Anda di halaman 1dari 3

Jam Dinding Yang Berdetak, sarat emosi

NOR ATIEYAH YUSOFF & FOTO : NIZUAN HANAFI 21 Januari 201421 Januari 2014

<1/3>
SEBAGAI pembuka tirai Lambang Sari, Istana Budaya bagi tahun 2014, penonton disajikan dengan pementasan teater Jam Dinding Yang Berdetak, yang sudah pun menemui penonton dari 17 hingga 19 Januari lalu. Teater yang diadaptasi novel dari seberang nukilan Nano Santiarno ini memaparkan kisah satu keluarga yang dihimpit kemiskinan akibat kemelesetan ekonomi. Sarat dengan emosi, teater ini telah direalisasikan oleh pengarahnya, Aloeng Silalahi dengan caranya tersendiri. Setiap karakter yang ditonjolkan dalam teater ini mempunyai konflik dalaman masing-masing, namun cuba mengaburinya menerusi harapan agar dapat memperbaiki taraf hidup mereka. Dengan menggunakan empat orang teraju utama iaitu Siti Suya Suryani, Kirin Muhamad, Nadiya Nisaa dan Amerul Affendi, teater ini dilihat mampu bermain dengan emosi penonton. Penceritaan teater ini dimulakan dengan watak Adzam (lakonan Kirin Muhamad) yang telah menganggur hampir tiga tahun disebabkan oleh operasi pengurangan pekerja di syarikatnya. Tidak dapat menerima hakikat itu, Adzam mengalami kemurungan serius dan mula terjebak dengan minuman keras sehingga menjadi kaki botol tegar. Dalam masa yang sama, hak Adzam sebagai seorang suami telah dinafikan oleh isterinya,

Rafidah (Siti Suya Suryani). Rafidah terus bersikap dingin terhadap Adzam yang mahukan belaian seorang isteri. Pelbagai alasan dicipta Rafidah seperti letih kerana mengambil upah membasuh dan menggosok baju bagi menolak keinginan suaminya itu. Keengganan Rafidah menyebabkan suaminya mempunyai hubungan bersama wanita lain. Manakala anak sulung mereka, Erna (Nadiya Nisaa) mengambil alih tugas bapanya untuk menampung kos pembelajaran adiknya, Adi (Amerul Affendi). Dalam situasi tersebut, Erna dilihat menjadi tulang belakang yang memberi sokongan kepada setiap ahli keluarganya. Adi pula merupakan satu-satunya harapan buat keluarga itu namun segalanya musnah hanya kerana terlibat dengan pertelingkahan bersama pensyarah. Ekoran daripada kejadian tersebut, dia dibuang universiti dan mencari rezeki dengan menjual hasil lukisan. Konflik keluarga mereka menjadi lebih teruk pada malam ulang tahun perkahwinan ibu bapa mereka. Tindakan mereka membeli arak untuk bapanya mengundang malapetaka apabila ibu bapa mereka bertelingkah antara satu sama lain. Percubaan dua beradik itu untuk merapatkan hubungan keluarga berakhir dengan tragedi setelah Adzam meninggal dalam kemalangan. Bagi penulis, teater ini satu naskhah yang agak berat kerana terlalu banyak konflik berlaku. Malah terdapat juga adegan yang kurang sesuai dipertontonkan kepada audiens. Namun apa yang boleh dipuji adalah kesemua pelakon bijak bermain emosi. Mereka berjaya mengagumkan penonton dengan perubahan emosi yang cepat, daripada sedih ke gembira dan begitulah sebaliknya. Selain itu, penggunaan prop kekal dengan hiasan yang menggambarkan kemiskinan keluarga turut memainkan peranan penting. Daripada situ penonton dapat merasai sendiri kemelut yang melanda keluarga tersebut.

Tercabar dengan watak bapa Sementara itu, memegang watak utama sebagai bapa dan kaki botol, Kirin Muhamad berdepan dengan cabaran besar sepanjang penglibatannya di pentas teater. Menurut Kirin, 26, watak sebagai bapa cuba digalas dengan sebaik mungkin. Alhamdulillah, syukur kerana saya dapat mencari watak saya sepanjang latihan diadakan. Watak ini agak sukar kerana saya masih bujang apatah lagi perlu menjadi seorang suami dan bapa kepada dua orang anak yang sudah remaja. Harapan saya agar penonton terhibur dengan pementasan ini, katanya. Jelas bekas graduan Fakulti Teater Aswara itu, dia sukakan cabaran tersebut kerana ia memberikan satu pengalaman berbeza baginya. Dalam masa yang sama, Kirin berkata, dia perlu menjadi bapa yang penyayang dan suami pemabuk.

Agak sukar untuk saya lakukan pada mulanya. Alhamdulillah dengan bantuan pengarah dan pelakon lain, saya mampu melakukannya dengan berpegang kepada prinsip setiap halangan yang berlaku pasti ada jalan penyelesaiannya, kata Kirin.

Nadiya Nisa teruja Sementara itu, bagi Nadiya Nisaa pula, walaupun memegang watak sampingan, namun ia bukan watak tempelan semata-mata. Ternyata lakonan Nadiya memberi impak besar dalam teater itu kerana penghayatan wataknya dilihat begitu berkesan di hati penonton. Jelas Nadiya, ia merupakan kali kedua penglibatannya dalam teater selepas Asmarama, tahun lalu. Selepas pertama kali berlakon teater saya terus jatuh cinta dengan bidang ini. Saya tidak sangka ia begitu menyeronokkan dan selepas ini mahu terus berlakon teater. Buat masa sekarang, saya memperlahankan kerjaya lakonan sama ada drama atau filem demi menumpukan dalam bidang baru ini, ujarnya.

Tonjol kemiskinan Menurut pengarahnya, Aloeng Silalahi, dia cuba paparkan keadaan perkampungan nelayan dan budaya mereka ketika itu. Katanya, biarpun mengangkat kisah dari Indonesia tetapi dia cuba tonjol persamaan antara dua negara itu. Ia dilatari dengan kisah keluarga yang merasai keadaan ketika kemelesetan ekonomi melanda. Terutamanya impak kepada institusi kekeluargaan dan ekonomi mereka ketika itu. Novel tersebut menggambarkan keluarga miskin tapi tidak merana dengan situasi itu, ujarnya. Katanya, biarpun miskin mereka cuba untuk gembira apatah lagi pelbagai halangan dan cubaan menimpa keluarga mereka. Saya ingin tonjolkan kelainan dalam drama ini biarpun ada kalanya ada babak terlebih mesra yang mungkin kurang sesuai untuk remaja dan bawah umur. Konsep teater realisme yang pernah popular suatu ketika dahulu dibangkitkan semula agar generasi dapat melihat sendiri pementasan dahulu, katanya.