) yang mencabar (menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi dan lain-lain), pekerjaan yang penuh dengan cabaran. Oleh itu, secara lateralnya cabaran membawa maksud sesuatu hal atau perkara yang menguji kemampuan serta ketabahan seseorang yang ada kaitannya dengan sesebuah organisasi. Dalam konteks perguruan, profesion menjadi seorang guru perlu menyahut cabaran untuk melihat keupayaan seorang guru dalam melaksanakan tugasannya bukan sahaja dalam biik darjah namun di sekolah secara amnya.

Pengalaman Selama hampir 9 tahun saya telah berkecimpung di dalam profesion perguruan pelbagai ujian, dugaan dan cabaran yang telah saya tempuh. Sebagai seorang guru, kita harus bersikap profesional dalam menangani semua cabaran hidup. Melihat pada sikap dan tingkahlaku muridmurid sekarang amat jauh berbeza dengan murid-murid terdahulu. Pengalaman saya semasa menjadi murid pada awal tahun 1980 an hingga 1990 an amat berbeza. Pada pandangan saya semasa saya menjadi murid, kami memang hormat dan patuh pada guru. Jika melihat kelibat guru sudah hampir sampai ke kelas semua murid lintang pukang lari masuk ke kelas. Berbeza dengan murid pada zaman sekarang guru sudah lama berada di dalam kelas, murid baru masuk ke kelas. Terutama sekali selepas waktu rehat masih ada yang makan dan minum dengan selambanya.

Cabaran Antara cabaran saya di dalam profesion perguruan di sekolah rendah ialah tugas seorang guru dalam menyampaikan pembelajaran dan pengajaran dalam bilik darjah. Saya mengajar di sekolah rendah agama di dalam sistem pembelajaran dua sesi iaitu sesi pagi dan petang. Di mana sesi pembelajaran pagi bermula 7.45-10.30 dan sesi petang seawal 2.30-5.15 petang. Pelbagai masalah terpaksa dihadapi jika berhadapan dengan waktu pembelajaran yang tidak serata. Kekangan masa untuk menyediakan pelbagai abm dan persediaan rancangan pengajaran harian juga terpaksa dihadapi. Buat masa ini saya sebagai guru terpaksa menggunakan pendekatan, teknik dan kaedah yang terbaharu dalam sistem pendidikan yang diperkenalkan. Cara chalk and talk bukan lagi suatu kaedah yang sesuai. Saya terpaksa menguasai kaedah pedagogi yang sinonim dengan pengetahuan sedia ada murid yang bersifat homogenius, menggunakan bahan bantuan mengajar yang sistematik. Apabila bahan bantuan mengajar digunakan saya terpaksa menggunakan teknologi terkini dengan sumber kewangan yang terhad. Kaedah berpusatkan murid mesti dilaksanakan dalam pengajaran seseorang guru. Saya sebagai guru kena bertindak sebagai moderator yang berkesan. Pencapaian objektif mesti berbentuk eksplisit yang mampu merangsang murid memahami isi pembelajaran. Penilaian secara formatif perlu dilaksanakan. Oleh itu, secara keseluruhan sistem penyampaian guru dalam pembelajaran dan pengajaran bukan lagi berbentuk stereotaip tetapi berbentuk proaktif. Persediaan saya sebagai seorang guru bukan lagi berbentuk nota atau ringkasan mengajar tetapi persediaan mengajar yang lengkap bermula daripada set induksi, perkembangan isi pengajaran, penilaian formatif dan kesimpulan yang dikaitkan dengan nilai. Unsur nilai tambah seperti pembelajaran kontekstual, konstruktivisme, pembelajaran masteri dan kecerdasan pelbagai juga perlu diterapkan yang mempunyai kaitan dengan penyerapan dan penggabungjalinan dalam isi pengajaran. Untuk menghadapi cabaran ini seorang guru perlu menggunakan peluang kursus penambahbaikan pedagogi yang dianjurkan oleh Unit Kurikulum Jabatan pelajaran dan Pusat Perkembangan Kurikulum.

Penggunaan bahan autentik sebagai bahan bantu mengajar dapat menyelesaikan keperluan bahan bantuan mengajar dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Selanjutnya, cabaran lain yang terdapat pada seseorang guru ialah saya telah diberikan pelbagai jawatan yang bukan sepatutnya dilakukan oleh seseorang guru. Seorang guru terpaksa memegang beberapa potfolio dalam sesuatu jawatankuasa yang diwujudkan atas kapasiti yang tidak berkaitan dengan subjek yang diajar. Sebagai contoh, saya telah dilantik sebagai Ketua Panitia subjek Akhlak dan terpaksa menjadi ahli untuk jawatankuasa bagi pengurusan Hal Ehwal Murid seperti Bahagian Perabot, Keceriaan dan Keselamatan sekolah serta Pengurusan Bangunan dan Pemuliharaan Bangunan dan pelbagai ini. Saya juga dilantik sebagai pegawai pelaksanaan LADAP/LDP (Latihan Dalam Perkhidmatan).Pelbagai dokumen terpaksa disediakan kerana laporan perlaksanaan perlu dihantar ke jabatan setiap bulan. Dengan kesibukan dalam menyediakan rancangan pembelajaran dan pengajaran dalam kelas serta menanda latihan murid seorang guru terpaksa menguruskan hal-hal yang sedemikian seperti sistem pemfailan, inventori, rekod kemas kini dan sebagainya yang perlu dilengkapkan dan diurus dengan baik. Cabaran ini terpaksa dilaksanakan oleh saya sebagai guru bagi membantu proses pembangunan dan aset sekolah. Untuk mengatasi cabaran ini saya perlu bijak mengagihkan masa semasa di sekolah iaitu menyampaikan isi pengajaran dan melakukan penandaan buku semasa di bilik darjah. Dalam proses tersebut saya perlu mengisi masa lapang atau masa tidak mengajar untuk melaksanakan sistem pendokumentasian tersebut. Justeru itu, seseorang guru perlu mengimbangi masa yang diperlukan mengajar dan melaksanakan kerja-kerja sampingan tersebut. Kerangkaan kerja perlu disediakan dengan lebih detail beserta dengan senarai semak.

Di samping itu, cabaran saya sebagai guru berkaitan dengan penyediaan pelbagai dokumen yang terlalu rencam serta tidak melibatkan tugas utama seorang guru dalam pengurusan pembelajaran dan pengajaran (PNP) dalam bilik darjah. Sebagai seorang guru saya seolah-olah terpaksa menjadi kerani yang perlu mengisi pelbagai dokumen pengurusan pendidikan. Saya terpaksa mengagihkan pinjaman buku teks, sistem maklumat murid, sistem kokurikulum sekolah dan borang-borang tertentu yang melibatkan murid yang langsung tiada kaitan dengan pembelajaran dan pengajaran di bilik darjah. Kadang-kadang terdapat borang-borang yang

terpaksa diisi secara adhock dan perlu disegerakan. Tugas guru yang sepatutnya lebih kepada pengajaran dan mendidik telah lari daripada tugasan yang sebenar namun seorang guru perlu melakukannya bagi keperluan dalam pengurusan pentadbiran murid. Pendapat ini bersesuaian dengan kajian yang telah dikemukakan oleh Prof Dr Aminah Ayob Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim ( 2010 : Slide 21) dalam pembentangan kertas kerja Pendidikan Guru Profesional : Cabaran Masa Hadapan di Akademi Sains Malaysia menyatakan bahawa cabaran guru kini ialah terpaksa melakukan pelbagai kerja perkeranian di samping menyampaikan isi pengajaran ketika mengulas satu artikel dalam suratkhabar. Justeru itu, untuk menghadapi cabaran seseorang guru perlu memegang beberapa jawatan yang bukan ada kaitan dengan pengajaran dan pembelajaran dan penyediaan pelbagai dokumen, seorang guru perlu mengimbangi masa yang diperlukan mengajar dan melaksanakan kerja-kerja samping tersebut. Takwim persekolahan mesti dikemas kini. Kerangkaan kerja dan masa perlu disediakan dengan lebih detail beserta dengan senarai semak. Patuhi jadual yang ditetapkan untuk memudahkan seorang guru bergerak. Semua hal tersebut akan dapat membantu. Tambahan lagi, cabaran lain yang perlu dihadapi oleh seorang guru ialah cabaran programprogram kokurikulum wajib di sekolah yang mesti didedahkan kepada semua murid. Kokurikulum yang terdiri daripada persatuan dan unit uniform perlu diikuti oleh guru dan murid. Baru-baru ini kerajaan telah memperkenalkan program yang berkaitan dengan sukan iaitu Dasar 1 Murid 1 Sukan.Dengan program tersebut ini bermakna tanggungjawab guru makin bertambah. Guru bukan sahaja perlu melaksanakan aktiviti kokurikulum namun pengisian aktiviti tersebut perlu ada perancangan yang lebih kemas kini. Bilangan hari yang perlu berkokurikulum pula telah bertambah dengan penyusunan oleh pihak pentadbiran kokurikulum iaitu Hari rumah sukan pada hari Isnin, 1 Murid 1 Sukan pada hari Selasa, Kegiatan kokurikulum pada hari Rabu dan latihan pasukan sekolah kokurikulum dan sukan pada hari Khamis. Hal ini menyebabkan seorang guru berada dari pagi hingga petang di sekolah selama 4 hari berturut-turut. Bagi menghadapi cabaran ini seorang guru perlu melaksanakan jadual yang berkala sifatnya iaitu pengagihan kerja mengikut giliran bertugas iaitu seorang guru hanya perlu

melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum sebanyak dua kali berselang minggu.

Kesimpulannya, dalam dunia pendidikan yang semakin canggih seiring dengan perkembangan teknologi seseorang guru tidak boleh lari daripada cabaran yang makin hebat sama ada dalam bilik darjah ataupun sekolah secara amnya. Tugas mendidik dan mengajar di sekolah perlu dilaksanakan bagi memastikan wawasan yang ingin dicapai melalui Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) supaya menjadi rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkupayaan dalam mencapai Wawasan 2020. Oleh hal yang demikian, cabaran yang datang perlu disahut oleh seorang guru sama ada cabaran dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada muridnya dan dasar-dasar yang telah ditetapkan dalam sistem pendidikan walaupun sosiologi sekolah tidak memberangsangkan. Itu tugas dan tanggungjawab seorang guru di sekolah rendah.