Anda di halaman 1dari 1

Kata alu-aluan YDP PIBG SMK. Trolak Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Saya melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah kerana kita dapat bersama-sama dalam Mesyuarat Agung PIBG kali ke-31 pada hari ini. Saya amat mengalu-alukan kehadiran para ibu bapa ke mesyuarat agung PIBG pada kali ini. Kita sedar bahawa dunia pendidikan mengalami banyak perubahan dari semasa ke semasa. Peluang pendidikan harus digunakan sepenuhnya bagi menguasai ilmu, kemahiran dan membina personaliti yang cemerlang. Apatah lagi, tanpa kelulusan dan ilmu yang mencukupi, sukar untuk anak-anak kita mempunyai masa depan yang cerah. Ini bermakna peluang pendidikan yang ada harus dimanfaatkan sepenuhnya. Kita mahukan anak-anak kita cemerlang dalam peperiksaan dan berjaya melanjutkan ke kolej atau universiti.. Bagi mengimbangi kejayaan anak-anak kita dalam bidang akademik, maka ibu bapa juga haruslah menggalakkan anak mereka bergiat aktif dalam bidang kokurikulum. Hal ini disebabkan, markah sebanyak 10 peratus diperuntukkan dalam aspek kokurikulum. Anak-anak yang aktif dalam kokurikulum boleh menggunakan kelebihan dan bakat mereka untuk merebut peluang yang terbuka luas. Saya juga melihat bahawa penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum dapat mengelakkan anak-anak daripada terlibat dengan gejala sosial. Apabila mereka mempunyai aktiviti yang baik seperti bersukan dan kawad kaki, masa mereka terisi dengan sesuatu yang berfaedah dan dapat membentuk disiplin anak-anak. Suka saya menyentuh beberapa isu utama yang perlu diberi perhatian oleh kita sebagai waris SMK. Trolak. Kita yakin, tanpa disiplin yang tinggi, pasti kejayaan dan kecemerlangan tidak akan tercapai. Kita juga mesti sedar, kebanyakan sekolah juga tidak terlepas daripada ledakan isu-isu yang berkaitan pelajar. Para waris semestinya sedar dan prihatin mengenai masalah ponteng, datang lambat ke sekolah, merokok, buli, melawan guru, personaliti diri, mencuri dan seumpamanya. Walaupun masalah ini bukan sesuatu yang serius di sekolah ini, keprihatinan para waris akan menatijahkan sesuatu yang bermakna untuk sekolah. Tidak lupa juga kepada semua ibu bapa yang hadir pada hari ini, terima kasih sekali lagi saya ucapkan. Harapan saya agar Mesyuarat Agung PIBG SMK. Trolak akan berjalan lancar. Sekian, terima kasih.

(ISMAIL BIN SAGIR) YDP PIBG SMK TROLAK

Anda mungkin juga menyukai