Anda di halaman 1dari 3

PENDAHULUAN

Iman adalah harta yang sangat bernilai. Ia bukan sesuatu yang boleh diwarisi atau dijual beli. Ia adalah anugerah Allah yang patut disyukuri dan dipelihara. Kerana itulah, Nabi Yaaqub a.s sekalipun bernasabkan para Nabi dan memiliki keturunan juga di kalangan para Nabi cukup bimbang akan keselamatan akidah anak cucu baginda. Ini diceritakan di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 133 yang maksudnya : ( Demikianlah wasiat Nabi Yaaqub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi!) Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaaqub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati? Mereka menjawab: Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishaq, iaitu Tuhan Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman).

PENTINGNYA AKIDAH KEPADA UMAT ISLAM Kerana akidah juga, para Nabi dan Rasul sanggup menerima apa jua rintangan dan bebanan demi memperjuangkannya. Dari Nabi Adam a.s hinggalah kepada Nabi Muhammad s.a.w semuanya telah berusaha memelihara akidah umat mereka agar tidak terpesong ke jalan sesat. Penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah umpamanya bertujuan untuk membentuk umat Islam yang baru berpegang kepada ajaran agama Islam. Kepentingan akidah dan perjuangan mempertahankannya ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a yang bermaksud: Rasulullah s.a.w ditanya: Apakah amal yang paling utama? Rasulullah menjawab: Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Baginda ditanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab: Jihad fi sabilillah. Akidah yang merupakan simpulan iman akan menyuntikkan semangat perjuangan, menyuburkan daya saing dan memupuk perpaduan di kalangan umat Islam. Ini kerana, iman yang tersimpul erat di dalam hati mendorong seseorang untuk berusaha, bekerja keras, melakukan kebajikan, membantu orang, membina kemajuan, menunaikan tanggungjawab, sanggup berkorban dan sebagainya demi mengaut seberapa banyak pahala kebajikan. Umat Islam yang tidak mempunyai akidah yang kukuh akan mudah terpesong dan menyeleweng dari ajaran agamanya yang sebenar. Bukan itu saja, ia akan menjadi anggota masyarakat yang tamak kerana cintakan dunia, pengecut kerana takutkan manusia, liar kerana tiada pegangan, tidak jujur kerana tidak mengenal dosa dan membawa pelbagai lagi masalah dan kerosakan yang merugikan pelbagai pihak. Begitu juga segala pembangunan dan kemajuan yang dibina oleh umat Islam, jika tidak didasari oleh kekukuhan akidah, ia hanya akan membawa kepada pelbagai kekalutan di tengah-tengah masyarakat. Ini kerana, akidah adalah asas kepada kesejahteraan dan petunjuk dari Allah. Ini dijelaskan dalam fiman Allah taala dalam surah alAnaam ayat 82 yang tafsirnya: Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan

iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah dan petunjuk.