Anda di halaman 1dari 4

Mohd Amirul Hamudin Izleen Mahmud

Demokrasi merupakan satu sistem yang lama. Sejak zaman Rom dan Yunani, ianya berkembang lewat abad ke-18 di Perancis kepada amalan mengundi yang kini kita kenali sebagai demokrasi moden. Pelbagai definisi dan penafsiran cuba diberikan terhadap demokrasi, namun antara yang terkenal ialah seperti diujarkan oleh Abraham Lincoln dalam pidato Gettysburg sebagai sebuah pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat, dan untuk rakyat. Secara etimologinya, demokrasi lahir daripada bahasa Yunani, yakni dmokrata yang berasal daripada diksi dmos (rakyat), dan Kratos (kekuasaan). Apabila digabungkan, ianya ditafsirkan sebagai kekuasaan rakyat. Malah, kebanyakkan perbincangan lain yang mendefinisikan demokrasi juga akan menjurus kepada konklusi yang serupa. Namun, adakah benar demokrasi merupakan suatu sistem pemerintahan yang mengangkat kuasa, sekaligus menjamin hak-hak rakyat di sesebuah negara, terutamanya negara kita sendiri? Apakah demokrasi merupakan sistem terbaik yang ada untuk kita memilih pemimpin?

Memberi Hak Sama Rata Secara amnya, punca sistem demokrasi dapat diterima baik dan dijalankan oleh hampir semua negara ialah kerana sistem ini memberikan hak kepada semua rakyat untuk memilih tanpa ada sebarang diskriminasi. Walau bagaimanapun, pemilih perlulah mencapai sesuatu had (umur misalnya) sebelum mereka diberikan hak untuk memilih pemimpin. Hal ini merupakan sesuatu yang baik kerana dapat memastikan setiap satu undi yang diberikan merupakan undi yang benar-benar matang. Hal ini berjaya memastikan setiap suara dan masalah didengari oleh pihak atasan biar sekecil manapun masalah tersebut. Contoh mudah dalam negara kita, masyarakat pribumi di borneo pasti lebih mengenali calon yang faham akan masalah mereka dan apa yang diinginkan. Maka, mereka boleh memastikan suara mereka didengari dengan mengundi calon tersebut. Hal ini tentu berbeza jika sistem aristokrasi yang diterapkan.

Akan tetapi, sering terjadi situasi di mana suara majoriti bukanlah suara yang terbaik. Inilah yang ditakutkan ahli falsafah semenjak demokrasi wujud pada zaman Rom dan Yunani lagi. Plato lantang menegaskan peri pentingnya didikan dan asuhan mengenai tatacara memilih seorang pemimpin kepada setiap rakyat yang mengundi agar mengenali apa yang baik dan tidak untuk kepentingan bersama. Kerisauan Plato dikongsi sama oleh John F. Kennedy disebalik kata-katanya, Kejahilan satu pengundi dalam sebuah negara demokrasi merosakkan keselamatan semua. Apabila didikan tidak diberi keutamaan, situasi yang

sering terjadi ialah masyarakat awam tidak dapat membuat pemilihan dengan tepat atas beberapa faktor seperti wujudnya pelobi yang mempengaruhi undi dengan memberi wang kepada mereka, maklumat penuh yang tidak sampai kepada pemilih dan undi yang dibuat secara sambil lewa. Akhirnya, pemilihan yang dilakukan oleh majoriti bukanlah sesuatu yang tepat dan pemimpin yang salah diangkat. Akibatnya jelas, suara rakyat tidak didengari langsung menatijahkan keputusan yang berbeza sama sekali akan definisi demokrasi itu sendiri, yakni pemimpin yang bekerja untuk rakyat.

Idea Dan Prinsip Selain itu, demokrasi memberi peluang apa sahaja ideologi yang diterima ramai diangkat menjadi perjuangan. Hal ini merupakan sebuah ciri penting yang perlu ada dalam sesuatu sistem pemilihan pemimpin kerana untuk melahirkan masyarakat madani, kita memerlukan pengabsahan terhadap sesuatu idea, sesuatu pegangan agar menjadi benarbenar kritis dan mapan. Apabila ramainya orang yang berpeluang menilai dan mengkritik, penambah baikkan boleh berlaku lantas menyebabkan masyarakat awam dan negara sentiasa berevolusi menuju ke arah yang lebih baik. Hal ini apabila diamati dengan teliti, telah lama berlaku di negara kita semenjak sebelum merdeka bahkan. Ideologi yang dipegang oleh UMNO, PAS atau apa jua parti lewat sesebuah pilihan raya umum kerap bertukar supaya menepati situasi semasa. Sebagai contoh, Umum melihat PAS yang dahulunya keras memperjuangkan negara Islam kini membuat penjenamaan semula kepada negara berkebajikan.

Keterbukaan sistem demokrasi ini walau bagaimanapun membuka ruang kepada eksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggung jawab. Sistem pemerintahan sebegini membenarkan apa sahaja ideologi berkembang biak meskipun ianya sesuatu yang boleh merosakkan sesebuah negara. Seseorang yang petah berpidato misalnya dapat memanipulasi ruang lompong ini dengan mudah dan meyakinkan masyarakat umum akan idea yang dibawanya meskipun salah. Meski hal ini jarang berlaku, namun dalam skala yang kecil ianya tidak mustahil. Antara yang amat dibimbangi ialah politik berasaskan kaum kerana ianya membawa satu kebersamaan yang amat mudah diterima ramai. Jika anda kaum Melayu, anda mudah menerima idea yang mempertahankan Melayu, dan begitu juga bagi kaum lain. Akhirnya, ketegangan dan keadaan zero-sum game berlaku bila mana kaum masing-masing cuba mempertahan dan memperjuang hak bangsa sendiri ke atas sumber yang sama, yang terhad.

Keadaan ini, terutamanya di negara kita Malaysia adalah suatu langkah yang kurang sesuai kerana terdapatnya masyarakat yang berbilang kaum. Ideologi sebegini menjurus

kepada polarisasi kaum jika tidak diurus secara hemah. Akhirnya, kebebasan ditawarkan demokrasi akan menjurus kepada ketegangan antara kaum yang menatijahkan tragedi seperti 13 Mei 1969. Oleh itu, amat wajar apabila ideologi yang berbahaya dikawal atau disekat oleh sebuah badan bebas di dalam negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi. Hal ini tidak bererti ianya menyekat kebebasan yang cuba dibawa oleh demokrasi itu sendiri, kerana selagi mana prinsip dan idea itu tidak melanggar hak orang lain, ianya adalah dibenarkan. Maka, ianya dilihat lebih sebagai langkah berjaga-jaga.

Ketelusan Dan Harga Demokrasi Sistem pemerintahan demokrasi memerlukan suatu ruang yang telus, oleh media dan badan yang menjalankan proses pengundian supaya pemimpin yang terpilih benarbenar dipilih oleh rakyat dan bukan dimanipulasi pihak tertentu. Justeru, suatu badan bebas yang menjalankan proses pengundian perlu ditubuh bagi memastikan pra syarat ini dipenuhi. Dalam konteks negara kita, ianya ialah Suruhajaya Pilihan Raya. Namun, ianya tidak sepenuhnya bebas apabila SPR diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Wujudnya badan seperti ini menyebabkan proses pengundian selalunya menelan belanja yang besar selain tempoh masa yang panjang diperlukan. Tetapi, ramai menganggap kos yang dibelanja serta masa yang ditelan adalah sesuatu yang wajar demi memastikan pemimpin yang benar-benar berkaliber dan kompeten dipilih oleh rakyat, dan dipersetujui semua.

Acap kali, realitinya tidak semudah ini. Akan ada pelobi yang muncul sewaktu berkempen untuk menolong calon-calon yang dirasakannya mampu menang, dan akan memberi manfaat kepada dirinya kelak. Data menunjukkan pada pilihan raya kongres dan presiden Amerika Syarikat 2012 lepas menelan belanja lebih 6.2 billion dolar. Selalunya pelobi akan menyumbang wang untuk calon berkempen dan sebagai balasan, calon dikehendaki menolong dalam bentuk projek, terbitan bon dan kuasa apabila menang kelak. Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru. Rasuah berleluasa dalam negara yang mengamalkan demokrasi telah lama dan akan terus berlaku. Malah, dengan jumlah wang sebesar itu (6.2 billion US dollar) adakah ianya berbaloi untuk dilaburkan semata-mata hanya untuk sebuah proses sedang masih ramai manusia hidup kemelaratan? Umum mengatakan ya, meski Gandhi berbeza pendapat, Apa bezanya orang yang mati, anak-anak yatim dan kehilangan tempat tinggal, sama ada kemusnahan itu dilakukan di bawah nama totalitarianisme atau atas nama suci kebebasan demokrasi?. Inilah harga yang perlu dibayar demi kepuasan hati pihak majoriti.

Demokrasi, seperti yang dilihat jelas menjamin hak-hak setiap warga yang mendiami sesebuah negara. Tidak keterlaluan jika dikatakan, demokrasi masih merupakan sistem pemerintahan yang terbaik pernah dilahirkan umat manusia sehingga ke hari ini. Tetapi, di sebalik semua kebaikkan yang ditawar demokrasi, wujud kelemahan-kelemahan yang perlu ditutup. Kelemahan-kelemahan ini apabila diteliti bukanlah disebabkan sistem itu sendiri, sebaliknya akibat sikap manusia yang cuba mengambil kesempatan. Faktor-faktor ini perlulah diselesaikan supaya proses pemerintahan ini benar-benar datang daripada rakyat, dan yang dipilih berkhidmat untuk kebaikkan rakyat.

Anda mungkin juga menyukai