Anda di halaman 1dari 10

Cabaran pelaksanaan kssr

Thursday, 23 August 2012

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH: PELAKSANAAN DAN CABARAN


Pengenalan Dapatan penyelidikan Profesor Madya Dr. Faizah binti Abdul Majid, dari Fakulti Pendidikan UiTM yang diterbitkan dalam Journal of US-China Education Review, Vol.8, No.10, 2011. ISSN1548-6613 memberikan perspektif asas tentang pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) di Malaysia dan cabaran yang bakal dihadapi. Menurut beliau, PBS belum sampai ke tahap pelaksanaan penuh (full swing). Shanusi Ahmad (LPM) dalam kertas cadangan Ph.D beliau menegaskan bahawa PBS di Malaysia lebih berbentuk gabungan dengan sistem peperiksaan berpusat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM). Dasar kenaikan automatik murid ke tingkatan empat dan persijilan terbuka mulai tahun 1992 telah membuka jalan kepada titik tolak pelaksanaan PBS menerusi ujian lisan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris oleh guru di sekolah masing-masing. Pengenalan kerja kursus dan folio kajian tempatan sejak sekolah rendah lagi mengukuhkan pelaksanaan PBS. Penambahbaikan ujian pencapaian sekolah rendah (UPSR) dan pemansuhan penilaian menengah rendah (PMR) mulai tahun 2014 juga bakal menyaksikan pelaksanaan PBS yang lebih menyeluruh. Isu-isu Pelaksanaan PBS

Hamzah dan Sinnasamy (2009) mendapati bahawa pelaksanaan ujian lisan berasaskan sekolah (PLBS dan ULBS) tidak akur sepenuhnya dengan kehendak garis panduan LPM. Hal itu berpunca daripada tahap kesedaran inovasi dan perubahan yang masih belum mencukupi. Kepimpinan PBS yang diterajui oleh pengetua juga belum benar-benar mantap dari segi kefahaman konseptual PBS dan peranan ikhtisas yang perlu dipatuhi. Kecairan maklumat akibat kaedah latihan teragih yang bermula daripada kementerian, jabatan pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah, sekolah, jawatankuasa kurikulum dan panitia mata pelajaran mengakibatkan proses pendedahan kepada guru pelaksana PBS menjadi suntuk. Jurulatih utama (JU) berkursus selama seminggu, tetapi apabila sampai kepada panitia, taklimat hanya mengambil masa dua jam. Guru juga berhadapan dengan peruntukan aktiviti bilik darjah untuk

menyelesaikan segala keperluan kurikulum dan kemahiran insaniah yang lain. Pemantauan oleh pakar dan pihak berkuasa pelajaran juga berhadapan dengan kekangan kewangan dan tatacara pergerakan guru keluar daripada kawasan sekolah masing-masing. JU dan pentaksir kawasan tidak boleh bertugas di luar kawasan sekolah melebihi 30 peratus daripada waktu rasmi di sekolah. Maka, tanggungjawab pemantauan diserahkan pula kepada pengetua, penolong kanan (pentadbiran dan kurikulum) dan guru-guru kanan mata pelajaran yang sudah sedia sibuk dengan pelbagai jenis borang dan data. Bagi memastikan bahawa pihak sekolah akur dengan konsep PBS, pengetua dikehendaki menyediakan sistem data dan fail yang berfungsi sebagai bukti hitam putih hasil kerja setiap orang murid. Bilangan fail mungkin mencecah angka ribu dan puluhan unit almari untuk penyimpanan fail berkenaan. Sistem kod dan nombor fail mesti seragam supaya carian fail dapat dilakukan secara serta-merta jika diminta oleh pegawai atasan yang memantau pelaksanaan PBS secara mengejut. Pengurusan PBS secara atas talian

Kemajuan teknologi maya dan jaringan ialah jawapan kepada isu timbunan fail dan pembaziran kos cetakan dan penjilidan folio murid, kecuali untuk projek pendidikan seni visual atau kerja pertukangan kemahiran hidup. Eza Shafinaz binti Mohamed Zaharin (2011) menerusi kertas projek sarjana sains maklumat, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mencadangkan sistem e-folio. Eza menyenaraikan manfaat e-folio yang dapat menangani masalah kehilangan bukti dokumentasi bertulis, ciplak, ruang penyimpanan, kos cetak dan jilid, melengkapkan pelbagai format borang, kecuaian manusia dan sebaran maklumat PBS kepada semua pihak yang berkepentingan. Penggunaan e-folio juga memberi kesempatan kepada murid untuk mempersembahkan hasil kerja mereka secara multimedia. Folio kerja kursus tidak lagi terhad kepada bentuk kertas berjilid, sebaliknya boleh dinaik taraf kepada format audio visual, animasi dan grafik yang canggih. Nilai tambah pelaksanaan PBS menerusi sistem e-folio sudah tentu lebih ketara. Capaian e-folio boleh dilakukan di mana-mana lokasi yang mempunyai akses internet, serta boleh dilindungi menerusi kata laluan, fail readonly dan had akses untuk orang awam. Capaian penuh hanya dibenarkan untuk pemilik folio, pentaksir dan pihak berkuasa pendidikan tertinggi. Pihak lain hanya boleh membaca bahagian abstrak atau sinopsis, serta perlu mendapat keizinan pemilik folio menerusi e-mel yang tertera jika hendak memperoleh versi folio yang lengkap.

Sistem e-folio boleh diletakkan di bawah sistem analisis peperiksaan sekolah (SAPS) sedia ada dan skor markah terus ke laman sesawang LPM atau MPM. Untuk keselamatan data, segala fail hendaklah juga disimpan secara talian tempatan (off-line, LAN) dan peranti mudah alih lain seperti cakera padat (CD), pemacu jari (thumb-drive) dan lain-lain. Selain itu, murid dan pentaksir sekolah juga digalakkan mewujudkan sistem e-mel sebagai salinan fail tambahan untuk pelan B kepada risiko ancaman serangan penggodam dan virus terhadap sistem induk e-folio. Cabaran Pelaksanaan PBS

PBS ialah sebahagian proses perubahan konsep pentaksiran yang terlaksana di seluruh dunia. Finland misalnya telah melaksanakan PBS tanpa peperiksaan secara berpusat dalam tempoh 9 tahun persekolahan awal kanak-kanak. Australia, Hong Kong dan New Zealand juga boleh dianggap berjaya melaksanakan PBS secara sistematik. Kepesatan perubahan persekitaran pendidikan, dinamika masyarakat dan industri bererti PBS ialah suatu keperluan yang kritikal dan segera. Proses perubahan sentiasa menggugat status quo dan kelompok zon selesa. Pembaharuan akan mengakibatkan kehilangan kedudukan, kebiasaan dan kepakaran lama. Usaha menarik perhatian ke arah melemahkan rintangan terhadap perubahan dan mengukuhkan daya pacu perubahan perlu dikendalikan secara paling bijaksana, cermat dan hormat. Kepercayaan terhadap pelaksanaan PBS sebagai ganti sistem pentaksiran berpusat LPM dan MPM sepenuhnya perlu dipupuk dalam kalangan murid, guru dan masyarakat. Murid akan lebih bertanggungjawab terhadap proses pembelajaran kendiri, guru dengan tanggungjawab ikhtisas dan masyarakat menerima PBS sebagai kayu ukur pencapaian pembelajaran murid. Pihak LPM dan MPM pula akan bertindak sebagai pemantau, penyelaras dan penjaga kesahan, serta kebolehpercayaan PBS kepada semua pihak yang berkepentingan. Langkah Memperkasa PBS

Guru akan sentiasa menjadi tulang belakang dan tumpuan pelaksanaan PBS. Maka, keperluan latihan dalam perkhidmatan (Ladap, in-service training atau Inset) harus berorientasi praktikum (hands-on). Ladap berbentuk ceramah, taklimat dan kursus aras komunikasi dua hala terhad perlu kepada proses ubah suai. Gaya pengajaran guru dengan gaya pembelajaran murid menerusi pelaksanaan PBS mestilah sentiasa akur dan sejajar. Memandangkan begitu banyak data dan fail yang hendak diuruskan, pelantikan pembantu guru hendaklah dibuat dengan segera. Pembantu guru hanya dikhususkan untuk meningkatkan kecekapan kemasukan data

pembelajaran, bukan untuk membantu kerja-kerja pejabat seperti urusan stok dan percetakan. Spesifikasi dan terma tugas pembantu guru hendaklah secara jelas menegaskan hal berkenaan, terutama sistem pengurusan data dan fail PBS. SUMBER Secara teorinya, pelaksanaan PBS sangat memberi manfaat kepada guru, pelajar dan masyarakat. Guru tidak lagi terbeban untuk mengejar A bagi setiap mata pelajaran dan pelajar juga lebih bersemangat kerana penilaian dijalankan secara berterusan dan menyeluruh. Bertitik tolak dengan kejayaan pelaksanaan PBS sedia ada seperti ULBS, PEKA, KAFA dan sebabagainya yang telah diambil kira sebagai markah dalam peperiksaan awam , maka timbul idea daripada KPM untuk memansuhkan UPSR menjelang tahun 2012 untuk digantikan dengan PBS sepenuhnya. Namun, dari segi pelaksanaannya, masih belum menunjukkan kejayaan yang sepenuhnya. Pelbagai punca, kekangan dan masalah yang menjejaskan pelaksanaan PBS di sekolah antaranya dari segi faktor amalan profesionalisme dan falsafah pegangan guru dan faktor budaya, tradisi, kepimpinan dalam pendidikan termasuk kesesuaian acuan penilaian dan amalan birokrasi yang perlu mengambil kira keperluan pelajar. Sebagai contoh, jika PBS dilaksanakan sepenuhnya untuk menggantikan UPSR masalah timbul untuk menilai gred murid bagi kemasukan ke sekolah elit seperti MRSM , SBP dan sebagainya. Selain itu, pelbagai isu lain juga timbul di mana ianya dikatakan membebankan guru. Tugas-tugas guru yang sedia banyak akan dibebankan lagi dengan pelbagai jenis folio dan dokumen berkaitan yang perlu disediakan dan dilaksanakan. Bilangan pelajar yang ramai juga menyebabkan guru tidak cukup masa untuk melaksanakan PBS dengan sistematik. Guru boleh juga dilabel sebagai "kerani" dengan bebanan tugas yang banyak ini. Pengurusan PBS secara atas talian merupakan satu alternatif yang terbaik bagi mengurangkan beban tugas guru ini namun ianya juga mempunyai kelemahan yang tersendiri seperti jaringan internet yang terhad, capaian internet yang sibuk dan tidak memuaskan dan sebagainya. Kesimpulannya, saya berpendapat bahawa pelaksanaan PBS di sekolah adalah sangat tepat dan bermanfaat namun ianya perlu dilaksanakan secara perlahan-lahan dan mengambilkira luahan dalam kalangan guru sendiri tentang pelaksanaan PBS ini. Hanya guru yang mengetahui kekangan yang dialami mereka dan mungkin mereka juga mempunyai cadangan sebagai jalan penyelesaian dalam melaksanakan PBS. Saya sendiri sebagai guru tidak menafikan akan kepentingan dan kebaikan pelaksanaan PBS di sekolah, malah ingin mencadangkan supaya KPM menyediakan pembantu guru bagi merialisasikan hasrat untuk melaksanakan PBS sepenuhnya di sekolah. Posted by Akma Lina
http://akmalena.blogspot.com/2012/08/pentaksiran-berasaskan-sekolah.html

PELAKSANAAN PENTAKSIRA BERASASKAN SEKOLAH DI SEKOLAH MENENGAH DARI PERSPEKTIF GURU NAMA PENSYARAH: PROFESOR MADYA DR ABD LATIF HJ GAPOR

NAMA PELAJAR: SHARIFAH MUNIRAH BT SAYED MOHAMED NOOR M20121000164 PERSEPSI GURU TERHADAP PELAKSANAAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH DI SEKOLAH MENENGAH BAB 1 PENDAHULUAN 1.1 Pengenalan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu dasar baru yang diperkenakan dalam bidang pendidikan dimana komponen pentaksiran dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru matapelajaran secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. PBS dirancang, diskor dan dilaporkan secara terancang mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Demi menjamin kualiti pelaksanaan PBS, mekanisme penyelarasan dan pemantauan dilaksanakan untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan kesahan skor pentaksiran tersebut. 1.2 Latar Belakang Pentaksiran Berasaskan Sekolah mula dilaksanakan mulai 1 Februari 2012 melalui Pekeliling Perlaksanaan dari Lembaga Peperiksaan No. Rujukan KP/LP/005/08/06/01/(27). Pelaksanaan ini diyakini dapat melahirkan modal insan yang holistik serta seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek seperti yang diaspirasikan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Ketika ini sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan dilihat lebih mengiktiraf pencapaian akademik menyebabkan penglibatan pelajar kurang dalam aspek kokurikulum. Kajian kajian lepas telah banyak melaporkan tentang kepentingan pentaksiran sekolah dalam membantu proses pembelajaran (Rohaya:2009). Namun keberkesanannya bergantung kepada faktor seperti sikap, orientasi dan falsafah guru terhadap pelajar dan proses pengajaran-pembelajaran, serta latihan, pengetahuan dan kemahiran guru dalam bidang pentaksiran pendidikan. Beberapa pengkaji seperti Black dan William (1998) dalam laporan mereka mengesahkan bahawa pentaksiran guru merupakan kriteria penting ke arah memperkaya pengalaman pembelajaran seterusnya mencapai pendidikan berkualiti.

2.2 Kajian Pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) di sekolah rendah Tahun 2011 mencatatkan perubahan kepada sistem pendidikan di Malaysia apabila Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diperkenalkan kepada murid Tahun 1 sekolah rendah. Perubahan yang dimaksudkan di sini ialah perbezaan antara keadaan semasa dengan sebelumnya (Amir Hassan dawi, 2006) iaitu penilaian terhadap pelajar telah ditukarkan kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah bagi menggantikan penilaian yang berorientasikan peperiksaan. Pelaksanaan pelbagai perubahan dalam sistem pendidikan sudah pasti menjadikan peranan dan tanggungjawab guru-guru semakin mencabar (Amir Hassan Dawi, 2006). Sanitah dan Norsiwati (2012) dalam kajiannya untuk mengenalpasti apakah tahap kesediaan guru daripada aspek minat, sikap dan penguasaan pengetahuan dan kemahiran dalam melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah menggunakan soal selidik sebagai instrument kajian. Sampel kajian terdiri daripada 50 orang guru Matematik Tahun Satu di Daerah Kluang. Dapatan kajian mendapati semakin lama seseorang guru mengajar tahun satu maka akan menimbulkan minat yang mendalam untuk menyampaikan ilmu. Ini jelas menunjukkan bahawa kesediaan minat dan sikap yang positif guru guru yang mengajar Matematik Tahun Satu akan memberikan impak yang berkesan dalam pelaksanaan KSSR. Guru-guru ini mudah memahami kehendak sukatan pelajaran dan dapat menyampaikan ilmu kepada murid-murid dengan lebih efektif. Guruguru yang berpengalaman mengajar Tahun Satu lebih mendekati murid dan memahami kehendak murid yang baru mengenali alam persekolahan. Tonggak kepimpinan Guru besar atau Pengetua mempengaruhi kejayaan sekolah dalam bidang akademik dan juga kokurikulum (Syed Ismail & Ahmad Subki,2010). Oleh yang demikian kepemimpinan guru besar dalam pelaksanaan PBS di peringkat sekolah amat diperlukan supaya matlamat dan hala tuju Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan tidak menyimpang dari tujuan asalnya. Kajian Yusof dan Mohd Musa (2010) terhadap 57 orang Guru Besar sekolah aliran kebangsaan di Daerah Kota Tinggi menunjukkan Guru Besar memahami maklumat berkaitan dengan pelaksanaan PBS dan berkeupayaan menjadi peneraju utama membawa misi dan visi serta mampu merealisasikan Dasar Pentaksiran Negara. Sokongan padu guru besar dalam mengetuai pelaksanaan PBS menjadikan PBS sebagai satu sistem yang amat releven untuk dilaksanakan dan selaras dengan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang akan menggantikan sistem peperiksaan yang lama. Faktor jantina dan lokasi sekolah sama ada bandar atau luar Bandar bukan faktor penentu dan penghalang dalam menjayakan misi dan

visi pelaksanaan PBS. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini adalah soal selidik. Kajian yang dijalankan oleh Zurida dan Nooraida (n.d) adalah untuk mengenalpasti permasalahan yang timbul sepanjang pelaksanaan KSSR pada tahun 2011 dalam aspek penaakulan. Data dikumpul melalui temubual berstruktur. Sampel kajian terdiri daripada 8 orang guru daripada 4 buah sekolah yang mengajar mata pelajaran Sains Tahun Satu. Berikut adalah hasil dapatan kajian: i) Kesemua guru yang ditemu bual masih kurang jelas tentang konsep menaakul kerana mereka tidak dapat memberi definisi dan maksud menaakul dengan betul. ii) Kesemua guru tidak pasti apakah kaedah dan pendekatan yang perlu digunakan oleh mereka semasa proses pengajaran dan pembelajaran dalam usaha untuk menerapkan dan meningkatkan kemahiran menaakul kepada murid-murid. iii) Kebanyakan guru menyatakan KSSR ini baik namun begitu penerangan yang lebih jelas dan terperinci perlu diberikan kepada semua guru apa yang sepatutnya dilaksanakan dari segi strategi pengajaran dan pentaksiran dalam usaha mencapai kemahiran 4M, iaitu menulis, membaca, mengira dan menaakul. Bagi kemahiran 3M, iaitu membaca, menulis dan mengira tiada masalah yang timbul tapi bagi kemahiran menaakul, didapati guru-guru tidak pasti cara untuk menerap dan menentukan sejauh mana murid-murid telah menguasai kemahiran tersebut. iv) Kebanyakan guru mengharapkan pendedahan dan kursus yang memfokuskan kemahiran menaakul diberi kepada guru-guru. v) Hampir separuh guru menyatakan masa yang diperuntukkan untuk mengajar mata pelajaran Sains tidak mencukupi memandangkan waktu Sains telah dipendekkan dari 3 waktu kepada 2 waktu seminggu kerana dalam subjek Dunia Sains dan Teknologi masa perlu diperuntukkan untuk mengajar penggunaan komputer kepada murid-murid

2.3 Kajian Pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) di sekolah menengah Norani dan Saifulazri (2010) telah menjalankan kajian diskriptif bertujuan mengenalpasti persediaan guru, pengurusan masa guru, pengurusan alatan dan bahan-bahan serta beberapa masalah lain yang dihadapi oleh guru dalam melaksanakan pentaksiran kerja kursus berasaskan sekolah bagi matapelajaran Kemahiran Hidup. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa peratusan guru-guru yang bersetuju dengan persediaan mereka dalam melaksanakan PBS ini amat tinggi. Pengurusan masa juga amat penting bagi guru-guru Kemahiran Hidup ini dengan

jumlah peratusan yang bersetuju amat tinggi. Bagi urusan kelengkapan peralatan serta bahan-bahan, guru-guru serta pihak pengurusan mengambil berat mengenainya. Hanya jadual waktu guru-guru Kemahiran Hidup yang agak padat menyukarkan mereka melaksanakan PBS. Secara keseluruhannya, guru-guru Kemahiran Hidup ini dapat memahami dan melaksanakan Pentaksiran Kerja Kursus Berasaskan Sekolah bagi matapelajaran Kemahiran Hidup ini dengan baik. 2.4 Profession perguruan Guru merupakan golongan yang berada di barisan hadapan dalam mentrasmisikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai kepada generasi baru. (Amir Hassan Dawi, 2006). Hasil kajian Abdul Rahim, Ahmad Johari, Jamaluddin & Rosliza (2006) terhadap persepsi guru terhadap profesion perguruan masa kini mendapati: a) Guru menganggap bahawa kerjaya mereka sebagai guru adalah satu kerjaya yang mulia. b) Para guru yang terlibat dalam profesion perguruan ini menganggap bahawa ilmu pengetahuan itu adalah penting dan mereka akan cuba mendapatkan ilmu setinggi yang boleh mengikut kemampuan mereka sendiri. c) Guru juga menganggap bahawa pekerjaan sebagai guru adalah satu tugas yang mencabar. d) Guru menganggap sumbangan yang telah mereka berikan kepada masyarakat dan negara adalah besar dan tinggi nilainya. e) Guru menganggap bahawa sumbangan yang mereka berikan pada masa sekarang tidaklah dihargai oleh masyarakat berbanding dengan masyarakat dahulu yang begitu menghargai jasa seorang guru. f) Hasil daripada kajian menjelaskan bahawa para guru mempunyai komitmen yang tinggi terhadap tugas mereka sebagai pendidik. g) Para guru sanggup menghadiri kursus dalam perkhidmatan dengan tujuan untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam dunia pengajaran. h) Tahap kesanggupan guru yang telah berkeluarga untuk berpindah atau mengajar di kawasan pedalaman adalah kurang atau pada tahap yang sederhana. i) Hasil daripada kajian menjelaskan bahawa beban tugas guru pada masa sekarang makin bertambah. j) Nisbah bilangan guru dengan pelajar yang tinggi menyukarkan pelaksanaan pengajaran guru dengan berkesan.

2.5 Kesimpulan Pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah di sekolah menengah pada tahun 2012 memberikan pengalaman kepada guru-guru untuk beradaptasi dan memahami inovasi pendidikan ini. Justeru, guru-guru dapat mengenalpasti persediaan yang perlu dilakukan untuk menerima perubahan dalam bidang pendidikan, kelebihan dan kelemahan pentaksiran yang boleh dimurnikan lagi pada tahun-tahun berikutnya. Oleh itu, pengkaji mengambil kesempatan ini untuk mengetahui persepsi guru tentang persediaan dan bebanan tugas guru sepanjang pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah. BIBLIOGRAFI Azleena, M. (2007). The implementation of school-based oral English assessment. : a case study. Unpublished Masters dissertation. UiTM, Shah Alam. Fazliza Che Mat et al. (n.d). Pelaksanaan Sains Kssr Tahun Satu: Satu Tinjauan Awal. Hamzah, M.O. and Sinnasamy, P. (2009). Between the ideal and reality: teachers perception of the implementation of school-based oral English assessment. In The English Teacher, Vol 38, pp. 13 29. Jonassen, D.H. (1999). Designing constructivist learning environments. In C. M.Reigeluth (ed). Instructional-Design theories and models: A new paradigm of instructional theory. 2:215-239. Mahwah, NJ: LEA Publishers. Kerajaan Sedia Menambahbailk Sistem PBS; Rungutan Guru Dikaji. Berita Harian. 5 Novermber 2012 ms3. Meor Ibrahim, Siti Nadya (2008). Persepsi Pelajar Tahun Akhir Aliran Sains Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia Terhadap Pendekatan Pembelajaran Secara Problem-Based Learning (PBL). Universiti Teknologi Malaysia. Mohd Anuar Abdul Rahman dan Khamsawati Jaafar. (2010). Pelaksanaan Pentaksiran Kerja Kursus Kemahiran Hidup Bersepadu Sekolah Menengah Dalam Bandar Di Daerah

Kuantan, Pahang.UTM.Skudai. Mok Soon Sang (2010). Penyelidikan Dalam Pendidikan, Perancangan dan Pelaksanaan Penyelidikan Tindakan. Ipoh: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Rohaya Talib (2009). Kajian Pembinaan dan Pegesahan Instrumen bagi Mengukur Tahap Literasi Pentaksiran Guru Sekolah Menengah di Malaysia. Dalamhttp://eprints.utm.my/13641/7/RohayaTalibPFP2009CHAP1.pdf. Diambil pada 15 November 2012. Sanitah Mohd Yusof dan Norsiwati Ibrahim.(2012). Kesediaan Guru Matematik Tahun Satu Dalam Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Kssr) Di Daerah Kluang. Journal of Science and Mathematics Education, 6, 26-38. Shanusi, (2007). An Investigation of Teachers Readiness towards School Based Assessment Scheme in Selected Malaysian Teacher Training Institutes. (Online). Retrieved 21 March, 2009, from http://iaea2007.tqdk.gov.az/cp.html Syed Ismail&Ahmad subki.(2010).Guru dan cabaran semasa.Selangor. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Syed Ismail dan Ahmad subki.(2010).Asas Kepeimpinan & Perkembangan Professional.Selangor. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Yusof Boon dan Mohd Musa Shaharuddin (2011). Kepemimpinan Guru Besar Dalam Pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Di Sekolah Kebangsaan Daerah Kota Tinggi, Johor.UTM, skudai Zurainu Mat Jasin (2012). Keberkesanan Model Konstruktivisme Lima Fasa Needham dalam Pengajaran Komsas Bahasa Melayu: Universiti Utara Malaysia
http://sharifahmunirah.wordpress.com/latihan/tugasan-3/

Anda mungkin juga menyukai