Anda di halaman 1dari 2

Langkah-Langkah Mengatasi Kemalangan Jalan Raya (BAHAGIAN A)

Dasawarsa ini, isu kemalangan jalan raya yang semakin meruncing sering menjadi fokus perbincangan dan tajuk utama akhbar-akhbar tempatan di Malaysia. Keadaan ini semakin merunsingkan apabila banyak kejadian yang melibatkan kemalangan jiwa berlaku. Justeru, sebelum, nasi sudah menjadi bubur, langkah-langkah pragmatik perlu diimplimentasikan bagi mengatasi masalah ini. Punca yang paling signifikan penyebab kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu itu sendiri. Didikan para pemandu khususnya pemandu pengangkutan awam supaya lebih berdisiplin ketika memandu harus diadakan. Peratusan tinggi kemalangan dikatakan berpunca daripada sikap pemandu itu sendiri yang dikatakan cuai ketika berada di atas jalan raya. Sebagai contohnya, banyak pemandu yang masih menggunakan telefon bimbit ketika memandu yang secara tidak langsung menyebabkan mereka kehilangan fokus. Oleh itu, kesedaran tentang kepentingan mengikut peraturan jalan raya perlu hadir dari dalam diri kerana tanpa kesedaran dalam diri, peraturan yang digubal umpama tidak bermakna. Langkah lain yang boleh diambil pula ialah dengan membaiki keadaan jalan raya di negara kita. Jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik sudah pasti mendatangkan bahaya kepada para pemandu dan juga penunggang motosikal. Bukan itu sahaja, keadaan jalan raya yang gelap tanpa sinaran cahaya lampu juga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutamanya pada waktu malam. Sebagai misalannya, kereta yang dipandu laju di lebuh raya akan serta merta mengelak jalan yang berlubang tanpa melihat cermin pandang sisi. Keadaan ini memungkinkan kemalangan berlaku jika kenderaan di belakang mengikut terlalu dekat. Perkara sebeginilah yang perlu dielakkan dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Selain itu, para pemandu perlu memastikan pengurusan kenderaan awam cekap dan efisien. Kelancaran sesebuah perjalanan itu amat bergantung kepada kecekapan pemandu dan keadaan kenderaan tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak pemaju perlu menyediakan perkhidmatan secara berkala dan menjalankan pemeriksaan secara konsisten bagi menjamin kualiti pengurusan sesebuah syarikat kenderaan itu. Proses pemilihan pemandu juga perlu diteliti semula agar hanya mereka yang benar-benar layak sahaja diterima bekerja. Menurut Menteri

Pengangkutan Malaysia, satu sistem pemilihan pemandu bas ekspres yang standard akan dilaksanakan. Maka jelaslah, pengurusan syarikat kenderaan awam yang mantap amat penting dalam usaha menurunkan kadar kemalangan jalan raya. Pihak-pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat Malaysia (SPAD) mahupun organisasi berkaitan yang lain perlu berganding bahu dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya ini. Sekatan-sekatan jalan raya serta rondaan secara berkala mampu mengurangkan risiko kemalangan atau paling tidak mendisiplinkan pemandu ketika berada di jalan raya. Namun demikian, pemantauan yang dibuat perlulah secara berterusan dan bukannya mengikut musim kerana kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja. Sebenarnya banyak langkah yang boleh diambil oleh individu, masyarakat mahupun negara dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Semua pihak ini perlulah berganding bahu bagai aur dengan tebing supaya setiap langkah yang diambil mendatangkan kesan yang positif. Jika segala langkah telah diambil dan dijalankan dengan sewajarnya, tidak mustahil kita dapat melihat negara yang dicintai ini berkembang menuju ke arah status negara maju setanding dengan negara-negara maju yang lain. Kadar kemalangan jalan raya yang berkurang juga boleh menggalakkan pelaburan asing ke negara kita yang secara tidak langsung dapat meningkatkan ekonomi negara.