Anda di halaman 1dari 2

REFLEKSI TAKLIMAT KSSR SAINS NURUL AMIRA BINTI MD YUSOP Taklimat KSSR Sains telah dianjurkan oleh Jabatan

Sains IPG KPM dengan tujuan mendedahkan guru pelatih sains dengan kurikulum baru ini. Taklimat ini mendedahkan saya dengan pelbagai aspek yang baru dalam pelaksanaan kurikulum baru ini. Saya mendapat banyak input baru berkaitan dengan KSSR dengan lebih mendalam menjurus kepada subjek major saya iaitu sains. Selain itu, saya juga dapat menyedari bahawa tanggungjawab guru semakin besar sekarang dan oleh itu seorang guru harus bijak dalam merancang pengajaran pada setiap hari persekolahan. Namun begitu, saya setakat ini tidak mempunyai pengalaman secara langsung dalam menguruskan kelas KSSR sebelum ini. Hal ini kerana semasa praktikum, saya hanya mengajar tahun 3 dan 4. Oleh itu, saya kurang mengetahui dengan mendalam bagaimana ingin menilai pencapaian murid dan cara munguruskan sesi pengajaran dan pembelajaran. Oleh yang demikian, saya kurang mendapat pendedahan awal mengenai KSSR ini. Justeru, input yang telah diperolehi ini akan digunakan semasa praktikum kelak. Taklimat KSSR ini juga membuka peluang kepada saya untuk menjadi lebih kreatif dalam merancang pengajaran kerana seorang guru harus merancang sendiri aktiviti untuk pengajaran. Tiada cadangan aktiviti diberikan kepada guru dalam huraian sukatan pelajaran. Oleh itu, saya harus menjadi guru yang kreatif untuk membolehkan murid tertarik untuk belajar dan berasa seronok mempelajari sains. Tambahan pula, dalam mendidik generasi muda pada masa kini, seorang guru harus menjadi seseorang yang serba boleh dan berupaya untuk menarik perhatian murid semasa sesi p&p. Semasa taklimat ini berjalan, pada mulanya saya berasa agak susah untuk memahami mengenai Pentaksiran berasaskan Sekolah (PBS) dan juga pemberian band kepada murid. Hal ini merupakan sesuatu yang sangat baru dan harus dikuasai oleh semua guru. Namun begitu, selepas menjalankan bengkel bersama penceramah, saya mendapat gambaran bagaimana ingin menyediakan instrument pentaksiran berdasarkan band tertentu bagi tajuk yang telah ditetapkan.

Kesimpulannya, taklimat KSSR ini sangat perlu kepada guru pelatih kerana kami semua harus mengetahui perkembangan kurikulum terkini untuk memastikan pencapaian murid sentiasa meningkat dan releven dengan keadaan semasa.