Anda di halaman 1dari 2

Huraikan dan perincikan kurikulum Sejarah sekolah rendah. Bincangkan perkaitannya dengan kehidupan individu, masyarakat dan negara.

Sejarah merupakan mata pelajaran teras yang wajib dipelajari oleh semua murid dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai tahun 4 di tahap dua sekolah rendah. Objektifnya adalah untuk menyemai kefahaman terhadap mata pelajaran Sejarah sejak sekolah rendah. Ini disebabkan melalui pengetahuan dan kefahaman terhadap aspek sejarah negaralah yang mampu melahirkan murid yang berjiwa patriotik. Jadi, melalui kurikulum Sejarah, murid diberi pendedahan untuk menganalisis dan menilai fakta sejarah secara matang. Jika sebelum ini, aspek Sejarah hanya diselitkan dalam mata pelajaran Kajian Tempatan yang diajar pada tahap dua murid sekolah rendah,kini dengan adanya pengenalan yang berfokus terhadap subjek Sejarah pastinya mampu memupuk minat terhadap subjek Sejarah sedari sekolah rendah sebelum beralih kepada Sejarah dengan lebih mendalam di sekolah menengah. Kurikulum Sejarah sekolah rendah dibina berasaskan enam tunjang KSSR iaitu Komunikasi, Kerohanian, Sikap dan Nilai, Kemanusiaan, Literasi Sains dan Teknologi dan Keterampilan Diri. Keenam-enam tunjang tersebut merupakan nilai yang menyokong antara satu sama lain dan disepadukan oleh kemahiran berfikir aras tinggi. Melalui kesepaduan kesemua aspek ini, modal insan yang seimbang dan harmonis, berpengetahuan dan berketerampilan dapat dilahirkan. Pendekatan yang menarik yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti Pembelajaran Luar Bilik Darjah (PLBD), Pembelajaran Akses Kendiri (PAK) dan Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam Pembelajaran (TMK) pastinya akan melahirkan situasi pembelajaran yang menyeronokkan dan memberi input yang berguna kepada pelajar dalam melatih Kemahiran Berfikir Aras Tinggi. Seperti yang dikatakan oleh Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kata alu-aluan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, dalam usaha kita untuk bersaing dengan negara-negara termaju di dunia, sistem pendidikan kita perlu berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan dan mampu berfikir secara kreatif dan kritis. Tema yang ditekankan dalam kurikulum Sejarah sekolah rendah ialah Tema Mengenal Negara Kita, Sejarah Negara Kita, Kewarganegaraan dan Cintai Tanah Air. Melalui tematema ini, pelajar tahap dua sekolah rendah dapat memahami Sejarah berasaskan sikap ingin tahu dan seterusnya menghargai keunikan negara kita dalam melahirkan warganegara yang patriotik di Malaysia. Konsep sebab dan akibat yang ditekankan dalam kurikulum Sejarah juga akan menyatakan kepentingan sejarah dalam kehidupan dan menjadikan masyarakat Malaysia sebagai satu masyarakat yang mengambil iktibar daripada peristiwa sejarah negara dalam usaha mengekalkan keharmonian negara kita. Menerusi konteks Perlembagaan Persekutuan dan kemerdekaan tanah air yang diberi keutamaan dalam kurikulum Sejarah, semangat cintakan negara akan dapat diterapkan dalam kalangan generasi muda. Selain itu, perspektif keunikan tanah air yang ditekankan dalam mata pelajaran Sejarah akan dapat menilai warisan negara kita seterusnya menerangkan kehidupan dan

kebudayaan masa lalu dan masa kini masyarakat di Malaysia. Menerusi ini, masyarakat Malaysia akan lebih menghormati masyarakat pelbagai kaum, di samping mempertahankan identiti dan warisan negara serta memahami perbezaan kaum, budaya, dan agama dalam memupuk persefahaman antara kaum di Malaysia. Jika semua nilai ini dapat disemai sejak sekolah rendah, pastinya Malaysia akan dapat mengekalkan perpaduan yang menjadi aspek yang penting dalam menjana pembangunan negara. Sebagai contoh, pengenalan terhadap budaya kaum-kaum di Malaysia dan budaya setiap negeri di Malaysia tidak kira dari segi pakaian, makanan dan tarian yang pelbagai dan mempunyai keunikan yang tersendiri akan membantu masyarakat Malaysia memahami dan menghargai keistimewaan negara kita. Dalam elemen kedaulatan negara kita pula, murid akan didedahkan dengan pencapaian negara dari segi ekonomi, sosial dan pencapaian di peringkat antarabangsa. Menerusi elemen ini, perasaan bangga terhadap pencapaian negara akan dapat dipupuk. Seterusnya, elemen ini juga akan memberi pengetahuan kepada murid dalam memahami cabaran negara dalam mempertahankan kedaulatan negara. Dengan ini, pembinaan jati diri dalam diri murid akan dapat dibentuk sejak dari zaman sekolah rendah lagi. Lagipun , generasi ini jugalah yang akan menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang yang lebih mencabar. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Kesimpulannya, kurikulum Sejarah sekolah rendah merupakan satu bentuk kurikulum yang dilihat sebagai satu usaha dalam melahirkan warganegara yang bersatu padu, mempunyai perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia, berpengetahuan dan menghayati dan mengamalkan ciri-ciri warganegara yang cemerlang. Elemen-elemen yang diterapkan dalam kurikulum ini diharapkan dapat menjadi wadah dalam menerapkan nilai-nilai yang akan membentuk kehidupan masyarakat yang lebih patriotik dan mempunyai jati diri. Walaupun begitu, memandangkan kurikulum Sejarah ini merupakan kurikulum yang baru ingin dilaksanakan di peringkat sekolah rendah, perhatian yang mendalam terhadap pelaksanaannya dari setiap aspek perlu diambil berat supaya usaha ini tidak akan menjadi sekadar melepaskan batuk di tangga. Pendekatan yang menarik perlulah digunakan oleh guru dan panitia sejarah supaya sesi pembelajaran akan menjadi lebih berkesan terhadap pelajar.