Anda di halaman 1dari 4

TEORI PEMBELAJARAN ABRAHAM MASLOW

Teori Abraham Maslow Abraham Harold Maslow menghasilkan peringkat keperluan manusia supaya mereka dapat mencapai potensi diri masing-masing. Terdapat dua peringkat iaitu kekurangan keperluan (deficiency needs) dan keperluan perkembangan (growth needs). Pada peringkat kekurangan keperluan, terdapat keperluan fisiologi, keselamatan, kasih sayang dan penghargaan yang perlu dipenuhi peringkat demi peringkat supaya kita akan terus bermotivasi ke arah pencapaian yang lebih tinggi iaitu keperluan perkembangan yang terdiri daripada pencapaian intelek, estetika dan penyempurnaan kendiri. Sekiranya kita berusaha mengembangkan lagi minat dan kecenderungan dalam akademik atau seni estetika, kita akan mencapai potensi yang menyeluruh iaitu penyempurnaan kendiri. Teori Keperluan Abraham Maslow Berdasarkan Atan Long (1976 : 131), Maslow (1954) telah menjelaskan bahawa keperluan-keperluan manusia itu berperingkat-peringkat. Keperluan peringkat yang paling rendah perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum memenuhi peringkat keperluan yang paling tinggi. Ini bermakna kita perlu melalui setiap peringkat. Peringkat yang paling asas terdiri daripada keperluan fisiologi. Setelah keperluan ini dipenuhi barulah keperluan keselamatan, diikuti keperluan kasih-sayang, seterusnya peringkat penghargaan kendiri atau penghormatan diri, penyempurnaan diri, keperluan mengetahui dan peringkat tertinggi bagi keperluan manusia adalah peringkat keperluan bagi penyempurnaan kendiri. 1)Keperluan Fisiologi Mengikut teori Maslow, peringkat ini merupakan keperluan yang paling asas yang sangat penting kepada kehidupan sesuatu organisme termasuklah manusia. Keperluan asas ini terdiri daripada perkara yang diperlukan oleh semua orang seperti keperluan mendapatkan makanan, minuman dan tempat tinggal. Dalam konteks pendidikan, murid tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pelajaran mereka sekiranya kurang mendapat makanan sehingga boleh menjejaskan kesihatan mereka. Keperluan seks juga termasuk dalam keperluan asas manusia. Keperluan ini diperlukan apabila seseorang itu mencapai peringkat baligh dan perlu berkahwin untuk memenuhinya. 2) Keperluan Keselamatan Keperluan ini biasanya sangat diperlukan oleh seseorang yang kecil daripada orang dewasa. Kanak-kanak kecil yang tidak dapat hidup dengan sendirinya dan memaksa

ia bergantung kepada orang dewasa terutama ibu bapa untuk mendapatkan perlindungan. Contohnya, seorang kanak-kanak amat memerlukan jagaan ibu bapa ketika jatuh sakit. Hasil penyelidikan yang dibuat oleh Harlow dan Zimmerman (1958) berdasarkan kajiannya turut menunjukkan betapa pentingnya perdampingan dan sentuhan orang dewasa kepada seseorang kanak-kanak. Ketika di dalam kelas pula, keselamatan yang diperlukan oleh murid daripada seorang guru adalah dalam bentuk disiplin. Guru diperlukan untuk mengajar murid mendisiplinkan diri kerana mereka tidak boleh mendisiplinkan diri mereka sendiri. Murid juga akan berasa selamat sekiranya guru bersikap toleransi terhadap mereka dan membolehkan mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap proses pembelajaran. 3) Keperluan Kasih Sayang. Keperluan ini diperlukan untuk mendapatkan hubungan yang mesra, kasih-sayang, dan perasaan diri. Kebiasaan yang berlaku di dalam kelas, sering terjadi perkelahian atau perbalahan antara satu sama lain sehingga menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian terhadap proses pembelajaran kerana emosi mereka tidak berada dalam keadaan stabil. Murid-murid juga akan merasakan diri mereka seolaholah tidak disukai, dihargai atau tidak dipedulikan oleh guru sekiranya mereka dimarahi oleh guru mahupun kawan-kawan. Kesannya keinginan, minat, kehendak atau motivasi mereka untuk belajar akan menurun. 4) Keperluan Penghargaan Kendiri Satu unsur besar dalam pembinaan konsep kendiri adalah penerimaan. Penerimaan bermaksud menghargai sifat-sifat istimewa individu sebagai manusia unik yang berbeza dengan individu lain dari segi sikap, pengetahuan dan kemahiran. Ianya juga bererti memberi peluang kepada individu belajar menerima diri mereka sendiri. Penerimaan oleh keluarga, guru dan rakan sebaya amatlah penting. Bagi kanak-kanak, penerimaan rakan sebaya penting supaya mereka tidak merasa terpinggir. Murid yang diterima oleh rakan sebaya sering memperoleh prestasi akademik yang tinggi berbanding individu yang tidak diterima rakan sebaya kerana mereka dapat berbincang tentang masalah pembelajaran dalam kumpulan. Berdasarkan Saedah, Zainun dan Tunku Mohani (1996:13) mengungkap kata-kata Kubiniec, 1970, Orang yang mempunyai konsep diri yang kuat lebih berkemungkinan mencapai kejayaan akademik. 5) Keperluan Penyempurnaan Kendiri Berdasarkan (Shaffer,1985), konsep kendiri adalah pengertian atau kefahaman seseorang terhadap dirinya sebagai individu yang asing yang memiliki satu ciri-ciri yang unik atau istimewa. Ianya juga membawa maksud bagaimana seseorang

individu itu berpendapat dan menganggap tentang dirinya sendiri. Penyempurnaan kendiri pula bermaksud apa yang seseorang ingin jadi, ianya mesti jadi berasaskan kepekaan dan kesedaran tentang kekuatan dan kelemahannya. Kesedaran itu pula diperoleh daripada maklum balas, gerak balas atau reaksi individu lain sepanjang pergaulan, sosialisasi atau interaksi dengan individu lain. 6)Keperluan Mengetahui Keperluan ini berkaitan dengan perasaan ingin tahu sesuatu perkara. Individu tersebut perlu mencari, menyusun serta menganalisis sesuatu maklumat. Dalam konteks sekolah, kaedah inkuiri penemuan dan kajian perlu diajar oleh guru supaya semua pelajar dapat melibatkan diri dalam proses mencari maklumat dan pemikiran reflektif. 7)Keperluan Estetik Keperluan estetik adalah merujuk kepada keperluan manusia untuk memiliki dan memahami keindahan dan kecantikan dalam dirinya. Perasaan ini boleh diperoleh dengan cara memiliki barangan yang cantik dan mempunyai unsur-unsur kesenian dalam dirinya. Kesannya, manusia sanggup membelanjakan beratus malahan beribu ringgit untuk memiliki barangan yang indah. Di sekolah pula, guru perlu menggalakkan murid supaya lebih melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dapat mengembangkan otak kanan mereka seperti dalam bidang drama, muzik dan sebagainya. Implikasi Teori Pembelajaran Abraham Maslow Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran Guru perlu memastikan keperluan fisiologi murid telah dipenuhi terlebih dahulu. Keperluan ini dapat disediakan dengan adanya masa rehat supaya murid dapat makan juga berehat untuk seketika dan menyediakan bilik darjah yang mempunyai pengudaraan yang baik. Memenuhi keperluan fisiologi dapat membantu murid berasa selesa dan bersemangat untuk belajar. Guru hendaklah sentiasa memberi peneguhan positif seperti pujian, senyuman atau hadiah kepada muridnya apabila mereka menunjukkan tingkahlaku positif. Murid akan terasa disayangi dan dihargai. Dengan ini aras motivasi dalam diri mereka dapat dipertingkatkan seterusnya dapat meningkatkan prestasi murid-murid dalam pelajaran. Guru perlu memikirkan strategi pengajaran dan pembelajaran yang dapat menarik minat muridnya untuk belajar. Guru perlu memastikan setiap murid berasa seronok dan aktif dengan aktiviti yang dirancangkannya. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan seperti membawa murid ke perpustakaan atau makmal komputer untuk

mencari maklumat tentang topik-topik yang berkaitan dengan pelajaran yang dipelajari ataupun mengadakan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat yang bersejarah atau tempat yang sesuai dengan pelajaran. Selain itu, guru perlu menyediakan bilik darjah yang kondusif dan selamat seperti susunan meja dan kerusi yang teratur, saiz meja dan kerusi yang sesuai dengan saiz murid, peraturan bilik darjah yang sesuai dan ruang bilik darjah yang mencukupi. Dengan ini, murid dapat melibatkan diri dan menumpukan perhatian dalam pembelajaran dijalankan. Persekitaran ini mampu merangsang minat dan semangat murid untuk terus belajar. Murid-murid juga mudah bergerak dalam bilik darjah semasa aktiviti-aktiviti dijalankan di dalam bilik darjah. Guru juga perlu memberi tunjuk ajar kepada mereka dengan menasihati mereka supaya sentiasa menjalinkan hubungan yang baik sesama mereka tanpa sebarang pergaduhan atau persengketaan. Cara ini dapat membantu murid merasakan bahawa mereka diterima, dihormati serta dihargai oleh anggota lain dalam komuniti yang kecil. Kesannya, proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan baik, harmonis dan berkesan. Tugasan yang sesuai dengan keupayaan murid perlu diberikan supaya mereka mampu membuatnya. Perkara ini akan menyebabkan mereka merasakan diri mereka penting apabila mereka berjaya melaksanakan sesuatu tugasan dengan sebaiknya. Murid akan menjadi lebih berkeyakinan seterusnya keinginan dan minat mereka untuk terus belajar dan berjaya akan meningkat. Guru bertanggungjawab dalam memastikan tidak ada muridnya yang gagal atau tercicir untuk mengelakkan mereka daripada berasa rendah diri, kecewa dan tidak dihargai sehingga enggan belajar.