Anda di halaman 1dari 11

Merokok

Pengenalan
Masalah gejala sosial bukanlah masalah baru bagi Negara Brunei Darussalam malahan masalah gejala sosial sudah wujud sejak dulu lagi. Gejala sosial ini sukar untuk ditangani oleh mana-mana pihak sebab itu masalah ini semakin meningkat dari tahun ke tahun. Oleh kerana penggunaan teknologi pada masa sekarang semakin meluas dan canggih, jadi Negara Brunei Darussalam tidak mahu ketinggalan dalam penggunaan teknologi ini. Para remaja menyalahgunakan keistimewaan yang diberikan. Dari situ para remaja ini mula terpengaruh dengan gaya pergaulan orang Barat. Ini antara sebab bagaimana gejala sosial itu timbul, contoh masalah social ialah merokok, penyalahgunaan dadah, minum minuman keras, ponteng sekolah, berjudi, pemugut, membuli, menghidu gam, pergaulan bebas dan sebagainya.

Objektif
Di akhir pengajaran pelajar akan dapat:1. Mendefinisikan pengertian masalah atau kegiatan merokok. 2. Menyatakan punca-punca dan kesan-kesan dari kegiatan tersebut. 3. Menerangkan langkah atau cara-cara mengatasi kegiatan merokok.

Definisi Merokok
Isu rokok dan merokok sebenarnya merupakan masalah global yang dihadapi oleh masyarakat dunia sejak beberapa tahun yang lalu sehinggalah ke hari ini. Masalah tabiat merokok ini merupakan satu perkara yang amat sukar untuk di atasi, walaupun pelbagai peraturan dan undang-undang telah diperkenalkan bagi menyekat tabiat ini. Ramai orang menyedari akan bahayanya merokok. Di kotak-kotak rokok pun telah dibuat amaran dan ingatan betapa bahayanya merokok itu tetapi bilangan perokok terus saja bertambah yang melibatkan berbagai-bagai lapisan masyarakat terutama golongan remaja termasuklah pelajar. Rokok diperbuat daripada sejenis daun tembakau yang mengandungi bahan nikotin, tar (candu) dan karbon monoksida. Ketiga-tiga bahan ini amat merbahaya kepada kesihatan tubuh badan. Kita dapat melihat orang merokok di merata tempat sama ada di kampung, bandar dan sebagainya. Masyarakat atau perokok menjadikan kelakuan merokok sebagai satu cara hidup mereka.

(Ini adalah contoh gambar)- Ini merupakan bahan-bahan yang ada dalam rokok. Menunjukkan betapa bahayanya rokok dan merokok itu sendiri. Diambil pada http://www.google.com

Kesan Daripada Kegiatan Merokok


Pelbagai pendapat membuktikan bahawa rokok itu membahayakan kesihatan manusia. Setiap batang rokok yang dinyalakan akan mengeluarkan lebih 4 000 bahan kimia beracun yang membahayakan dan boleh membawa maut. Di antara kandungan asap rokok termasuklah bahan radioaktif (polonium-201) dan bahan-bahan yang digunakan di dalam cat (acetone), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan di kamar gas maut bagi pesalah yang menjalani hukuman mati, dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, racun paling penting atau yang paling merbahaya adalah Tar, Nikotin dan Karbon Monoksida. Tar mengandungi sekurang-kurangnya 43 bahan kimia yang diketahui menjadi penyebab kanser (karsinogen). Nikotin pula seperti dadah heroin, amfetamin dan kokain yang bertindak balas di dalam otak dan mempunyai kesan kepada sistem mesolimbik yang menjadi punca utama penagihan. Sindrom ketagihan terhadap nikotin yang ditunjukkan dengan gejala gian, tolerans dan tarikan, adalah mungkin lebih hebat berbanding dadah. Seseorang yang kehabisan rokok kadangkala berkelakuan seperti mengalami gangguan akal dan dalam keadaan yang amat tertekan sekali. Oleh itu terlalu sukar untuk sesiapa yang ketagihan dengan merokok meninggalkan tabiat itu untuk selamanya kecuali dengan ikhtiar yang serius dan kehendak Allah jua. Selain memberi sifat ketagihan bahan nikotin turut menjadi punca utama risiko serangan penyakit jantung, strok, urat saraf, mengecutkan saluran darah yang menyebabkan tekanan tinggi darah, simptom kebas kaki, jari, migrain, sakit kepala, pedih ulu hati dan kekejangan otot. Karbon Monoksida pula adalah gas beracun yang biasanya dikeluarkan oleh ekzos kenderaan. Gas ini menjejaskan bekalkan oksigen ke tisu-tisu hingga ia menjadi terencat dan akhirnya boleh menyebabkan maut sekiranya paras karbon monoksida di dalam badan melebihi 60%. Apabila racun rokok itu memasuki tubuh manusia ataupun haiwan, ia akan membawa kerosakkan pada setiap organ disepanjang laluannya, iaitu bermula dari hidung, mulut, tekak, saluran pernafasan, paru-paru, saluran penghadaman, saluran darah, jantung, organ pembiakan, sehinggalah ke saluran kencing dan pundi kencing, iaitu apabila sebahagian dari racun-racun itu dikeluarkan dari badan. Oleh itu, karbon monoksida boleh mengakibatkan sakit jantung, barah paru-paru, sakit tenggorok dan kembang paru-paru. Racun rokok akan disaring dalam buah pinggang dan dihapuskan dari badan melalui air kencing. Dalam proses ini pula, berlaku satu lagi keracunan hasil penguraian kimia asap rokok yang turut merosakkan buah pinggang. Racun dalam air kencing juga menyebabkan kerosakan pundi kencing. Racun akibat merokok juga mempunyai kesan tindak balas terhadap ubat-ubatan yang ditelan. Secara umum diketahui merokok boleh menjejaskan fungsi beberapa kumpulan enzim di hati dan ada kalanya ia boleh memperhebatkan kesan sampingan sesuatu ubat itu. Merokok juga membolehkan seseorang lelaki itu mati pucuk. Asap rokok yang dihidu oleh perokok atau mereka yang berada di sekelilingnya juga membahayakan kerana ia akan memasuki rongga mulut dan hidung melalui kerongkong ke paru-paru. Kandungan asap rokok akan menyebabkan kerosakan tisu di sepanjang perjalanan di ruang ini. Ia boleh menyebabkan pelbagai penyakit di mulut, kerongkong, paru-paru dan barah. Asap akan melalui saluran pernafasan ke dalam paru-paru dan merosakkan saluran bronkus, menyebabkan bronkitis, penyakit di bahagian paru paru. Ia juga akan merosakkan pundi udara dalam paru-paru (alveoli) dan menyebabkan penyakit emfisima. Asap rokok

yang dihidu juga akan melalui saluran penghadaman dan pencernaan dan ini boleh menyebabkan pelbagai penyakit di bahagian esofagus, perut dan pankreas. Kesan asap rokok terhadap ibu mengandung pula ialah seperti melahirkan bayi yang kurang berat badan, melahirkan bayi yang tidak cukup bulan, ibu itu lebih terdedah kepada kanser, mengurangkan kesuburan dan putus haid awal. Manakala kesannya terhadap anak yang masih kecil ialah anak itu lebih mudah mendapat lelah, mendapat jangkitan paru-paru, pertumbuhan paru-paru kanak-kanak terganggu dan mudah menjadi perokok apabila dewasa kelak. Harga rokok sekarang semakin mahal dan seseorang itu sanggup mengeluarkan wang yang banyak hanya untuk membeli rokok yang tidak mendatangkan nilai. Ini bermakna seseorang itu akan membazirkan wangnya seperti pelajar membelanjakan wang perbelanjaan sekolah yang diberikan oleh ibu bapanya untuk membeli rokok, sedangkan wang itu untuk perbelanjaannya membeli makanan di sekolah. Merokok dikalangan wanita sebenarnya memberikan kesan yang teramat buruk dikalangan wanita. Perokok wanita mempunyai kadar lebih tinggi untuk dijangkiti kanser paru-paru, payu dara, barah rahim, servik dan kolon serta kadar kesuburan 30 peratus lebih rendah berbanding wanita yang tidak merokok. Bagi wanita yang merokok pula rook itu akan merosakkan kulit mereka yang halus bukan seperti yang mereka harapkan iaitu mengurangkan berat badan mereka. Bagi ibu mengandung yang merokok akan menyebabkan berat bayi kemungkinannya tiga kali lebih rendah daripada bayi normal dan lebih tinggi risiko mendapat penyakit serta kematian pada tahun pertama kehidupan. Kualiti susu badan juga berkurangan jika bakalbakal ibu itu mula merokok semasa bayi dalam kandungan. Selain itu, juga boleh menyebabkan mereka keguguran. Ukuran sebatang rokok yang dihisap ialah 0.5 cm dan jika 20 batang yang dihisap sehari akan bersamaan panjang satu meter. Jika seorang perokok itu merokok lebih banyak dan terlalu berat, semakin panjang batang rokok yang mereka ambil, maka semakin pendek umur mereka akibat penyakit yang diundang. Berbanding dengan mereka yang tidak merokok akan lebih panjang umur mereka. Oleh itu, dari bahaya rokok atau bahan-bahan dalam rokok itu dapat meninggalkan kesan yang buruk kepada pengamal tabiat merokok itu seperti yang dinyatakan di atas pelbagai jenis penyakit yang boleh dihidapi oleh perokok. Antara jenis penyakit itu ialah janutng, barah paru-paru, barah rahim, mati pucuk dan sebagainya. selain itu, rokok itu juga membahayakan kepada ibu mengandung kerana bayi yang dilahirkan akan mendapat lelah, berat badannya lebih rendah dari bayi yang normal dan berkemungkinan mendapat penyakit, mati pada tahun pertama kehidupannya dan sebagainya.

(Ini adalah contoh gambar). Diambil dari http://www.google.com

Langkah-Langkah Mengatasi Kegiatan Merokok


Walaupun pelbagai penyakit atau bahaya rokok itu telah didedahkan kepada mereka yang merokok atau masyarakat umum tetapi gambaran itu masih tidak cukup untuk menakutkan seorang perokok untuk mengurangkan jauh sekali meninggalkan tabiat berbahaya tersebut. Mereka tidak pernah takut dengan ancaman itu, malah langsung tidak menghiraukan sebarang risiko yang akan mereka hadapi untuk jangka masa panjang. Oleh yang demikian, pihakpihak tertentu terpaksa berusaha lebih gigih untuk mengurangkan atau mengelakkan masyarakat terutama golongan remaja termasuklah pelajar supaya berhenti merokok. Antara langkah-langkah yang telah dilaksanakan ialah:1. KEMPEN Pelbagai kempen dijalankan untuk mengatasi masalah merokok baik oleh kerajaan mahupun pihak persendirian. Misalnya, kerajaan telah mengadakan kempen anti merokok melalui pelbagai cara seperti iklan-iklan yang ditayangkan di dalam televisyen, radio, poster-poster mahupun ceramah yang sering diadakan di sekolah mahupun di pejabat dan sebagainya. 2. CERAMAH Dalam ceramah mahupun iklan itu hendaklah dinyatakan tentang bahayanya merokok, kesan merokok serta dinyatakan faedah orang yang tidak merokok atau berhenti merokok seperti hidup lebih lama, dapat menghindari racun yang terkandung dalam rokok, dapat melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada bahaya merokok, menjadi teladan yang baik kepada anak-anak, dapat meningkatkan kecergasan serta memiliki tubuh yang sihat, meningkatkan deria rasa dan bau, gigi lebih putih dan nafas lebih segar dan dapat mengelakkan budaya membazir dengan menggunakan wang untuk membeli rokok kepada tujuan yang lebih baik dan bermanfaat. 3. KUAT SEMANGAT DAN BERDISIPLIN Seseorang itu mestilah kuat semangat dan mendisiplinkan diri untuk berhenti merokok seperti tetapkan tarikh untuk berhenti merokok, yakinkan diri, buat nota peringatan, katakan pada diri anda, Aku bukan perokok, tumpukan pada hari ini jangan dulu fikirkan hari seterusnya, sentiasa berfikiran positif, dapatkan sokongan daripada orang sekeliling seperti rakan sebaya, ibu bapa atau keluarga, lawan keinginan atau perasaan untuk merokok dan gunakan Terapi atau rawatan yang sesuai. 4. BERPUASA Amalan berpuasa dari pandangan Islam ialah untuk mengawal nafsu dari melakukan maksiat. Apabila berpuasa seseorang itu tidak dapat merokok sekurang-kurangnya 13 jam iaitu dari subuh hingga ke waktu maghrib. Walaupun masih berpelung untuk merokok pada waktu malam jika selalu berpuasa, seseorang itu tidak hanya dapat menghentikan tabiat merokok tetapi kita juga dapat beribadah ke jalan Allah. 5. HADIAH ATAU HABUAN Seseorang itu hendaklah beri hadiah atau habuan kepada diri sendiri sekiranya dia tidak lagi merokok. Ini untuk mendapatkan kepuasan hasil dari pemberhentiannya merokok. 6. BERSUKAN ATAU AKTIVITI BERFAEDAH Selain itu, individu yang aktif bersukan selalunya menitik beratkan kesihatan tubuh badan

dan menghindari tabiat yang boleh merosakkan diri mereka seperti merokok. Pilih aktiviti sukan yang sihat dan lakukan dengan berkumpulan untuk menambah keseronokan dan motivasi diri. Oleh itu, perokok hendaklah melakukan aktiviti sukan ini kerana ia dapat menghindarkan dirinya dari tabiat merokok. 7. SERTAI PROGRAM SUKARELA Sertai program-program sukarela seperti di hospital dan persatuan kebajikan untuk melupakan tabiat merokok ini sambil mengambil iktibar dan bersyukur dengan kesihatan diri kita. Jika seseorang itu sibuk dengan aktiviti atau kerja yang dilakukannya, dia akan lupa untuk menghisap rokok kerana tidak ada masa untuk menghisap rokok. Bagi ibu yang mengandung pula hendaklah didedahkan kepada iklan-iklan tentang pentingnya menjaga bayi yang dikandungnya dan dedahkan perkara-perkara yang boleh memudaratkan keadaan bayinya mahupun kesiahtan dirinya sendiri. 8. PELAJAR DIKENAKAN DENDA Manakala, bagi pelajar di sekolah pula hendaklah dikenakan dendaan yang setimpal kepada mereka yang didapati merokok seperti pelajar yang merokok itu akan diadukan kepada pihak polis dan pihak polis akan mendenda mereka. Ini adalah kerana pihak polis bekerjasama dengan pihak sekolah untuk menangani masalah disiplin pelajar. Ibu bapa juga akan dipanggil untuk memberitahu perihal anak mereka yang merokok. Pelajar yang merokok itu juga akan dirujuk kepada guru kaunseling untuk menanyakan kenapa dia merokok. 9. KUATKUASA UNDANG-UNDANG Di negara Brunei Darussalam, kerajaan telah pun menetapkan undang-undang iaitu tidak membenarkan sesiapa saja untuk merokok di kawasan-kawasan tertentu seperti dalam panggung wayang, rumah sakit, sekolah, pejabat dan di kawasan awam yang tertentu. Denda akan dikenakan kepada sesiapa saja yang melanggar undang-undang tersebut. Penjual rokok di kedai juga tidak menjual rokok kepada remaja yang berumur di bawah lapan belas tahun. Sesiapa yang didapati berumur di bawah lapan belas tahun akan dikenakan denda yang setimpal. Pihak-pihak yang berkenaan juga diharap akan dapat bekerjasama dalam membanteras tabiat merokok ini, dengan tidak menjual kepada pembeli yang di bawah umur dan jangan hanya memikirkan keuntungan saja.

Punca Kegiatan Merokok


Kegiatan merokok ini sering berlaku kepada masyarakat yang tidak mengendahkan tentang bahayanya merokok, bukan saja golongan lelaki malahan juga golongan wanita juga ada yang sudah pandai berjinak-jinak dengan tabiat merokok ini. Terdapat pelbagai punca atau faktor seseorang itu menghisap rokok antaranya, 1. KURANG IKATAN KEKELUARGAAN Beberapa kajian telah dibuat dan mendapati bahawa peranan keluarga amat penting dalam mendidik anak-anak mereka supaya tidak terjerumus dalam masalah sosial yang sering berlaku pada anak remaja sekarang ini. Ikatan kekeluargaan yang ada sekarang ini semakin berkurangan kerana ibu bapa tidak memberikan sepenuh perhatian kepada anak mereka kerana mereka sering saja sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Hal ini menyebabkan

anak-anak merasa bosan dan kurang kasih sayang daripada ibu bapa sehingga anak-anak mereka menjadi penghisap rokok kerana tidak seorang pun yang melarang perbuatannya itu. 2. TERLALU BEBAS Punca seterusnya, tingkah laku anak-anak mereka, terutama yang telah mencapai umur belasan tahun sekarang ini, seolah-olah di luar kekuasaan ibu bapa. Anak-anak remaja terlalu diberi kebebasan oleh ibu bapa atau penjaga untuk melakukan setiap aktiviti. Jadi anak tersebut melakukan sesuatu tanpa pengetahuan dan larangan ibu bapa. 3. IBU BAPA MENGHISAP ROKOK Selain itu, ada ibu bapa yang menghisap rokok di depan anak-anak mereka. Ini bukan saja menunjukkan contoh yang kurang baik, malah mengajar dan menggalakkan anak-anak mereka supaya berbuat perbuatan yang sedemikian kerana ibu bapa mereka juga melakukan hal yang sama. 4. PERGAULAN DAN PENGARUH RAKAN-RAKAN Pengaruh dan pergaulan dengan kawan-kawan yang merokok juga merupakan faktor penggalak bagi remaja untuk menghisap rokok kerana jika mereka tidak merokok, mereka akan disisihkan dan dianggap tidak berani. 5. INGIN MENCUBA DAN BERSERONOK Mereka juga terdorong oleh perasaan ingin mencuba bagaimana rasanya rokok itu kerana golongan remaja sinonim dengan sikap mereka yang ingin mencuba sesuatu yang baru. Bagi remaja khususnya lelaki menganggap dengan merokok dapat menunjukkan kedewasaan atau kematangan mereka sebab itulah mereka merasa bangga apabila menghisap rokok. Ada juga remaja lelaki yang beranggapan mereka merokok sekadar untuk berseronok saja tanpa memikirkan kesan buruk akibat tabiat merokok. Manakala lelaki dewasa merokok kerana sifat ketagihan mereka sehingga ada yang berpendapat rokok sahabat atau kekasih kedua mereka. 6. ROKOK MUDAH DIPEROLEHI Ada juga berpendapat rokok mudah dibeli disebabkan itu remaja mula dan meneruskan tabiat merokok setiap hari dan juga rokok itu mudah diperolehi dari rakan-rakan yang merokok. 7. TERTEKAN Tabiat merokok ini juga berlaku apabila merasa tertekan dengan kerja dipejabat atau sekolah, mengantuk dan apabila tiada keyakinan diri terhadap sesuatu perkara. 8. PENGARUH MEDIA MASSA DAN GOLONGAN BERPENGARUH Selain itu, pengaruh daripada media massa juga memainkan peranan yang penting seperti disiarkan iklan orang merokok dan sebagainya kerana golongan remaja ini mudah terikut-ikut dengan budaya yang diperlihatkan kepada mereka. Golongan berpengaruh seperti ahli politik, artis, doktor dan termasuk pemimpin agama yang merokok memberikan teladan yang negatif kepada masyarakat, ini menyebabkan golongan remaja semakin rancak atau tanpa segan silu menghisap rokok di tempat-tempat awam. 9. GALAKAN PENJUAL ROKOK Langkah penguatkuasaan oleh pihak kerajaan terhadap larangan menjual rokok kepada remaja bawah 18 tahun adalah lemah atau gagal kerana penjual rokok hanya ingin mengaut keuntungan dalam perniagaan, oleh itu akibat buruk dari perbuatan remaja menghisap rokok tidak dihiraukan. Ini menunjukkan penjual seolah-olah memberi galakan kepad perokok

untuk merokok dengan lebih giat lagi. Walaupun penjual tahu pembeli itu di bawah umur tetapi tetap juga dijual kepada pembeli tersebut tanpa menghiraukan larangan kerajaan tentang larangan menjual rokok kepada remaja bawah 18 tahun. 10. MEMBERONTAK ATAU MARAH Ada juga remaja atau pelajar yang memberontak seperti marah atau tidak puas hati terhadap guru dan sebagainya akan menghisap rokok kerana bagi mereka rokok itu dapat menghilangkan tekanan. 11. MENGURANGKAN BERAT BADAN Manakala, bagi golongan remaja wanita merokok dapat mengurangkan berat badan bagi yang mementingkan penampilan mereka. Oleh yang demikian, mereka percaya bahawa merokok dapat mengurangkan berat badan mereka. Hal ini disebabkan bagi mereka merokok dapat mengawal selera makan jadi bentuk dan berat badan mereka dapat dikekalkan. Selain itu, golongan wanita hari ini mahu memperjuangkan persamaan taraf. Ini bermakna mereka mahu meletakkan diri mereka setaraf dengan lelaki. Mereka percaya dengan merokok, taraf mereka sama dengan golongan lelaki. Menjadi kebanggaan golongan wanita jika mereka dapat melakukan apa saja yang dilakukan oleh lelaki. Walaupun golongan wanita ini tahu perkara merokok itu merosakkan kesihatan atau tubuh badan mereka.

Aktiviti
Di dalam aktiviti ini:1) Para pelajar dipecahkan kepada tiga kumpulan. 2) Guru akan memberikan soalan perbincangan untuk setiap kumpulan. 3) Kumpulan yang pertama akan membincangkan mengenai punca-punca yang menyebabkan berlakunya gejala melepak. Manakala kumpulan kedua akan membincangkan mengenai kesan dari budaya melepak dan kumpulan ketiga pula akan membincangkan tentang cara mengatasi masalah melepak ini. 4) Setiap kumpulan diberi masa selama 10 minit untuk membuat perbincangan dalam kumpulan mereka. 5) Setelah selesai, guru akan mengarahkan seorang wakil dari setiap kumpulan untuk membentangkan hasil kerja perbincangan yang mereka telah lakukan.

Kesimpulan
Merokok merupakan satu kegiatan yang sukar untuk dibanteras. Walaupun bahaya merokok amat ketara dan besar pengaruhnya terhdap masyarakat, dari segi kesihatan, ekonomi dan sosial teapi merokok masih tetap menjadi satu amalan masyarakat yang sukar untuk di atasi. Oleh itu, berbagai-bagai langkah atau cara telah dilakukan untuk mengatasi masalah merokok ini. Semua pihak diharapkan memberikan kerjasama untuk menjayakan langkah-langkah yang telah disediakan oleh pihak-pihak tertentu.

Rujukan
Majalah Juara, Mei-Jun 2008. ______________, 1992. Melayu Islam Beraja Menengah 1. Bandar Seri Begawan: Jabatan Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz Bin Juned, 2004. Rokok dan Merokok. Bandar Seri Begawan: Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri. Ahmad Redzwan Mohd Yunus, 2003. Gejala Sosial Dalam masyarakat Islam Punca dan Penyelesaian. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. http://bahayarokok.blogspot.com, diambil pada 30hb September, 2010. http://eprints.utm.my/2226/1/2_8.pdf, diambil pada 30hb September, 2010. http://keajaibanpenjimatan.com/blog/faktor-penyebab-dan-kesan-kesan-merokok/, diambil pada 30hb September, 2010. http://www.facebook.com/topic.php?uid=21253528324&topic=6762, diambil pada 30hb September, 2010. http://jomberhentimerokok2010.wordpress.com/category/jom-berhenti-rokok/, diambil pada 30hb September, 2010. http://www.muslimsocial.com/blogs/blog_messages?blog_id=3852220, diambil pada 30hb September, 2010.

Anda mungkin juga menyukai