Anda di halaman 1dari 9

UCAPAN YAB DATO SERI ABDULLAH HAJI AHMAD BADAWI PELANCARAN DAN PERASMIAN ISLAM HADHARI PENGURUSAN NEGARA

ISLAM DI DEWAN KOMPLEKS BELIA, SHAH ALAM 30 JANUARI 2004, JAM 9.15 PAGI -------------------------------------------------------------------

YAB Dato Seri Dr. Mohd Khir Toyo Menteri Besar Selangor

YBhg. Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri

YBhg. Dato Mustapha Mohamed Penasihat Jawatankuasa Induk Islam Hadhari Peringkat Kebangsaan

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

1. Saya memanjatkan sebanyak-banyak syukur kepada Allah S.W.T kerana dengan izin dan inayahNya dapat kita bersama-sama berkumpul di pagi Jumaat yang mulia ini untuk menyaksikan pelancaran Islam Hadhari Pengurusan Negara Islam Peringkat Kebangsaan.

2. Sejak dari negara kita mencapai kemerdekaan, Islam telah diberikan tempat yang sungguh istimewa dengan perlembagaan persekutuan menjadikannya sebagai agama rasmi negara. Sejarah selepas itu telah memaparkan kepada kita bahawa Kerajaan telah memainkan peranan yang besar di dalam memartabatkan Islam sesuai dengan kedudukannya yang sungguh istimewa itu.

3. Institusi pendidikan Islam membangun dengan pesatnya, dengan terbinanya sekolah menengah kebangsaan agama di seluruh negara, kolej-kolej Islam, kolej universiti Islam dan seterusnya universiti Islam dan ini adalah bukti yang jelas bahawa pendekatan kerajaan adalah amat dinamik. Lebih penting, sesuai dengan tradisi Ibnu Sina dan al-Khawarizmi sistem pendidikan tinggi Islam negara kita juga menawarkan kursus-kursus ijazah perubatan dan kejuruteraan yang berasaskan kepada teknologi yang memberikan gambaran bahawa Islam bukan sahaja undang-undang atau ibadat khusus tetapi sesungguhnya merupakan satu peradaban.

4. Selain dari itu dari aspek ekonomi dan kewangan Kerajaan Malaysia telah mempelopori satu kerangka kewangan Islam, samaada berasaskan kepada sistem pembankan, sistem insurans dan bon Sukuk Islam yang bukan sahaja menepati dengan kehendak-kehendak syara tetapi amat kompetitif dari segi produknya dan mula diterima dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Inilah sebenarnya makna pembangunan.

5. Masaalah umat Islam di Malaysia hari ini ialah masaalah tafsiran Islam yang tidak tepat dan kegagalan membuat penyusunan keutamaan atau awlawiyyat. Sebagai contohnya, ada kalangan ummat Islam yang hanya melihat Islam dari sudut undang-undang dan oleh itu menjadi terlalu obsessed dengan keperluan untuk membentuk masyarakat hanya dari sudut perundangan. Obsesi ini menyebabkan mereka terlalu ghairah bukan untuk berdakwah tetapi untuk menghukum. Ada juga golongan lain pula melihat Islam dari sudut politik semata-mata dan meminggirkan keutamaankeutamaan lain yang lebih penting untuk didahulukan.

6. Apabila keadaan ini berlaku, Islam tidak lagi dilihat sebagai satu agama yang syumul dan lengkap tetapi daripada perspektif yang sempit dan ini lah sebenarnya yang mengakibatkan ummat Islam menjadi lemah dan terpinggir daripada arus pembangunan. Tuan-tuan dan Puan-puan,

7. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, kita telah dan akan sentiasa memberikan penekanan kepada dimensi sosial dan peradaban dan mengimbangkannya dengan aspek-aspek yang lain di dalam Islam. Kita menghormati undang-undang tetapi di dalam masa yang sama kita juga memberikan penekanan kepada dakwah dan penerangan. Kita berpolitik tetapi kita tidak akan membiarkan kepentingan politik kita mengatasi kepentingan ummat Islam atau kesejahteraan negara Islam. Tidak sekali-kali kita taksub dengan politik kepartian kita sehingga kita mengorbankan nasib rakyat terbanyak yang memerlukan pembelaan kita.

8. Oleh itu saya melihat Seminar Percambahan Pemikiran Islam Hadhari ini amat penting sebagai satu wadah untuk menerangkan konsep, makna, tafsiran Islam yang berimbang dengan memberikan penekanan kepada susunan awlawiyyat. Yang dahulu didahulukan. Yang kemudian dikemudiankan. Negara akan menjadi huru hara jika sesuatu kerajaan yang terlalu tasub dengan sesuatu dimensi Islam seperti pendekatan undang-undang memberikan penekanan kepada dimensi tersebut sehingga

mengabaikan tugas yang lebih penting untuk membasmikan kemiskinan, membangun sistem pendidikan dan ekonomi dan menggalakkan tradisi ilmu.

9. Oleh itu kerajaan yang bertanggungjawab ialah kerajaan yang memberikan penekanan yang seimbang. Islam Hadhari adalah Islam yang berasaskan kepada pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban. Islam Hadhari juga adalah mengamalkan Islam sebagai satu pegangan yang memberikan fokus kepada mempertingkatkan mutu kehidupan samaada dari segi ilmu, pembangunan fizikal dan insan, kesihatan, sistem ekonomi dan kewangan.

Islam Hadhari Berasaskan Ilmu

10. Tetapi saya suka mengingatkan bahawa Islam Hadhari tidak terbina di atas satu vakum. Kita perlu menyediakan asas yang kukuh untuk memastikan bahawa peradaban yang hendak kita bina ini akan terus kukuh. Asas yang penting di dalam pendekatan Islam Hadhari ialah ilmu.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

11. Sejarah Islam telah juga memaparkan kepada kita bagaimana tokoh-tokoh cendiakawan Islam yang lain seperti Ibnu Rusyd, al-Farabi, al-Biruni dan ramai lagi yang bukan sahaja telah memberikan sumbangan kepada masyarakat kontemporari masing-masing tetapi meninggalkan khazanah dan gedung ilmu yang masih digunakan sampai ke hari ini. Al-Biruni sebagai contoh, bukan sahaja seorang pakar astronomi tetapi juga mahir di dalam bidang-bidang fizik, matematik, perubatan, geologi dan bahasa. 12. Amat benarlah janji Allah di dalam al-Quran bahawa orang-orang yang berilmu samaada berhubung dengan dunia atau akhirat, soal fardhu ain atau kifayah adalah istimewa kedudukan mereka jika dibandingkan dengan golongan yang lain sebagaimana firman Nya:-

Allah meningkatkan darjat orang yang beriman di antara kamu dan juga orang yang dikurniakan dengan kelebihan beberapa darjat. [Surah al-mujadalah: 11]

13. Oleh itu sesuai dengan konsep Islam Hadhari yang dipelopori oleh kerajaan ini, saya ingin melihat khususnya di antara generasi baru masyarakat Islam yang berilmu dan berimbang. Marilah bersamasama kita memberikan penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan, menjadi lebih kreatif untuk mencipta dan merekabentuk peralatan dan instrumen yang boleh membantu ummat tanpa mengira agama dan bangsa. Saya juga ingin melihat ramai lagi anak-anak muda Islam yang memenangi hadiah, anugerah dan pengiktirafan antarabangsa di dalam kreativiti sains, teknologi dan perubatan kerana inilah sebenarnya Islam Hadhari. Bahkan tidak keterlaluan untuk dikatakan di sini

bahawa Islam lah yang mendorong tokoh dan cendiakawan Islam di zaman silam untuk menjadi lebih tekun di dalam penyelidikan mereka.

14. Suka saya menyatakan bahawa sebagai Perdana Menteri, saya merasa bangga dengan pencapaian syarikat petroliam nasional PETRONAS dengan usaha-usaha carigali mereka di luar negara yang telah mendapat pujian dan sanjungan daripada beberapa pemimpin antarabangsa yang sempat saya temui. Kebolehan dan kepakaran profesional PETRONAS amatlah dibanggakan dan ini juga satu contoh daripada Islam Hadhari. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada mereka yang terbabit samaada secara langsung atau tidak langsung.

Islam Hadhari Berasaskan Kepada Pembangunan Holistik

15. Keduanya, Islam Hadhari memberikan penekanan secara menyeluruh dan holistik. Pembangunan yang dimaksudkan di dalam konteks Islam Hadhari ialah yang menyentuh persoalan-persoalan pertanian, bio-teknologi, ICT dan lain-lain bidang yang menjadi kewajipan bersama. Di dalam Islam ini di namakan fardhu kifayah. Sebagai contohnya jika seorang pakar penyelidikan dan perubatan Islam telah menemui antidot kepada wabak SARS atau selsema burung yang memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat dunia maka semua masyarakat Islam adalah terlepas dari dosa.

16. Oleh itu Islam Hadhari bukan lah Islam yang terpisah atau Islam yang dijuzukkan kepada satu aspek dan diberikan gambaran itu lah Islam yang sebenarnya. Kita tidak akan berlaku adil kepada Islam jika kita memberikan tafsiran yang salah dan sempit terhadap Islam yang sebenarnya.

17. Oleh itu saya mengharapkan dan mendoakan agar Seminar Percambahan Pemikiran Islam Hadhari ini dapat membuka minda kita, membantu kita berfikir di luar kotak dan memperkukuhkan lagi pegangan kita terhadap ajaran Islam yang suci. Marilah kita merenung sejenak, dan mula melihat Islam bukan sahaja dari aspek perundangan, politik, usuludin sahaja tetapi daripada aspek yang menyeluruh.

18. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirahmanirahim saya melancarkan Islam Hadhari Pengurusan Negara Islam Peringkat Kebangsaan.

Sekian, Wassalamu alaikumhi Warahmatullahi Wabarakatuh.

JENIS UCAPAN

Jenis ucapan ini adalah berbentuk informatif. Ucapan ini dikatakan berinformatif kerana mempunyai format untuk ucapan informatif iaitu pengenalan, badan atau isi, dan penutup

TUJUAN UCAPAN

Ucapan ini dibuat adalah untuk Majlis Pelancaran dan Perasmian Islam Hadhari Pengurusan Negara Islam di Shah Alam. Pengucap merupakan tetamu khas di majlis tersebut kerana beliau merupakan tetamu yang dikhaskan untuk merasmikan majlis itu.

PENGENALAN UCAPAN

Bahagian awal ucapan, pengucap mengikut format ucapan informatif kerana pengucap menggunakan penghormatan protokol kepada jemputan-jemputan khas dengan menggunakan kata sapaan serta gelaran yang disandang oleh tetamu tersebut iaitu:

YAB Dato Seri Dr. Mohd Khir Toyo (Menteri Besar Selangor)

YBhg. Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman (Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri)

YBhg. Dato Mustapha Mohamed (Penasihat Jawatankuasa Induk Islam Hadhari Peringkat Kebangsaan) dan sapaan untuk audiens secara umum iaitu:

Tuan-tuan dan Puan- puan sekalian.

Seterusnya pengucap memberi salam sebagai pembuka kata kepada tetamu yang beragama Islam, namun demikian pengucap tidak menyatakan salam sejahtera ataupun ucap selamat kepada tetamu yang beragama lain.

Selain itu, diawal ucapan, pengucap turut menggunakan teknik menarik perhatian audiens dengan menyatakan penghormatan peribadi, iaitu memuji dan mengucapkan kesyukuran. Contohnya:

Saya memanjatkan sebanyak-banyak syukur kepada Allah S.W.T kerana dengan izin dan inayahNya dapat kita bersama-sama berkumpul di pagi Jumaat yang mulia ini untuk menyaksikan pelancaran Islam Hadhari Pengurusan Negara Islam Peringkat Kebangsaan.

Pengucap juga menggunakan teknik menarik perhatian di awal ucapannya dengan menyatakan kejadian yang berkaitan sejarah.

Contohnya:

Sejak dari negara kita mencapai kemerdekaan, Islam telah diberikan tempat yang sungguh istimewa dengan perlembagaan persekutuan menjadikannya sebagai agama rasmi Negara. Sejarah selepas itu telah memaparkan kepada kita bahawa Kerajaan telah memainkan peranan besar di dalam memartabatkan Islam .

Setelah diteliti, pada pendapat kumpulan kami, pengucap lebih banyak menyentuh kedudukan dan sumbangan agama Islam dalam negara Malaysia iaitu kedudukan Islam dalam perlembagaan persekutuan dan sumbangan islam dari aspek kewangan, ekonomi, serta pendidikan . Pengucap turut memberi definisi Islam Hadhari dan perkara-perkara yang akan di fokuskan sebagai prewiev ucapannya. Terdapat 2 asas penting dalam pendekatan Islam Hadhari iaitu ilmu dan holistik . Sebagai batasan daripada teks ucapan ini terdapat juga petikan hadis yang digunakan oleh pengucap untuk menarik perhatian audiens. Contohnya:

Allah meningkatkan darjah orang yang beriman di antara kamu dan juga orang yang dikur niakan dengan kelebihan beberapa darjat. [Surah al mujadalah:11]

Pada pandangan kumpulan kami, pengucap juga tidak memberitahu audiens dengan jelas skop yang ingin dibincangkan dan beberapa jumlah idea utama yang ingin disampaikan. Hal ini akan menyukarkan audiens untuk berfikir atau mempertimbangkan idea-idea utama dengan bijaksana.

BADAN ATAU ISI UCAPAN

Bahagian ini merupakan ucapan yang sebenarnya. Dalam ucapan ini pengucap hanya menekankan 2 idea utama iaitu Islam Hadhari Berasaskan Ilmu dan Islam Hadhari Berasaskan Kepada Pembangunan Holistik.

Idea utama 1: Islam Hadhari Berasaskan Ilmu

Pecahan isi 1 -Sejarah islam mengenai tokoh-tokoh cendikiawan Islam dimana ia dapat disokong oleh tokoh-tokoh seperti Ibnu Rusyd, al-Farabi, al Biruni dan ramai lagi yang memberi sumbangan kepada masyarakat kontemporari masing-masing tetapi meninggalkan khazanah dan gedung ilmu yang masih digunakan sampai ke hari ini. Bagi memperkukuhkan lagi idea ini sebagai contoh, Al Biruni bukan sahaja seorang pakar astronomi tetapi juga mahir didalam bidang-bidang fizik, matematik, perubatan, geologi dan bahasa.

Pecahan isi 2-Memberi penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan khususnya kepada generasi baru masyarakat Islam yang berilmu dan berimbang Bagi menyokong idea ini pengucap menyatakan agar audiensnya menjadi lebih kreatif untuk mencipta dan merekabentuk peralatan dan instrumen yang boleh membantu ummat tanpa mengira agama dan bangsa.

Idea utama 2: Islam Hadhari Berasaskan Kepada Pembangunan Holistik.

Pecahan isi 1: Penekanan secara menyeluruh dan holistik. Idea utama ini dipecahkan adalah untuk memberitahu maksud pembangunan di dalam konteks Islam Hadhari yang menyentuh persoalan- persoalan pertanian, bio-teknologi, ICT dan lain-lain bidang yang menjadi kewajipan bersama. Idea ini disokong dengan pengucap menyatakan contoh untuk memperkuatkan lagi hujahnya. Contoh yang dikemukakan ialah jika seorang pakar penyelidikan dan perubatan Islam telah menemui antidote kepada wabak SARS atau selsema burung yang memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat dunia maka semua masyarakat Islam adalah terlepas dari dosa.

KEKUATAN dan KELEMAHAN

Kekuatan

Kumpulan kami telah meneliti beberapa kekuatan yang terdapat didalam tek ucapan ini. Pengucap tidak menyertai audiens kerana menggunakan Kata Ganti Diri saya, sesuai dengan jenis dan situasi ucapan yang berbentuk formal.

Penggunaan teknik menarik perhatian juga berlaku dalam teks ucapan ini. Pengucap telah menggunakan teknik menarik perhatian jenis merujuk audiens seperti Tuan-tuan dan Puan-puan .

Selain itu, teknik menarik perhatian dengan menggunakan petikan juga turut digunakan. Pengucap memasukkan potongan ayat Al-quran dalam ucapannya. Contohnya, Allah meningkatkan darjat orang yang beriman di antara kamu dan juga orang yang dikurniakan dengan kelebihan beberapa darjat . (surah al-mujadalah: 11)

Pengucap menyelitkan kejadian sejarah seperti Sejarah Islam .meninggalkan khazanah dan gedung ilmu yang masih digunakan sampai ke hari ini sebagai salah satu teknik menarik perhatian audiens.

Pengucap juga memasukkan fakta yang benar dalam teks ucapannya seperti pencapaian PETRONAS dengan usaha carigali mereka diluar negara telah mendapat pujian dan sanjungandaripada.. Hal ini, sedikit sebanyak menarik minat audiens untuk terus menumpukan perhatian mereka terhadap ucapan yang disampaikan pengucap.

Kelemahan

Terdapat beberapa kelemahan ucapan, yang pada pendapat kami tidak sesuai disampaikan kepada audiens yang dihasratkan. Pertama, pendahuluan dalam teks ucapan ini sangat panjang. Hal ini menyebabkan, audiens bosan dan keliru tentang perkara yang ingin disampaikan oleh pengucap. Sepatutnya, bahagian pendahuluan tidak perlu panjang berjela-jela, hanya perlu sampaikan skop dan sedikit ulasan sambil memasukkan beberapa teknik untuk menarik minat audiens kepada tajuk yang ingin diucapkan sebentar nanti.

Bahagian isi utama dan pecahan-pecahan isi juga banyak kelemahannya. Huraian untuk untuk kedua-kedua isi induk tidak seimbang. Isi pertama lebih banyak huraiannya berbanding dengan huraian untuk isi kedua. Pecahan isi untuk isi utama juga menampakkan banyak kelemahannya. Huraian tidak menepati isi utama. Ini memberi tekanan kepada audiens untuk memahami apa yang ingin disampaikan oleh pengucap.

Manakala, dibahagian penutup juga turut mempunyai kelemahannya. Kelemahan yang dapat dilihat ialah penggunaan penanda wacana yang sama malah berturut-turut dalam ayat terakhir mengelirukan audiens terhadap idea yang ingin disimpulkan.

PENUTUP

Review

Tujuan penutup sesuatu ucapan ialah untuk menyediakan audiens supaya berhenti mendengar dengan bijaksana atau mengurangkan tumpuan mendengar. Merujuk daripada teks ucapan ini, kami berpendapat bahawa review pengucapan ini tidak jelas. Pengucap hanya memberitahu para audiens tentang harapannya agar Seminar Percambahan Pemikiran Islam Hadhari ini dapat membuka minda audiens dan ucapan ini diakhiri dengan lafaz Bismillah sebagai tanda pelancaran Islam Hadhari Pengurusan Negara Islam Peringkat Kebangsaan. Sedangkan didalam review sesebuah ucapan, pengucap harus memberitahu kepada audiens bahawa ucapannya telah sampai ke penghujung bicara dan akan berhenti. Ini diikuti pula dengan ringkasan dan pengucap harus mengulangi semula idea utama ucapannya sebentar tadi.

Kenyataan untuk diingati

Kenyataan ini lazimnya dibuat di penghujung ucapan dan merupakan kata-kata akhir pengucap yang mahu audiensnya mengingatinya. Berdasarkan tek ucapan ini, kami sepakat menyatakan bahawa pengucap memenuhi kehendak atau peraturan-peraturan yang terdapat didalam sesebuah ucapan berbentuk formal. Diakhir ucapan, pengucap menggunakan teknik menyeru sebagai kenyataan untuk diingati kepada audiens iaitu Marilah kita merenung sejenak, dan mula melihat Islam bukan sahaja dari aspek perundangan, politik, dan usuludin sahaja tetapi daripada aspek yang menyeluruh.

Penyudah bicara

Selain menggunakan kenyataan untuk diingati, pengucap turut menggunakan teknik penyudah bicara didalam ucapannya iaitu Sekian, Wassalamualaikaum Warahmatullahi Wabarakatuh bagi menandakan berakhirnya ucapan yang di buat.

Anda mungkin juga menyukai