Anda di halaman 1dari 13

IBN KHALDUN DAN PEMERKASAAN BUDAYA DAN TAMADUN

DENGAN MERUJUK KEPADA "AL-MUQADDIMAH"


OLEH:
MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY
Insha’ Allah dalam nota ini akan ditumpukan perhatian kepada beberapa segi pemikiran
Ibn Khaldun (Allahu yarhamuh) yang menyentuh pengajarannya berkenaan dengan
peradaban dan budaya, ciri-cirinya, faktor-faktor pembentukannya, dan sebab-sebab
yang menguatkannya. Perbincangan ini akan dilakukan dengan mengaitkannya dengan
perkembangan semasa, dan bagaimana ajarannya ini boleh dimanafaatkan bagi
menangani perubahan budaya dan menguatkannya apa lagi dalam menghadapi
pelbagai cabaran dalam zaman globalisasi ini. Percubaan yang bercorak sederhana ini
diharapkan akan disempurnakan oleh mereka yang mahir dalam bidang ini. Allahumma
amin.

Riwayat hidup secara ringkas(1) Nama beliau ialah Wali al-Din ‘Abd al-Rahman ibn
Muhammad ibn Abi Bakr Muhammad ibn al-Hasan ibn Khaldun, dilahirkan di Tunis
tahun 1332, dan meninggal dunia di Kahirah, tahun 1406. Kawasan Khalduniyah di
Tunis masih ada sekarang hampir-hampir tidak berubah, dengan rumah yang
dipercayai tempat kelahirannya.
Sebagaimana yang beliau sebutkan sendiri dalam riwayat hidupnya (at-Ta’rif bi’bni
Khaldun) keluarganya berasal dari keturunan Khaldun yang berketurunan Arab Selatan,
yang datang ke Sepanyol dalam tahun-tahun awal masa pembukaan Sepanyol oleh
tentera Arab Muslimin; kemudian mereka menetap di Carmona, kemudian berpindah ke
Seville dan memainkan peranan penting dalam perang-perang saudara di abad ke 9 itu,
dan mereka dianggap termasuk ke dalam satu daripada tiga keluarga yang terpenting
dalam kota itu.
Dalam abad-abad berikutnya keluarga Ibn Khaldun itu secara berturutan memegang
jawatan-jawatan pentadbiran dan politik yang tinggi di bawah pemerintahan kerajaan
Umayyah, al-Murabitun dan al-Muwahhidun; ahli-ahli lain keluarga itu berkhidmat
dalam tentera dan beberapa orang dari mereka terkorban dalam peperangan az-
Zallaqah (1086) yang buat sementara waktu menghentikan pengambilan kembali
Sepanyol oleh tentera Kristian. Bagaimanapun selepas kejatuhan Seville, keluarga Ibn
Khaldun itu berpindah ke Tunis, di mana Ibn Khaldun dilahirkan, dan juga di mana
beliau mendapat pendidikan awalnya. Di sana juga, semasa dalam umur belasan tahun
beliau masuk dalam perkhidmatan Sultan Mesir iaitu Sultan Barquq; bagaimanapun
minatnya kepada ilmu dan pendidikan menyebabkan beliau meninggalkan
perkhidmatan itu dan berpindah ke Fez; di sini timbul lama suasana tidak tenang dari
segi politiknya yang ditandai dengan persaingan dari segi politik yang memberi kesan
atas kerjayanya.
Masa yang tidak aman ini termasuk ke dalamnya masa tiga tahun yang di dalamnya
beliau berlindung di kampung kecil Qalat ibn Salamah di Algeria, di situlah beliau
berpeluang untuk mengarang kitab al-Muqaddimahnya yang terkenal itu, yang berupa
jilid pertama dari kitab sejarah dunia yang menjadikan beliau mendapat nama yang
kekal abadi antara para ahli sejarah, sosiologi dan falsafah. Keadaan tidak menentu
dalam kerjayanya masih berterusan, dengan negeri Mesir menjadi tempat ia menetap
dalam 24 tahun terakhir dalam umurnya. Di sini beliau hidup dalam keadaan mendapat
kemasyhuran dan penghormatan sehingga beliau dilantik sebagai Ketua Hakim dalam
mazhab Maliki dan juga guru yang memberi kuliah di Universiti al-Azhar yang masyhur
itu; tetapi dikatakan kedengkian menyebabkan beliau dipecat dari jawatannya
sebanyak lima kali.
Dalam hidupnya Ibn Khaldun tepaksa berpindah dari suatu istana kepada sebuah istana
yang lain, kadang dengan hasratnya sendiri, kadang-kadang terpaksa melakukan
demikian kerana rancangan seteru-seterunya atau raja-raja yang berkuasa penuh.
Beliau mendapat banyak pengajaran daripada hubungannya dengan para pemerintah,
duta-duta, ahli-ahli politik dan para ulama dan sarjana di Afrika Utara, Sepanyol di
bawah kerajaan Islamnya, Mesir, dan lain-lain wilayah Islam.
Kitabnya yang terkenal sekali ialah al-Muqaddimah (“Pendahuluan”) yang merupakan
kitab terbesarnya (“masterpiece”nya) dalam persuratan tentang sejarah, falsafah dan
sosiologi, termasuk pendidikan. Tema utama dari kitab yang “monumental” ini ialah
untuk mengecamkan fakta-fakta psikologi, ekonomi, alam sekitar, dan kemasyarakatan
yang memainkan peranan dalam proses memajukan dan mengkedepankan peradaban
manusia dan perjalanan sejarahnya. Beliau membuat analisis tentang dinamika
hubungan kumpulan-kumpulan dan menunjukkan bagaimana kesetiakawanan, atau
perpaduan sosial (al’-asabiyyah) melahirkan satu tamadun baru dan juga kekuasaan
siasah. Ia mengecamkan adanya ulangan yang berlaku hampir-hampir sebagai rentak
yang sama dengan berulang-ulang dalam proses nai turun dan jatuhnya peradaban
manusia dan beliau membuat analisis tentang faktor-faktor yang membawa ke arah
yang demikian.(2).
Pandangan-pandangan beliau yang revolusionari dan asli itum menarik perhatian ulama
dan sarjana Islam, dan juga para pemikir Barat. Dalam pemerhatiannya tentang
pengajian sejarah beliau berupa sarjana pertama, pengasas, dalam meletakkan
laporan-laporan sejarah di bawah dua ujian iaitu ujian kemanasabahan pada akal dan
ujian undang-undang sosial dan fisikal yang diperhatikan.Beliau menunjukkan ada
empat perkara dalam penelitian dan analisis laporan sejarah:(3)
1. menghubungkan peristiwa-peristiwa satu dengan yang lainnya melalui kaedah
sebab dan musabab;
2. mengambil kiasan antara yang telah lalu dengan apa yang berlaku masa hadhir;
3. mengambil kira kesan dari alam sekitar dalam apa yang berlaku;
4. mengambil kira kesan daripada keadaan-keadaan perekonomian dan perkara-
perkara yang diwarisi.
Ibn Khaldun memulakan pengajian sejarah secara kritikal. Beliau memberi pengajian
dan penelitian secara analisis ke atas peradaban manusia, permulaannya, faktor-faktor
yang membawa kepada pembangunannya, dan juga faktor-faktor yang membawa
kepada kejatuhannya. Dengan itu nampaknya beliau mula mengasaskan satu ilmu
baharu, iaitu ilmu berkenaan dengan pembangunan sosial atau sosiologi sebagaimana
yang dipanggil sekarang ini.Beliau menulis demikian: "Saya telah menulis dalam bidang
sejarah sebuah buku yang di dalamnya saya bincangkan sebab-sebab dan kesan-kesan
pembangunan dan perkembangan negara-negara dan peradaban-peradaban, dan saya
ikuti satu cara yang bukan biasa dilakukan orang bagi menyusun bahan-bahan kitab
itu, dan saya ikuti jalan yang bukan biasa dilakukan dan yang baharu dalam
menulisnya”. Dengan memilih kaedah atau cara istimewa dan baharu dalam analisis , ia
mencipta dua ilmu baharu iaitu Historiologi atau analisis dan kajian sejarah sebagai
ilmu khusus dan juga sosiologi sekaligus.
Beliau berhujah menyuatakan bahawa sejarah adalah tertakluk kepada undang-undang
sarwajagat dan ia menyatakan kriteria untuk kebenaran sejarah.
"Kaedah untuk membezakan antara apa yang benar dan apa yang palsu dalam sejarah
ialah berdasarkan kepada kemungkinannya berlaku atau mustahilnya berlaku. Ertinya
ialah: kita mesti memeriksa masyarakat manusia dan bezakan antara ciri-ciri yang
bersifat asasi yang penting dan yang tidak boleh terpisah daripadanya dalam tabiat
kejadiannya dan apa yang bersifat mendatang, dan yang tidak perlu diambil kira,
dengan mengenali secara lebih jauh lagi apa yang tidak mungkin menjadi milik
baginya.Kalau kita lakukan ini, maka kita ada peraturan untuk membezakan kebenaran
sejarah daripada kesilapan dengan cara kaedah pendalilan (‘kaedah demonstratif’)
yang tidak ada syak lagi padanya.Ianya dasar yang murni yang dengannya ahli sejarah
boleh mengesahkan apa-apa yang mereka laporkan." (4).
Oleh kerana beliau memberi penekanan kepada akal fikiran dan keperluannya dalam
menghakiki sejarah dan peristiwa-peristiwa kemasyarakatan, setengah sarjana
mendakwa beliau cuba menolak pengetahuan agama yang biasa dan konvensyenal dan
menggantikannya akal fikiran dan falsafah rasional. Ini tidak berasas samasekali.Boleh
diperhatikan bahawa setengah alirah erfikir mengajar perkara-perkara yang tidak
rasional tetapi ini bukan sifat Islam yang selalu memberi penekanan kepada
pemerhatian dan pencerapan serta pemikiran, dan iana memberi peringatan kepada
mereka yang tidak membawa iman kerana tidakmenggunakan akal fikiran dan
renungan. Dalam Surah al-Baqarah: ayat 164 terdapat ayat yang bermaksud:
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dalam pergantian siang dan malam,
dan berlayarnya kapal-kapal melalui lautan untuk faedah umat manusia, dan hujan
yang Tuhan turunkan dari langit, dan kehidupan yang diadakanNya melaluinya kepada
bumi yang mati, dan haiwan-haiwan semua jenisnya yang ada di serata bumi, dan
perubahan angin dan awan yang mengekori yang ditundukkan antara langit dan bumi -
(di dalam ini semuanya) sesungguhnya ada tanda-tanda bagi orang-orang yang
bijaksana dan berfikir”. Dan dalam (2.170), ada ayat yang bermaksud:” Bila dikatakan
kepada mereka: "Ikutilah apa yang Allah telah wahyukan". Mereka berkata: 'Tidak:
kami akan ikuti jalan-jalan datuk nenek kami". Apa? walaupun datuk nenek mereka
tidak mempunyai mempunyai ilmu kebijaksanaan atau akal serta bimbingan?
Tentang kaedah penyelidikan beliau memberi penekanan tentang perlunya perkara-
perkara kemasyarakatan dan peristiwa sejarah diberi analisis secara saintifik dan
objektif. Beliau menyatakan bahawa semua yang berlaku dalam sejarah dan
mesyarakat itu bukannya hasil daripada perkara-perkara yang berlaku secara
berkebetulan, tetrapi semuanya dikawal oleh undang-undangnya yang tersendiri,
undang-undang yang boleh dicari dan didapati dan kemudian boleh diaplikasikan dalam
penyelidikan tentang masyarakat, tamadun dan sejarah.Beliau menyatakan bahawa
para ahli sejarah membuat kesilapan dalam penyelidikan mereka tentang peristiwa
sejarah kerana tiga faktor.
1. kejahilan mereka tentang hakikat dan keadaan peradaban dan umat manusia;
2. sikap prejudis atau prasangka mereka;
3. sikap mereka bertaklid mengikut laporan-laporan yang diberi olehorang lain
tanpa usul periksa.
Ibn Khaldun menunjukkan bahawa kemajuan yang sebenarnya serta pembangunan
datang melalui kefahaman yang tepat tentang sejarah dan kefahaman yang tepat dan
benar itu boleh dicapai melalui pemerhatian terhadap tiga perkara penting.
1. Seseorang ahli sejarah itu hendaklah jangan ada prasangka dengan apa cara
sekalipun samaada pro atau kontra terhadap sesuatu perkara samaada manusia
atau idea.
2. Seseorang itu hendaklah mengesahkan dan memeriksa laporan-laporan yang
didapati. Ia hendaklah mempelajari apa yang boleh dipelajari seboleh-bolehnya
berkenaan dengan ahli-ahli sejarah dan laporan-laporan yang didengari dan
dibaca, dan seseorang itu hendaklah memeriksa akhlak mereka yang berkenaan
serta adakah mereka itu beramanah dalam ilmu sebelum diterima laporan-
laporan mereka.
3. Seseorang itu hendaklah jangan membataskan sejarah kepada penelitian
tentanhg sejarah politik dan ketenteraan sahaja ataupun berita-berita
berkenaan dengan para pemerintah dan negara-negara sahaja.Ini kerana
sejarah bukan sahaja terdiri daripada yang demikian sahaja bahkan terdiri
daripada penelitian terhadap suasana-suasana kemasyarakatan, keagamaan dan
perekonomian.
Al-Muqaddimah itu dikenali sebagai kitab yang penting semenjak dari masa hayat
pengarangnya sendiri lagi.Jilid-jilid kitabnya yang lain itu berbicara berkenaan dengan
sejarah dunia - Kitab al-‘Ibar - membicarakan sejarah bangsa Arab, sejarah para
penguasa semasa, penguasa-penguasa Eropah sezaman dengannya, sejarah Arab
zaman purba, Yahudi, Yunani, Rom, Parsi purba, dan sejarah islam, dan sejarah Mesir
dan sejarah Afrika Utara, terutamanya sejarah bangsa Barbar dan kabilah-kabilah yang
berdekatan. Jilid terakhir al-Tasrif, sebahagian terbayaknya membicarakan hal
kehidupan beliau sendiri. Sebagaimana halnya dengan kitab-kitabnya yang lain, ianya
ditulis dari segi perspektif analitikal dan memulakan cara baharu dalam menulis seni
biografi. Kitab yang ditulisnya tentang ilmu hisab tidak didapati.
Ringkasnya, pengaruh Ibn Khaldun dalam sejarah, falsafah sejarah, sosiologi, sains
politik, dan pendidikan -pendeknya jasanya dalam epistemologi Sunni - kekal dan
mendominasi sampai ke zaman kita ini. Beliau juga diakui sebagai pemimpin dalam
menulis biografi dan pembaharu dalam pendidikan dan psikologi pendidikan serta
penulisan persuratan yang indah dan tinggi kualitinya dalam Bahasa. Buku-bukunya
telah diterjemahkan ke dalam banyak bahasa Barat dan Timur, dan menimbulkan
pengaruh dalam perkembangan ilmu-ilmu. Al-Muqaddimahnya ada terjemahannya
dalam Bahasa Melayu (terbitan DBP) dan Bahasa Indonesia selain daripada terjemahan
Inggerisnya yang terkenal oleh Franz Rosenthal dalam tiga jilid itu.
Berkenaan Dengan Naik Turunnya Bangsa-Bangsa(5) Berkenaan dengan tajuk ini Ibn
Khaldun menyatakan bahawa bangsa-bangsa dan peradaban mengalami naik turunnya
dalam bentuk pusingan. Titik-titik yang menghubungkan pusingan atau gliliran ini
kerapkali terbayang dalam perangai dan tabiat para pemimpin atau penguasa dan juga
tabiat dan perbuatan ahli masyarakat yang berkanaan. Pada pendapat beliau pusingan
edaran itu selalu ada dalam masyarakat manusia dan sejarahnya, maka yang menjadi
perkara penting ialah usaha untuk mengecam hubungan dan saling kait mengait antara
faktor-faktor yanmgt berkenaan itu. Inilah kerja yang dilakukan pertama kalinya dalam
sejarahj oleh seorang pemikir, iaitu Ibn Khaldun. Beliau melakukan tugas ini dalam
kitab yang kita bicarakan iaitu al-Muqaddimah.
Berkenaan dengan buku penting ini Arnold Toynbee menyatakan bahawa ianya adalah
"A Philosophy of history which is undoubtedly the greatest work of its kind that has
ever yet been created by any mind in any time or place”(5) iaitu: "satu falsafah sejarah
yang tidak syak lagi merupakan karya teragung dalam jenisnya yang pernah dihasilkan
oleh mana-mana akal di manapun dan bila-bila pun".
Kehidupan Ibn Khaldun yang penuh dengan pelbagai macam peristiwa naik turun dan
kegoncangan itu, yang di dalamnya beliau berusaha sampai mendapat kedudukan
perdana menteri, dan disatu pihaknya pula beliau dipenjarakan beberapa tahun oleh
kerana tuduhan-tuduhan, dan kadang-kadang kerana cubaan untuk menentang
pemerintah. Kerjayanya selama suku abad itu yang didahului dengan pengajian yang
mendalam tentang ilmu-ilmu yang ada pada zamannya termasuk Quran dan tafsirnya
penuh dengan pelbagai macam peristiwa dan antara huraian-huraian yang penting
tanpa tara ialah huraiannya berkenaan dengan naik turunnya bangsa-bangsa.
Pada beliau naik turun bangsa-bangsa berlaku sama sahaja pada mereka yang Muslim
dan juga yang bukan Muslim. Beliau mengkaji sejarah bangsa-bangsa yang ada pada
zamannya dan juga sejarah zaman lampau mereka. Beliau melawat banyak tempat-
tempat yang menjadi pusat kekuasaan pada zamannya yang terletak dalam dinasti-
dinasti Islam.
Antara faktor-faktor yang membawa kepada kekuatan bangsa-bangsa itu termasuklah
bebarapa faktor yang - dengan izin Ilahi - membawa kepada kekuatan dan kejayaan.
Antaranya ialah:
 Faktor Asabiyyah atau Perpaduan Sosial atau Kesetiakawanan. Ibn Khaldun
memandang penting perpaduan sosial dan etika sosial yanhg mengikat
hubungan manusia dalam sesuatu bangsa atau umat itu menjadi kuat.
Berhuhungan dengan ini Ibn Khaldun menyuatakan bahawa asabiyyah yang
ditentang oleh Syara’ dan Nabi Muhammad saw itu ialah ‘asabiyyah yang
berlaku dalam hubungan dengan penindasan dan perbuatan zalim, bukannya zat
‘asabiyyah itu sendiri, sebagaimana juga keadaannya dengan sifat marah. Maka
‘asabiyyah yang terpuji itu didokong oleh hadith yang dinukilnya bdalam al-
Muqaddimah yang bermaksud: "Allah tidak mengutus seorang nabi melainkan ia
berada dalam lindungan kekuatan bangsanya" (illah fi man’ati qaumihi). Dengan
itu beliau menafsirkan bahawa hadith yang menyebut “para imam itu mesti dari
golongan Quraisy” itu maksudnya bukan hanya Quraisy yang menjadi kabilah
Nabi saw tetapi mana-mana golongan yang mempunyai kasih yang kuat kepada
kaumnya dan kerjasama dengan mereka dan yang lain-lain yang berhubungan
dengan mereka dalam hidup dan sejarah serta pengelaman hayat dan maut,
yang menyebabkan adanya kerjasama dan perpaduan antara mereka ini. Maka
beliau memandang ini faktor yang sangat penting dalam masyarakat yang
dikehendaki.
 Walaupun ini bermula dengan hubungan keluarga dan kabilah, akhirnya ia
termasuk ke dalamnya mereka yang ada hubungan dengan apa cara sekalipun
dengan mereka yang mempunyai asabiyyah yang awal itu. Beliau menyatakan
bahawa “asabiyyah datang hanya daripada pertalian darah ataupun sesuatu
yang sama seperti itu.
 Konsep asabiyyah yang digunakan oleh Ibn Khaldun dalam membicarakan
kekuatan dan keberkesanan hidup serta kejayaan menjunjung agama dan
tamadun melalui asabiyyah ini perlu dimenafaatkan oleh Muslimin untuk
membina kekuatan sesama mereka dan kemudian pihak lain bersama-sama
dengan mereka dalam hal ini bila mereka menunjukkan contoh yang baik dan
berguna melalui perpaduan antara sesama mereka.
 Maka usaha-usaha untuk menguatkan perpaduan melalui konsep asabiyyah ini
perlu dijalankan dan faktor-faktor yang mele,mahkannya mesti dielakkan
supaya dengan itu kekuatan bangsa dan negara akan terjamin dan agama boleh
dijayakan dengan baik. Dalam hubungan dengan agama keadaan sedemikian
rupa sehingga beliau menyatakan bahawa “tanpa asabiyyah syariat-syariat
agama tidak akan berjaya dan berkesan dalam hidup manusia (la batalat)”.
 Quwwatul-hayah.Antaranya ialah apa yang boleh disebutkan sebagai Quwwatul-
hayah: iaitu semangat kuat untuk hidup.Beliau menyatakan bahawa “Bilangan,
senjata, dan taktik-taktik perang yang sesuai boleh memberi jaminan, tetapi
kemenangan dalam perang adalah hasil daripada faktor-faktor psikologi dan
khayalan manusia”(6) Dan ini boleh kita fahami daripada keimanan dan
keyakinan Muslimin sebagaimana yang berlaku pada zaman awal Islam yang
menyebabkan mereka mencapai kemenangan dalam peperangan dengan pihak
musuh yang jauh lebih banyak bilangan tenteranya dan lebih banyak persiapan
senjatanya dan kemahirannya sebagai bangsa-bangsa yang hidup dalam
tamadun yang hidup menetap. Dari segi sejarah ini mungkin juga datang
daripada hasrat yang kuat untuk mendominasi pihak lain sebagaimana yang
berlaku dalam sejarah Iskandar Zulkarnain yang mencapai kemenangan satu
demi satu alam sejarah dunia purba.Yang penting ialah keyakinan yang kuat
yang keimanan hidup dalam mengabdikan diri kepada Allah dan mencari
keredhaanNya dengan sebenarnya. Dan dalam sesuatu bangsa selain daripada
keimanan ialah keyakinan untuk melihat bangsanya mulia dan berjaya dalam
jalan Allah dan kerja-kerja yang mulia dalam membina tamadun dan paradaban.
 Faktor Kekuatan Dalam berfikir Dan Menjayakan Budaya Ilmu.Ibn Khaldun
memerhatikan bahawa umat Islam mendapat kedudukan yang mulia dan tinggi
dalam dunia ini bila mereka mempunyai kemampuan yang tinggi dalam berfikir
dan juga mempunyai kemampuan yang tinggi dalam ilmu pengetahuan - yang
ditonton oleh keimanan mereka yang tinggi dan ketaqwaan mereka kepada
Allah dalam kegiatan berfikir dan ilmunya. Dalam kitab Muqaddimahnya dalam
bab yang membicarakan ilmu pengetahuan beliau menyebut tentang
perkambangan ilmu-ilmu dalam Islam bermula dengan ilmu berkenaan dengan
Quran, Sunnah, hukum, akidah, akhlak, tasawwuf, sampai kepada ilmu
perubatan, ekonomi dan seterusnya yang memungkinkan tamadun Islam
berkembang dalam dunia dengan jayanya mengembangkan ilmu-ilmu Syariyyah
dan juga ilmu-ilmu akliah.Muslimin memainkan peranan memberi kefahaman
tentang ilmu yang asli dan juga olahan yang mereka buat daripada warisan
tamadun yang terdahulu dalam perubatan, falsafah, fisik, kimia dan seterusnya.
Ilmu-ilmu itulah yang menyebabkan kehidupan Muslimin dalam tamadun
mereka dengan jayanya dilihat dari segi duniawi dan juga keagamaan.
 Berhubungan dengan akal dan berfikir beliau mempunyai huraian yang sangat
menarik. Beliau membuat perbezaan antara akal nazari yang membuat teori-
teori dan akal tajribi yang mahir melalui percubaan-percubaan dalam hidup
serta akal tamyizi yang cekap boleh membezakan antara sesuatu dengan
sesuatu yang lain. Beliau berbicara bagaimana cara berfikir yang bermatlamat
yang dimisalkannya dengan usaha hendak mengadakan bumbung atau atap
rumah untuk perlindungan daripada panas dan hujan. Beliau menyatakan bila
seseorang berfikir tentang bumbung dia akan terfikir bahawa sebelum bumbung
ada mestilah ada tiang dahulu dan dinding di mana bumbung itu boleh
diletakkan di atasnya. Bila siap dinding dan tiang baharulah difikirkan bumbung.
Tetapi sebelum ada tiang dan dinding mestilah ada dasarnya dahulu. Maka
perlulah difikirkan tentang lantai atau dasarnya tempat tiang dan dinding itu
boleh dibina. Dengan itu mestilah lantai atau tanah itu diusahakan dahulu,
kemudian baharulah dinding dan tiangnya, kemudian baharulah bumbungnya
dengan tertib yang betul.itulah berfikiran mengikut matlamat dengan tepat
namanya. Dan itulah berfikir orang yang berjaya. Beliau menyebutkan
bagaimana ada orang yang boleh berfikir sampai tiga tahap, empat dan lima
tahap, demikian seterusnya dengan melihat mata-rantai perkara-perkara yang
berkaitan, sampai kepada natijahnya. Semakin banyak tahap-tahap dalam
berfikir boleh dijangkau oleh seseorang semakin tinggi kemanusiaannya dan
semakin sedikit tahaptahap dalam tangga pemikiran yang ia boleh lihat semakin
rendah tarap kemanusiaannya. Maka melatih diri berfikir dengan cekap dan
lanjut sedemikian ini menjadikan seseorang itu mulia kedudukannya.
 Beliau juga berbicara berkenaan dengan falsafah menulis. Bila seseorang itu
terlibat dalam menulis maka ia terlibat dalam satu kegiatan yang membabitkan
tangannya yang bergerak, daya khiyalnya yang membentuk huruf sesuai
dengan maksudnya, dan nafs al-natikahnya iaitu segi dirinya yang memahami
makna dan ilmu, aspek akalnya, memahami makna yang hendak diungkapkan.
Dengan seseorang itu menulis maka ia berpindah dari satu kepada paras lainnya
dari tangan ke khiyal ke nafs natikahnya, dari nafs natikahnya ke khiyalnya
kemudian ke tangannya yang bergerak untuk mencatit lambang makna bagi
ilmu. Orang yang terlibat dalam penulisan begini dengan berfikir dan memahami
makna yang ada dalam nafs natikahnya kemanusiannya menjadi tinggi lagi
mulia. Dengan huraiannya tentang falsafah menulis begini kita fahamilah
bagaimana pentingnya menulis dan membaca serta kegiatan yang terlibat
dengannya sebagaimana yang dimaksudkan dalam surah yang mula-mula
diwahyukan dalam Islam. Ertinya surah itu adalah surah yanhg berbicara
berkenaan dengan proses yang pokok dan asasi dalam meninggikan martabat
dan darjah manusia dan juga itu adalah kegiatan yang pokok dalam
perkembangan tamadun manusia.
 Dalam hubungan dengan ilmu juga ibn Khaldun menyebut bagaimana ilmu perlu
menjadi sebagai malakah atau kemahiran dan kecekapan yang sedemikian
mendalam dalam seseorang dalam sesuatu ilmu sampai menjadi tabiat kedua
baginya. Beliau menyatakan bahawa malakah ini berlaku dalam ilmu dengan
manusis me,mbuat latihan menggunakan fikiran dan percakapan dalam ilmu
dengan perbincangan dan pertukaran pendapat dan maklumat. Beliau
menyatakan demikian:
Cara yang paling mudah untuk memperoleh “malakah” ini ialah dengan jalan
melalui latihan lidah guna mengungkapkan fikiran-fikiran dengan jelas dalam
diskusi dan perdebatan dalam masalah-masalah ilmiah. Inilah cara yang mampu
menjernihkan persoalan …
Kemudian beliau membezakan mereka yang mendengar sahaja pengajian dan
mengamalkan hafalan tanpa menggunakan kecekapan berfikir dalamunazarah dan juga
tanpa menggunakan kemahiran dalam bahasa.
 Kesabaran dan ketekunan merupakan sifat yang menguatkan da menjayakan
umat dan tamadun, dan ini dihuraikan oleh Ibn Khaldun tentang bagaimana
pada tahap-tahap awal dalam perkembangan bangsa-bangsa sifat-sifat sabar
dan tekun dalam perjuangan itu kuat, dan itu menjadikan bangsa atau daulah
itu kuat. Tetapi bila perkembangan berlaku dalam tahap-tahap yang kemudian
selepas kejayaan yang awal itu timbul cara hidup mewah yan melalaikan dan
sifat sabar dan tekun dalam perjuangan itu beranmsur-ansur hilang dan
manusia kebanyakannya menjadi manja. Sebab itu maka sesuatu daulah atau
dinasti itu kalah kemudiannya kerana sifat perjuangan itu luntur dengan adanya
cara hidup yag manja dan senang. Ulasan Ibn Khaldun yang demikian memberi
pengajaran yang penting kepada kita supaya kita berjaga-jaga dalam hidup
supaya tidak menjadi lemah dan tidak bermaya dalam perjuangan kerana
perkembangan tamaddun yang berlaku sedemikian itu. Sifat berjaga-jaga
sedemikian ini sangat dianjur dalam Islam; sebab itu dalam huraian tentang
kesabaran kita berhadapan dengan hakikat bagaimana kesabaran itu diperlukan
oleh manusia dalam masa senang, susah, masa taat, masa derhaka (untuk
kembali kepada taat), demikian seterusnya.
 Ibn Khaldun menyebut dalam hubungan dengan perkembangan tamadun pada
peringkat kemudian bila ianya akan musnah maka ditandai dengan beberapa
perkara: banyaknya kemewahan, kehidupan penuh dengan hiburan dan
perhiasan, kehidupan cara homoseks di kota-kota, politik wang, kerana mereka
yan memimpin tidak mampu lagi mendapat kesetiaan dengan sifat-sifat utama
yang dibuktikan dan mengajak orang lain kepada perjuanganh, maka berlakulah
politik wang. Dengan itu moral masyarakat merosot. Inilah antara pengajaran
yang patut diambil ingat dari penerangan ibn Khaldun.
 Antaranya beliau juga menyebut bagaimana pentingnya adat-adat kebiasaan
yang baik dan kuat yang perlu diterapkan dalam masyarakat dan kehidupan
untuk menjadi bahan penguat masyarakat dan tamadun supaya tidak runtuh, bi
izni’Llah.
 Dalam hubungan dengan adat kebiasaan hidup dan kemahiran-kemahiran yang
menguatkan tamadun beliau menyatakan.
Orang-Orang Timur secara umumnya jauh lebih mantap dan teguh berbanding dengan
masyarakat Maghribi dalam keahlian memberi pengajaran ilmudan dalam keahlian-
keahlian lainnya. Bahkan ramai orang-orang Maghribi yang pergi ke Timur dalam
mencari ilmu pengetahuan mempunyai anggapan bahawa secara umumnya akal fikiran
orang-orang Timur adalah lebih sempurna daripada orang-orang Maghribi. Mereka
beranggapan bahawa nafsu natikah (atau bahagian jiwa yang berfikir dan menerima
ilmu) (orang-orang Timur) adalah lebih sempurna pada tabiat kejadiannya daripada
apa yang ada pada orang-orang Maghribi. Mereka mendakwa ada terdapat perbezaan
pada hakikat kemanusiaan antara kami (orang-orang Maghribi) dan mereka itu, kerana
kemahiran mereka dalam ilmu-ilmu dan kemahiran dan pertukangan kelihatan luar
biasa kepada mereka. Tetapi hal yang sebenar bukanlah demikian. Tidak ada
perbezaan antara Timur dan Barat yang sedemikian besar (sehingga dianggapkan)
ianya perbezaan dalam hakikat (tabiat kejadian manusia) yang memang (hakikat
kemanusiaan itu) adalah satu (dan sama di mana-mana juga).
(Kelainan yang sedemikian itu) sebenarnya ada dalam kawasan-kawasan yang beriklim
tidak sederhana seperti iklim yang pertama dan ketujuh. Sikap jiwa di sana tidak
sederhana, dan jiwa juga tidak sederhana sesuai dengan keadaan yang ada,
sebagaimana yang telah disebutkan.(Sebenarnya) kelebihan para penduduk Timur
dengan penduduk Barat terletak pada akal tambahan (‘aqlul-mazid’) yang ada pada
jiwa yan datang hasil daripada pengaruh-pengaruh kebudayaan (hadharah)
sebagaimana yang telah disebutkan dalam hubungan dengan keahlian-keahlian.
Selanjutnya sekarang kami akan membicarakannya secara lebih lanjut dan,
mengesahkannya; ianya seperti berikut:
Orang-orang yang hidup dalam berbudaya secara menetap memiliki peraturan-
peraturan dalam segala perkara yang mereka lakukan dan yang akan mereka kerjakan
ataun yang mereka tidak akan kerjakan, dan dengan demikian merekapun mendapati
cara-cara tertentu dalam mengusahakan penghidupan, mencari tempat-tempat tinggal,
mendirikan bangunan-bangunan, menangani masalah-masalah keagamaan dan
keduniaan mereka, termasuk masalah-maalah adat-adat kebiasaan pada adat istiadat
mereka, serta kira bicara mereka dengan orang lain, dan kegiatan-kegiatan lain
mereka. Cara-cara bertindak yang menjadi kebiasaan tetap ini merupakan batasan
yang tidak dilanggar oleh mereka, dan pada masa yang sama (di dalamnya ada
terdapat kebiasaan-kebiasaan yang bersifat sebagai-p) kepandaian-kepandaian (atau
cara-cara pertukangan) yang diterima oleh generasi kemudian daripada generasi yang
awalnya. Tidak syak lagi setiap kemahiran itu ada kedudukan yang baik dalam susunan
tertib kemahiran-kemahiran yang ada, dan ianya mempengaruhi jiwa manusia dan
menjadikannya mendapat akal tambahan (‘aql al-mazid) (additional intelligence) yang
menyiapsediakan jiwa itu untuk menerima kemahiran-kemahiran lainh selanjutnya pula
(dengan itu ia menjadi semakin lama semakin bijak dan cekap-p). Dengan itu maka
akal manusia itu disediakan untuk mencapai ilmu secara cepat dan segera.
Kebiasaan-kebiasaan yang baik dalam pengajaran ilmu (“scientific instruction”), dalam
kemahiran-kemahiran pertukangan, dan dalam semua kegiatan-kegiatan yang
dilakukan manusia, itu menambahkan lagi pencerahan dalaman pada akalnya dan juga
memberi pencahayaan (enlightenment) pula pada pemikirannya, kerana dengan itu
jiwanya itu mencapai banyak kebiasaan-kebiasaan padanya. Kita telah nyatakan dahulu
bahawa jiwa manusia itu berkembang di bawah pengaruh pengesanan pancaindera
yang diterimanya dan kemahiran-kemahiran (“malakah”) yang timbul daripadanya.
Dengan itu maka orang-orang Timur menjadi lebih pandan kerana jiwa-jiwa mereka
terpengaruh dengan kegiatan ilmiah. Orang awam menyangka bahawa itu adalah
kelainan dalam hakikat kemanusiaan. Ini bukan yang sebenarnya.
Apabila seseorang membandingkan orang-orang dalam masyarakat berbudaya dengan
orang-orang Badui, maka boleh diperhatikan bagaimana lebih banyaknya kecerahan
pemikiran dan kepandaian yang ada pada orang yang berbudaya tetap itu. Dengan itu
maka seseorang itu mungkin terfikir bahawa mereka itu berbeza daripada orang-orang
Badui itu dalam hakikat kemanusiaan dan akalnya. Ini bukan demikian. Sebabnya
hanyalah kelainan ada kerana orang yang berbudaya menetap itu mempunyai
kebiasan-kebiasaan dalam bidang teknikal dan juga adat kebiasaan budi pekerti yang
halus dalam hubungan dengan kegiatan-kegiatan yang sudah menjadi kebiasaan hidup
dan juga suasana-suasana hidup budaya menetap, yang semua itu tidak diketahui oleh
orang-orang Badui itu. Orang-orang yang hidup berbudaya menetap memiliki banyak
kemahiran-kemahiran dan juga kebiasaan-kebiasaan yang berjalan bersekali dengan
semua itu, juga mereka mempunyai (cara) yang baik untuk mengajar kemahiran-
kemahiran itu. Oleh itu mereka yang tidak mempunyai kebiasaan-kebiasaan itu berfikir
bahawa itu semua menunjukkan kesempurnaan akal yang dimiliki oleh mereka yang
hidup dalam budaya menetap itu, dan bahawa kecekapan tabi’I orang-orang Badui itu
adalah lebih rendah daripada yang ada pada orang-orang yang berbudaya menetap itu.
Ini bukan demikian. Kita boleh dapati ada sebahagian daripada orang-orang Badui yang
memiliki kefahaman, dan kesempurnaan akal serta kecekaan semula jadi yang paling
tinggi sekali.
Nampaknya apa yang kelihatan secara lahir (sebagai kelebihan) orang-orang
berbudaya menetap adalah hanya hasil daripada penghalusan dan penggilapan
kemahiran-kemahiran serta pengajaran ilmu-ilmu yang diterima oleh mereka. Itu
semua mempengaruhi jiwa sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini. Sekarang, para
penduduk Timur lebih teguh dan lebih terkedepan kedudukan mereka dalam
pengajaran ilmu dan kemahiran-kemahiran (daripada orang-orang Maghribi) dan
orang-orang Maghribi pula adalah lebih dekat kepada kehidupan padang pasir,
sebagaimanan yang kami nyatakan dalam bahagian yang terdahulu. Ini menyebabkan
orang-orang yang dangkal akalnya memikirkan bahawa para penduduk Timur
mengatasi kelebihannya daripada orang-orang Maghribi dengan sebab kesempurnaan
(yang tertentu) yang ada pada mereka yang menyangkut hakikat kemanusiaan.Ini
tidak benar, sebagaimana yang sepatutnya difahami. (Terjemahan penulis dengan
mengambil kira terjemahan Rosenthal).
Dalam hubungan dengan kebiasaan yang baik yang menguatkan peradaban juga, kita
lihat ibn Khaldun menyebut tentang budaya ilmu dan pengetahuan berkembang dalam
kebudayaan dan peradaban yang berkembang pesat. Kata beliau:
(Ilmu pengetahuan menjadi banyak cabangnya bilamana tamadun itu besar dan
budaya hidup menetap dikota menjadi terbentuk dengan tingginya). Ini kerana
pengajaran ilmu, sebagaimana yang kami nyatakan berupa satu daripada kemahiran-
kemahiran. Kami telah nyatakan bahawa kemahiran-kemahiran banyak terdapa hanya
di kota-kota. Kualiti dan bilangan kemahiran-kemahiran atau pertukangan-pertukangan
itu terletak pada lebih besar atau kecilnya peradaban (‘umran) (‘civilization’) dalam
kota-kota itu dan pada budaya menetap dan hidup mewah yang dinikmati di kota-kota
itu, kerana (kemahiran-kemahiran dan pertukangan-pertukangan yang terbentuk
dengan baik itu) adalah sesuatu yang berupa tambahan kepada mencari penghidupan
semata-mata. Bila orang-orang yang berperadaban ada mempunyai tenaga buruh yang
lebih daripada apa yang mereka perlukan setakat untuk mencari penghidupan sahaja,
maka (tenaga buruh) demikian yang berlebih itu digunakan untuk kegiatan-kegiatan
yang lebih lagi dan mengatasi apa yang digunakan hanya untuk mencari penghidupan
sahaja. Kegiatan-kegiatan sedemikian ini adalah hak istimewa manusia. Ianya terdiri
daripada ilmu-ilmu dan kemahiran-kemahiran serta pertukangan-pertukangan ….
Ini diikuti dengan kenyataan beliau berkenaan dengan kebiasan-kebiasan bertaraf
tinggi yang melibatkan perkembangan budaya ilmu di pusat-pussat tamadun Islam
yang terkenal. Kata beliau:
Ini boleh ditunjukkan contohnya dengan kenyataan-kenyataan kami yang terdahulu
berkenaan dengan Baghdad, Qurtubah, Qairawan, Basrah dan Kufah.Pada masa
permulaan Islam, peradaban-peradaban (para penduduk kota) adalah ramai, dan
budayan hidup menetap wujud di kalangan mereka. Maka ilmu-ilmu melimpah di sana
dan penduduk-penduduknya tampail sebagai ahli dalam pelbagai jenis peristilahan
teknikal dalam pengajaran ilmu-ilmu dalam pelbagai cawangan ilmu pengetahuan, dan
ahli dalam menimbulkan persoalan-persoalan dan (menciptakan) disiplin-disiplin ilmu
(yang baharu). Mereka itu (semua) mengatasi para ahli ilmu yang datang sebelum
mereka dan mengatasi semua yang datang kemudian daripada mereka. Tetapi bila
tamadun merusut dan penduduknya berkurang, gambarannya menjadi terbalik pula
daripada apa yang terdahulunya. Ilmu pengetahuan dan pengajarannya tidak ada lagi
dalam kota-kota tersebut tetapi dipindah dan ditanam di kota-kota Islam lainnya.
Kita pada masa ini melihat bahawa ilmu pengetahuan dan pengajaran ilmu ada di
Kahirah pula iaitu di Mesir, kerana tamadun di sana (Mesir) terbentuk dengan tingginya
dan budaya menetapnya telah menjadi tetap teguh beribu-ribu tahun lamanya. Oleh itu
maka kemahiran-kemahiran terdiri tetap teguh di sana dalam banyak jenisnya. Satu
daripadanya ialah pengajaran ilmu di sana. (Keadaan yang sedemikian) ini
diperteguhkan lagi dan dijaga di Mesir oleh beberapa peristiwa dalam dua ratusan
tahun lalu di bawah dinasti Turki, semenjak masa pemerintahan Salahud-Din al-Ayyubi
dan seterusnya….
Ini diikuti dengan beberapa perkembangan tentang kemunculan ilmu-ilmu dalam Islam
samaada ilmu-ilmu Syariah atau juga ilmu-ilmu akliah.
Perkara-Perkara Yang Perlu dielakkan Untuk Menguatkan Bangsa dan
Tamadun:
Nampaknya ada beberapa perkara yang kita boleh renungkan sebagai perkara-perkara
yang melemahkan tamaddun yang perlu dielakkan.Antaranya adalah seperti berikut:
 perpecahan yang melemahkan umat samaada kerana ideologi siasah atau
kerana lain-lain kecenderungan budaya dan kelainan pendapat perlu tanhgani
dengan mengamalkan budaya beradab dalam berbeza pendapat
 kerusakan pegangan dan nilai-nilai melalui unsur-unsur fahaman yang salah dan
menyeleweng dalam agama dan penafsiran yang tidak sebenar serta penhgaruh
budaya hiburan yang berlebihan (entertainment culture) yang boleh mengatasi
budaya ilmu dan intelektuil yang akan melemahkan bangsa da umat dari segi
jangka panjang walaupun ada faedah-faedah komersial jangka pendek.
 kemerusutan budaya intelektuil yang didominasi oleh budaya komersial - tanpa
mengecil-ngecilkan bidang komersial yang sedemikian penting dalam Islam -
yang kalau dibiarkan akan membawa padah kepada umat dalam perkembangan
ilmu dan kepakaran yang diperlukan untuk kepentingan pembentukan peribadi
yang sepadu dan juga msyarakat madani yang dikehendaki.(gambaran
masyarakat Ibn Khaldun dalam”al-Muqaddimah” adalah masyarakat madani.
Dan yang dikehendaki oleh OIC dalam sidangnya baru-baru ini ialah masyarakat
madani Islam seluruh dunia).
 kerusakan nilai yang disebabkan oleh pendedahan kepada nilai-nilai yang
negatif melalui media dan lainnya yang menghakis nilai-nilai Islam dan nilai-nilai
Asia dalam hubungan dengan mereka yang selain daripada Muslimin, akibat
negatif dari globalisasi yang disalah terima.
 kerosakan nilai peribadi contoh yang didominasi dalam anggapan popular oleh
budaya pemujaan “celebrity” (“celebrity cult”) yang sepatutnya diambil alih oleh
budaya mengikut contoh yang baik dan sempurna (“uswatun hasanah”) - terdiri
daripada para nabi dan rasul a.s.s. dan mereka yang utama dalam sejarah Islam
dan juga sejarah dunia.
 pengaruh budaya politik yang mungkin berlaku melebihi kewajarannya dilihat
dari segi perkembangan budaya dan hidup intelektuil umat yang perlu ditangani
dengan segera.
 pengaruh yang tidak seimbang yang berlaku kerana tidak tunduk kepada
epistemologi Sunni yang seimbang, sebagaimana yanhg ditunjukkan dalam “al-
Muqaddimah” oleh Ibn Khaldun.
Ibn Khaldun menyatakan bahawa peranan agama ialah menyatupadukan Bangsa Arab
dan membawa kemajuan kepada mereka dan masyarakat mereka.Ia menunjukkan
bahawa ketidakadilan, sifat kuasa raja bermahrajalela, dan penindasan adalah tanda-
tanda yang menunjukkan kejatuhan dalam sesebuah negara. Beliau menunjukkan
bahawa falsafah yang berbentuk metafisika mendatangkan faedah mempertajamkan
akal fikiran seseorang. Beliau menyatakan juga bahawa pengetahuan tentang perkara-
perkara metafiska terutama dalam hubungan dengan keimanan boleh didapati hanya
daripada wahyu.
Beliau juga seorang yang terkemuka dalam pendidikan. Beliau menyatakan bahawa
paksaan adalah seteru kepada pendidikan, membawa kepada timbulnya sifat malas,
berbohong dan sifat bermuka dua. Beliau juga menunjukkan kepada pentingnya contoh
tauladan yang baik untuk ditiru.serta juga penguasaan yang baik dalam penggunaan
bahasa. Beliau menyanjung ilmu yang sampai menjadi “malakah” dalam seseorang.
Oleh kerana beliau hidup dalam zaman permulaan menurunnya peradaban Islam maka
apa yang dialami itu menyebabkan beliau mengumpulkan dan membuat ringkasan
serta menghafal himpunan ilmu yang ditinggal oleh nenek moyangnya.Beliau
menyerang amalan-amalan yang tidak sihat yang menimbulkan kebekuan dalam
kalangan Muslimin dan mengurangkan kreativiti di kalangan para ahli ilmu.
Kesimpulan Tentang Usaha Menguatkan Budaya Dan Tamadun Bangsa:
Dalam hubungan dengan berfikir tentang menguatkan budaya dan umat, maka ada
beberapa pengajarann yang kita boleh ambil dari ibn Khaldun dengan "al-
Muqaddimah"nya. Antaranya adalah seperti berikut:
 Antaranya perrpaduan Muslim Melayu yang kuat di negara ini sebagai nukleus
untuk perpaduan yang lebih luas dengan Melayu Muslim sebagai contoh
tauladannya. Perpaduan Melayu sebagai teras ini adalah selari dengan
penonjolan kepada prinsip 'asabiyah yang positif yang diberikan pembelaannya
oleh Ibn Khaldun dalam huraiannya tentang 'asabiyah yang disebutkan olehnya
sebagai prinsip kekuatan yang menjayakan agama dan peradaban yang besar
dan teguh. Asabiyah yang ditentang oleh Nabi saw katanya ialah asabiyah yang
membawa kepada kejahatan, bukannya yang ditentang zat asabiyah itu sendiri.
Beliau menyamakan larangan itu dengan larangan terhadap sifat marah. Yang
ditentang bukan sifat marah itu sendiri tetapi sifat marah yang mambawa
kepada kejahatan. Kemarahan yang berlaku dalam jihad, itu marah yang
terpuji. Perpaduan Melayu mesti diperjuangkan sampai berjaya dengan
dimanafaatkan prinsip asabiyah dalam huraian Ibn Khaldun in.
 Seperkara lagi asabiyah yang disebut oleh Ibn Khaldun adalah secara
kebetulannya menyamai konsep "Melayu" di kalangan kita sebagai orang yang
beragama Islam dan berbahasa Melayu serta yang mengamalkan adat istiadat
Melayu. Dan adat istiadat itu pula adalah tatatertib yang berkebetulan dan
diterima oleh Syara'. Ini sesuai dengan kata-kata dalam bidalan: "Hidup
bersendikan adat dan adat bersendikan hukum dan hukum bersendikan Kitab".
Ertinya kasih kepada bangsa ini hendaklah diperkasakan dengan apa cara yang
boleh yang akan digunakan demi untuk mengekalkan kuasa Muslimin dalam
negeri ini untuk kebaikan semua pihak dan demi untuk menjayakan agama
Islam beralirah Ahlis-Sunnah wal-jamaah yang kita yakini.
 Seperkara lagi ialah sudahn tentu pengawalan ke atasn ajaran dan amalan
Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yanhg dihuraikan sistem ilmunya dalam "al-
Muqaddimah"nya dalam semua bidangnya.Beliau memberi pembelaan terhadap
usuluddinnya, fiqhnya, tasawwufnya, sejarahnya, nahu sarafnya, sains, fisik,
hisabnya, demikian seterusnya; semua ilmu-ilmu itu beliau lihat dalam
perspektif faham ilmu Ahlis-Sunnah wal-Jamaah.
 Pemerkasaan budaya ilmu, perkembangan pengetahuan, dan kemahiran
hendaklah dijadikan bidang tumpuan dalam polisi mereka yang memerintah
supaya dengan itu maka umat islam akan menjadi umat yang mengutamakan
ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berguna dalam hidup supaya dengan itu
hidup umat selamat dalam dunia yang penuh dengan perlumbaan ini, sudah
tentu dengan menyempurnakan tugas-tugas kita kepada Allah dan pengabdian
kepadaNya. Ini sudah tentu berkaitan dengan polisi pendidikan yang ada dalam
negara. Selain daripada penekanan yang diberikan kepada sains dan teknologi
hendaklah diberikan penekanan yang memadai terhjadap kefahaman dan
keyakinan serta amalan ilmu-ilmu Islam mengikut tahap masing-masing,
dengan tidak mengurangkan fardhu ainnya dalam menyempurnakan fardhu
kifayahnya supaya dengan itu berlakulah keseimbangan yang memberi kebaikan
untuk individu dan negara serta umat.
 Bertalian dengan itu ialah pemerkasaan budaya berfikir dengan baik dan objektif
supaya ianhya membantu dalam perkembangan hidup individu dan juga hidu
negara dan umat sebab berfikir adalah perkara khusus istimewa untuk umat
manusia yang menentukan darjahnya yang sebenarnya. Kecekapan berfikir
secara logika yang baik dan mengarah kepada kebaikan serta yang bersifat
"purposive" dan teratur perlu disemarakkan dalam pendidikan formal dan tidak
formal. Cara-cara berfikir mengikut kaedah Islam antaranya sebagaimana yang
ada dalam ibn Khaldun dan juga dalam ajaran Imam al-Ghazali hendaklah diberi
perhatian sewajarnya, selain daripada mengambil tahu tentang cara-cara
berfikir masakini untuk perbandingan bagi mereka yang sewajarnya.
 Sejarah sebagai ilmu pengetahuan akademik hendaklah digandingkan dengan
pengajian ilmu itu sebagai sumber pengajaran dan pengenalan hakikat tentang
kajian tamadun manusia yang lebih luas. Dengan itu timbullah kesedaran
intelektuil yang baik dan luas dalam negara. Ertinya yang diambil kira bukan
sahaja peristiwa politik dan para pemimpin serta masalah ekonomi dan
ketenteraan tetapi masalah-masalah lain yang menyangkut pemikiran dan nilai-
nilai kemanusiaan dalam hidup.
 Dalam huraian Ibn Khaldun diambil berat tentang perkembangan ekonomi yang
baik dan makmur yang memberi kesenangan hidup kepada umat dengan polisi
pemerintah yang baik dengan para ahli perniagaan yang berniaga dengan
berjaya.Beliau juga memberi panduan dalam bidang pencukaian sehingga
komen-komennya tentang pencukaian mempengaruhi Presiden Reagan masa
pemerintahannya. Sebanyak dua kali Reagan menyebut ibn Khaldun dalam
hubungan dengan pencukaian di Amerika Syarikat.
Wallahu a'lam.
______________________________________________________________________
___________________
Nota:
(1) Riwayat hidup Ibn Khaldun dibicarakan oleh banyak penulis seperti Abdullah Enan,
Muhsin Mahdi, dan di awal jilid I terjemahan “al-Muqaddimah” oleh F. Rosenthal
lainnya. Terjemahan Rosenthal ada 3 jld; terjemahan Melayu oleh DBP satu jilid;
demikian juga terjemahan Indonesianya.
(2) Laman-laman web (url) berikut:
 Dr A.Zahoor “Ibn Khaldun”,
http://www.salam.muslimonline.com/~azahoor/khaldun.html; juga
http://www.ummah._org.uk/history/Scholars/KHALDUN.html;
 Ibrahim M.Oweiss "Ibn Khaldun the Father of Economics",
http://georgetown.edu/oweiss/ibn.htm;
 serta “Ibn Khaldun” dalam encyclopedia britannica.com;
 “home-philosophers-ibn Khaldun” dalam
http://www.989.com/Philosophers/Khaldun_Ibn.htm
 “Letter from Cairo”, - http://www.sis.gov.eg/public/letter/html/text153.htm
 “Economics of Ibn Khaldun”, http://www.uwplatt.edu/~soofi/IBN.html
 ‘History of Economic Thought”, http://www.ecohistory.Amg.com/khaldun.htm;
 "Political Science", Prof. R. W. Cox -
http://www.heiwww.unigue.ch/~Krause/gnet/cox.htm
 “muslim-1; Great Muslim Scientists”-on Ibn Khaldun -
http://www.//students.missouri.edu/ists/muslim-1/0324htm;
 Abd al-Rahman ibn Khaldun the historian -
http://www.islamicresources.com/Prominent_Muslims/others/abdur-rehman-
ibn-khaldun-histori.htm;
 "Lessons from Ibn Khaldun", -
http://www.freepublic.com/forum/a3ac4cb4243a9.htm;
 "Ibn Khaldun’s Contribution to Social Thought", - http://www.build-a-
webpage.com/society/aziz6/;
 "Ibn Khaldun’s observation on history, empires, -
http://www.humanistictexts.org.ibn_khaldun.htm.
 "Ibn Khaldun His Life and Work”, by Muhammad Hozien -
http://www.muslimphilosophy.com/ip/klf.htm;
 Hassan Ali Jamsheer, "Ibn Khaldun (1332-1406). The Muqaddimah - History -
http://www.ibidem.infocentrum.com/ksiazki/83-907031-3-0sum.html;
 "Rise and fall Ibn Khaldun and the Effects of Taxation Chapter 15", -
http://www.ryerson.ca/~lovewell/khaldun.html;
(3) "Al-Muqaddimah" terjemahan Rosenthal.
(4) "Al-Muqaddimah" terjemahan Rosenthal.
(5) Encyclopedia Britannica.com on ibn Khaldun.
(6) Terjemahan Rosenthal: 2.129.

Home page for TRADITIONAL ISLAM:


www.geocities.com/traditionalislam/, traditionalislam.freeservers.com/, or
members.tripodasia.com.my/Traditional_Islam/

Anda mungkin juga menyukai