Anda di halaman 1dari 3

ARKIB : 16/01/2014

Terapi seni pulihkan tekanan

Remaja yang berdepan dengan gejala mengandung luar nikah meluahkan perasaan mereka melalui lukisan yang merupakan Terapi Seni.

KETIDAKUPAYAAN meluahkan permasalahan dalam diri pesakit atau mangsa yang datang daripada pelbagai latar belakang disebabkan oleh permasalahan-permasalahan yang dialami terlalu berat, rumit dan kompleks untuk dilafazkan secara lisan apatah lagi untuk dikongsi dengan orang lain walaupun pada kaunselor atau terapis bertauliah. Salah satu kaedah yang boleh digunakan adalah melalui pendekatan Art Therapy atau Terapi Seni. Pendekatan Terapi Seni ini merupakan kaedah yang diterimapakai dengan meluas di Barat dalam profesion bantuan kaunseling, psikoterapi, kerja sosial, kejururawatan dan perubatan psikiatri untuk membantu mereka meluahkan pergolakan dalam diri yang membebankan. Kesedaran keperluan penggunaan kaedah Terapi Seni di Malaysia telah bermula pada tahun 1980-an, tetapi pendekatan ini tidak digunakan dengan meluaskan. Ia lebih kepada kesedaran untuk menggunakan pendekatan Terapi Seni dalam bidang perubatan psikiatri. Titik tolak kepada penggunaan Terapi Seni di Malaysia bermula apabila berlakunya bencana alam tsunami hampir sepuluh tahun yang lalu. Pendekatan Terapi Seni digunakan dengan begitu meluas di Barat yang tidak hanya dalam bidang kaunseling, psikoterapi dan perubatan psikiatrik. Keluasan pendekatan Terapi Seni turut digunakan antaranya kepada pesakit kanser dan pembawa HIV disamping pesakit melarat dihospital dan klinik, pusat pemulihan remaja juvana, mangsa penderaan, mangsa pergolakan politik

sepeti di zon peperangan, penagihan dadah, krisis perkahwinan, kanak-kanak, pendidikan khas pelajar di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi (IPT) serta penjara. Menurut Profesor Madya Mohd. Mahzan Musa dari Program Psikologi dan Kaunseling, Pusat Pengajian Pembangunan Sosial, Universiti Utara Malaysia, Kedah, pendekatan Terapi Seni mula digunapakai oleh Naumberg pada tahun 1940-an di Amerika Syarikat. Naumberg kerap dirujuk sebagai pelopor Terapi Seni hingga beliau digelar The Mother of Art Therapy atau Ibu Terapi Seni yang terkenal di peringkat dunia. Mohd. Makzan kini merupakan pengiat utama Terapi Seni di Malaysia di mana beliau telah banyak menjalankan kajian menggunakan pendekatan Terapi Seni terutamanya dalam kalangan remaja dan gadis mengandung luar nikah. Beliau juga merupakan sukarelawan yang menerapkan kaedah Terapi Seni di rumah perlindungan Raudhatus Sakinah, kelolaan Jemaah Islah Malaysia. Di samping itu beliau turut mengaplikasikan pendekatan Terapi Seni dalam kalangan remaja histeria, remaja berisiko tinggi, penagih dadah, pembawa HIV, mangsa penderaan seksual serta mangsa histeria. Hasil daripada kerja-kerja kesukarelaan berkenaan Mohd. Makzan menghimpun lukisan kelompok-kelompok yang bermasalah ini sebagai data kajian dalam bentuk data visual bagi memahami pergolakan dalam diri yang menjadi beban psikologikal yang sukar dirungkai dengan pendekatan konvensional. Di atas minat yang mendalam beliau telah mengasaskan Persatuan Art Therapy Malaysia atau Malaysian Art Therapy Association (MATA) dan Facebook Malaysian Art Therapy Malaysia (MATA). Menurut Mohd. Makzan kesedaran penggunaan Terapi Seni di Malaysia amat dirasai dan keperluan terhadap pendekatan kreatif ini semakin meningkat. "Saya mula mendapat data visual dalam bentuk lukisan-lukisan dalam kalangan mangsa bencana tsunami Aceh dari dua rakan sekerja yang pergi ke Aceh sebulan selepas gelombang besar tsunami memusnahkan sebahagian daripada struktur landskap Acheh. "Melalui sejumlah lukisan trauma kanak-kanak mangsa tsunami Aceh, apa yang saya lihat adalah trauma psikologikal yang menakutkan. Menerusi lukisan-lukisan tersebut saya hasilkan kertas kerja seminar dan kemudian membentangkannya di Seminar Persatuan Kaunseling Malaysia atau PERKAMA di Universiti Malaysia Sarawak. "Sambutan yang diberikan amat sangat memberangsangkan. Lantaran saya mula mendekatkan diri dengan mendalami bidang Terapi Seni," kata Mohd. Makzan. Pada waktu itu isu gejala pembuangan bayi sedang berleluasa yang mana setiap hari dipaparkan di media massa, jadi beliau mengambil keputusan untuk bereksperimen pula dengan kaedah yang sama di rumah-rumah perlindungan remaja dan gadis mengandung luar nikah khusususnya di Raudhatus Sakinah. Hasil eksperimen kreatif berkenaan, pihaknya mendapat data visual yang amat berharga dalam usaha untuk memahami masalah-masalah dalam kalangan remaja dan gadis yang mengandung luar nikah. Kini beliau telah menjalankan sesi Terapi Seni di dua rumah perlindungan remaja dan gadis mengandung luar nikah Raudhatus Sakinah sejak lapan tahun lalu. Berdasarkan data-data visual dalam bentuk lukisan dan lakaran yang amat berharga yang dihimpun sekian lama, beliau kini tahu mengapa gejala pembuangan bayi berlaku dan masih menjadi fenomena sosial di Malaysia. "Teknik Terapi Seni pada asasnya adalah kaedah untuk mengingati kembali pengalaman hidup yang menghantui mereka dengan menggunakan warna dan kertas lukisan. Caranya bukan sewenang-wenangnya kerana melibatkan teknik dan etika yang harus dipatuhi. Dalam Terapi Seni interpretasi harus datang daripada klien bukan pengamalnya. Sebarang andaian harus juga diketepikan.

"Ini kerana di dalam lukisan-lukisan dari sesi Terapi Seni mengandungi pelbagai macam simbol terutamanya simbol kolektif, simbol universal dan simbol peribadi yang boleh menjelma dengan pelbagai bentuk, cara, warna dan saiz di atas kertas lukisan. "Simbol-simbol ini harus diamati, difahami dan kita akan memahami dunia dalam diri mereka yang ditimpa masalah mahu pun musibah. Daripada lakaran, lukisan pelbagai simbol dalam lukisan dari sesi Terapi Seni ia memerihalkan intrakonflik dalam diri," jelas Mohd. Makzan. Benci akibatkan pembuangan bayi Gejala dan isu pembuangan bayi bukan satu perkara yang baru kerana setiap hari ada saja kes-kes kejadian pembuangan bayi dipaparkan. oleh media biarpun pelbagai cara digunakan oleh pelbagai pihak untuk mengekang gejala ini namun kes tetap berterusan. Jelas Mohd. Makzan lagi hasil daripada kajian beliau yang menggunakan pendekatan Terapi Seni ini punca utama pembuangan bayi disebabkan oleh kebencian yang keterlaluan di dalam diri terhadap bayi. "Mereka benci kepada janin yang dikandung, benci kepada perubahan fizikal tubuh badan sewaktu mengandung, benci pada bayi yang merubah keseluruhan hidup yang menyusahkan ketika itu, kebencian kepada kesakitan yang ditanggung dan kebencian kepada lelaki yang menyebabkan dia hamil, kebencian kepada bayi yang menyebabkan ibu yang mengandung tanpa suami terpaksa menanggung aib dan malu disepanjang hidup mereka, dan yang paling dibenci adalah stigma masyarakat pada remaja dan gadis yang mengandung dan melahirkan anak tidak sah taraf," kata Mohd. Makzan. Hasil analisa daripada lukisan-lukisan yang terhasil daripada sesi Terapi Seni, ramai remaja dan gadis yang mengandung luar nikah ada pernah terlintas untuk membunuh diri, melakukan percubaan untuk mengugurkan kandungan dan ada yang mahu membalas perbuatan lelaki yang yang menghamilkan mereka. Kejadian mengandung luar nikah ini pada asasnya adalah akibat pergaulan bebas ketika sedang asyik mabuk cinta berahi yang melampau dan ditipu kepada janji lelaki. "Remaja dan gadis perempuan ini terdesak akibat malu dengan apa yang bakal menimpa mereka serta stigma terhadap diri sendiri, juga masyarakat yang memandang hina kepada mereka," jelasnya yang boleh dihubungi ditalian 017 - 533 4152.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140116/ke_01/Terapi-senu-pulihkantekanan#ixzz2vtlkjNwO Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai