Anda di halaman 1dari 3

JURNAL 3 (13/4/2014 - 17/4/2014) DAYA TUMPUAN MURID @ FOKUS MASALAH Pada minggu ketiga ini terdapat juga masalah

yang timbul berkenaan daya tumpuan murid dan tidak fokus terhadap pelajaran. Masalah pada kali ini melibatkan pengajaran saya untuk kelas 4 Anggerik. Terdapat sekumpulan kecil murid yang tidak memberi perhatian sepenuhnya semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Terdapat sebilangan kecil murid yang duduk di bahagian belakang kelas suka membuat bising dengan berbual sesama sendiri. Ada juga yang bermain dan membuat kerjakerja yang tiada kaitan dengan P&P. Sebahagian murid kelas ini juga agak lambat dalam menjalankan aktiviti pembelajaran dan menyiapkan lembaran kerja. Akibatnya, ada aktiviti yang saya rancang dalam buku RPH saya, tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Semasa aktiviti berkumpulan dijalankan murid yang lemah tidak mengambil bahagian sepenuhnya. Mereka hanya mengharapkan rakan yang pandai berbincang dan membuat aktiviti. Keadaan ini menyebabkan mereka tidak dapat ilmu yang saya ingin terapkan.

ANALISIS MASALAH Dalam menangani masalah ini, saya perlu mengkaji dan menyiasat punca-punca berlakunya masalah yang timbul. Masalah murid tidak memberi perhatian dan kebisingan di dalam kelas cuba saya kaji dan saya dapati mungkin masalah ini berlaku berpunca daripada kelemahan diri saya sendiri. Pertama mungkin pengajaran saya menggunakan strategi yang sama menyebabkan murid bosan. Kedua, saya kurang fokus kepada murid di bahagian belakang kerana mereka kurang memberi respon terhadap soalan saya. Ketiga, nada suara saya perlahan dan intonasi yang sama. Masalah juga mungkin muncul daripada kelemahan mereka seperti kurang berminat dalam subjek sains, malas untuk belajar dan kurang menghormati guru praktikum.

CADANGAN Saya mengkaji serba sedikit murid-murid yang agak bermasalah. Dengan cara ini permasalahan lebih senang diselesaikan. Walaubagaimanapun, dalam menyelesaikan masalah ini saya lebih fokus untuk membetulkan kesilapan diri sendiri. Bagi saya kelemahan P&P kebiasaannya berpunca daripada kelemahan guru.

Dalam mengatasi masalah ini, saya bercadang mengambil beberapa tindakan seperti berikut: 1. Mempelbagaikan aktiviti pengajaran yang menarik dan melibatkan semua murid. 2. Pemberian hadiah dan pujian kepada murid bagi merangsang minat untuk belajar. 3. Memasukkan banyak unsur kecindan dalam pengajaran. 4. Mempelbagaikan nada dan intonasi suara. 5. Lebih fokus kepada murid yang lemah dan suka berbual-bual 6. Lebih tegas ketika mengajar dan memberi arahan.

TEMPOH PENYELESAIAN 20/4/2014 24/4/2014 (satu minggu)

TINDAKAN SUSULAN Dalam melaksanakan cadangan, saya akan lebih memberikan perhatian terhadap murid yang tidak fokus tersebut. Saya juga akan menggunakan kaedah peneguhan positif daripada teori pelaziman operan (Operant Conditioning). Hal ini dapat menggalakkan penglibatan murid dalam aktiviti yang di dalam kumpulan. Saya akan memberi ganjaran kepada kumpulan murid yang mendapat jawapan dengan cepat dan betul dalam aktiviti yang dijalankan. Segala cadangan di atas akan saya laksanakan sebaik mungkin agar P&P berjalan sebagaimana yang diingini.

KESIMPULAN Kesimpulannya, masalah kurang fokus dan daya tumpuan murid bukanlah isu besar dan ia boleh diatasi segera. Murid-murid adalah generasi yang bakal menaungi kesejahteraan bangsa dan negara pada masa akan datang. Maka, setiap masalah yang berlaku ada penyelesaiannya, terpulanglah kepada guru itu sendiri untuk mengatasinya. Sebelum membetulkan murid, adalah lebih elok guru memperbaiki diri sendiri terutama sekali dari segi penyampaian, ketegasan, suara dan kepelbagaian aktiviti. Dengan cara ini murid lebih seronok belajar, selain mewujudkan suasana pembelajaran yang harmonis dan perhubungan yang erat di antara murid dan guru.