Anda di halaman 1dari 3

SOALAN 1 Role model guru membentuk modal insan pelajar. Bincangkan.

Menurut Kamus Dewan, Guru ialah orang yang mengajar, pendidik, pengajar dan pengasuh. Ia juga boleh diertikan sebagai orang yang berpendidikan, berpengetahuan dan jawatan sebagai guru itu sendiri menyebabkan seorang guru akan dihormati serta menjadi perhatian masyarakat umum. Manakala Role pula bermaksud bahagian yang dilakonkan atau tugas seseorang dalam satu-satu usaha mahupun peranan. Sementara Model bererti membentuk sesuatu atau bekerja sebagai contoh tauladan. Untuk menjadi seorang role model yang baik, terlebih dahulu perkara yang perlu diberi perhatian utama oleh guru ialah mempunyai kesihatan badan yang baik dan terjaga. Ini kerana seorang guru yang sihat dari segi mental dan jasmani akan dapat memberikannya tenaga dan keupayaan untuk menjalankan serta melancarkan tugasnya dengan sempurna. Sekiranya seorang guru itu tidak sihat maka sudah tentulah ia tidak dapat menjalankan tugasnya dengan baik dan tidak dapat mencapai objektif pembelajarannya dengan lebih berkesan. Selain itu kesihatan yang baik juga perlulah memiliki jiwa yang tenteram dan damai kerana melalui jiwa yang tenteram akan dapat menjalankan pengajaran dengan perasaan senang hati. Selain itu imej luaran bagi seseorang guru juga memainkan peranan yang penting untuk membolehkannya dianggap sebagai role model, iaitu melalui cara berpakaian yang baik, sopan, berpatutan dan sentiasa kemas kerana cara berpakaian ini juga mencerminkan keperibadian bagi seorang guru. Seorang guru yang baik dan patut menjadi contoh adalah guru yang mengetahui psikologi kanak-kanak dan dapat menilai kekuatan murid dari segi badan dan jiwa serta tabiat dan perkembangannya. Guru juga hendaklah mempunyai pengetahuan umum tentang hal ehwal semasa sebagai persediaan apabila diajukan soalan yang mungkin di luar jangkaan atau di luar teks sukatan pelajaran. Seterusnya guru hendaklah memiliki banyak kebolehan dalam menghasilkan sesuatu pengajaran kerana kebolehan dalam memvariasikan pengajaran akan dapat mengelakkan kebosanan pada murid dan sekali gus menimbulkan kekaguman bagi muridnya apabila melihat kesungguhan pada guru mereka dan ini tidak mustahil seorang murid itu akan menjadikan gurunya sebagai idola dalam mencapai kejayaannya. Selain itu, penyampaian guru juga mestilah mempunyai kecenderungan-kecenderungan yang memerlukan perkembangan yang dinamik dan bukannya statik atau bersifat streotaip. Dari segi kepimpinan, seorang guru itu bolehlah dijadikan sebagai role model yang asas samada kepimpinan yang dimainkan oleh seorang guru itu secara langsung mahupun secara tersirat. Ia dapat dilihat melalui peranan guru itu sebagai pemimpin di mata masyarakat dan murid atau pelajar. Antara sifat-sifat kepimpinan seorang guru yang boleh dikatakan sebagai role model ialah guru sebagai fasillator (pemudah cara). Tegasnya di sini guru itu akan sentiasa memata-matai anak muridnya untuk membimbing, mengajar serta menggerakkan pelajar sama ada secara individu mahupun berkumpulan. Peranan guru sebagai penunjuk cara jelas sekali memperlihatkan sifat kepimpinan seorang guru itu secara tidak langsung. Kepimpinan guru juga, bahkan dapat dilihat melalui asas ketamadunan yang dibawa oleh guru, iaitu membawa budaya berfikir ke arah mewujudkan rakyat yang bertanggungjawab dalam

pengukuhan akidah kerana berfikir merupakan anak kunci bagi kemajuan dan keunggulan sesebuah Negara. Seorang guru semestinya akan atau sudah pernah mengalami kerenah dan masalah murid atau pelajar dalam pembelajaran dan pengajaran. Disebabkan itu persediaan emosi yang stabil dan cekal hati dalam menghadapi segala kerenah murid dan cabaran dalam pembelajaran adalah amat penting dan harus ada dalam diri seorang guru. Guru perlu tahu menyelesaikan setiap masalah murid dalam apa jua situasi dan ini memerlukan sikap dedikasi seorang guru yang tidak pilih kasih serta bersabar dalam mengulangi isi pelajaran yang lepas bagi murid yang lemah. Emosi yang stabil bagi seorang guru amat penting kerana peranan guru itu meliputi segala aspek bukan saja pendidikan tetapi pembentuk sahsiah murid. Jadi di sini guru memikul banyak tanggung jawab yang bukan saja mengajar malahan menjadi kaunselor kepada murid yang bermasalah. Sebagai role model, guru adalah orang yang bertanggungjawab dalam mencorak murid supaya menjadi manusia yang benar-benar berguna terhadap masyarakat dan negaranya. Ini termasuklah membentuk sikap, nilai dan akhlak manusia serta memberi contoh yang menjadi ikutan seluruh lapisan masyarakat. Mencorak peribadi murid itu adalah bermula dari mendidik kanak-kanak mentah menjadi manusia yang berguna. Oleh itu, guru adalah merupakan orang yang terpenting dalam membangun dan membina sesebuah masyarakat, lebih-lebih lagi masyarakat sekolah. Di samping itu, peranan guru sebagai pencorak peribadi murid juga ialah mampu mencipta suasana harmoni sesama murid agar bertolak ansur dan bertanggungjawab. Malahan profesi guru ini juga merupakan pengasas kepada kejayaan murid disebabkan peranan guru itu sendiri sebagai tulang belakang kepada sistem pendidikan yang dapat merealisasikan transformasi pendidikan sepertimana yang dicita-citakan oleh kerajaan dalam pencorakan utama guru yang baik dan ikhlas mendidik anak muridnya. Sebagai kesimpulan seorang guru yang dikatakan sebagai pendidik itu adalah 'role model' terbaik dalam pembentukan modal insan.Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa masa depan kanak-kanak dalam dunia moden kini sedikit sebanyak adalah hasil daripada pengaruh guru yang telah banyak mendidik mereka dalam sistem formal yang telah dilalui oleh kanak-kanak itu. Tidak dapat disangkalkan bahawa para pemimpin, juru bina, ahli-ahli ekonomi dan setiap anggota masyarakat yang menghadapi cabaran hidup masing-masing, semuanya telah menemui para guru terlebih dahulu semasa bersekolah sebelum berjaya menduduki jawatan yang mereka jawat sekarang ini. Selain itu, guru juga mempunyai pengaruh yang luas dan berkesan dikalangan muridnya, oleh sebab itu jika kuasa seorang guru itu disalahgunakan sama ada dengan disedari atau sebaliknya, maka akibatnya akan melembapkan dan menghancurkan generasi masyarakat akan datang. Jadi di sini adalah menjadi tugas guru bagi menjaga taraf profession ini dengan mengekalkan prestasi yang tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat, murid, bangsa, agama dan Negara.