Anda di halaman 1dari 8

Wajah Islam Dan Sunnah Hanya Akan Terang Bersinar Apabila Semua Mazhab Menyuluhnya Secara Serentak Maka

Proses Kembali Kepada Sunnah Amat Berhajatkan Suatu Manual Rujukan Yang Autentik, Diterima Semua, Melibatkan Semua (DI ANTARA KITAB SUNNAH NOMBOR SATU DENGAN ULAMA MERENTAS MAZHAB)
Jom Kembali Kepada Sunnah! Ajakan ini kedengaran betul di telinga semua orang Islam. Ia kedengaran betul kerana kata Sunnah itu kata penentu yang muktamad konsepnya dan sepakat tujuannya, yang lawannya ialah Jom Kembali Kepada Bidah. Orang Islam bagaimana yang sudi diajak terang-terang kepada bidah? Namun meskipun ajakan kudus tadi sewajarnya disambut baik kerana ia mahu membawa umat menghayati peribadi dan ajaran Rasul Akhir Zaman Muhammad SAW - ia sampai kini diselubungi was-was, syak-wasangka, resah-gelisah. Mengapa? Kelihatannya ada dua sebab besar. *SEBAB PERTAMA* Pegangan tidak cukup kejap, yang terhasil daripada kaedah yang tidak berfokuskan contoh yang telah terbukti. Perjalanan Kembali Kepada Sunnah akan terus menempuh laluan sukar jika tidak kembali bergelumang di dalam SUMBER Sunnah itu sendiri Teks Hadis RasululLah SAW. Cara terbaik ialah mendengarnya melalui lisan guruguru yang telah menerimanya melalui rantaian sanad yang tidak putus hingga sampai kepada guru pertama RasululLah SAW sendiri. Atau pengajian seumpamanya yang merujuk terus kepada Teks dalam Kitab-kitab Hadis atau Kitab-kitab Syarahnya, begitu juga sebarang wacana lain yang menjadikan Teks Hadis sebagai PAKSI perbincangan. Selepas Al-Quran yang merupakan Kata-kata Tuhan, kata-kata siapakah yang perlu sentiasa diulangbaca oleh mulut umat Islam, yang perlu sentiasa didengar oleh telinga umat Islam? Umat akan kembali kuat apabila agama ini dianuti dengan faham dan memahami agama Islam sebenarnya lebih mudah, lebih tepat dan lebih terkawal dengan secara langsung mempelajari Hadis-hadis Nabi SAW sendiri berbanding dengan mempelajari kesimpulannya secara terpisah-pisah melalui kitab-kitab Tauhid, Fiqh, Akhlaq dan Sirah. Apatah lagi jika kesimpulan-kesimpulan ini langsung tidak menyatakan Ayat manakah, Hadis manakah, Atsar manakah yang dirujuk sebagai asas. Sejarah atau Sirah, walaupun suatu bidang tersendiri, terbukti telah banyak kali tersasar jika tidak berkompaskan bukti-bukti sahih yang disepakati. KESIMPULAN 1: Semua menerima bahawa Islam itu merujuk kepada Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Bermakna semua terpaksa menerima bahawa Jamaah Para Sahabat RA itulah yang memperjelaskan Sunnah RasululLah SAW manakala Sunnah RasululLah pula memperjelaskan KitabulLah ini sudah maklum. Ertinya, untuk memahami AlQuran wajiblah melalui RasululLah SAW; untuk memahami Baginda mestilah melalui Murid-muridnya; untuk memahami Para Sahabat itu tidak boleh tidak kenalah melalui Generasi Tabiien dan seterusnya Generasi Tabittabiien, di mana pada Dua Era terkemudian inilah Hadis-hadis giat direkodkan, ditapis, dikelaskan, dibukukan. Apa yang dipanggil Sunnah itu terhasil melalui PROSES TAPISAN inilah, maka bagaimanakah langkah Kembali Kepada Sunnah mampu diatur kemas tanpa kembali mempelajari Hadis-hadis itu secara bersistem? KESIMPULAN 2: Memahami agama secara topikal melalui pelbagai sub ilmu memang ada kelebihan tersendiri, kerana matlamat kaedah itu pun tentulah untuk lebih memudahkan pemahaman. Tetapi meskipun pahit, sejarah keagungan Generasi Awal dibandingkan dengan realiti kelemahan umat zaman ini menunjukkan telah sampai masanya untuk diakui bahawa deria lihat, deria dengar dan deria rasa umat ini tidak sepatutnya putus daripada HUBUNGAN LANGSUNG dengan KalamulLah BERSEKALI DENGAN PENJELASNYA iaitu Kata-kata Dan Gerak Diam RasululLah SAW. Jika Generasi Awal telah terbukti menjadi gemilang dengan cara ini, kenapa generasi sekarang tidak mahu mencuba cara mereka? Jika membaca dan mendengar Al-Quran itu berpahala dan berkat, kenapa pula membaca dan mendengar Al-Hadis tidak berpahala dan tidak berkat? Walaupun gred pahala dan berkat ini tidak serupa, tidakkah kedua-duanya Wahyu? Tidakkah kedua-duanya terbit dari lisan dan peribadi suci RasululLah SAW?

KESIMPULAN 3: Setiap pegangan dan praktik dalam agama menjadi kemas mantap untuk kegunaan sendiri, mendatangkan ketenangan jiwa, berdayatinggi meyakinkan orang lain dan bebas-fanatik hanya apabila ia (1) tidak menyusahkan (2) relevan dengan keadaan dan (3) punca atau asal-usulnya diketahui. Ini amat sukar dicapai melalui kaedah pengajian yang tidak mementingkan sumber ambilan, lebih-lebih lagi kalau mengabaikannya terus. Virus fanatik pula memang kebiasaannya menyerang hati manusia yang tenggelam punca, sama ada dia memang sekadar pengikut mahupun dia berada di posisi yang sepatutnya memimpin orang lain ke arah Keterbukaan Ilmu. KESIMPULAN 4: Dua Era yang disebut di atas tadi adalah Era Kegemilangan Ilmu, ketika mana mencari ilmu ertinya mencari Hadis. Era yang menyaksikan para pencinta ilmu mencarinya di mana sahaja kedengaran ia berada, walaupun terpaksa kembara merentas jajahan demi jajahan. Apabila ketemu yang dicari, mereka akan memahamkannya dan menggunakannya sebagaimana ia telah difaham dan diguna oleh generasi di atas mereka. Mereka tahu jika ia tidak selaras dengan pegangan Para Sahabat RA sama ada mengenai yang Muktamad atau yang Khilaf - ia menjadi sia-sia sahaja. Mereka amat maklum bahawa Para Sahabat itulah cerminan RasululLah SAW. Kemudian mereka tidak berhenti di situ. Tanpa pena canggih, apalagi mesin taip dan roller stensil, jauh sekali laptop dan printer, mereka salin dan bukukan pula hasil carian susah-payah mereka itu untuk generasi kemudian sebagai amanah ilmu. Untuk disia-siakankah? *SEBAB KEDUA* Kerana ia (Kembali Kepada Sunnah) terlalu sinonim dengan sikap menentang arus. Ia terus-menerus dibaca sebagai anti tahlil arwah, enggan bertalkin, meninggalkan qunut subuh, kurang sudi berwirid /berdoa secara berjamaah selepas sembahyang fardhu, mahu pakai Hadis Sahih sahaja, dan sebagainya yang hampir semuanya digambarkan sejalan pula dengan ajaran Wahabi. Bila dikaitkan dengan nama yang satu ini, cabaran terasa berganda. Jika benar Wahabi ada sejarah bersubahat dengan penjajah dan penjarah, maka tidak pelik ada yang percaya pengikut Sunnah yang ada hari ini pun sebenarnya tidak berminat mana dengan parti Islam, kalau pun tidak sampai ke peringkat sanggup mensabotaj (dengan mengundi parti lawan). Kenapa tetap ada yang terima begitu? Tidak perlu hairan. Cerita bukan bertiup bersama khabar angin tapi datang dalam rupa siaran, majalah, buku, kitab siber dan nyata. Malah secara rasmi turut menggelongsor turun di puncak menara gading. Sampai kini masih kedapatan nota kuliah tentang penyelewengan Wahabi, disuapkan kepada anak-anak di IPT. Siapa pun tidak kata Wahabi betul semua atau nota kuliah itu salah belaka. Cuma bukanlah rahsia bahawa begitu sukar bertemu pengarang atau tenaga pengajar yang mampu menyenaraikan sudut negatif bersekali dengan sudut positif Wahabi secara telus lagi ilmiah. Lebih tidak masuk akal, masih nyaring seruan Jom Ganyang Wahabi (atau yang senada dengannya) yang dilaungkan kumpulan-kumpulan SAMA yang mengajak Jom Ganyang Syiah. Padahal Wahabi itu Ahlus Sunnah sedangkan Syiah itu Syiahlah! Maka yang berlaku ialah was-was, syak-wasangka dan resah-gelisah tadi melanda bukan sahaja masyarakat luas yang cuba diajak kembali kepada Sunnah, malah golongan pengajak sendiri pun tidak bebas daripadanya. Apa tidaknya, kerja ini tampak terlalu sukar, masa yang diambil telah terlalu lama, sampai kini seperti mustahil memperoleh kayu pengukur untuk menyukat setakat mana keberhasilannya. Akhirnya ramailah golongan pengajak yang keletihan mengambil pendekatan Biarkan! Biarkan! setiap kali terdengar seruan Si Luncai Terjun Dengan Labu-labunya! *P E N Y E L E S A I A N* T E T A P I itu semua cerita lama. Suasana lama. Sekarang, di negara ini khasnya, sudah tidak ada alasan untuk terus keletihan dalam dilema di atas. Kerana selepas entah berapa ratus tahun, kini telah muncul seorang ilmuan yang demi umat, telah sanggup memecah tradisi berkongsi kandungan Kitab Sunnah Nombor Satu (selepas ini

akan diringkaskan sebagai KSN1). Kitab paling autentik, paling berautoriti memperjelaskan Sunnah - ia diiktiraf seluruh umat (baca: seluruh ulama) sebagai Kitab Yang Paling Sahih Selepas Al-Quran. Kitab berat yang secara tradisinya hanya ditadah oleh murid-murid berkelengkapan ilmiah di hadapan guru bertaraf Syeikhul Hadis. Murid-murid ini pula mestilah penghafal Al-Quran mengikut prasyarat asal yang digariskan Tuan Pengarangnya sendiri lebih 1000 tahun lalu. Beliau mensyaratkan begitu kerana memang kitab ini dikarangnya untuk memperjelaskan Islam dan Al-Quran serentak membersihkan Nabi SAW daripada segala salah faham dan kecemaran yang tidak layak baginya. Kerana itulah selama bertahun-tahun dalam proses ini, beliau mendisiplinkan dirinya sentiasa dalam keadaan berwudhu, tetap di antara mimbar dengan maqam Nabi SAW, dan sembahyang dua rakaat terlebih dahulu. Ia kitab paling dalam digali khazanahnya oleh paling ramai ahli ilmu lebih daripada 100 Syarah telah terhasil setakat ini. Dihasilkan oleh alim-ulama Empat Mazhab yang terkenal, alim-ulama mazhab-mazhab yang kurang dikenali, juga alim-ulama yang merentas mazhab*. Sebenarnya memang tiada karya lain sepertinya dalam Dunia Islam yang melibatkan semua pihak dan yang begitu menarik minat golongan ilmuan berprestasi tinggi dari pelbagai aliran itu untuk mensyarahnya. Mereka ini telah membuat keputusan yang masyhur: Kebijaksanaan Tuan Pengarang Kitab Ini Terletak Dalam Tajuk-tajuk Babnya. Apa ertinya ini? Ertinya mereka ini bukan membahas darjat Hadis-hadis dalam kitab ini kerana darjat itu sudah maklum tetapi mereka membahas apakah fahaman Tuan Pengarangnya (baca: mazhab Tuan Pengarangnya) tentang setiap Hadis yang beliau persembahkan dibandingkan dengan fahaman Imam-imam Mujtahid yang lain. Apa pula maknanya ini? Ini bermaksud bahawa para pensyarah yang ramai ini sendiri pun perlu juga memiliki sedikitsebanyak Perbekalan Seorang Mujtahid supaya mampu menyelami setiap mazhab bagi menganalisis perbandingan-perbandingan itu sambil ikut serta dalam perbahasan. Sebab itulah mereka dikatakan golongan ilmuan berprestasi tinggi. MALANGNYA inilah juga kitab yang sampai kini tidak pernah dipelajari secara kulit ke kulit di mana-mana universiti mahupun pondok di Malaysia secara pastinya. Yang nampaknya memberi intro penjelasan kenapakah begitu payah mengajak manusia kembali kepada Sunnah: Mampukah jentera kerja sebesar Kembali Kepada Sunnah ini bergerak teratur jika Manual Utamanya tidak pernah dibaca habis? PERHATIAN SATU: Membaca kitab ini bererti menyaksikan bukti-bukti Sunnah itu melalui koleksi Hadis paling pilihan antara yang pilihan. Hadis-hadis kelas pertama. Yang diakui sekalian ulama semua aliran sepanjang zaman. SOALAN-SOALAN: Jika kitab ini telah, masih dan akan terus diterima oleh seluruh umat sebagai KSN1, kenapa ia tidak boleh menjadi tempat kembali atau HAKIM yang mengadili sebarang polemik sekitar isu Kembali Kepada Sunnah ini? Jika karya sebesar dan seutama ini pun tidak diberi perhatian sewajarnya, bagaimana pula dengan LIMA lagi Kitab Hadis yang melengkapkan sukatan Sunan Sittah yang tersohor itu? Bagaimana pula dengan puluhan Kitab Hadis lain yang sifat mereka adalah saling melengkapi? SOALAN-SOALAN KRITIKAL: Jika pihak pengajak merujuk kitab ini dalam sesuatu polemik, kenapa pihak yang diajak masih ada yang sangsi, malahan ada yang menentang? Kebalikan dari itu pula, apa ertinya perasaan terkejut ustaz-ustazah (sesetengahnya begitu beremosi) bila dikatakan kepada mereka bahawa kitab ini bukan sempurna seperti Al-Quran dan ada beberapa Hadis di dalamnya diputuskan tidak sahih oleh Ulama-ulama Hadis? Boleh diterimakah sikap memberi penghormatan yang sebegitu tinggi kepada sesuatu yang tidak pernah benar-benar dikenali kecuali namanya? Adakah mereka sedar bahawa Versi Asal kitab ini sarat dengan Hadis-hadis yang berulang dan bahawa pengulangan itu dikawal-selia oleh Tajuk-tajuk Bab berbeza yang ada maksud di sebaliknya? Adakah mereka perasan bahawa yang terdapat di pasaran kebanyakannya adalah Versi Ringkasan (mukhtasar) yang disusun dan/atau diterbitkan oleh mereka yang MUNGKIN tidak memahami hakikat Versi Asal itu tadi?

PERHATIAN DUA: Memahami KSN1 bererti berkongsi fahaman Generasi Tiga Kurun Pertama yang dijamin. Kerana walaupun Hadis-hadis dalam kitab ini adalah yang tertinggi dari segi kesahannya, cara untuk memahaminya adalah perkara lain, kemahiran lain. Mereka adalah Golongan Yang Memahami. Mereka adalah Golongan Yang Mengamalkan. Mereka adalah golongan yang fahaman dan amalan mereka diiktiraf oleh Tuan Guru Yang Setiap Kata Dan Gerak Diamnya Dipimpin Oleh Wahyu. SOALAN: Waraskah umat yang berjarak 1448 tahun daripada Wahyu Pertama (termasuk 13 tahun Fasa Makkiyyah) tidak berminat untuk mengetahui apa fahaman dan apa amalan mereka yang hidup dalam radius 300 tahun pertama yang Nabi SAW sendiri telah iktiraf itu? Lebih haru, munasabahkah untuk berasa lebih betul daripada mereka? PERHATIAN TIGA: Mempelajari KSN1 bererti melihat Sunnah (baca: melihat Islam) dari posisi pandang orangorang yang telah melihatnya dari puncak. Dari puncak, Sunnah dilihat keseluruhannya tanpa bias. Melalui mazhabmazhab berbeza. Yang semuanya perlu diberi perhatian. Kerana semuanya mengeja kalimat yang sama: I S L A M. SOALAN-SOALAN: Perlukah berasa takut untuk mengamalkan mazhab-mazhab berbeza sedangkan Perbezaan Pendapat Di Kalangan Umat Adalah Rahmat? Patutkah berasa takut dengan amaran TIDAK BOLEH MENCAMPUR MAZHAB sedangkan amaran ini sendiri pun berstatus mazhab (ia bukan hukum Islam yang muktamad)? Jika Empat Mazhab yang dimasyhurkan sebagai sudah diiktiraf dan ditahqiq pun teragak-agak untuk digunakan, bagaimana pula halnya dengan mazhab Tuan Pengarang KSN1 yang khazanah beliau ini telah dikerumuni oleh lebih daripada 100 orang ilmuan berprestasi tinggi dari zaman dahulu hingga sekarang? SOALAN-SOALAN KRITIKAL: Bagaimana kalau KESEMPITAN BERMAZHAB berakibatkan prospek Muslim menangguh-nangguh atau lebih dahsyat lagi, membatalkan hasrat mereka untuk beriman? Bagaimana kalau yang telah pun beriman (muallaf) berpaling semula ke agama asal mereka? Berkhitan atau bersunat sebagai contoh terbaik; berapa ramaikah lelaki Orang Asli yang menjadi mangsa situasi ini dan berapa ramaikah mubaligh Islam yang tidak sedar bahawa mereka sebenarnya terperangkap dalam suatu kemelut yang penuh risiko? Adakah semua mazhab mewajibkan berkhitan? Berhikmahkah membawa ke bukit-bukit itu SATU mazhab sahaja secara totok? Jika Mahkamah Akhirat memutuskan kaum pangan itu terpaksa menjalani sesi hukuman di Neraka disebabkan penangguhan atau pembatalan hasrat untuk beriman, adakah mereka akan rela dan diam sahaja tanpa membuat sebarang rayuan? Jika mereka membuat rayuan, tidakkah saksi-saksi akan dipanggil? SOALAN-SOALAN YANG MEMERLUKAN JAWAPAN SEGERA: Jika terbukti umat sebenarnya sudah pun banyak mengamalkan mazhab lain dalam kehidupan tanpa disedari, adakah perasaan takut tadi BERBALOI? Muzik sebagai contoh paling menonjol, yang kini seolah-olah menjadi HALAL secara automatik; tokoh mujtahid dari mazhab manakah yang sejak ratusan tahun telah menghukumnya sebagai HARUS? Adakah beliau dari mana-mana Mazhab Yang Empat? Bagaimana pula dengan Jual-beli Bersyarat? Adakah sesiapa yang tidak pernah terlibat dalam urusniaga sebegini? Contohnya, apabila seseorang membeli sebarang produk yang menawarkan warranty, dia dan si penjual sebenarnya telah melakukan urusniaga dengan syarat atau Jual-beli Bersyarat. Jika produk itu besar atau berat dan wujud silent understanding bahawa si penjual akan menguruskan penghantarannya ke premis pembeli, bermakna sudah ada DUA Syarat dalam urusniaga ini. Begitulah seterusnya, sesetengah urusniaga malah melibatkan pelbagai syarat lagi. Perbandingan: Jual-beli Bersyarat adalah HARUS mengikut kebanyakan mazhab, terutama sekali mazhab Tuan Pengarang KSN1. Bagi beliau 10 syarat pun tidak mengapa asal adil dan dipersetujui bersama. SEBALIKNYA urusniaga seperti ini adalah HARAM iaitu berdosa menurut pegangan aliran Syafiie. Realiti hari ini, boleh dikatakan tiada siapa pun dalam dunia ini yang tidak terlibat dengan Jual-beli Bersyarat termasuklah golongan Muslim bermazhab Syafiie di Malaysia, mulai kanak-kanak sekolah hinggalah alim-ulama dalam Majlis Fatwa Kebangsaan.

*BEBERAPA SITUASI LAIN UNTUK DIFIKIRKAN* (1) MUGHALLAZAHNYA ANJING: Ketika sedikit masa dahulu heboh kisah wanita Melayu Muslim Malaysia memelihara anjing (yang dimuatnaiknya ke laman sosial), sikap dan respon masyarakat Muslim Malaysia menggambarkan seolah-olah anjing adalah najis berat secara total menurut Islam. Sehingga polis ikut dilibatkan untuk menahan wanita berkenaan atas tekanan awam yang menuduhnya sengaja mahu menghina agama. Apabila ada ulama menghantar posting bahawa bukan semua mazhab menghukum anjing sebagai najis berat, ramai mendapat kejutan. Kemudian setelah ada pula blogger memuatnaik gambarfoto lama seorang Mufti Tanah Melayu bersama seekor anjing, barulah masyarakat seperti mula mahu berfikir. Mereka tidak tahu bahawa sebenarnya di kawasan-kawasan pedalaman tertentu contohnya di Pahang memelihara anjing adalah perkara biasa bagi penduduk Muslim bermazhab Syafiie di sana sejak sekian lama. Cuma yang menimbulkan kontroversi ialah wanita tadi melayan anjing-anjingnya seperti melayan kucing manakala penduduk pedalaman ini tidaklah sampai membawa anjing-anjing mereka ke dalam rumah. Perbandingan: Imam Syafiie (RahimahulLah) membuat ketetapan mughallazahnya anjing berdasarkan satu Hadis Ahad sementara mazhab-mazhab yang TIDAK menghukumnya mughallazah termasuk mazhab Tuan Pengarang KSN1 menggunakan Hadis-hadis Sahih yang lebih tinggi tarafnya. Daripada sekalian haiwan ciptaan Allah SWT, anjing adalah teman manusia yang paling setia, sehingga diadakan-Nya satu Surah yang menggambar dan mengisyaratkan perkara ini. Anjing haiwan yang paling mudah dilatih, daripada menjaga rumah dan menggembala kawanan ternakan yang jauh lebih besar jumlahnya sehinggalah mengesan isyarat kehidupan mangsa yang telah berbelas hari tertimbus di bawah runtuhan yang disangka telah mati oleh semua orang. Adakah hanya disebabkan satu Hadis Ahad segala kelebihan dan manfaat haiwan istimewa ini akan terus dipersia-siakan oleh sejumlah besar umat Islam? Bukankah pasukan askar, polis, kastam dan bomba umat Islam juga terpaksa memiliki anjing-anjing pelbagai fungsi yang amat terlatih itu? Daripada siapakah mereka membelinya? Berapakah kos yang dibelanjakan pihak penjual untuk menghasilkan setiap ekor anjing tersebut? Berapakah harga seekor yang mesti dibayar oleh pihak pembeli? Berapakah kos Unit-K9 Pengesan Dadah? K13 Pengesan Bom? Berapakah harga seekor anak Rottweiler yang belum dilatih? (2) KURANGKAH PAHALA IMAM YANG TIDAK BERKUPIAH?: Kebelakangan ini dilaporkan jumlah penduduk Barat yang memeluk Islam - di Eropah terutamanya - telah meningkat dalam peratusan yang menakutkan pihak Kristian. Berdasarkan pemerhatian, ada dua faktor utama yang memangkin fenomena baru ini. SATU, rasa ingin tahu yang kuat untuk menilai sendiri hakikat agama Islam setelah melihat Islam ditekan, dipersalah dan dihina secara di luar tamadun. Hal ini mudah difahami memandangkan rata-rata pemeluk baru ini didapati mempunyai latar-belakang pendidikan yang tinggi. DUA, fitrah manusia yang secara psikologinya sentiasa tertarik untuk menyertai golongan yang mempunyai sudut persamaan dengannya. Golongan Muslim di sana tidak mewujudkan sebarang trademark yang boleh menyebabkan mereka dilihat terlalu berbeza daripada non-Muslim, terutama sekali dari sudut penampilan zahir atau pakaian mereka. Ini menyebabkan mereka mudah didekati oleh kalangan yang diasak rasa ingin tahu yang kuat tadi, iaitu setelah wujud PERSEPSI AWAL bahawa (1) Islam agama yang mudah dan begitu sederhana (2) Islam mungkin sesuai juga untuk mereka (3) tidak rugi apa-apa untuk mencubanya. Mereka mudah mendekati bukan sahaja Muslim biasa, malah golongan pendakwah, pelajar agama, ustaz dan imam pun mudah didekati kerana kesemua golongan ini TIDAK memakai pakaian yang khas atau tetap untuk setiap suasana termasuklah ketika bersembahyang. Skop yang paling menonjol ialah songkok, kupiah dan serban bagi kaum lelaki langsung tidak ditekankan sebagai SYARAT PENTING yang akan membezakan status ketaatan seseorang Muslim sama ada di dalam atau di luar sembahyangnya.

Idea begini sangatlah masuk ke akal kalangan pencari kebenaran yang rata-ratanya berpelajaran tinggi dan berinformasi-tanpa-sempadan itu kerana mereka telah pun melihat jutaan Muslimin bersembahyang TANPA sebarang penutup kepala ketika berihram. Jika tutup kepala begitu penting seperti yang tergambar di kebanyakan negara umat Islam, kenapakah dalam kesempatan singkat yang suci di Tanah Suci itu kaum lelaki TIDAK DIBENARKAN menutup kepala? Tidakkah sembahyang mereka dalam saat-saat seperti itu begitu bermakna sekali? PADA SISI LAIN, negara-negara umat Islam yang Pengajian Hadis tidak menjadi sajian penting minda seperti Malaysia bukan sahaja non-Muslim tidak rasa tertarik untuk menganut Islam, malah SEBALIKNYA menyaksikan peningkatan ketara jumlah Muslim keluar dari agama Islam. Jika dilihat pula jumlah permohonan rasmi untuk tujuan ini (keluar agama), ia malah begitu menakutkan. Itu belum dikira lagi jumlah yang beralih menganut Syiah yang diisytiharkan SESAT oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang dianggarkan ratusan ribu ramainya. Secara ringkasnya, di sebalik banyaknya faktor lain yang menyumbang ke arah fenomena ngeri ini, umat Islam di Malaysia (dan di mana-mana jua yang berkenaan) tetap tidak boleh lari daripada bertanya diri sendiri: Apakah PERSEPSI AWAL yang disediakan kepada non-Muslim yang boleh menarik minat mereka untuk mendekati Islam? Dari sudut berpakaian tadi contohnya, bukankah Muslimin yang bersembahyang tanpa songkok atau kupiah dianggap tidak berapa bersungguh dan tidak berapa menghormati ibadat itu? Tidakkah kaum wanita pula menzahirkan PERSEPSI seolah-olah hanya telekung sahaja yang boleh dipakai dalam sembahyang? Perbandingan: Tuan Pengarang KSN1 tidak bermazhab bahawa kupiah serban adalah tanda aras penentu kesempurnaan/kecacatan sembahyang seseorang lelaki. Beliau membawa banyak Hadis yang menunjukkan betapa sederhananya pakaian sembahyang Generasi Awal. Malah melalui satu riwayat, beliau seperti memberi amaran bahawa gambaran salah tentang penutup kepala boleh memberi kesan buruk terhadap dakwah. Iaitu suatu riwayat di mana seorang Sahabat Besar Jabir bin AbdilLah RA - telah dengan sengaja mengimami sembahyang tanpa memakai tutup kepala dan apabila ditanya oleh murid-muridnya (Generasi Tabiien), dengan tegas beliau menjawab, Sengaja aku lakukan begini untuk mengajar orang-orang bodoh seperti kamu. Di kalangan ulama, umum difahami bahawa seorang Sahabat RA tidak mungkin dengan sengaja melakukan sesuatu yang diketahuinya akan menjejaskan pahala ibadatnya itu bukan sifat Sahabat. Tuan Pengarang KSN1 besar kemungkinan mahu memberitahu: Jika Jabir RA tidak memandang salah faham tentang pemakaian kupiah serban sebagai suatu yang serius, beliau sama-sekali tidak akan menggunakan perkataan BODOH dalam keadaan beliau amat maklum bahawa murid-muridnya itu tidaklah bodoh. Perbandingan Lain: (1) Muslimin India-Pakistan yang berjiran atau hidup bersama bangsa Punjabi beragama Sikh memilih untuk TIDAK memakai serban supaya tidak menyerupai mereka (Sikh) yang juga berserban. Islam melarang umatnya menyerupai SYIAR agama lain. (2) Di sisi ulama-ulama Hadis, sebenarnya tidak ada satu pun Hadis yang sahih tentang KELEBIHAN memakai serban. SOALAN CEPU EMAS: Bagaimana pula kalau yang dipegang tanpa sedar itu tadi bukan datang dari mazhab lain tetapi adalah sebenarnya PROPAGANDA ajaran agama lain? (1) ANTARA DUA VERSI HIJRATUR-RASUL: Versi popular (seperti dalam Sukatan Pelajaran) ialah Hijrah Bersejarah RasululLah SAW ke Madinah berlaku waktu malam yang menyaksikan Saiyidina Ali RA (masih muda ketika itu) bergadai nyawa dengan tidur di katil Baginda dengan segala perinciannya termasuklah labah-labah di pintu gua yang dijadikan simbol Maal Hijrah. SEBALIKNYA dalam KSN1, Hijrah Bersejarah ini berlaku waktu siang dengan bantuan nekad tetapi tersusun rapi Saiyidina Abu Bakar RA, anak-anak dan hamba beliau dengan segala perinciannya yang amat berbeza sekali daripada Versi Waktu Malam itu.

Secara perbandingan, Versi Waktu Malam berasal dari penulis sirah terkenal, Ibnu Hisham dan beliau mengambinya dari seorang perawi Syiah bernama Ibnu Ishaq yang direkodkan sebagai Pendusta Besar oleh kebanyakan Ulama Rijal. Sementara Versi Waktu Siang KSN1 diceritakan sendiri oleh Ummul Mukminin Saiyidatina Aisyah RA. Isteri RasululLah SAW ini adalah musuh besar ke-3 Syiah (selepas ayahandanya Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq RA dan Saiyidina Umar Al-Khattab RA). (2) ANTARA DUA VERSI EPISOD AKHIR PERANG UHUD: Ibnu Ishaq adalah juga orangnya yang MULA-MULA menceritakan kisah Hindun binti Utbah mengunyah hati Saiyidina Hamzah RA (bapa saudara Nabi SAW). Dia mendakwa mendapat cerita itu daripada seorang perawi lain di atasnya, untuk meyakinkan orang bahawa sanad tidak putus. Padahal orang yang dirujuknya itu hidup dalam jarak sekitar 70 tahun SELEPAS Perang Uhud. Sementara versi dalam KSN1 pula datang dari lisan Wahsyi, hamba hitam yang menombakcuri Hamzah RA. Apabila dibandingkan antara dua versi ini, ternyata kisah cannibal Hindun yang amat popular ini tidak pernah didengar oleh sesiapa pun dalam tempoh yang amat lama semenjak Peristiwa Uhud, sehinggalah ia keluar dari mulut Ibnu Ishaq. Maka tidak hairanlah catatan-catatan yang sahih menunjukkan bahawa pernah alim-ulama Madinah yang diketuai Imam Malik bin Anas (Imam Mazhab Maliki) berusaha mengusir keluar tokoh Syiah ini. Hindun RA adalah mertua Nabi SAW, ibu kepada Saiyidina Muawiyah RA, musuh besar ke-4 Syiah. Sekianlah dahulu sedikit perkongsian informasi, beberapa contoh daripada sekian banyak contoh dan segugus persoalan untuk renungan bersama. Maka dengan rasa rendah diri dan penuh tanggungjawab atas apa yang kami sampaikan, kami dengan penuh kesyukuran mempersembahkan ke haribaan Muslimin Muslimat sekalian:

Syeikhul Hadis Maulana Muhammad Asri Yusoff,


anak Kelantan, hafiz sejak kecil, ulama merentas mazhab, pakar rujuk mengenai Syiah, pemikir, penulis, penterjemah, ahli dalam kelima-lima bahasa utama ilmu yang datang jauh menemui saudara-saudari dengan membawa bersamanya suatu karya berjudul: iaitulah Syarah Sahih Bukhari yang pertama dalam bahasa Melayu oleh ulama Melayu untuk umat Islam seluruh dunia yang berbahasa Melayu-Indonesia. Insya-Allah melalui kitabnya ini yang dalam proses penulisan, penambahbaikan dan kemas-kini, beliau akan terus memimpin Kuliah Sahih Al-Bukhari secara talaqqi berdasarkan naskhah asli

Sahih Al-Bukhari Bersama Terjemahan Dan Ulasan Ringkas

Sahih Al-Bukhari, karya agung


Al-Imam Muhammad bin Ismail Al-Bukhari rahimahulLah,
kitab besar yang mampu merungkai berbagai persoalan umat dan sejagat, yang namanya begitu dekat di hati sekalian umat Islam namun amat sukar bertemu pewaris RasululLah SAW yang sanggup bersusah-payah menggali untuk berkongsi dengan umat segala khazanah KSN1 yang tiada ternilai harganya ini. Sama-samalah kita pohonkan doa restu agar beliau dikurniakan kesihatan, kekuatan dan kesempatan untuk menyempurnakan penulisan karya besar yang bersejarah ini, amin amin Ya Rabbal Alamin!

*Alim-ulama yang merentas mazhab wujud pada semua zaman. Tetapi beberapa lama selepas zaman keemasan Islam hinggalah
sekarang mereka kurang dihargai dan dianggap golongan yang tidak ada mazhab disebabkan sikap mereka yang tidak mahu terikat secara tetap dengan mana-mana mazhab, sama ada yang masyhur Mazhab Empat atau yang tidak masyhur. . Sebenarnya frasa tidak ada mazhab kurang sesuai dan tidak membantu dalam perjalanan Kembali Kepada Sunnah ini. Alim-ulama merentas mazhablah golongan ulama yang menganalisis semua mazhab yang ada pada zaman masing-masing untuk memilih yang terbaik pada 7

pandangan mereka. Inilah yang telah dilakukan oleh Imam Abu Hanifah pada zamannya (beliau seorang Tabiien). Beliau menganalisis mazhab-mazhab Para Sahabat RA. Beliau juga menganalisis bagaimana mazhab-mazhab itu telah dianalisis oleh tokoh- tokoh Tabiien lain seperti beliau. Lalu beliau pun membuat pilihannya sendiri. Himpunan pilihannya itu dinisbahkan kepadanya dan menjadi masyhur sebagai Mazhab Hanafi. Imam Malik bin Anas (seorang Tabie t- tabiien) telah melakukan proses yang SAMA. Tanpa bias beliau berusaha memilih yang terbaik pada pengamatannya, iaitu daripada himpunan mazhab alim-ulama sebelum beliau dari kalangan Para Sahabat RA dan kalangan Tabiien, tidak ketinggalan juga alim-ulama era beliau sendiri (Tabiet- tabiien). Himpunan pilihannya menjadi masyhur sebagai Mazhab Maliki. Murid beliau, Imam Muhammad bin Idris Asy-Syafiie, juga melakukan proses yang SAMA. Ada mazhab tokoh-tokoh sebelum beliau (termasuk gurunya Imam Malik) yang disetujuinya dan ada yang tidak disetujuinya. Himpunan pilihan beliau menjadi tersohor sebagai Mazhab Syafiie yang terdiri daripada dua fasa iaitu Qaul Qadim dan Qaul Jadid. Murid terbaik beliau, Imam Ahmad bin Hambal, melakukan proses yang SAMA dan himpunan pilihannya menjadi terkenal sebagai Mazhab Hambali. Murid Imam Ahmad bin Hambal, Al-Imam Muhammad bin Ismail Al-Bukhari, juga telah berusaha secara yang SAMA. Cuma bezanya, beliau tahu beliau perlu melakukan sesuatu yang berbeza untuk membendung sesuatu yang akan menjadi amat negatif jika dibiar berlarutan. Mazhab-mazhab pilihannya lalu dihimpun dalam Sahihnya dan disampaikan secara isyarat (Tarjamatul-Bab) melalui Hadishadis tertinggi yang berjaya melepasi Persyaratannya yang amat ketat. Secara itu, kami yakin yang beliau berharap kitabnya akan menjadi medan diskusi di mana semua mazhab boleh duduk bersama dan dengan itu terhapuslah sikap fanatik kepada mana-mana mazhab. Tentang duduk bersama ini, hajat beliau ternyata makbul apabila kitabnya dikerumuni oleh alim-ulama terbilang dari semua mazhab termasuklah alim-ulama yang bermentaliti seperti beliau sendiri iaitu golongan yang merentas mazhab. Kupasan golongan yang merentas mazhab ini lebih bertenaga dan berdayatinggi menyelami maksud sebenar isyarat-isyarat Imam Bukhari berbekalkan disiplin mereka yang tidak memihak. Tetapi hajat beliau untuk membendung sikap bergantung kepada mazhab tertentu sahaja itu nampaknya belum lagi kesampaian. Lebih mendukacitakan, hanya pihak-pihak yang terlibat secara langsung dengan perbahasan Sahih Bukhari sahajalah yang mengetahui bahawa beliau mempunyai himpunan mazhabnya sendiri. Pihak-pihak yang tidak terlibat, termasuklah orang-orang berstatus ulama, memang tidak mengetahuinya. Masyarakat telah sekian lama menganggap bahawa yang mesti diikut ialah yang diikut oleh majoriti. Sebab itulah walaupun dalam dunia ilmiah Imam Bukhari juga tersenarai sebagai Mujtahid Mutlaq, amat sedikit orang yang mengetahuinya. Beliau hanya dikenali sebagai jurutapis Hadis yang tidak boleh diengkari jika bahasa agak kasar boleh diterima. Alim-ulama merentas mazhab adalah golongan pemimpin umat yang begitu berkecenderungan untuk meramaikan jumlah penganut baru Islam dengan cara meramaikan jumlah penganut lama yang mempunyai daya penarik yang kuat. Mereka amatlah berjasa pada zaman mereka masing-masing kerana sudah menjadi tabiat mereka sentiasa alert akan semua mazhab yang ada, dalil-dalil yang digunakan dan kesesuaian mazhab-mazhab ini dengan sesuatu isu, masalah dan keadaan. Dahulu, golongan ini mendapat kelebihan berada lebih hampir dengan RasululLah SAW tetapi sesetengah mereka berhadapan masalah bahan oleh kekangan pergerakan dan teknologi. Hari ini, mereka mendapat kelebihan memiliki aset bahan yang sudah terkumpul dalam kapasiti besar dan mudah dicapai yang menjadikan tugas mereka begitu mencabar di tengah-tengah umat yang belum bersedia. Kesimpulannya, golongan ulama merentas mazhab yang ada hari ini melakukan tugas ilmiah mereka sama sahaja seperti lima imam besar di atas dan imam-imam besar lain seperti Hasan Basri, Sufyan Uyainah, Sufyan Tsauri, Ishaq Rahawaih, An-Nakhaie, Atha, Thawus, Dawud Dzahiri, Ibnu Hazm dan cukup ramai lagi adakah munasabah madrasah ilmiah paling hebat di alam ini yang dipelopori oleh Murid-murid RasululLah SAW hanya berjaya melahirkan EMPAT orang paling alim dan hanya EMPAT orang paling alim ini sahaja yang mesti diikut dan yang mesti diikut itu pula hanya SALAH SEORANG daripada mereka? Sikap underestimate begini perlu dibuang kerana ia ibarat warna hitam dalam palette seorang pelukis. Pelukisnya ialah umat. Yang mahu dilukis ialah Islam. Warna yang tersedia adalah berbilang, bukan empat sahaja. Yang akan melihat dan menilai ialah umat Muhammad seluruhnya, bukan yang telah Islam sahaja. Salah siapa jika pelukis gagal menyerlahkan wajah sebenar Islam yang cantik memukau? Cikgu Limau Kasturi 11.05.1435H/13.03.2014M Untuk disebar-luaskan oleh hadirin Sesi Lembah Klang 8

Anda mungkin juga menyukai