Anda di halaman 1dari 1

IBUBAPA IKON PELAJAR Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, panel hakim

yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan rakan-rakan seperjuangan sekalian. Berdirinya rumah kerana tiangnya, berdirinya pokok kerana akarnya, tetapi berdirinya saya pada hari yang mulia ini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk "Ibu Bapa Ikon Pelajar Para hadirin sekalian, Apakah peranan ibubapa sebagai ikon pelajar dalam membina dan mewujudkan rumahtangga yang harmoni, penuh kasih sayang, mawaddah wa rahmah,dan bahagia dunia akhirat? Beberapa kaedah mustahak perlu diketahui bersama. Kaifiat dan nilai itu berasas pada sumber nilai yang benar, iaitu Al-Islam Bagi membentuk keluarga yang bahagia, ibubapa yang baik adalah mereka yang menjadikan ajaran agama sebagai tunjang kehidupan. Penghayatan terhadap ajaran Islam harus menjadi agenda penting dalam kehidupan harian sebuah keluarga. Selaku orang tua, ibubapa harus berusaha memahami dan menghayati akhlak dalam Islam iaitu akhlakul karimah baik dalam hubungan dengan Allah atau hubungan sesama manusia, meliputi diri peribadi, keluarga, jiran dan masyarakat. Kesemua itu dapat kita kaji dan pelajari dari ilmu tasauf, yang sesuai dan berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Sebagai ibu bapa, mereka perlu saling menghormati antara satu sama lain agar menjadi contoh kepada anak. Anak-anak pula diwajibkan menghormati ibu bapa dan ibu bapa pula hendaklah menyayangi anak-anak. Jika mempunyai kelemahan, kekurangan, kesalahan dan kesilapan tidak dibiarkan berpanjangan. Masing-masing sedia memberi kemaafan dan berani mengaku segala kesalahan yang dilakukan. Di samping itu, ibu bapa perlu mendidik anak tentang ilmu agama dengan memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran dan sentiasa memohon keampunan kepada Allah atas segala kelakuan yang tersalah laku, baik pada waktu senang mahupun susah. Ibu bapa juga perlu sentiasa mengucapkan salam setiap kali keluar dan masuk rumah. Berkatalah dan berbual dengan ucapan yang taiyibbah (baik), kerana itu merupakan contoh dan ikhtibar bagi anak. Hindari pertengkaran antara suami isteri di hadapan anak-anak, kerana ia akan mempengaruhi jiwa. Tuan-tuan dan puan-puan, Sebagai ibubapa, perbelanjaan sara hidup juga patut berjalan dalam suasana berhemah tinggi, sederhana dan tidak boros, walaupun berkemampuan. Jangan bernafsu besar mengejar kemewahan dunia yang hanyalah fatamorgana serta nisbi sehingga mengabaikankan anak-anak. Hiduplah dengan pola hidup sederhana dan tidak berlebihan. Jangan mempamerkan kekayaan, lebih-lebih lagi di mata orang miskin kerana perbuatan itu akan mempengaruhi sikap anak-anak. Kesimpulannya, ibubapa sebagai ikon pelajar mestilah berdasarkan iman kepada Allah dan bertunjangkan kepada ajaran Islam yang sebenar. Iman adalah asas dalam kehidupan dan kekuatan dalam menegakkan azam. Akhlak yang mulia akan terbina dalam keluarga yang solat berjemaah, ke masjid atau ke surau. Akhirnya akan lahirlah insan yang cemerlang,gemilang dan terbilang sebagai pewaris tanah air kita.InsyaallahSEKIAN,TERIMA KASIH.