Anda di halaman 1dari 11

1.0 Sejarah Perkembangan Bahasa Melayu dan Perkamusan di Malaysia Mengikut C.O.

Blagden dalam tulisannya bertajuk A Chinese Vocabulary of Malacca Malay Word and Phrases Collected Between A.D. 1403 and 1511, sejarah perkembangan perkamusan Melayu telah bermula sejak awal abad ke-15 lagi. Kamus terawal tersebut berupa senarai kata Melayu-Cina yang berjumlah sebanyak 582 butiran (Liang Liji, 1994). Manakala senarai kata kedua tertua yang diketahui ialah senarai kata Melayu-Itali yang berjumlah sebanyak 426 kata entri yang telah disusun oleh Pigafetta. Sesudah senarai Pigafetta itu muncul, banyak lagi senarai kata dan kamus dwibahasa bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain seperti bahasa Perancis, Inggeris dan Belanda. Manakala dalam abad ke-20 kamus dwibahasa Melayu yang terbanyak diterbitkan ialah kamus bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dengan bahasa Arab. Sejarah perkembangan perkamusan Melayu dikatakan mempunyai sedikit

perbezaan berbanding dengan sejarah perkembangan perkamusan di Barat. Menurut Asmah Hj. Omar (1987:4) sejarah lahirnya perkamusan Melayu dalam bentuk dwibahasa dan bukan ekabahasa. Ini menunjukkan kepada kita bahawa faktor yang mendorong lahirnya kamus Melayu ialah keinginan mengetahui bahasa Melayu dan ini tentunya oleh orang-orang asing yang mengembara ke sini. Keinginan mengetahui bahasa yang lain itulah juga yang merupakan dorongan lahirnya kamus pada amnya. Keadaan ini berbeza dengan perkembangan di Barat kerana ada pendapat yang mengatakan bahawa tradisi penyusunan kamus bermula dengan kamus ekabahasa atau monolingual dictionary dan selepas adanya kamus-kamus ekabahasa tersebut barulah penyusunan kamus berbentuk dwibahasa atau bilingual dictionary dibuat. Namun walau apa tanggapan sekalipun, ternyata tradisi perkamusan di Barat melalui transisi yang agak lama sehingga mampu melahirkan pelbagai jenis kamus ekabahasa dan dwibahasa yang jauh lebih banyak dan mempengaruhi arah perkembangan leksikografi dunia (Ibrahim Ahmad, 1994:4). Di Malaysia dan Indonesia sejarah perkamusan Melayu dibuktikan bermula dengan penyusunan kamus-kamus dwibahasa terlebih dahulu disebabkan kecenderungan para sarjana Barat untuk menguasai bahasa Melayu bagi tujuan perdagangan dan penyebaran agama pada ketika itu. Di antara kamus-kamus dwibahasa utama yang terdapat di Malaysia pada hari ini ialah Kamus Dwibahasa (Inggeris-Bahasa Melayu) susunan Khalid M. Hussein dan rakan-rakan, Kamus Sistem Bahasa Malaysia-Inggeris, Kamus Pustaka Melayu-Arab, Kamus Inggeris-Melayu Dewan dan lain-lain lagi.

2.0 Teori, Prinsip dan Jenis-Jenis Perkamusan Bahasa Melayu 2.1 Teori dan Prinsip Perkamusan Bahasa Melayu Menurut Arbak Othman (2000), tidak ada teori tertentu yang dikhususkan bagi maksud penyusunan kamus. Apa yang berlaku dalam perkamusan ialah pandangan tertentu yang digunakan oleh seorang penyusun kamus sebagai panduan supaya kamus yang disusunnya mencapai mutu yang baik dan termuat di dalamnya nilai-nilai kebahasaan, semantik dan semiotik, lengkap dan dapat dipertanggungjawabkan. Maksud teori untuk perkamusan ialah kecenderungan aplikasi ilmu linguistik, semantik, dan pragmatik selengkap mungkin dalam sesebuah kamus. Tugas kamus adalah untuk memberi makna atau takrif kepada kata dan pemberian ini juga menggunakan kata-kata. Dengan kata lain, dalam perkamusan kita terpaksa memberi makna kepada sesuatu lambang dengan menggunakan lambang itu sendiri. Lambang ini ialah lambang linguistik. Oleh itu, setiap kamus yang disusun mestilah mengutamakan prinsip kesarjanaan sebagai asas penyusunan kamus. Pandangan ahli linguistik perlu dipertimbangkan selain daripada keperluan pengguna kamus. Menurut Arbak Othman, penyusun kamus hendaklah memastikan bahawa makna yang dibuat dalam pemerian sebaik-baiknya berdasarkan sumber rujukan yang berbentuk teks supaya makna perkataan yang digunakan daripada teks tersebut dapat diasingkan menurut jenisnya sama ada kerana gayanya yang berbeza, situasi penggunaannnya atau sifat-sifat pragmatiknya yang berbeza. Beberapa prinsip perlu dijadikan pegangan dalam penyusunan kamus iaitu: i. Keaslian Kamus haruslah memuatkan bahasa yang ada bukti bahawa bentuk tersebut benar-benar digunakan oleh penutur jati. ii. Keperwakilan Bergantung kepada format kamus yang ditentukan oleh pengguna yakni khalayak, kamus perlu memuatkan bahan yang benar-benar mewakili ruang lingkup khalayak misalnya bahasa untuk kanak-kanak. iii. Kelayakan Penyusun harus pasti bahawa hasil kerjanya sesuai dengan tujuan pekerjaannya. Keperluan bagi kamus ekabahasa tidak sama dengan kamus dwibahasa. Selain itu, kelayakan sosial juga perlu diambil kira misalnya bahasa, agama, dan adat istiadat pengguna kamus.

iv.

Sumber bagi kata masukan atau entri perlulah sumber yang layak diterima pakai berdasarkan penelitian lapangan, iaitu sumber primer atau sumber sekunder berdasarkan rujukan kepustakaan.

2.2 Jenis-Jenis Perkamusan Bahasa Melayu 2.2.1 Kamus Ekabahasa Kamus ekabahasa dikenali juga dengan nama kamus monolingual dan bahannya dalam satu bahasa sahaja. Entri disusun menurut abjad dan bentuk dasar kata dijadikan entri kamus manakala bentuk peluasannya dicatat sebagai subentri, yang dalam kamus dicetak dalam huraian satu entri dasar yang sama. Makna yang dihuraikan berbentuk pemerian yang panjang dan mungkin kompleks untuk mencapai maksud sejelas-jelasnya. Takrifan makna ke atas kata-kata berdasarkan makna yang diberikan dalam contoh ayat yang mengandungi kata-kata berkenaan. Pendekatan ini menggunakan pembuktian data korpus. Sinonim juga digunakan sebagai unsur pilihan tambahan kepada pemerian makna. Contoh bagi kamus ekabahasa ialah Kamus Dewan. 2.2.2 Kamus Dwibahasa Kamus dwibahasa dikenali juga dengan nama kamus bilingual yang menggunakan dua bahasa dan bertujuan untuk mendapatkan bentuk terjemahan daripada satu bahasa kepada satu bahasa yang lain atau dalam teks bukan bahasa asli pengguna, atau kedua-dua bukan dalam bahasa asli. Entri disusun dinamakan bahasa sumber yang bentuk padanannya ditentukan setelah diterjemahkan ke dalam bahasa sasaran. Contoh bagi kamus bilingual ialah Kamus Dwibahasa Oxford Fajar (Inggeris-Melayu, Melayu-Inggeris). 2.2.3 Kamus Aneka Bahasa Kamus aneka bahasa dikenali juga dengan nama kamus multibahasa yang menggunakan sekurang-kurangnya tiga bahasa atau lebih. Contoh bagi kamus multilingual ialah Kamus Melayu-Cina-Inggeris susunan Yuen Boon Chan pada tahun 2004. 2.2.4 Kamus Ensiklopedia Kamus besar yang memuatkan leksikal, keterangan atau maklumat ekstralinguistik disusun mengikut urutan kata-kata atau satuan leksikal sebagai

acuan bahagian daripada dunia ekstralinguistik. Kamus ini mempunyai persamaan dengan kamus ekabahasa dari segi urutan kata. Hartmann mendefinisikan kamus ensiklopedia sebagai a comprehensive summary of knowledge in a given field or branch of science. 2.2.5 Kamus Etimologi Kamus yang menumpukan perhatian kepada asal-usul kata dalam tradisi tekstual. Kamus ini menerangkan asal usul perkataan dan makna asalnya. Kamus etimologi yang besar cenderung menjadi kamus komparatif. 2.2.6 Kamus Diakronik Kamus ini menumpukan kepada aspek pensejarahan. Dalam huraian entri, satuan leksikal diperlihatkan aspek perkembangannya sama ada bentuk atau makna diberikan perhatian dalam huraian kata. 2.2.7 Kamus Sinkronik Kamus ini disusun bertujuan untuk menggarap penyediaan leksikal pada sesuatu bahasa pada masa tertentu atau pada satu tahap perkembangan yang singkat atau sezaman. 2.2.8 Kamus Umum Kamus umum memuatkan segala kata dalam sesuatu bahasa disertakan dengan maknannya. Ia merangkumi semua kata dengan segala kemungkinan dari segi makna yang digunakan dalam sesuatu bahasa. 2.2.9 Kamus Istilah Kamus ini memuatkan istilah khusus mengikut bidang ilmu pengetahuan tertentu sahaja. Fungsinya adalah untuk kegunaan ilmiah. Kamus ini memuatkan entri istilah khusus diikuti dengan pemerian makna atau definisi dan keterangan tambahan termasuk ilustrasi dan gambar rajah. 2.2.10 Kamus Sinonim Kamus yang memuatkan bentuk padanan yang mempunyai makna yang hampirhampir sama, atau pada istilah yang mempunyai hubungan semantik. Kadangkala padanan antonim dimasukkan sebagai unsur bantuan untuk makna

sinonim yang pertentangannya perlu untuk mendapatkan makna yang jelas dan nyata serta jelas sebagaimana yang digunakan dalam bahasa. 2.2.11 Kamus Tesaurus Kamus yang menerangkan maksud sesuatu perkataan dengan memberikan kata-kata seerti sahaja. Kamus adalah untuk membantu penulis mempelbagaikan penggunaan diksi. Tesaurus memusatkan perhatian kepada kata-kata yang berhubungan secara semantik dalam kelompok yang tersusun secara onomasiologi dan struktur nosional 3.0 Prinsip-Prinsip Penterjemahan Penterjemah adalah pekerjaan yang memerlukan kesungguhan. Ini kerana penterjemah yang tidak bersungguh-sungguh akan membuatkan pembaca keliru dan mungkin akan menimbulkan salah faham pembaca terhadap maksud pengarang teks sumber. Proses penterjemahan perlu dilakukan dengan berpandu kepada prinsip berikut: 3.1 Tidak Mengubah Maksud Pengarang Teks Asal Prinsip ini jelas untuk para penterjamah. Pada praktikalnya para penterjemah sukar untuk mengelakkan diri untuk mengubah maksud pengarang secara 100% kerana pasti ada faktor perbezaan budaya dan bahasa. Walaupun ada penterjemah yang berpegang teguh pada prinsip ini dan langsung tidak mengubah maksud pengarang teks asal dengan sengaja, namun sebagai penterjemah, kita perlu bijak memilih sama ada perkara yang diterjemah itu sesuai dengan budaya dan latar belakang masyarakat ataupun tidak. 3.2 Menghasilkan Terjemahan Yang Mudah Difahami Pembaca Penterjemahan adalah sebahagian daripada komunikasi. Karya terjemahan sebaik-baiknya mudah difahami supaya tujuan komunikasi antara pembaca dengan pengarang asal dapat dicapai. 3.3 Menghormati Tatabahasa Penerima. Dalam proses penterjemahan, tatabahasa bahasa penerima perlu dihormati. Ini bermaksud tatabahasa asing tidak seharusnya dipaksakan ke dalam teks terjemahan. 3.4 Menterjemah Makna Bahasa Bukan Menterjemah Bentuk Bahasa

Dalam proses penterjemahan, makna perlu diberi fokus. Penterjemah tidak seharusnya berusaha mengekalkan bentuk bahasa teks asal sehingga menghasilkan terjemahan yang berbelit-belit dan sukar difahami. 4.0 Manuskrip

Refleksi Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana tugasan ini dapat disiapkan dengan jayanya mengikut masa yang telah ditetapkan. Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Jika dianalisis mengikut teknik SWOT, terdapat beberapa coretan yang mungkin saya boleh garapkan bagi penulisan refleksi kali ini sepanjang pelaksanaan tugasan. Jika dilihat pada aspek strength atau kekuatan, apa yang saya perolehi menerusi tugasan ini sangatlah banyak. Antaranya ialah mengenal dan mengetahui asal-usul bahasa Melayu dengan dua buah hikayat iaitu Sejarah Melayu Versi Abdullah Munsyi dan Versi Shellabear. Walaupun kedua-duanya menceritakan berkenaan Sejarah Melayu, namun penggunaan bahasa Melayu Moden dan Klasik menggambarkan perbezaan yang cukup ketara. Sebagai contoh Versi Shellabear yang mengandungi pantun dalam menerangkan asal-usul Sejarah Melayu. Selain mengetahui Sejarah Melayu, menerusi tugasan ini juga, saya berpeluang membaca dan mengkaji kamus. Hal ini kerana, sepanjang mengenal sebuah kamus, saya langsung tidak peduli segala maklumat yang terkandung di halaman hadapan termasuklah tatacara penggunaan, singkatan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya, pelaksanaan tugasan ini memberikan ilmu yang sangat berguna terutamanya dalam memahami kandungan sebenar kamus dan kisah disebalik penterjemahan sesebuah perkataan. Manakala bagi weakness atau kelemahan sepanjang tugasan ini ialah keupayaan membahagikan masa. Saya sangat kecewa dengan pembahagian masa yang tidak teratur sehingga memakan diri sendiri. Tugasan yang diberikan lebih awal tidak dimanfaatkan sebaiknya menyebabkan saya agak kekalutan terutamanya dalam menyiapkan kerja-kerja akhir. Kelemahan lain juga yang saya dapati ialah keupayaan untuk mendapatkan bahan rujukan. Mungkin pergerakan yang agak lambat menyebabkan saya berputih mata untuk mendapatkan kamus di perpustakaan. Di samping itu, kelemahan lain ialah kesukaran dalam memahami isi kandungan Sejarah Melayu. Bahasa yang digunakan membuatkan saya agak terpinga-pinga dan terpaksa membacanya berulang kali untuk memahami maksud sebenar penulis. Tetapi saya tetap bersyukur kerana kesungguhan yang telah dicurahkan dibayar dengan sebuah tugasan yang telah siap tersedia ini. Bagi aspek opportunity atau peluang pula saya dapati tugasan ini akan memudahkan lagi tugasan saya di sekolah kelak. Sudah tentu, pengalaman daripada tugasan ini akan

membantu saya dalam mendidik murid terutamanya membaca dan memahami kamus dengan betul. Tidak kurang juga, dengan teknik-teknik tertentu, mungkin masa pencarian sesuatu perkataan akan menjadi lebih singkat dan makna yang diperoleh lebih tepat. Sama seperti ejaan dan sebutan yang betul, penggunaan kamus yang efisyen akan dapat meningkatkan kedua-dua kemahiran tersebut. Begitu juga dengan perkembangan Sejarah Melayu. Dengan hasil analisis daripada kedua-dua hikayat ini, saya yakin akan mampu memahamkan dan mengajarkan situasi sebenar perkembangan bahasa Melayu kelak. Secara tidak langsung akan membantu memperkembangkan lagi bahasa Melayu di mata dunia dan mengembalikan semula sejarahnya yang kian terkubur. Akhir sekali, threat atau ancaman bagi seorang guru ialah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran. Mungkin dengan unit terhad bagi kamus contohnya agak menyukarkan pengajaran guru di sekolah nanti. Tidak kurang juga dengan masa yang agak mendesak. Justeru, kajian yang mendalam harus dilakukan untuk membolehkan segala yang patut diajar dan dipelajari oleh murid dilaksanakan sepenuhnya. Dengan pelaksanaan ini, maka akan lahirlah insan yang mempunyai pakej lengkap terutamanya bagi bahasa ibunda ini. Sekian saja. Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Moga Allah memberkati usaha kalian. Moga tugasan ini juga memberikan manfaat yang tidak terhitung kepada kita semua.

Kesimpulan Perkamusan atau leksikografi hari ini semakin maju. Sekiranya kita melawat lamanlaman internet yang berkaitan dengan perkamusan, kita akan menemui pelbagai maklumat berkenaan dengan ilmu perkamusan. Bahkan, penawaran kursus-kursus perkamusan juga boleh kita dapati dengan hanya merujuk kepada internet. Laman-laman web yang memuatkan maklumat tentang perkamusan tersebut bukan melibatkan bahasa Inggeris sahaja, beberapa laman web perkamusan bahasa lain seperti bahasa Belanda, Cina, Peranchis dan lain-lain juga boleh dilawati. Ini menunjukkan bahasa bidang perkamusan sudah menjadi satu bidang yang diminati di kalangan penyelidik antarabangsa, dan secara tidak langsung menunjukkan bahawa perkamusan bahasa Melayu tidak harus diabaikan begitu sahaja di kalangan para ilmuan Melayu. Perkamusan Melayu juga telah melangkah jauh ke hadapan dalam memenuhi keperluan bidang ilmu yang pelbagai, dan telah menjadi wahana perkembangan bahasa Melayu dalam memenuhi cita-cita memartabatkan bahasa Melayu di mata dunia. Kecanggihan teknologi terkini secara tidak langsung turut mempengaruhi dunia perkamusan Melayu. Haji A. Aziz Deraman (1994) dalam kata-kata aluan Seminar Perkamusan Melayu pernah mengatakan bahawa dalam konteks negara Malaysia, ilmu perkamusan boleh dikatakan masih muda. Justeru itu, sesuai dengan hasrat kita untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai sebuah bahasa maju yang mampu hidup berganding bersama-sama bahasa lain di dunia, kemasukan teknologi maklumat dalam dunia perkamusan tidak harus dipandang sepi. Membicarakan tentang perkamusan, banyak perkara yang boleh dibincangkan. Perkamusan bukan sahaja bersangkut paut dengan kamus, bahkan merangkumi ruang lingkup yang sangat luas. Bidang-bidang ilmu yang berkaitan dengan kamus memerlukan penelitian dan kajian yang mendalam. Kamus bukan sahaja mengungkap makna, bahkan berguna bagi menjelaskan kerumitan dalam bidang-bidang tertentu. Selain daripda bahasa, kamus juga berkaitan dengan bidang sains dan teknologi, begitu juga dengan bidang-bidang ilmu yang lain. Boleh dikatakan semua bidang ilmu berhubung secara langsung dengan kamus. Ingin mengetahui makna tentang istilah undang-undang, orang akan merujuk kamus, ingin mengetahui makna tentang perubatan juga orang akan merujuk kepada kamus, (selain merujuk kepada doktor), ingin mengetahui tentang bahasa juga orang akan merujuk kamus, jadi kamus mempunyai tugas yang sangat besar, lebih-lebih lagi dalam era teknologi maklumat ini.

Rujukan Abdullah Hassan. (1987). 30 Tahun Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdullah Munshi. (1966). Hikayat Abdullah II. Kuala Lumpur: Pustaka Antara. Ainon Mohd, Abdullah Hassan. (2000). Teori dan Teknik Terjemahan. Kuala Lumpur: Persatuan Penterjemahan Malaysia. Anwar Ridhwan et.al. (2008). Kamus Daya. Seri Kembangan, Selangor: Penerbitan Minda Sdn Bhd. Arbak Othman. (2000). Teori Perkamusan. Seri Kembangan: Weng Seng Sdn. Bhd. Asmah Haji Omar. A Descriptive and Critical Account of the Development of Malay Lexicography dlm. Essays on Malaysian Linguistics. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. Hlm. 339-350. Asmah Haji Omar. (1969). Perkamusan Melayu. Bahasa, Oktober 1969: 78-87. Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1998). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Asmah Hj. Omar. (1987). Perkamusan Melayu: Satu Penilaian. Kertas Syarahan Memperingati Ulang Tahun Kesepuluh Koleksi Kebangsaan, Perpustakaan Universiti Malaya. Hartmann R.R.K. (1993). Leksikografi: Prinsip dan amalan (Penterjamah:Zainab Ahmad) (Teks asal: Lexicography: Principles and Practice (1983). Juan C.Sager. (1995). Kualiti dan Piawai--Penilaian Penterjemahan dlm Panduan Penterjmahan. Catriona Picken(pny). Bashir M.M Basalamah(pntj). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus Dewan (Edisi Baru). (1989). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus Dewan (Edisi Ketiga). (1994). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Kamus Dewan (Edisi Keempat). (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Malkiel,Y. Lexicography dlm. Reed, C.E. (1971). The learning of language. Appleton: Century Crafts. Hlm. 363-387.

Noresah Baharom et.al. (2009). Kamus dan Perkamusan Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. W.G. Shellabear. (1975). Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Fajar Bakti Sdn. Bhd. Yusuf Hitam. Kamus Melayu Sejak Tahun 1511 dlm. Jurnal Dewan Bahasa No. 4 dan No. 5. Vol. 1961. hlm. 151-161. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Zaba. (1949). Difatur Ejaan Melayu: Jawi-Rumi. Kuala Lumpur: Jabatan Perseketuan Tanah Melayu. Zahari A.Rashid. (2012). Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi. Selangor Darul Ehsan:IBS Buku Sdn Bhd. Zgusta, Ladislav. (1971). Manual of lexicography. The Hague: Mouton