Anda di halaman 1dari 3

TEKS KHUTBAH DARI JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR

16 OKTOBER 2009
Tajuk Khutbah:

“FADHILAT SOLAT BERJEMAAH”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita sama-sama bertaqwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala titah perintahnya
dan meninggalkan segala larangannya, mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan Allah SWT dan
selamat di dunia dan juga di akhirat.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Solat merupakan perhubungan rohaniah antara hamba dengan Allah Azzawajalla. Dengan ibadah solat
manusia akan dapat berhubung dengan Allah SWT secara langsung, tanpa sebarang perantaraan
untuk mengabdikan diri dengan rasa rendah diri terhadap Allah SWT. Justeru, solat
merupakan Mi'raj hamba kepada Allah subhaanahu wata'ala untuk mempersembahkan seluruh
solatnya, ibadahnya, hidupnya dan matinya hanya untuk Allah subhaanahu wata'ala sahaja.

Firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 162-163:

"Katakanlah! Sesungguhnya sembahyangku dan ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah


untuk Allah tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Tiada sekutu baginya
dan itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang Islam yang terawal
menyerahkan diri (kepada Allah)".

Hadirin Jumaat yang dimuliakan Allah,

Solat berjemaah lima waktu bagi mazhab Syafie hukumnya fardhu Kifayah yang wajib ditunaikan
setiap waktu pada setiap hari dan Afdhal di masjid atau di surau. Solat Jumaat pula wajib Aini
seminggu sekali. Manakala solat dua hari raya sunat ditunaikan setahun sekali dan Afdhal di padang
atau di tempat lapang.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Ganjaran pahala semabahyang berjemaah itu melebihi dari sembahyang bersendirian


dengan kelebihan dua puluh tujuh darjat".

Adalah menjadi suatu perkara yang malang bagi sebahagian umat Islam yang kurang mengambil
berat untuk solat berjemaah atas alasan tidak wajib atau hanya fardhu Kifayah. Umat Islam
sewajarnya memahami bahawa apapun aktiviti dan rutin kehidupan yang dilalui memerlukan hidayah
dan keredhaan Allah, oleh itu umat Islam hendaklah memahami dan menyedari bahawa solat
berjemaah di masjid dijanjikan nur hidayah Allah dan nur itulah yang akan menerangi mereka di hari
kiamat nanti.

Sabda rasulullah s.a.w:


Maksudnya,

"Gembirakanlah orang-orang yang mahu datang berjalan ke masjid diwaktu gelap malam
dengan nur cahaya terang benderang di hari kiamat nanti".

(riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)

Antara hikmah solat berjemaah di masjid adalah mampu untuk membentuk ukhwah dan saling
bertukar fikiran secara rasional tanpa mengira latar belakang dan fahaman, kerana masing-masing
menjaga adab ketika berada di rumah Allah.

Solat berjemaah mengajar umat Islam hidup bermasyarakat dengan disiplin dan peraturan yang murni
dan luhur. Ini dapat digambarkan apabila azan berkumandang, maka bilal lah yang patut dipatuhi dan
imam solat yang mesti diikuti, serta saff jemaah yang mesti diperhati, berdiri sama lurus, rukuk sama
tunduk dan sujud sama merendah diri sebagai syiar dan lambang untuk sama-sama meletakkan
kepatuhan dan ketaatan hanya kepada Allah dalam menjalani hidup berkeluarga, berjiran tetangga,
bermasyarakat, bekerja dan bernegara.

Hadirin Jumaat yang dimuliakan,

Oleh itu, apabila masyarakat hidup dalam keadaan berdisiplin dan mematuhi peraturan-peraturan
yang luhur, yang terhasil dari mengerjakan solat berjemaah maka terhakislah rasa sombong, dengki,
riya' dan akan terjalin rasa saling memahami, hidup tenang, bersopan santun dan penuh kemesraan.

Sabda rasulullah s.a.w yang bermaksud:

"Dan tidaklah berkumpul satu kaum di satu rumah dari rumah-rumah Allah sambil
membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya bersama di antara mereka kecuali
turunlah ke atas mereka pertolongan, mereka dilimpahi rahmat, malaikat menaunginya
dan Allah menyebut namamereka dikalangan orang yang ada di sisinya. Sesiapa yang
lambat amalnya maka tidak disegerakan dekatnya kepada Allah".

Sungguhpun begitu hebat kebaikan solat berjemaah namun sebahagian umat Islam pula tidak
mengambil berat dengan azan yang dikumandangkan oleh bilal, biar sekuat mana pembesar suara
sampai ke telinga, biar secantik mana masjid dibina, biar masjid berkarpet tebal dan berhawa dingin,
namun jemaahnya hanya dalam lingkungan lima puluhan atau ratusan orang berbanding dengan
jumlah penduduk taman ribuan orang, sedangkan masjid boleh menampung ribuan jemaah dengan
kos pembinaan masjid jutaaan ringgit. Namun anak-anak kita, jiran tetangga kita, ahli masyarakat kita
sebahagiannya masih liar dengan masjid, masih seronok berlonggok di simpang-simpang jalan, masih
selesa di padang-padang permainan, masih enak menghirup kopi di kedai-kedai berhampiran, masih
leka berurus niaga di pasar-pasar malam, masih leka denagn menggilapkan kereta, atau masih leka
dengan gurauan anak dan cucu yang tercinta atau masih ternganga dengan siaran television,
sekalipun masjid hanya dipisahkan dengan pagarnya sahaja.

Sebenarnya setiap orang dipertanggungjawabkan untuk mengajak, menyeru, menasihat orang Islam
yang lain apabila berlaku keengkaran terhadap kepatuhan beragama atau tidak kisah dan tidak ambil
peduli dengan seruan azan yang mengajak solat bersama, mengajak ke arah kemenangan bersama,
kita bimbang mereka lebih jauh dari Allah. Apabila Allah jauh dari hati kita maka syaitanlah yang cepat
menghampiri kita.

Rasulullah s.a.w bersabda:

Maksudnya:
"Tidak sewajarnyalah bila ada tiga orang dalam sebuah qariah atau sebuah kampung
yang tidak mahu mendirikan solat berjemaah dalam kampong tersebut melainkan
syaitanlah yang akan menguasai mereka, maka kamu hendaklah mendirikan solat
berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu hanya akan memakan kambing yang duduk
bersendirian".

(riwayat Abu Daud dan an-Nasa'i).

Hadirin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Melalui rumah Allah yang suci ini, marilah kita bersatu, memperkuatkan pertalian ukhwah untuk sama-
sama membantu anak-anak kita, jiran tetangga, ahli masyarakat kampung dan taman supaya
memujuk dan mengajak mereka untuk mengimarahkan masjid. Juga sama-sama solat berjemaah
setiap waktu yang termampu oleh kita. Alangkah indahnya kita sama-sama berdiri satu saff di
belakang imam dan bahagianya kita jika kita dapat menarik setiap orang teman sekampung, jiran
setaman, sama-sama duduk berwirid, berzikir, berdoa dan bersalam-salaman setiap waktu, bertemu
muka setiap hari dalam suasana yang penuh ketulusan dan keikhlasan kepada Allah subhaanahu
wata'ala.

Firman Allah subhaanahu wata'ala dalam surah at-Tahrim ayat 6:

"Wahai orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api
neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu
dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layannya), mereka tidak
menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka dan
mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan oleh Allah kepada mereka".

"Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat serta rukuklah (solat berjemaah) bersama-
sama orang yang rukuk".

(Al-Baqarah: 43)

Bacaan 16 Oktober 2009

Anda mungkin juga menyukai