Anda di halaman 1dari 3

PENDAHULUAN:

Permainan tradisional warisan masyarakat Melayu semakin dipinggir oleh generasi muda dewasa ini. Sesetengah daripada mereka langsung tidak mengetahui kewujudan permainan tradisional ini yang pernah popular sedikit masa dahulu. Masyarakat dahulu menjadikan permainan tradisional sebagai wahana memupuk semangat ukhwah antara penduduk di samping mengisi masa senggang dengan kerja buat yang lebih berfaedah. Antara permainan tradisional yang begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat tradisi kita ialah gasing, congkak, sepak raga, naik wau, ketingting, batu serembang, buah guli, lompat tali, galah panjang, coh, bola awa dan lainlain. Banyak faktor yang menyebabkan permainan tradisional warisan nenek moyang kita semakin dipinggir oleh generasi hari ini, antaranya:-

FAKTOR-FAKTOR PERMAINAN TRADISIONAL DIPINGGIRKAN:1. Pengaruh besar yang dibawa oleh pelbagai permainan yang moden dan sofistikated - lebih relevan dengan perkembangan kemajuan sains dan teknologi; - permainan komputer, permainan video, mesin kawalan jauh, permainan robot, dan seumpamanya. 2. Sikap dan pandangan masyarakat hari ini yang beranggapan permainan tradisional sudah ketinggalan zaman dan hanya layak berada di muziummuzium. 3. Semakin kurang jumlah pejuang atau aktivitis yang aktif memperjuangkan nasib permainan tradisional; jika ada pun sekadar hidup segan mati tak mahu. 4. Pihak-pihak bertanggungjawab sama ada di pihak kerajaan, NGO mahupun swasta tidak menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memartabatkan seni permainan tradisional sebagai khazanah budaya dan bangsa negara. 5. Generasi muda tidak atau jarang-jarang didedahkan dengan keistimewaan dan kelebihan permainan tradisional sehingga menyebabkan mereka gagal mengenali budaya sendiri; tak kenal maka tak cinta. 6. Pemikiran masyarakat moden hari ini lebih ke arah mengumpulkan harta kekayaan dan kejayaan anak-anak dalam pelajaran; Mereka menghadapi kekangan masa untuk aktiviti-aktiviti kemasyarakatan, makan angin apatah lagi untuk bergiat cergas mengisi masa dengan bermain permainan tradisional yang memakan masa yang lama. 7. Kesukaran untuk mendapatkan peralatan permainan tradisional, bersaiz besar, harga yang mahal juga menjadi faktor kenapa permainan tradisional semakin dilupakan. 8. Terlalu kurang penganjuran pertandingan permainan tradisional oleh pihakpihak bertanggungjawab menyebabkan permainan jenis ini semakin lesu di bumi sendiri; Penganjuran permainan tradisional dari peringkat rendah hingga ke peringkat dunia akan lebih mempopularkan permainan tradisional. Contohnya permainan sepak raga yang diberikan sedikit inovasi dan dikenali dengan permainan sepak takraw telahpun popular sehingga ke peringkat antarabangsa.

9. Penggiat-penggiat permainan tradisional di desa serta kampung tidak mendapat apa-apa bantuan dan dukungan daripada pihak kerajaan, apatah lagi daripada pihak swasta yang hanya bergerak atas dasar keuntungan perniagaan sematamata. 10. Institusi-institusi pendidikan tinggi seperti IPTA dan IPTS dingin serta beku dalam usaha menubuhkan jabatan pengajian yang bertanggungjawab mengkaji asal usul sejarah, melatih siswa-siswi dan memerkasakan segala bentuk seni budaya turun-temurun agar tidak ditelan kemajuan. PENUTUP:

Banyak perkara yang perlu dilakukan jika kita tidak ingin melihat satu persatu khazanah warisan berharga nenek moyang rebah menyembah bumi dek kelekaan anak watan sendiri. Sebenarnya warisan tinggalan nenek moyang ini amat berharga dan boleh dijadikan aset penting membantu meningkatkan pendapatan negara jika dapat dieksploitasi dengan bijak, contohnya melalui industri kraf tangan, industri pelancongan dan industri hiliran lain. Melalui penubuhan kelab dan persatuan yang berasaskan permainan tradisional di sekolah, IPTA dan IPTS dapat memupuk pelajar cinta akan permainan ini sejak awal usia lagi. Permainan tradisional yang bijak diberikan inovasi mampu menjadi simbol unik negara, dan menjadi kebanggaan semua. Semua pihak tidak kira peringkat usia, pangkat tinggi atau rendah, perlu bahumembahu dalam usaha mempopularkan permainan tradisional sepanjang zaman dan janganlah kita hanya memandang sepi akan usaha ini. Genggam bara api biar sampai jadi arang.

Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas walaupun popularitinya semakin berkurangan. Generasi muda hari ini tidak mengenali permainan tradisional dengan mendalam kerana kemajuan teknologi yang begitu pesat. Pelbagai pihak telah berusaha untuk mengembalikan populariti permainan tradisional masyarakat kita. Namun begitu, belum ada tanda-tanda permainan tradisional akan kembali diminati. Jadi, beberapa langkah yang sesuai wajar dilaksanakan untuk menghidupkan kembali warisan budaya bangsa ini. Kerajaan wajar menganjurkan pertandingan-pertandingan permainan tradisional di semua peringkat sosial. Langkah ini bertujuan untuk menarik minat masyarakat untuk bergiat cergas dalam bidang sukan tradisional yang semakin dilupakan. Pelbagai hadiah yang menarik wajar disediakan kerana ada gula ada semutnya. Permainan tradisional

seperti wau, gasing, galah panjang, congkak, dan sebagainya sesuai untuk dipertandingkan. Pertandingan ini wajar dijadikan acara bulanan atau tahunan agar pendedahannya lebih kerap dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Jadi, penganjuran pertandingan akan dapat mengembalikan populariti permainan tradisional bangsa kita. Selain itu, pihak berwajib perlu menjadikan permainan tradisional sebagai satu acara untuk menarik pelancong kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan mendapat sagunya. Kebanyakan pelancong mancanegara sudah tentu berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang permainan tradisional Malaysia yang pelbagai jenis. Kementerian Pelancongan wajar melatih generasi muda untuk menjadi duta kecil untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong asing. Untuk menjadikan permainan tradisional lebih popular, konsep inap desa turut memasukkan permainan tradisional sebagai acara wajib dalam program berkenaan. Oleh yang demikian, permainan tradisional dapat diperkenalkan kepada pelancong asing dengan lebih berkesan. Satu lagi langkah untuk memperkenalkan permainan tradisional adalah dengan memasukkan permainan tradisional sebagai satu aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi. Malahan, kanak-kanak di peringkat prasekolah juga wajar didedahkan dengan permainan tradisional kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kelab-kelab permainan tradisional hendaklah ditubuhkan dan murid-murid diwajibkan menjadi ahli mana-mana kelab permainan tradisional yang digemari oleh mereka. Tambahan pula, pertandingan permainan tradisional antara sekolah-sekolah akan menyemarakkan lagi semangat murid untuk memahirkan diri dengan permainanpermainan tradisional tertentu. Langkah ini sudah tentu dapat menghidupkan kembali kegemilangan permainan tradisional dalam kalangan generasi muda di negara kita. Kesimpulannya, permainan tradisional memang wajar dikembalikan kegemilangannya dalam kalangan generasi muda. Semua pihak hendaklah berganding bahu untuk mempopularkan kembali warisan bangsa yang tidak ternilai harganya ini. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Jika tidak permainan tradisional warisan berzaman ini hanya tinggal nama sahaja pada suatu masa nanti. Kerjasama dan iltizam semua pihak akan dapat mempopularkan kembali warisan bangsa kita sampai bila-bila.