Anda di halaman 1dari 2

Salam sejahtera. Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) semakin memainkan peranan penting dalam kehidupan kita sehari-hari.

Melalui ICT, dunia seolah-olah berada dalam satu ruang lingkup yang sempit kerana ia mudah dicapai dan diterokai. Dalam sistem pendidikan, ICT dikatakan mampu menyelesaikan masalah pengajaran dan pembelajaran secara berkesan serta menggalakkan pemikiran kreatif kanak-kanak. Kajian Clements (1987) serta Hough dan Ellis (1997) mendapati ICT boleh membantu kanak-kanak menghasilkan sesuatu yang kreatif.

Pendedahan awal kanak-kanak kepada ICT dan teknologi digital dapat membina pemikiran kritikal, meningkatkan kreativiti, meneroka pelbagai bidang, mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran dalam situasi, di samping meningkatkan minat dan perhatian. Banyak konsep asas dalam pembelajaran boleh disampaikan dengan berkesan melalui program pengajaran dan pembelajaran menggunakan komputer multimedia (Maier & Warren 2002; Parker 2008)

Penggunaan ICT dalam pendidikan mestilah difokuskan kepada proses mengaplikasikan peralatan dengan menggunakan prinsip, kaedah dan teknik yang sesuai dalam pengajaran dan pembelajaran. Kepelbagaian perisian yang digunakan mampu menambah pengetahuan kanak-kanak, memberikan pengalaman bermakna, meningkatkan kemahiran kanak-kanak dalam mempelajari bidang ilmu seperti Sains dan Matematik.

Bagi proses pengajaran pembelajaran kanak-kanak, ICT boleh diintegrasikan dalam berbagai komponen, penggabungjalinan dengan bahan, persekitaran yang bersesuaian dengan kebolehan, minat dan gaya pembelajaran kanak-kanak supaya proses pengajaran dapat berjalan dengan berkesan. Dengan penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, guru perlu membantu kanak-kanak untuk mencari dan mengakses maklumat daripada CD-ROM, Internet, gerbang maklumat dan sebagainya. Dengan cara ini, secara langsung dapat memberi pendedahan kepada mereka tentang cara-cara penggunaan ICT.

Pelbagai jenis program dan perisian yang boleh diperoleh dengan mudah. Kanak-kanak didedahkan dengan pelbagai bahan pembelajaran yang berbentuk akademik mahu pun permainan. Semua alat rangsangan ini menyediakan pengalaman pembelajaran berharga sekiranya diurus dan diselia dengan baik. Justeru itu, bahan perisian ini dapat memenuhi kehendak pendidikan seperti mempunyai unsur pengetahuan dan berciri tutorial.

Kanak-kanak sememangnya mudah menerima sesuatu yang baru terutamanya seperti bahan bergambar, berwarna-warni, imej yang bergerak dan mengeluarkan bunyi yang

memberi daya tarikan kepada mereka. Oleh itu, guru perlu mencari idea yang lebih kreatif, inovatif dan menarik dalam penggunaan ICT bagi meningkatkan minat dan motivasi murid serta merangsang pemikiran kreatif kanak-kanak untuk cuba melakukannya.

Anda mungkin juga menyukai