Anda di halaman 1dari 4

PENULISAN JURNAL MINGGU KEDUA (22 JULAI 26 JULAI 2013)

TAHAP PENGUASAAN YANG LEMAH TERHADAP MATA PELAJARAN JAWI Siti Khadijah binti Hamzah PISMP Pengajian Islam dan al-Quran

Masalah Minggu ini merupakan minggu kedua saya menjalani praktikum fasa dua di Sekolah Kebangsaan Kemuning, Melaka. Berdasarkan pada penulisan jurnal saya pada minggu lalu iaitu mengenai tahap kawalan bilik darjah oleh guru, saya mendapati bahawa penetapan peraturan adalah cara yang terbaik untuk mengawal disiplin murid di dalam bilik darjah. Hal yang demikian kerana dengan adanya penetapan peraturan, murid-murid akan lebih mudah untuk dikawal dan dipantau pergerakannya di dalam bilik darjah. Penulisan jurnal pada minggu ini saya ingin fokuskan pada tahap penguasaan murid terhadap mata pelajaran jawi. Muridmurid yang terlibat dalam masalah ini ialah murid-murid dari Tahun 4. Murid-murid di dalam kelas ini sangat aktif dan menunjukkan minat untuk belajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam dijalankan. Malah terdapat beberapa orang murid dari Tahun 4 berjaya menunjukkan prestasi yang cemerlang semasa sesi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam dilaksanakan. Buktinya apabila guru memberikan latihan berkumpulan atau latihan di dalam kelas, rata-rata murid dari Tahun 4 ini Berjaya menyiapkan latihan jawi dengan baik. Walau bagaimana pun, setiap kelebihan yang wujud pasti terselit kelemahan di sebaliknya. Setelah dua minggu dipertanggungjawabkan untuk mengajar Pendidikan Islam bagi murid-murid Tahun 4, guru mendapati bahawa terdapat beberapa orang murid dari Tahun 4 ini tidak dapat membaca jawi dengan lancar. Malah murid-murid ini kadang-kala tertukar dengan perkataan lain semasa membaca tulisan jawi.

Kelemahan segelintir murid-murid dari Tahun 4 ini menyebabkan sesi pengajaran guru tidak dapat dijalankan dengan lancar. Keadaan ini juga menyebabkan murid berkenaan lebih gemar untuk bermain dengan rakan-rakannya yang lain berbanding untuk menyiapkan tugasan yang telah disediakan oleh guru.

Menurut Francis Galton (1869), kecerdasan ialah sesuatu yang diwarisi. Mereka yang mempunyai tahap kecerdasan rendah mempunyai sensori yang lemah berbanding dengan mereka yang mempunyai tahap kecerdasan tinggi mempunyai sensori yang kuat. Dalam pada itu, Alfred Binet (dalam Brody1997), turut menjelaskan perbezaan individu semakin ketara pada peringkat tinggi proses kognitif. Sehubungan itu, pemahaman terhadap kecerdasan dapat difahami melalui pengamatan terhadap proses berfikir yang kompleks.

Analisis Masalah Menurut Garder (1991), potensi manusia mempunyai lapan kecerdasan dalam dirinya iaitu linguistik, logikal,ruang, muzik, kinsestetik, interpersonal, intrapersonal dan naturalis. Masalah yang ditunjukkan oleh beberapa murid di dalam tahun dua ini telah menyebabkan saya terpaksa menyiasat masalah yang dihadapi oleh murid berkenaan. Antara persoalan yang timbul di kepada saya ialah: Adakah ayat yang dibaca oleh murid sukar untuk ditafsir oleh murid? Adakah murid masih keliru dengan sebutan huruf-huruf jawi yang dilihat? Adakah murid bosan dengan pengajaran jawi yang saya sediakan? Adakah perkataan-perkataan yang saya pilih sukar untuk dibaca oleh murid? Adakah teks jawi yang disediakan, sukar untuk difahami oleh murid?

Daripada tinjauan awal yang telah saya lakukan melalui temu bual serta pemerhatian yang saya lakukan terhadap murid-murid ini, saya dapati bahawa terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada wujudnya masalah ini. Antara faktor yang menyumbang ialah Kebanyakan murid belum dapat membaca tulisan jawi dengan baik. Murid-murid perlu sentiasa memerlukan tunjuk ajar dan bimbingan. Tiada sebarang kecacatan pada diri. Murid tidak yakin untuk membaca dan menulis tulisan jawi.

Cadangan Bagi membantu murid-murid yang lemah di dalam jawi ini, saya telah membuat beberapa cadangan yang boleh membantu menguasai jawi dengan mudah. Antara cadangan saya adalah seperti berikut: Memberikan kata-kata perangsang supaya murid lebih yakin untuk membaca jawi. Membimbing murid untuk membaca jawi. Membuat latih tubi kepada murid-murid yang lemah dalam jawi. Memilih perkataan-perkataan yang mudah untuk dibaca dan diikuti oleh murid. Memilih kaedah pengajaran yang lebih sesuai dengan tahap pemikiran serta tahap umur murid.

Tempoh Penyelesaian 29 Julai 3 Ogos 2013

Tindakan Susulan Sebagai guru saya bertanggungjawab untuk senantiasa memberikan dorongan serta tunjuk ajar. Hasil daripada pembacaan serta kajian yang dibuat, bagi menangani masalah murid ini saya telah merujuk kepada konsep kendiri positif yang perlu ada di dalam diri seseorang murid bagi mendorongnya menjadi lebih yakin terhadap kemampuan diri. Menurut Haliza Hamzah (2009), perkembangan kognitif kanak-kanak berlaku pada kadar yang berbeza. Maka dalam sesebuah kelas akan mempunyai tahap kemahiran yang berbeza-beza. Ada dalam kalangan murid yang akan menghadapi kesukaran dalam mengikuti sesuatu pelajaran jika dibandingkan dengan rakan-rakannya. Hasil daripada kajian yang dilakukan didapati guru hendaklah memainkan peranan yang penting dalam membantu murid-murid yang lemah dalam bidang jawi. Guru seharusnya memilih kaedah serta teknik yang bersesuaian dengan tahap serta umur murid bagi memudahkan guru menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Murid-murid yang bermasalah ini akan diajar menggunakan prinsip mudah ke susah bagi menguasai bidang jawi. Rakan-rakan digalakkan untuk turut sama memberikan sokongan. Sikap mementingkan diri dan memilih kawan dilarang sama sekali oleh dan semua aktiviti yang telah dirancang oleh guru hendaklah dilaksanakan bersama-sama oleh murid-murid.

Kesimpulan Sebagai seorang guru kita hendaklah peka dalam memilih kaedah serta teknik pengajaran bagi memudahkan kita untuk melaksanakannya di dalam kelas. Malah pemilihan kaedah serta teknik yang sesuai dapat membantu guru serta murid mencapai objektif pembelajaran yang telah ditetapkan. Guru berperanan sebagai seorang perancang serta perlu sentiasa memberikan bimbingan dan maklum balas kepada murid agar setiap apa yang dilaksanakan benar-benar dapat membantu perkembangan murid khususnya dalam bidang akademik.

Rujukan Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Oxford Fajar Sdn. Bhd. Mok Soon Sang. (2010). Kompetensi Kecerdasan Emosi. Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd. Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid Dan Alam Belajar. Oxford Fajar Sdn. Bhd.