Anda di halaman 1dari 15

SISTEM EJAAN JAWI YANG DIKEMASKINI OLEH DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA: SATU TINJAUAN Oleh Sabariah Binti

Haji Bahrun Jabatan Pendidikan Islam dan Moral IPG Kampus Kent, Tuaran, Sabah Emel: fatimahanim@yahoo.com

Abstrak Sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, majoriti penduduk terdiri daripada golongan buta huruf dan tidak mempunyai tulisan sendiri. Sejak penyebaran agama Islam, tulisan Arab diperkenalkan dan akhirnya telah diterima sebagai tulisan umat Islam. Bagi bangsa yang belum memiliki tulisan sendiri seperti bangsa Melayu, mereka telah mengambil seratus peratus tulisan Arab menjadi tulisan jawi. Bahkan tulisan ini juga adalah sebahagian daripada warisan kebudayaan Melayu Lama. Sebelum penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, tulisan jawi menjadi tulisan rasmi dan sehingga kini ia telah mengalami pelbagai peringkat proses perubahan. Terkini, tulisan jawi telah dikemaskini oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Kajian ini adalah berbentuk ujian bertulis bertujuan untuk menguji prestasi pelajar menulis jawi. Seramai 58 orang pelajar opsyen Pendidikan Islam IPG Kampus Kent telah terlibat dalam kajian ini. Data kuantitatif yang diperoleh telah dianalisis dengan menggunakan SPSS. Selain membincangkan dapatan kajian, penulis turut menghalusi permasalahan mata pelajaran Jawi ejaan terkini seterusnya beberapa cadangan turut diketengahkan.

PENDAHULUAN

Perkembangan Penggunaan Tulisan Jawi Dalam Sistem Pendidikan Islam Tulisan jawi adalah antara tulisan yang terawal ditemui di Nusantara. Tulisan ini telah berkembang sejak zaman kerajaan Islam Pasai sekitar kurun ke 13Masihi (Syed

Muhammad Naquib al-Attas, 1969). Penemuan Batu Bersurat di Terengganu yang bertarikh 1303 Masihi membuktikan tulisan jawi telah sampai ke negara ini lebih awal berbanding tulisan rumi yang hanya ditemui sekitar abad ke 19. Begitu juga, penemuan batu nisan yang bertulis angka dalam bahasa Arab di Kedah pada 651 Masihi, dan wang dinar di Kelantan pada 1181 Masihi (Hasyim Musa, 1997).

Dengan kedatangan Islam, bukan sahaja agama dan kepercayaan masyarakat di Kepulauan Melayu berubah, tetapi aspek-aspek budaya yang lain turut berubah. Syed Muhammad Naquib al-Attas berkata bahasa Melayu juga mengalami proses pengislaman. Di samping penggayaan istilah dengan kemasukan istilah Arab dan Parsi Islam, bahasa Melayu juga menjadi alat perantaraan penyampaian dan pengajaran Islam di seluruh Kepulauan Melayu, termasuk Thailand Selatan dan Kampuchea.

Akibat daripada proses pengislaman ini, penggunaan dan adaptasi skrip Arab telah menjadi skrip jawi untuk mengeja Bahasa Melayu. Oleh disebabkan itu, tulisan jawi telah menjadi tulisan orang Melayu sehingga sekarang, meskipun telah melalui pelbagai tahap perubahan sistem ejaan dan pasang surut penggunaannya dalam penulisan di alam Melayu amnya dan Malaysia khasnya.

Pernyataan masalah

Berdasarkan kepada beberapa fakta sejarah, tulisan jawi telah memainkan peranan penting di rantau Kepulauan Melayu. Dalam proses penyebaran pendidikan agama Islam, tulisan jawilah yang banyak memainkan peranan utama sebagai alat tulisan Melayu-Islam yang pertama dalam masyarakat Melayu. Ia juga menjadi sebagai penghubung bagi kesatuan Islam di seluruh rantau Melayu.

Tulisan jawi berfungsi sebagai perantara penting dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat, perjanjian-perjanjian antara raja Melayu dan pihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 juga ditulis dalam tulisan Jawi. Perkembangan tulisan ini juga telah mengalami jatuh bangunnya sendiri. Keadaan ini lahir dari sikap kita sendiri terhadap warisan bangsa. Pada tahun 1954, sebuah

jawatankuasa penyiasat tulisan Jawi-Rumi dalam Kongres Persuratan Melayu se-Malaya Kedua di Seremban, telah membandingkan sistem ejaan tulisan Jawi dan Rumi. Hasil daripada penyiasatan itu maka disimpulkan dalam Memorondum Mengenai Tulisan Rumi untuk Bahasa Melayu 1954, sebelas kelebihan tulisan Rumi berbanding dengan 12 kelemahan tulisan Jawi. Hasilnya, Angkatan Sasterawan 50 telah mengesyorkan:

Sudah sepatutnya tulisan Rumi di rasmikan bagi persuratan Melayu dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa akan menentukannya.

Seterusnya Penyata Razak tahun 1956 menyatakan:

Kami telah menimbangkan dengan halus berkenaan perkara menggunakan tulisan rumi atau jawi dalam bahasa kebangsaan itu dan cadangan digunakan tulisan rumi dengan syarat diadakan pelajaran jawi bagi muridmurid Islam. Begitu juga Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menyatakan: Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan rumi dengan syarat bahasa itu tidak melarang penggunaan tulisan melayu yang lebih dikenal dengan tulisan jawi bagi bahasa kebangsaan.

Demikianlah senario terpinggirnya tulisan jawi yang telah digunakan sejak beratus-ratus tahun di Malaysia termasuk di sekolah-sekolah. Bila diteliti sejarah dunia, lanjutan daripada perang salib telah menyebabkan kejatuhan kerajaan-kerajaan Islam di Eropah. Rentetan itu berlaku kejatuhan kerajaan Turki dan seterusnya kejatuhan kerajaan Melayu dan berlakunya penjajahan Barat di Indonesia dan Tanah Melayu dan memberi kesan terhadap terpinggirnya penggunaan tulisan jawi sekitar tahun 40-an dan 50-an. Semasa Tanah Melayu berada di dalam kuasa penjajah Barat, kedudukan tulisan jawi kian tergugat. Pada tahun 1950an, tulisan rumi pula mengambil tempat terutama dalam persuratan Melayu (Shukri Zain, 1988). Banyak bahan penulisan telah disalurkan kepada masyarakat melalui penonjolan tulisan rumi. Akhirnya, tulisan jawi menjadi tulisan yang kurang popular kerana keistimewaan tulisan rumi yang amat berpengaruh dalam masyarakat. Pengabaian ini bukan sahaja berlaku di kalangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia, bahkan turut dialami juga di kalangan masyarakat Melayu Islam di negara sekitar seperti Singapura, Indonesia dan Brunei.

Meskipun tulisan Jawi masih kekal diajar kepada murid-murid dalam pelajaran Agama Islam, kemerosotan prestasi murid-murid dalam membaca dan menulis Jawi semakin ketara. Hal ini mungkin disebabkan tempoh masa pelajaran Jawi di sekolah yang agak terhad dan meluasnya penggunaan tulisan Rumi dalam pelbagai aktiviti dalam kalangan masyarakat. Dalam masa yang sama penggunaan tulisan Jawi sudah tidak

memberangsangkan dan kurang ditekankan dalam masyarakat dan negara.

Kajian ini dilakukan bagi menyingkap kembali akan kepentingan tulisan jawi dalam masyarakat Melayu Islam, terutamanya dari segi mengenal al-Quran dan Sunnah sekaligus agama Islam itu sendiri. Di samping itu juga, penyelidik ingin memberi kesedaran kepada masyarakat Melayu amnya bahawa tulisan jawi merupakan tulisan asal bagi bahasa dan bangsa Melayu sebelum ini. Di Malaysia, bangsa Melayu amat sinonim dengan Islam (Perlembagaan Persekutuan). Tulisan jawilah yang menjadi jambatan ilmu untuk memudahkan penyebaran agama Islam di kalangan masyarakat Melayu dahulu. Bahkan sesetengah masyarakat menganggap bahawa mengenal tulisan jawi samalah juga mengenal tulisan al-Quran (Faridah mohamed, 1997).

Dalam usaha meningkatkan kembali penggunaan tulisan jawi dalam kalangan masyarakat, masyarakat patut didedahkan tentang keperluan mempelajari tulisan tersebut berasaskan kepentingan dan kelebihannya. Menurut Faridah (1997), di antara kepentingan dan kelebihan tulisan jawi kepada masyarakat ialah;

a. Memudahkan pembelajaran al-Quran b. Memudahkan penghayatan ilmu pengetahuan Islam. c. Mendekatkan kepada agama Islam

d. Memelihara keaslian perkataan Arab dalam bahasa Melayu.

OBEJEKTIF UMUM

Secara umumnya, kajian ini bertujuan meninjau prestasi pelajar dalam menulis sistem ejaan jawi terkini yang telah dikemaskini oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

OBJEKTIF KAJIAN

Secara khusus, objektif kajian ini ialah untuk: 1. Meninjau prestasi pelajar menulis jawi ejaan terkini 2. Mengenal pasti aspek-aspek kelemahan pelajar dalam ejaan terkini 3. Mengenal pasti permasalahan dalam penggunaan ejaan jawi terkini

Tinjauan Literatur

Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengemas kini tulisan jawi dari masa ke semasa demi untuk memartabatkan kembali tulisan ini. Beberapa buah kamus Jawi telah disusun dan dicetak iaitu pada tahun 2001 dan 2004. Terkini, kamus Daftar Kata Bahasa Melayu (Rumi-Sebutan-Jawi) Edisi Kedua (2008) telah diterbitkan dengan mengetengahkan lima kaedah utama ejaan jawi iaitu ejaan lazim, ejaan tradisi, ejaan mengikut hukum, ejaan lampau hukum dan ejaan pinjaman serta serapan. Kaedah pelengkap ejaan juga

diketengahkan dalam kamus ini seperti ejaan gelinciran, penggunaan huruf hamzah dan ejaan imbuhan.

Kajian tentang prestasi tulisan jawi telah banyak dijalankan. Boleh dikatakan bahawa kebanyakan hasil dapatan kajian berkenaan menunjukkan bahawa penguasaan tulisan jawi dalam kalangan murid Islam masih berada pada tahap sederhana dan lemah. Misalnya, kajian Abdul Halim Tamuri et al (2004) dalam kajiannya tentang keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam ke atas pembangunan diri pelajar mendapati bahawa, tahap penguasaan tulisan jawi murid adalah sederhana (67.8%). Begitu juga kajian Nik Hassan (2006) terhadap pelajar tingkatan empat di empat buah sekolah daerah Tuaran, Sabah mendapati bahawa skor min pelajar adalah 2.26. Ini disokong oleh kajian Asmawati Suhid et al (2008) mendapati tahap penguasaan murid membaca dan menulis perkataan mudah daripada suku kata tertutup adalah 49.2%, membaca dan menulis perkataan mudah daripada suka kata tertutup adalah 57.9% dalan jawi. Manakala kajian Sabariah (2011) mengetengahkan tentang perestasi menulis jawi 265 orang pelajar yang mengambil mata pelajaran jawi (dalam pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam) di IPG Kampus Kent adalah sebanyak 57.2% memperoleh gred C dan D. Justeru penyelidik menganggap prestasi dan tahap penguasaan pelajar dalam tulisan jawi masih perlu dikaji dan diberi perhatian.

METODOLOGI

Kajian ini menggunakan reka bentuk deskriptif iaitu secara ujian bertulis. Ia bertujuan untuk mendapatkan data kuantitatif tentang prestasi pelajar opsyen Pendidikan Islam Kampus Kent menulis jawi menurut sistem ejaan terkini. Penyelidik menggunakan metod
convinience sampling iaitu penyelidik memilih kumpulan pelajar Kampus Kent sebagai sampel kajian. Penulis akan membuat satu generalisasi berkaitan populasi ini. Thomas, J. Sullivan

(1992) menyatakan, sample is a number of elements from a larger population of elements. Namun, dalam kajian ini penyelidik akan mengambil kesemua 58 orang menjadi sampel kajian. Menurut Krejcie et al. (1970) sekiranya jumlah populasi 60 orang, sampel yang sesuai adalah 52 orang. Oleh itu jumlah sampel penyelidik adalah menepati saranan tersebut.

Kesahan instrumen kajian dilakukan dengan melantik sebuah panel terdiri daripada dua orang pakar daripada universiti tempatan untuk menilai dari segi format dan kejelasan maksud yang komprehensif tentang isi kandungan item yang dibentuk. Data yang diperoleh telah dianalisis dengan mengaplikasi kaedah statistikal bagi mendapatkan maklumat yang dikehendaki dengan menggunakan program Statistical Package For The Social Science (SPSS).

DAPATAN KAJIAN

Prestasi Pelajar Menulis Jawi Ejaan Terkini Bagi mengenal pasti prestasi pelajar menulis jawi, mereka telah diberi ujian bertulis untuk menguji tahap penguasaan mereka. Prestasi mereka dapat dilihat dalam Jadual 1. Jadual 1: Prestasi Pelajar Menulis Ejaan Jawi Terkini
Julat Markah 90 - 100 80 - 89.9 75 79.9 70 74.9 65 69.9 60 64.9 55 59.9 50 54.9 40 49.9 30 39.9 20 29.9 0 19.9 N = 58 Gred A+ A AB+ B BC+ C CD+ D F f 0 1 2 0 3 11 16 10 12 3 0 0 % 0 1.7 3.4 0 5.2 19.0 28.0 17.2 21.0 5.2 0 0

Dapatan menunjukkan bahawa secara keseluruhannya, prestasi murid tidak seimbang dalam setiap gred. Sebanyak tiga orang (5.2%) sahaja mencapai gred A dalam ujian menulis jawi, 14 orang (24.2%) mendapat gred B dan 38 orang (66.2%) mendapat gred C. Analisa dapatan turut mendapati 3 orang pelajar mendapat gred D (5.2%).

Aspek-aspek Kelemahan Pelajar Dalam Ejaan Terkini Pelajar telah diberi ujian menulis jawi. Dapatan menunjukkan bahawa secara keseluruhannya, pelajar mencapai prestasi sederhana dan lemah dalam aspek kaedah ejaan jawi terkini. Maklumat terperinci tentang hal ini ditunjukkan dalam Jadual 2. Jadual 2: Aspek-aspek kelemahan pelajar dalam ejaan terkini
Kaedah Ejaan Lazim Ujian Menulis f Betul Salah N = 58 46 12 % 79.3 20.7 f 44 14 % 75.8 24.1 f 37 21 % 64.0 36.2 Kaedah Ejaan Tradisi Kaedah Ejaan Ikut Hukum Kaedah Ejaan Lampau Hukum f 19 39 % 32.8 67.2 Kaedah Ejaan Pinjaman

f 38 20

% 65.5 34.5

Analisa Jadual 2 menunjukkan sebanyak 46 orang (79.3%) menulis dengan betul kaedah ejaan lazim, 44 orang (75.8%) menulis dengan betul kaedah ejaan tradisi dan 37 orang (64.0%) dapat menulis dengan betul kaedah ejaan mengikut hukum. Analisa dapatan juga mendapati kelemahan pelajar menulis dengan betul ejaan lampau hukum iaitu 19 orang (32.8%).

Permasalahan Dalam Penggunaan Ejaan Jawi Terkini Sepanjang kajian ini dijalankan, penyelidik menemui beberapa permasalahan dalam penggunaan ejaan jawi terkini yang telah dikemaskini oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Pertama, meskipun Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengemaskini ejaan jawi dari semasa ke semasa selama belasan tahun, pendedahan sistem ejaan ini kurang diketahui

10

oleh kebanyakan guru dan pelajar. Malahan golongan guru agama sendiri merasa agak asing dengan sistem ejaan terbaru ini sehingga menimbulkan masalah dalam proses pengajaran mereka di sekolah. Kedua, terdapat kalangan guru dan pelajar mempertikaikan kaedah sistem ejaan baru kerana kesukaran penggunaannya. Mereka lebih selesa menggunakan ejaan lama yang telah sebati sekian lama dalam penulisan. Ketiga, kurangnya kursus dan pendedahan sistem ejaan jawi baru dalam kalangan guru dan pelajar. Pihak Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran dan sebagainya hanya

mengendalikan kursus ejaan jawi pada peringkat permulaan sekitar tahun 2005 dan 2006 sahaja. Terkini, amat jarang kursus sebegini diadakan di jabatan-jabatan, sekolah-sekolah dan institut pengajian. Keempat, penggunaan tulisan jawi dalam kalangan masyarakat dan negara semakin hambar. Jarang kelihatan iklan-iklan, surat khabar, surat-menyurat, papan tanda dan sebagainya yang menggunakan tulisan jawi. Jika adapun, kaedah ejaan lama yang digunakan.

PERBINCANGAN DAN CADANGAN

Berdasarkan pembentangan dapatan kajian di atas, secara umumnya boleh dikatakan bahawa prestasi pelajar menulis ejaan jawi terkini adalah berada pada tahap sederhana dan lemah. Sebahagian besar pelajar telah mendapat gred C. Dapatan ini selari dengan kajian Abdul Halim Tamuri et al. (2004) dan Asmawati Suhid et al. (2008) yang mendapati kemahiran murid menulis adalah pada tahap kurang memuaskan. Prestasi ini

11

agak membimbangkan walaupun pelajar-pelajar ini boleh dianggap mahir dalam menulis jawi kerana latar belakang pendidikan sekolah agama.

Memandangkan tahap prestasi pelajar pada aspek-aspek kaedah ejaan tertentu adalah lemah, maka perlu diberi perhatian aspek-aspek tersebut. Pelajar paling kurang kemahiran menulis dengan betul ejaan lampau hukum iaitu 19 orang (32.8%) sahaja. Dapatan ini selari dengan kajian Nik Hassan (2006) yang mendapati skor min pelajar adalah 2.26 sahaja. Begitu juga kaedah ejaan serapan Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris ada kalanya sukar dikuasai bagi sesetengah perkataan.

Berdasarkan perbincangan ini, maka beberapa cadangan boleh diutarakan. Pertama, ejaan jawi terkini yang telah dikemaskini oleh Dewan Bahasa dan Pustaka perlu didedahkan kepada masyarakat umumnya, dan golongan guru dan pelajar khususnya. Kelas, kursus dan latihan perlu diperhebatkan ke semua peringkat di samping pemantauan dan penambahbaikan yang berterusan. Kedua, semua guru Pendidikan

Islam dan guru Bahasa Melayu perlu diberi pendedahan yang lebih kepada sistem ejaan yang terkini ini agar mereka boleh mengajar pelajar dengan betul dan yakin. Peranan media massa perlu diperhebatkan dan peruntukan kewangan yang mencukupi hendaklah diberikan agar aktiviti-aktiviti memartabatkan tulisan jawi dapat dilaksanakan dengan jayanya. Ketiga, perhatian yang serius perlu diberikan terhadap sistem kaedah ejaan yang agak menyukarkan untuk dikuasai. Kajian ini mendapati kaedah lampau hukum agak mengelirukan. Kaedah ini memerlukan seseorang menguasai perbendaharaan Bahasa Melayu dengan baik. Sebagai contoh terdapat perkataan hantar dan hentar,

12

kampung dan kempung, lantik dan lentik dan lain-lain. Begitu juga beberapa ejaan perkataan pinjaman dan serapan sama ada bahasa Arab atau bahasa Inggeris masih sukar untuk dikuasai. Penyelidik merasa bimbang sekiranya kurangnya penguasaan terhadap ejaan baru, akan melunturkan minat masyarakat terhadap tulisan jawi. Akhirnya, namun yang utama, penggunaan tulisan jawi perlu diperluaskan dalam masyarakat dan negara. Iklan-iklan, papan kenyataan, tanda jalan, papan tanda, nama bangunan, kedai dan sebagainya hendaklah menggunakan tulisan jawi. Urusan surat menyurat rasmi sebaiknya menggunakan tulisan jawi meskipun tidak secara keseluruhan. Penggunaan tulisan jawi perlu mendapat sokongan dari semua pihak bagi memastikan ia benar-benar berjaya dan mencapai objektif yang diharapkan. Tulisan jawi adalah warisan bangsa dan agama, yang mana roh dan syiar Islam jelas kelihatan dengan tersebarnya tulisan jawi.

KESIMPULAN

Sistem ejaan jawi yang dikemaskini oleh Dewan Bahasa dan Pustaka adalah bertujuan untuk memartabatkan kembali tulisan ini agar ianya lebih kemas dan sistematik. Namun secara umumnya masyarakat Malaysia, dan khususnya umat Islam masih belum dapat menguasai ejaan terkini ini dengan sebaik mungkin. Penggunaan tulisan jawi terkini perlu disemarakkan lagi di samping usaha-usaha meningkatkan ilmu dan kemahiran masyarakat terhadap sistem ini. Para pensyarah, guru dan pelajar perlu diberi pendedahan dan kursus-kursus yang berterusan agar hasrat memartabatkan sistem ejaan terkini dapat dicapai. Sekiranya masyarakat lebih terdedah dan dapat menguasai sistem ejaan jawi, minat dan motivasi terhadap tulisan ini akan dapat dipertahankan dan diperkasakan.

13

Seterusnya, satu kajian lanjutan juga perlu dijalankan bagi mengenal pasti tahap prestasi dan masalah yang dihadapi oleh para pelajar dan guru terhadap sistem ejaan jawi yang dikemaskini.

Rujukan

Abdul Halim Tamuri et al. (2004). Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam ke atas pembangunan diri pelajar. Laporan Penyelidikan. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan JAPIM. Asmawati Suhid dan Lukman Abdul Mutalib (2008). Model Kelas Pemulihan Jawi: Satu Penilaian Umum. Kertas Kerja Seminar JPPG. Faridah binti Mohamed (1997). Bahasa al-Quran dan Hubungannya dengan Tulisan Jawi: Suatu Kajian Terhadap Pelaksanaan Tulisan Jawi Di Sekolah-Sekolah Kota Baru Kelantan. Tesis Ijazah Sarjana Usuluddin, Akademi Islam, Universiti Malaya. Hashim Musa (1997), Epigrafi Melayu: Sejarah Sistem Tulisan Dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Kang Kyoung Seock (1990). Perkembangan Tulisan Jawi Dalam Masyarakat Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Krejcie, R.V. & Morgan, D.W. (1970), Determining sample size for research activities. Educational and Psychological Measurement, 30 (3). Nik Hassan Bin Seman (2006), Pengaruh Motivasi dan Gaya Pembelajaran Pelajar Terhadap Kemahiran Menulis Jawi (Kertas Projek Sarjana Pendidikan, Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Sabah). Rusli bin Abdul Ghani et al (2008), Daftar Kata Bahasa Melayu (Rumi-Sebutan-Jawi) Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Sabariah Binti Bahrun (2011), Perkembangan Tulisan Jawi di Malaysia. Prosiding Konferensi Antarabangsa Islam Borneo, Universiti Mulawarman, Indonesia. Shukri Zain (1988). Sumbangsih. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

14

Syed Muhammad Naquib al-Attas (1969), Preliminary Statement on a General Theory of The Islamization of the Malay Archipelago. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka Thomas, J. Sullivan (1992), Applied Sociology Research and Critical Thinking. New York: Macmillan Publishing Company.

15

Anda mungkin juga menyukai