Anda di halaman 1dari 5

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.

Pertama sekali saya ingin memanjatkan setinggitinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan izin dan limpah kurniaNya dapat jua kita bersama-sama memeriahkan Majlis Pelancaran Kempen Cegah Penyakit Merebak: Leptospirosis 2013 ini. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Alam Sekitar & Kesihatan Awam Negeri Sarawak, Yang Berhormat Datu Haji Len Talif Salleh, Menteri Muda Alam Sekitar Negeri Sarawak, ahli-ahli jawatankuasa Kg Kota Samarahan serta hadirin dan hadirat sekalian kerana sudi hadir pada majlis pelancaran ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada pegawai-pegawai dari pelbagai agensi dan pihak urusetia yang telah berusaha untuk menjayakan Kempen Cegah Penyakit Merebak: Leptospirosis 2013 pada pagi ini. Leptospirosis atau penyakit kencing tikus merupakan satu penyakit berjangkit yang disebabkan oleh Patogen Genus Leptospira. Bakteria ini boleh berjangkit secara langsung mahupun tidak langsung daripada haiwan kepada manusia. Jangkitan biasanya dipindahkan kepada manusia apabila air yang dicemari dengan air kencing haiwan menyentuh bukaan pada kulit, mata atau selaput lendir. Penyakit Leptospirosis mula dikesan di Malaysia buat pertama kalinya pada tahun 1925 oleh Flatcher W. Meskipun wabak ini dapat dikekang sejak sekian lama namun kemunculan semula kes-kes jangkitan air kencing tikus ini begitu merunsingkan masyarakat. Mengikut statistik Kementerian Kesihatan, sebanyak 527 kes Leptospirosis telah dicatatkan pada tahun 2006 dan pada tahun 2007pula terdapat peningkatan kes sebanyak 929 kes dilaporkan. Hadirin dan hadirat sekalian, Cuba kita renung sejenak, apakah punca yang mendorong penyakit kencing tikus ini semakin berleluasa dan siapakah yang mudah terdorong untuk dijangkiti penyakit yang tersebut?

Penyakit yang mudah merebak ini disebarkan melalui kencing haiwan yang dijangkiti. Tikus dan mondok adalah merupakan penyebar utama kepada penyakit ini. Di samping itu, sejumlah besar mamalia lain seperti anjing, rusa, arnab, landak, lembu, biri-biri, dan mamalia laut lain turut mampu membawa dan menyebarkan penyakit yang berbahaya ini. Sebagai contoh, anjing mungkin menjilat kencing haiwan yang dijangkiti dari rumput atau tanah, atau minum dari lopak

yang dijangkit. Terdapat laporan menyatakan bahawa anjing belaan di rumah lebih terdorong dijangkiti penyakit ini kerana menjilat kencing tikus yang diperolehi apabila memasuki rumah. Selain itu, jenis habitat yang berkemungkinan turut membawa bakteria berjangkit ini adalah tebing sungai berlumpur, terusan, longkang, dan kawasan peliharaan ternakan. Penyakit kencing tikus ini juga boleh disebarkan melalui air mani haiwan dijangkiti. Pekerja rumah penyembelihan kebiasaannya akan dijangkiti melalui sentuhan dengan cecair badan dan darah. Manusia boleh dijangkiti melalui hubungan dengan air, makanan, atau tanah yang mengandungi kencing haiwan yang dijangkiti ini. Hal ini mungkin berlaku dengan menelan makanan atau air yang telah dicemari, atau melalui sentuhan luka pada kulit. Penyakit ini tidak diketahui berjangkit dari manusia ke manusia dan kes penyebaran bakteria pada mereka yang sedang sembuh amat jarang bagi manusia. Seterusnya, kencing tikus kebiasaannya berlaku dalam kalangan peminat sukan air di kawasan tertentu kerana lama berendam yang boleh menggalakkan kemasukan bakteria. Peluncur ski turut berisiko tinggi di kawasan yang diketahui mempunyai bakteria, dan boleh berjangkit apabila ternelan atau terminum air tercemar, menyimbah air tercemar terseut pada mata atau hidung, atau luka yang telah terdedah kepada air yang tersebut. Hadirin yang saya hormati sekalian, Pada peringkat awal penyakit ini dikesan di Malaysia, kebanyakan pesakit menunjukkan simptom demam kuning atau nama saintifiknya ialah Jaundis. Selain daripada itu, petanda seperti demam panas, sakit-sakit otot, sakit kepala, muntah, cirit-birit dan mata merah merupakan simptom yang dialami oleh pesakit-pesakit kencing tikus ini. Sejajar dengan itu, ruam, demam kuning dan sensitiviti mata terhadap cahaya mula menyerang beberapa hari kemudian setelah simptom-simptom yang di sebut sebentar tadi mulai reda. Hal ini mengakibatkan penglihatan pesakit pula menjadi sedikit kabur. Apabila simptom ini telah mencapai satu tahap di mana keadaan menjadi semakin kritikal,simptom meningitis iaitu radang selaput otak,kerosakan hati sehingga menyebabkan demam kuning, dan kegagalan buah pinggang mula menyerang pesakit. Sehubungan itu, simptom-simptom ini boleh berlarutan sehingga beberapa hari dan mungkin juga berterusan selama berminggu-minggu. Malah ada juga pesakit yang mengalami

kemurungan dan sakit kepala yang berterusan. Tambahan pula, jika dilihat melalui peratusan

simptom penyakit tikus ini ada diantaranya 7% sehingga 40% pesakit mengalami sakit otot, pembesaran limpa atau hati, bengkak salur kelenjar, sakit tekak, kekerasan otot, perubahan bunyi dan radang paru-paru atau ruam. Di samping itu, simptom kencing tikus lazimnya kelihatan begitu umum dan pesakit biasanya beransur pulih selepas kira-kira lima hari. Jadi, tidak mustahil pada kebanyakan masa, simptom kencing tikus ini sering disalah diagnosiskan sebagai demam panas, selsema atau petanda biasa yang lain kerana simptom yang meluas. Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian, Rentetan itu, proses penyembuhan penyakit ini memakan masa yang lama.Pesakit-pesakit kencing tikus kadangkala mengalami keletihan kronik yang berlarutan selama berbulan. Malah, ada juga pesakit yang mengalami kemurungan dan sakit kepala berterusan. Pada kebiasaannya bakteria kencing tikus ini boleh tinggal di dalam mata untuk satu jangka masa yang lama dan hal ini boleh mengakibatkan radang mata.Sehubungan dengan itu, penyakit kencing tikus ini juga boleh menjadi lebih kronik lagi hal ini demikian kerana penyakit ini diyakni kegagalan buah pinggang, sakit kuning, pendarahan pada kulit dan juga selaput lendir. Selain itu, Meningitis atau lebih dikenali sebagai radang selaput otak dan pendarahan paru-paru juga boleh berlaku, seterusnya penyakit kencing tikus ini lambat laun boleh membawa maut. Pada masa yang sama, secara tidak langsung penyakit kencing tikus ini memberi impak yang besar kepada ekonomi pelancongan negara kita. Menurut laporan dari Utusan Malaysia,

penyakit kencing tikus ini mulai mendapat perhatian apabila kes yang berlaku di Kedah yang mengakibatkan seorang mangsa disahkan maut manakala tiga orang lagi telah dimasukkan ke Hospital Bukit Martajam, Pulau Pinang setelah mereka berkelah di kawasan rekreasi Latar Bayu Baling, Kedah. Justeru hal ini menyebabkan kawasan rekreasi tersebut terpaksa ditutup kerana kawasan tersebut telah dicemari dan hal ini menyebabkan ekonomi pelancongan tidak dapat di jalankan di situ lagi sehingga tempat tersebut di sahkan selamat. Hadirin dan hadirat sekalian, Penyakit kencing tikus atau lebih dikenali sebagai Leptospirosis ini mendatangkan kemudaratan kepada kita. Leptospirosis ini adalah penyakit yang boleh dielakkan. Justeru itu, terdapat

beberapa langkah penjagaan yang boleh diamalkan bagi mencegah penyakit ini. Antaranya ialah dengan mewujudkan persekitaran yang bersih melalui aktiviti gotong-royong. Orang ramai perlulah peka terhadap persekitaran yang bersih dan sihat. Hal ini kerana langkah ini dapat mencegah bakteria kencing tikus ini dari terus merebak. Selain itu, orang ramai perlu mengelak daripada melakukan aktiviti rekreasi atau berenang di tempat-tempat yang berisiko dan dicemari oleh urin haiwan terutama sekali dikawasan perkelahan yang mempunyai sungai. Rentetan itu, mengitar semula barang juga merupakan langkah yang dapat mengurangkan bakteria kencing tikus ini daripada merebak. Hal ini demikian kerana ,mengitar semula barang dapat mengurangkan longgokkan sampah sarap. Tambahan lagi kawalan kehadiran tikus

dikawasan persekitaran dengan memastikan kebersihan yang optimum. Orang ramai juga disarankan supaya membuang semua sampah sarap dan mengemaskan sisa-sisa makanan bagi mengelakkan kehadiran tikus. Seterusnya dapat mengurangkan pembiakan haiwan perosak dikawasan tempat tinggal kita. Sehubungan dengan itu orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengunjungi kawasan yang mempunyai air yang bertakung dan terdedah terutama sekali dikawasan iklim tropika. Jika anda terdedah kepada kawasan yang berisiko, pengambilan ubat Doxycycline boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit ini dan jika terdapat kesan yang memudaratkan pesakit dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor dalam kadar yang segera. Hadirin dan hadirat sekalian, Langkah terakhir yang akan saya kongsikan ialah amalan sentiasa mencuci bekas makanan atau minuman sebelum digunakan. Selain bekas makanan dan minuman, tin-tin minuman yang dibeli di kedai ataupun kedai makan haruslah dicuci dahulu. Ini kerana, tin minuman tersebut lebih terdedah kepada kencing tikus yang disimpan di dalam stor. Ramai antara kita mengambil sikap sambil lewa terhadap langkah ini kerana dari mata kasar kita tidak dapat melihat apa yang ada di bekas makanan dan minuman kita. Bermulanya hari ini, kita mestilah membiasakan diri kita sentiasa mencuci bekas makanan atau minuman dan tin minuman kita. Jadikan amalan ini amalan yang wajib dalam diri kita supaya kita dapat mencegah penyakit Leptospirosis dari awal dan pada masa yang sama kita dapat menjaga kebersihan. Amalan tersebut bukan hanya dilakukan di sesetengah tempat, tetapi kita mestilah sentiasa menjalankan amalan tersebut dimana-mana sahaja dan sentiasa beringat-ingat antara keluara dan sahabat handai. Sebahagian dari kita mungkin tidak menjadikan kegiatan mencuci tin minuman dan bekas-bekas makanan

dan minuman sesuatu kebiasaan. Oleh itu, kita bolehla mempraktikkan dengan menulis di tempat bekas-bekas makanan kita dengan menulis Sila Cuci Dahulu sebelum kita menggunakannya. Kita boleh mempraktikkan di rumah ataupun di pejabat. Bagi yang mempunyai anak kecil, kita mestilah sentiasa mencuci alat permainan mereka kerana mereka lebih cenderung meletakkan alat permainan mereka didalam mulut. Bagi yang mempunyai premis-premis makanan haruslah bersama-sama membantu mencegah penyakit ini dengan sentiasa mencuci tin-tin minuman sebelum di hidangkan kepada pelanggan. Pemilik premis haruslah sentiasa menjaga kebersihan kedai supaya bebas daripada tikus. Langkah berjaga-jaga dalam memastikan kebersihan

mestilah ada di dalam diri kita supaya kita sentiasa peka dengan penyakit-penyakit di persekitaran kita. Sebagai ibu bapa, saya berharap kita semua dapat menjalankan tanggungjawab kita terhadap anak-anak kita bukan sahaja dari segi pembelajaran mereka tetapi mendedahkan mereka dengan penyakit Leptospirosis ini. Anak-anak kita, terutamanya yang bersekolah ataupun di institusi mereka lebih terdedah dengan penyakit Leptospirosis kerana mereka lebih suka membeli makanan ataupun minuman di luar berbanding makan makanan di rumah. Sekirannya kita dapat memberi kesedaran tentang bahayanya penyakit ini dan langkah-langkah mencegahnya, tidak mustahil statistik penyakit ini dapat dikurangkan. Saya berharap penduduk Kota Samarahan dapat menjadi salah satu tempat yang bebas daripada penyakit Leptospirosis dan menjadi salah satu daerah yang dapat mengekalkan angka sifar dalam statistik penyakit Leptospirosis dalam negeri Sarawak. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, sebelum saya menamatkan ucapan saya ini, dengan ini saya merasmikan Kempen Cegah Penyakit Merebak: Leptospirosis 2013. Saya memanjatkan jutaan terima kasih atas sokongan daripada semua penduduk Kota Samarahan yang bersama-sama menjayakan kempen ini. Assalamualaikum dan sekian terima kasih.