Anda di halaman 1dari 3

Perkembangan kognitif dapat didefinisikan sebagai suatu keupayaan berfikir,

belajar, mengingati, mengerti dan menyelesaikan masalah. Perkembangan kognitif adalah


penting bagi membolehkan remaja menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling serta
menyelesaikan masalah yang berlaku dalam kehidupan seharian dengan baik. Berbeza
dengan kanak-kanak, tahap pemikiran remaja adalah lebih tinggi, cekap, serta agak
kompleks. Perkara ini mungkin kerana faktor kematangan serta peningkatan pengalaman
peristiwa yang berlaku terhadap diri mereka serta orang sekeliling. Perkembangan
kognitif biasanya kurang disedari pada peringkat awat remaja, namun perkembangan
kognitif akan menunjukkan kesannya dengan beransur-ansur dari masa ke semasa.
Selain itu, kebanyakan remaja akan menunjukkan perubahan yang besar melalui
cara mereka berfikir, memberi alasan serta belajar. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak
kecil akan mula menyentuh sesuatu barang bagi menyakinkan bahawa barang itu wujud
tetapi pada peringkat awal remaja mereka akan mula berfikir tentang sesetengah perkara
yang tidak dapat disentuh namun disedari kewujudannya. Mereka juga akan mula berfikir
mengenai sebab dan akibat daripada pelbagai sudut. Remaja akan berfikir mengenai
kemungkinan selain daripada hanya mengenali sesuatu benda. Sebagai contoh, seorang
kanak-kanak berumur 6 tahun menakrifkan bahawa sesiapa yang senyum adalah orang
yang gembira manakala sesiapa yang menangis adalah orang yang sedih. Tetapi, seorang
remaja 14 tahun dapat menafsirkan bahawa orang yang sedih tersenyum hanya untuk
menyembunyikan kesedihannya. Di sini kita dapat melihat dua cara pemikiran yang
membezakan tahap perkembangan kognitif antara kanak-kanak dan remaja.
Seterusnya, tahap kognitif remaja dikatakan berkembang apabila mereka mula
dapat berfikir secara abstrak. Pada tahap ini, remaja akan dapat menggunakan pemikiran
abstrak seterusnya mengeluarkan alasan yang bernas serta berkebolehan menggunakan
logik akal. Remaja juga akan mula menunjukkan minat mengenai hubungan
interpersonal, soal agama, politik serta moral. Selain itu, perkembangan kognitif remaja
juga akan menjadikan remaja memahami serta menghayati konsep persahabatan,
kepercayaan, demokrasi, keadilan dan kejujuran.
Tambahan pula, para remaja akan mula berfikir secara multidimensi yang
bermaksud skop pemikiran remaja lebih luas. Pada tahap ini, remaja sudah mula melihat
sesuatu perkara dengan lebih kompleks. Remaja juga mula melihat diri mereka sedikit
berbeza serta sukar difahami serta gemar melihat sebarang masalah dari pelbagai
perspektif. Tidak seperti kanak-kanak yang melihat sesuatu perkara hanya dari satu sudut.
Selain itu, remaja juga dapat memahami personality orang lain dan tidak hanya dari satu
sudut. Perkara ini akan menjadikan remaja akan lebih terbuka menerima serta
menjalinkan perhubungan dengan orang lain kerana mereka akan menyedari bahawa
setiap manusia ada kelebihan serta kekurangan.
Walaupun perkembangan kognitif remaja dikatakan semakin meningkat selari
dengan peredaran masa, namun para remaja juga perlu bimbingan serta rangsangan
daripada orang disekeliling mereka bagi membantu meningkatkan tahap kognitif mereka
terutamanya dalam menyelesaikan masalah. Antara langkah yang boleh dipraktikkan
adalah penerapan nilai tanggungjawab dalam urusan seharian di rumah oleh ibu bapa. Hal
ini kerana ibu bapa dapat menanam nilai tanggungjawab dalam diri anak-anak dari kecil
sehingga remaja seterusnya dewasa dalam menguruskan hal-hal keluarga seperti
mengemas bilik dan menjaga barang masing-masing. Mereka juga akan dikenakan
hukuman jika melanggar peraturan keluarga. Perkara ini akan menjadikan remaja seorang
yang bertanggungjawab serta berani menerima segala hukuman akibat kesalahannya.
Seterusnya, guru-guru di sekolah juga dapat merangsang perkembangan kognitif
remaja dengan menerapkan unsur-unsur penyelesaian masalah dalam pengajaran mereka.
Hal ini kerana remaja merupakan golongan yang gemar menyahut cabaran serta suka
meneroka sesuatu perkara dengan sendiri. Maka, hal ini akan merangsang remaja untuk
lebih berdikari apabila berhadapan dengan masalah serta tidak terlalu bergantung kepada
orang lain. Seterusnya nilai-nilai positif lain akan muncul dengan syarat guru sentiasa
membimbing mereka di jalan yang betul dan sentiasa bersama mereka tatkala tersasar
dari laluan.
Konklusinya, terdapat pelbagai tahap perkembangan kognitif remaja yang
menunjukkan kebolehan kognitif yang memberangsangkan. Maka, wajarlah remaja terus
diberikan sokongan serta rangsangan untuk terus menjadi seorang yang hebat pada masa
depan. Namun demikian, walaupun perkembangan kognitif mereka dilihat seakan sama
dengan golongan dewasa tetapi hakikatnya tidak. Masih banyak yang perlu mereka lalui
serta pelajari dalam kehidupan ini sebelum melangkah ke alam dewasa.
Rujukan:
1) http://psychology.jrank.org/pages/14/Adolescence.html
2) http://www.ed.gov/parents/academic/help/adolescence/part4.html

Anda mungkin juga menyukai