Anda di halaman 1dari 2

SEHEMBUS LAFAZ QABULMU

Nurul Azwa binti Addy Husszairi dan Muhammad Faris Nazrin bin Khairun Nazir Persatuan Mahasiswa Pendidikan (PERMAPEN) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

Wahai ayahku, aku berterima kasih kepadamu kerana telah melindungiku sepanjang hidupku. Kerana engkau, wahai ayahku, aku dapat menikmati hidup sebagai seorang Muslimah di dunia ini. Wahai ayahku, kedutan di wajahmu kian jelas dan tubuhmu dimamah usia. Aku tahu dan aku mengerti Qada dan Qadar, wahai ayahku. Suatu hari nanti, pasti engkau akan meninggalkanku. Segala perbuatanku, segala amalanku, akan menjadi persoalan kepadamu di sana.

Kerana itulah aku takut, wahai ayahku. Aku gentar jika diriku dibayangi oleh emosi palsu. Aku khuatir jika nafsu menjadi pendampingku, APABILA AKU BERTEMU DENGAN SEORANG HAMBA ALLAH BERNAMA LELAKI.

Wahai ayahku. Telah penat engkau mengajarku untuk menutup aurat dan menjaga solat. Cukup sempurna auratku dilitupi oleh pakaian yang labuh, dan cukup 5 waktu solat fardhu harianku. Tetapi adakah berbaloi segala amalanku jika aku menggadaikan maruahku kepada LELAKI itu?

Wahai ayahku, aku tidak mahu LELAKI itu mencabul perananmu untuk mendapatkan aku. Aku juga tidak mahu jika aku sendiri sebagai anak kesayanganmu menjatuhkan maruahmu sebagai waliku dengan MENERIMA LELAKI YANG BELUM TENTU MENJADI MILIKKU.

Telefon bimbit dan komputer menjadi alat untuk dia menggapaiku. Bodoh dan hinanya aku jika aku membiarkan insan bernama LELAKI itu untuk bermain-main dengan emosiku. Mengapakah dia mengkhuatiri solatku, tahajjudku, puasa sunatku sedangkan rakan-rakan di sebelahnya tidak pula dia mengajak untuk beramal soleh? Mengapakah perlu

membimbangkan tentang amalanku?

Couple Islamic? Apakah itu? Pernahkah Islam menyuruh umatnya untuk bergelumang dengan kekasih HARAMnya? Jika sudah BERTUNANG denganku, adakah itu sebagai alasan untuk dia BERHUBUNG denganku? Wahai ayahku! Kenapa aku boleh membiarkan dia untuk merosakkan imejmu? Aku akan menjadi asbab kepada penyeksaanmu dan ahli keluarga lelakiku yang lain di akhirat kelak JIKA aku mengikuti dia! TOLONG LINDUNGI AKU DARI NAFSUNYA, YA ALLAH!

Wahai LELAKI, jika benar engkau menginginkan aku, tidaklah engkau akan melangkah tubuh waliku. Tidaklah engkau akan mencabul maruahku sebagai seorang Muslimah. Tidaklah engkau akan mengungkapkan cinta selagi mana dirimu tidak mencintai Allah dan Rasul.

MANA MUNGKIN ENGKAU MENCINTAI ALLAH DAN RASUL JIKA ENGKAU TELAH MEROSAKKANKU DENGAN NAFSU SERAKAHMU!

Wahai LELAKI, aku benarkan engkau untuk meneruskan amanah waliku untuk melindungiku, JIKALAU engkau mendapatkannya dengan cara yang benar. Jumpalah waliku, senyapkanlah dirimu, bendunglah perasaanmu, dan jagalah perhubunganmu dengan aku.

Wahai ayahku, terimalah seseorang LELAKI yang engkau yakini. Jangan biarkan dirimu untuk menerima seseorang LELAKI yang tidak tahu malu dan mengotorkan maruahku sebagai seorang Muslimah.

Wahai ayahku, lepaskanlah diriku, kerana ianya fitrahku untuk meneruskan kehidupan bersama seorang LELAKI. Tetapi lepaskan diriku setelah diriku telah selamat diterima olehnya. Wahai LELAKI, ingat! Tanggungjawabmu perlu dilaksanakan. Segala perbuatanku, segala amalanku akan engkau tanggung selepas SEHEMBUS LAFAZ QABULMU.

Jika engkau membawaku ke SYURGA, maka itulah destinasi abadiku. Jika engkau membawaku ke NERAKA, maka itulah keperitan abadimu.

JANGAN ENGKAU MELANGGAR AMANAH ITU...

Anda mungkin juga menyukai