Anda di halaman 1dari 3

Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis, Yang berhormat Datuk Seri Rais Yatim, presiden uiam, yang berbahagia

Prof Dato Sri Dr Zaleha Kamarudin,rector uiam, dif-dif jemputan, para pensyarah, rakan-rakan dan hadirin sekalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada pagi ini saya akan menyampaikan syarahan yang bertajuk Pengurangan Subsidi oleh Kerajaan Malaysia: Kewajarannya dan Kesan tindakan ini. Hadirin sekalian, Subsidi bermaksud sebahagian dari jumlah atau kos sesuatu barangan atau perkhidmatan yang ditanggung oleh sesuatu pihak. Apabila subsidi ini diberi, ianya akan menjadikan harga sesuatu barangan atau perkhidmatan itu menjadi murah serta tidak terlalu tinggi di pasaran. Tujuan subsidi ini diberikan adalah untuk mengurangkan harga sesuatu barang dan perkhidmatan di pasaran sekaligus mengurangkan beban kewangan pengguna. Subsidi ini selalunya diberikan kepada barangan keperluan atau perkhidmatan asas yang mana merupakan keperluan penting bagi semua. Contoh mudah perkiraan subsidi seperti, sekiranya kos pengeluaran sekilo tepung ialah Rm3.00, apabila di pasaran harga tepung mungkin dijual pada harga Rm3.30 sekilo selepas mengambil kira untung peruncit. Tetapi jika subsidi diberikan kepada kos pengeluaran sekilo tepung itu tadi sebanyak 30sen sekilo terhadap pengeluar, ianya akan membuatkan harga tepung dipasaran akan dijual dengan harga Rm3.00 dan ini tidak membebankan pengguna, peruncit dan juga pengeluar. Sebaliknya pihak yang membayar subsidi itu tadi yang menanggung kos sebanyak 30sen setiap sekilo tepung. Harga barangan seperti tepung itu tadi mungkin akan naik di pasaran menjadi Rm3.30 jika subsidi terhadap tepung itu tadi ditarik balik kerana pengeluar terpaksa menanggung sendiri kos sebanyak 30sen itu tadi, sebalik harga tepung tersebut mungkin akan menjadi lebih murah dari Rm3.00 sekilo jika jumlah subsidi ditambah. Hadirin yang dihormati sekalian, Bebanan kerajaan dalam menyediakan subsidi, dianggarkan sebanyak RM30 bilion setahun, tidak boleh dibiarkan berterusan dalam jangka panjang kerana langkah berkenaan akan menelan belanja yang besar kepada negara. Peningkatan hutang dan defisit fiskal Malaysia akan mengurangkan daya saingnya manakala sentimen pelabur akan menjadi lemah, yang akan menjejaskan lagi penarafan antarabangsa ekonomi. Selain itu, peningkatan hutang negara akan menghalang perlaksanaan projek-projek baharu dan boleh menjejaskan penjanaan pendapatan dan pewujudan peluang pekerjaan yang akhirnya menjadikan rakyat biasa Malaysia hidup dalam kesukaran pada masa akan datang. Sekiranya program rasionalisasi subsidi ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh, akan terdapat lebih banyak lagi dana untuk pembangunan

produktif seperti pengangkutan awam, sekolah, biasiswa, pembangunan masyarakat dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan. Selain itu, subsidi juga menyebabkan kemudaratan apabila harga yang murah menyebabkan penggunaan berlebihan, misalnya gula dan minyak masak yang memudaratkan kesihatan. Di Malaysia, pengilang dan pelabur mendapat subsidi berbilion-bilion ringgit. Antaranya subsidi diesel (untuk pengangkutan) dan subsidi gas asli cecair (untuk penjanaan elektrik dan kilang pembuatan). Golongan kaya yang memakai kereta mewah seperti Mercedes Benz dan BMW menerima subsidi minyak petrol yang berkali-kali ganda lebih banyak daripada orang biasa yang menggunakan Kancil atau Proton. Mereka dengan sewenang-wenangnya membazir petrol kerana mereka tidak hairan akan harga petrol yang rendah. Misalnya mereka membiarkan enjin kereta berjalan sungguhpun untuk membeli sebungkus rokok di kedai. Hadirin sekalian, Pengurangan subsidi mungkin membantu mengurangkan beban hutang negara tetapi kesannya kepada ekonomi dan rakyat jelata juga besar. Antaranya, golongan berpendapatan rendah akan menghadapi masalah kemiskinan. Jika subsidi baja dan subsidi harga padi ditarik balik, ratusan ribu petani kita akan hidup dalam kemiskinan tegar, malah hasil padi negara akan merudum. Subsidi adalah sebahagian daripada ekonomi. Ia menjana pertumbuhan melalui peningkatan daya pengeluaran, menambah kuasa membeli dan mengurangkan inflasi. Sebaliknya jika subsidi ditarik balik, kos makanan juga akan meningkat kerana harga gula dan petrol meningkat. Golongan berpendapatan rendah akan menghadapi masalah kewangan. Selain itu , taraf hidup rakyat juga bakal terjejas akibat pengurangan subsidi ini. Kuasa membeli mereka akan jatuh dan akan diburukkan lagi oleh kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Pengilang, penyedia perkhidmatan, pengedar dan pekedai akan menaikkan harga bagi menampung pengurangan atau penghapusan subsidi. Lebih teruk daripada itu mereka akan mengambil kesempatan membuat keuntungan berlebihan. Hadirin sekalian, Pengurangan subsidi adalah tidak adil kerana subsidi juga merupakan duit rakyat yang perlu dinikmati rakyat. Sebahagian besar subsidi adalah daripada sumber kewangan yang diamanahkan kepada kerajaan, sama ada hasil cukai atau keuntungan pelaburan. Duit yang digunakan untuk subsidi itu bukan duit kerajaan, tetapi duit pembayar cukai individu dan korporat. Kerajaan pula sekadar menguruskannya. Pesoalannya di sini, apakah hutang negara yang besar ini kerana subsidi sahaja, atau kerana pemborosan, ketirisan dan rasuah? Jika para pemimpin besar terus hidup dengan mewah, boros dan menunjuk-nunjuk, pengiring polis berkereta dan bermotosikal, pengawal peribadi, permaidani merah, perbarisan pegawai dan

makanan berlambak, ekonomi Negara juga akan lumpuh. Akhir kata, subsidi gangguan pasaran perlu dikeluarkan untuk memastikan ekonomi kekal cekap serta mampan dan penjimatannya disalurkan kepada perbelanjaan produktif yang akan memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka masa panjang. Akan tetapi, sokongan mutakhir yang menentukan jatuh atau bangun pemerintah adalah rakyat jelata, khasnya golongan majoriti yang masih miskin, terpinggir dan memerlukan bantuan. Sekian , saya sudahi syarahan saya dengan ucapan terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai