Anda di halaman 1dari 2

Keseronokan ruh kembali menemui Allah

Oleh: M.N.Hafiza
Maut atau kematian merupakan kalimat yang digeruni bagi setiap makhluk
bernyawa. Masing-masing mahu mengelak jika berupaya dan akan
menangguhkannya jika diberi peluang. Namun hakikatnya saat kematian
menjadi rahsia Tuhan Sekalian Alam dan semua makhluk pasti akan
merasainya.
Mahmud Bin Labiid menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Manusia membencikan kematian; sedangkan kematian itu lebih baik
daripada fitnah (syirik, kekufuran atau rintangan yang menghalangi dari
jalan Allah)” [H.R. Imam Ahmad Bin Hambal dalam kitab “Musnad”nya dan
R.Sa’iid Bin Mansur dalam “sunan”nya dengan sanad yang sahih]
Manakala Abdullah Bin ‘Amr meriwayatkan: “Dunia (dan kesukaannya)
adalah syurga bagi orang kafir dan (sebaliknya) adalah neraka bagi orang
mukmin; dan sesungguhnya perbandingan orang mukmin dikala jiwanya
(dicabut) keluar adalah seperti seorang banduan yang telah berada didalam
penjara, maka dia dikeluarkan daripadanya, maka jadilah dia bebas di bumi
serta dapat merasai keselesaan didalamnya.”
Sebagaimana Abdullah Bin ‘Amr Bin Al-‘Aash memberitakan bahawa
Rasulullah SAW bersabda :
“Dunia itu penjara orang mukmin dan jalan (caranya ke akhirat); maka
apabila dia berpisah dari dunia, dia adalah berpisah dari penjara dan jalan
(sistemnya).” [H.R. Ibnu Al-Mubaarak dlm kitab ‘Az-Zuhd’ dan At-Tabaraani
dlm kitab ‘Mu’jam Al-Kabiir”]
Ummul Mukminin A’isyah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
“Mati itu (ibarat) harta rampasan bagi orang-orang mukmin.” [H.R. Ad-
Dailami]
Berkata para ulama : “Mati itu bukanlah semata-mata ‘tiada’ sahaja, dan
bukanlah hilangnya kefanaan (kerosakan/kesementaraan), akan tetapi ianya
adalah suatu keadaan dimana terputusnya hubungan akrab ruh dan jasad,
berlakunya perpisahan dan penceraian antara keduanya. Seterusnya berubah
keadaan dan berpindahnya dari sebuah negeri ke sebuah negeri”.
Malahan Bilaal Bin Sa’d memberitakan bahawa “Sesungguhnya kamu
tidaklah sekali-kali diciptakan untuk (urusan) sementara, malahan kamu
diciptakan untuk hidup kekal abadi; akan tetapi kamu akan dipindahkan dari
sebuah negeri (dunia) kepada sebuah Negara (akhirat)”.
Namun bagi hamba Allah yang beriman, beramal soleh dan bertakwa, Waktu
kematian adalah berita gembira serta saat-saat terindah untuk bertemu
Kekasihnya (Allah SWT) itulah yang dimaksudkan “Keseronokan ruh kembali
menemui Allah”.
Begitulah maksud firman Allah dalan Surah Al-Fajr 27-28 : “Wahai orang
yang mempunyai jiwa yang senantiasa tenang, tetap dengan kepercayaan
dan bawaan baiknya!, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau
berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan), lagi diredhoi (di sisi
Tuhanmu)!.
Menurut berita dari sebuah hadis Marfuu’ (hadis Marfuu’ adalah hadis yang
berupa perkataan, perbuatan dan taqrir (restuan) yang dihubungkan kepada
Nabi SAW): “Sesungguhnya seorang mukmin itu apabila dia hampir mati dan
melihat apa yang disediakan Allah untuknya, nescaya dirinya menjadi ingin
benar-benar untuk keluar (dari jasad dan dunia). Maka disana dia lebih suka
untuk menemui Allah, sedangkan Allah juga lebih suka untuk menemuinya.
Dan sesungguhnya seorang kafir itu apabila hampir mati dan dia melihat apa
yang disediakan Allah, nescaya dirinya menjadi benci untuk menemui Allah
sedang Allah (pula) benci untuk menemuinya.” [H.R. Ibnu Abi Ad-Dun-ya]
Bapa Ibnu Al-Khazraji memberitakan bahawa dia mendengar Rasulullah SAW
bersabda dikala melihat Malakul-Maut dihujung kepala seorang lelaki orang
Anshar dimana Nabi berkata: “Wahai Malakul-Maut, berlaku lemah lembutlah
kepada sahabatku (ini); kerana sesungguhnya dia seorang mukmin.”
Maka Malakul-Maut pun menjawab: “Perbaguskanlah diri dan tenangkanlah
hati; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya saya bersikap lemah lembut
kepada setiap orang mukmin.” [H.R. At-Tabaraani - serta Abu Nu’aim dan
Ibnu Munabbih dalam kitab “Al-Ma’rifah” menerusi Ja’far B. Muhammad
menerusi bapanya]
Ibnu Juraij memberitakan bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Ai’syah :
“Apabila seseorang mukmin itu melihat para malaikat (dengan mata kepala),
mereka (malaikat) akan bertanya: “Inginkah engkau sekiranya kami
mengembalikan engkau ke dunia?” mukmin itu menjawab: “... ke negeri
sedih dan dukacita (medan ujian dan cubaan)?, kerana itu segeralah
membawa kami kembali kepada Allah Ta’ala.” [H.R. Ibnu Jariir At-Tabari dan
Ibnu Mundzir]
Firman Allah : “Katakanlah (wahai Muhamad), sesungguhnya aku hanyalah
seorang manusia seperti kamu, diwahikan kepadaku bahawa Tuhan kamu
hanyalah Tuhan Yang Satu; oleh itu sesiapa yang percaya dan berharap akan
pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang salih,
dan janganlah ia mempersekutukan sesiapa pun dalam ibadahnya kepada
Tuhannya.” [surah Al-Kahfi 110]
Dipetik dari Kitab Al-Imaam Jalaaludin As-Sayuuti: Terjemahan oleh Abdullah
Al-Qari Haji Salleh dengan tajuk “Keseronokan Ruh Kembali Menemui Allah
(Kekasih)” Terbitan Al-Hidayah Publisher