Anda di halaman 1dari 2

Konsep Perkembangan Kanak-kanak Perkembangan secara umumnya dapat didefinisikan sebagai aspek perubahan yang dihadapi oleh individu

yang berubah menurut peredaran masa. Namun, pelbagai pendapat telah dikemukakan mengenai konsep dan definisi perkembangan itu sendiri, salah satunya ialah daripada Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel dalam buku Perkembangan Kanak-kanak, yang mengatakan perkembangan adalah perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi dapat dilihat dari sifat baru yang berlainan dari sifat yang lebih awal. Berbanding Santoock ( 2008 ), baginya perkembangan dapat ditafsirkan sebagai perubahan dalam corak biologi, kognitif dan sosioekonomi individu yang bermula dari peringkat percambahan sehingga ke akhir hayat. Kesimpulanya, perkembangan dapat diklasifikasikan sebagai suatu perubahan yang bersifat kualitatif, tersusun, bertahap dan berterusan pada diri manusia bermula semenjak percambahan sel sehingga ke akhir hayat organisma hasil dari kombinasi pembelajaran, pengalaman dan kematangan melibatkan aspek-aspek fizikal, emosi, mental dan sosial. Terdapat banyak aspek yang memungkinkan perkembangan kanak-kanak itu berlaku, salah satunya ialah sifat perkembangan itu sendiri yang bersifat kualitatif dan perubahan-perubahan yang berlaku adalah dari segi fizikal, kognitif, sosial, emosi dan moral. Perubahan-perubahan itu adalah stabil dan berlaku secara teratur dan progresif dalam arah tertentu. Sebagai contohnya, seseorang kanak-kanak akan mula mengenal objek, memberi nama kepada objek, mengenal huruf, mengaitkan huruf dengan objek, mengenal perkataan dan mengaitkannya dengan objek. Justeru, perubahan-perubahan yang berlaku adalah berterusan sepanjang hayat dan melalui peringkat-peringkat kematangan tertentu. Kematangan pula merujuk kepada perubahan semulajadi dan ditentukan oleh genetik. Ia biasanya dipengaruhi oleh baka dan persekitaran. Oleh itu, perkembangan adalah hasil daripada kematangan dan pembelajaran. Menurut Woolfolk dan Margetts (2007), perkembangan fizikal ditafsirkan sebagai perubahan tubuh badan, perkembangan kognitif sebagai perubahan pemikiran, perkembangan sosial sebagai perubahan hubungan dengan individu lain dan perkembangan emosi sebagai perubahan dalam kefahaman, ekspresi dan pengurusan emosi.

D.S. Wright dan Ann Taylor mentakrifkan perkembangan sebagai perubahan yang berlaku dalam baka dan organisasi kepada struktur organisma dalam keadaan yang saling berkait serta berhubung dengan pertambahan umur. Menurut Atan Long pula, perkembangan ialah perubahan kualitatif. Ia tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi jelas dilihat perubahan telah berlaku kerana sifat baru berlainan daripada peringkat yang lebih awal. Tambahan pula, perkembangan sentiasa berlaku secara berterusan dari permulaan percambahan hingga ke akhir hayat organisma. Ini bermakna, perkembangan bukan sahaja membawa sesuatu organisma ke peringkat matang, tetapi perkembangan berterusan berlaku walaupun peringkat kematangan dilampaui. Tegasnya, perkembangan sentiasa berlaku terus-menerus, dari awal sehingga akhir hayat sesuatu organisma. Proses perkembangan bagi sesuatu organisma itu sudah sedia terancang dalam gen-gen yang diwarisi daripada keturunan yang terdahulu. Bagi sesuatu jenis organisma, sifat umum jenis itu iaitu phylogenetic adalah serupa. Gesell (1949) menyatakan, walaupun tidak ada dua individu yang benar-benar serupa, secara global semua kanakkanak yang normal cenderung mengikut susunan pertumbuhan yang biasa dilalui oleh kanak-kanak yang lain.