Anda di halaman 1dari 4

Malam ini seperti malam semalam, gelap dan suram. Gelap gelita tiada cahaya.

Yang ada cuma cahaya lampu bot nelayan sayup-sayup di garisan horizon sebelah barat. Mereka tidak jauh pada anggapanku. Mungkin dalam lima atau enam batu. Angin juga berhenti berlari, pokok pula senyap sunyi merunduk sepi.

Ya tuhan, apakah ini ujianmu untuk aku sebagai hambamu? Adakah aku ini terlalu jauh dariMu hingga saja cubaan sebegini besar yang kau timpa atas diri aku. Aku lemah ya tuhan. Aku lemah

Bunyi germersik ombak kadang melenyapkan lamunan yang telah jauh melayang, jauh ke hujung laut lepas. Tiada berpenghujung, tanpa pelabuhan tanpa pulau kecil untuk berlindung. Hingga akhir sekali bunyi ombak itu, ombak itu punca segala galanya. Ombak kau jahat, laut kau kejam.

Setiba di pelabuhan sedar, cepat cepat saja Liana bangkit dari tempat duduknya. Perlahan di menapak ke birai laut, mengambil sebiji batu kecil. Dilemparnya lemah ke arah laut, dia melempar dengan penuh hiba, geram, hingga menghilangkan rasa pasrah dan redha atas ujian semua. Serasa-rasanya semua di depannya adalah penyebab. Mereka tidak pernah kasihankan. Jika dulu lautlah tempat dia bergurau, ditepuk manja permukaan hingga memercik ke seluruh tubuh. Lambaian daun nyiur bukan lagi satu sapaan, tapi dirasakan seperti satu ejekan.

Mereka semua penyebab, mereka semua perlu dipersalahkan.

Hatinya remuk, hancur berderai sama seperti ombak kecil itu. Lemah.

"Hari ini kau dah jadi hak orang, mak harap kau akan jadi isteri yang baik" kata-kata itu membuat matanya berkaca. Penuh dengan perasaan. Bercampur antara hiba dan

gembira. Bukanlah satu keperluan untuk menangis di hari bahagia seperti itu. Tapi tugasnya untuk menjadi anak dara tunggal keluarga itu sudah diambil hak. Dia perlu menjadi dia yang lain. Manjanya perlu dialih untuk orang lain tanpa mengurangkan manja pada ibunya.

Usai sahaja majlis pernikahan dan persandingan kedua mempelai itu. Orang ramai mula pulang. masing masing dengan doa. Berdoa bercabang luar seumpama bunga telur yang dihias cantik di atas dulang emas itu bersama dengan tapak sireh dan berberapa hadiah lain.

Raja sehari sudah hampir tamat tempohnya, kalau tadi makannya disiapkan orang. Sekarang dia perlu menghidangkan untuk dirinya sendiri dan suami. Ya suami.

Entah kenapa rasa kekok benar dia menyiapkan makanan, dan bukanlah itu pertama kali dia menyiapkan dan menghidang makanan. Kalau dulu tika ibunya tiba tiba ditimpa sakit, dia juga yang menyediakan makanan. Waktu itu abang sulungnya sedang berada di luar negara atas hal tertentu dan abang keduanya pula ada masalah lain. Dia lah satu satunya doktor tak bertauliah yang menjaga ibunya. Makan. Pakai. Mandi.

"Awak tak nak makan sekali?" tegur suaminya dengan penuh tertib. Kedua dua memandang masing masing seketika memandang ke tikar mengkuang yang dialas duduk. Malu. Liana hanya senyum nipis, senyumnya masih tersisa hingga terlupa di tangannya membawa gulai ikan tenggiri. Hampir saja jatuh tumpah ke lantai, cepat cepat dia meletakkan perlahan sambil memandang suaminya. Geli hati itu tidak disimpan lama. Dia lantas ketawa dan kemudiannya duduk sekali bersimpuh di hadapan. Bimbang mengganggu kalau terus duduk di sebelahnya.

Awan hitam, mendung. Entah kenapa tiba tiba alam berubah rupa. Kalau tadi angin sunyi sepi seperti gua yang tidak berpenghuni kini menjadi ganas. Kadang membedal keras ke raut wajah ayu itu. Dia cepatkan langkah menuju ke pondok buruk itu. Walaupun malam sudah agak lewat. Tapi dia tetap menunggu. Menunggu ribut itu untuk disapa.

Wahai ribut, engkau datang atas dasar apa ? Apakah kau berkecil hati atas ucapanku kepada awan ? Kepada ombak kecil yang tidak berdosa ? Kepada semua di sekeliling aku ?

Angin itu terus bertiup kencang, tidak memberi jawapan sekadar bertiup kearahnya yang susah mengambil tempat di pondok itu. Pondok yang dijadikan tempat menjahit pukat, mengikat pelampung pada atas dan bubuh pemberat timah pada bawahnya. Jaraknya setengah depa antaranya.

Sekali lagi alam berubah sikap, jika tadi dia garang. Kini dia kembali sunyi. Hanya tinggal sisa sisa angin yang bertiup membelai lembut rambut mayangnya. Ditutup kembali dengan kain batik jawa.

"Esok saya perlu kelaut semula, tekong Pak Mail sakit tenat, jadi dia suruh saya ganti" ucap suaminya lembut. Matanya tidak berhenti memerhati raut wajah Liana yang sayu, mata yang teduh. Hal ini bukanlah sesuatu yang besar untuk ditangisi, bukan pula sesuatu yang berat untuk dia tanggung. Hanya pergi ke laut, menangkap ikan dan pulang.

Tapi bukan kah baru tengah hari tadi dinikahkan ? Langsir merah jambu yang menghiasi ruang tamu untuk dijadikan pelamin masih terpasang. Bunga telur yang luah dua tiga biji di atas pelapik emas. Masih baru lagi. Pemergian ke laut bukan

sesuatu yang asing baginya, dan kerana kebiasaan itulah membuatnya resah, pedih atau rindu. Perasaan yang kalau dicampurkan sekali akan keluar satu perkataan. Jangan pergi !

"Tak boleh ke ganti dengan orang lain" muka Liana sudah berubah arah. Raut wajahnya cukup untuk menggambarkan separuh perasaannya. Antara dua, pergi untuk mencari rezeki atau menghalang jalan walaupun dapur tak bernasi.

"Saya pun tak tahu antara dua, sayang nak tinggalkan awak atau pergi berjuang." Suaminya membalas padu, tersentak dengan kalimah itu. Cepat cepat Liana menyeka air mata yang berlinangan. Pergi ke laut bukan sekejap sayang, paling cepat dua minggu. Hari ni baru saya dapat tengok muka awak dari dekat, esoknya awak sudah jauh. Sangat jauh.

..