Anda di halaman 1dari 13

Muzik untuk tujuan pendidikan telah lama digunakan khususnya oleh para guru di sekolah.

Pada pendapat anda, adakah perlaksanaannya berjalan dengan lancar dan menepati objektif sebagaimana yang digariskan.

Oleh; Desmond anak Ikal SK Suba Buan,Bau 94000 Bau,Sarawak.

Muzik merupakan satu elemen yang boleh dikatakan unik kerana ia merupakan satu unsur yang boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat tidak mengira bangsa mahupun peringkat usia. Ramai orang terutamanya dari negara dunia ketiga termasuklah di Malaysia menganggap muzik tidaklah begitu penting. Muzik pada lazimnya sering dikaitkan untuk tujuan berhibur semata-mata.Ada yang berpendapat, lebih baik menjadi peguam, polis atau apa juga pekerjaan yang lain. Seperti mana yang telah dipaparkan di dalam filem Ibu Mertuaku lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramli , agak jelas menyatakan bahawa pada ketika itu, pekerjaan sebagai ahli muzik digambarkan sebagai tidak menjamin kesejahteraan hidup. Sebenarnya, itulah mentaliti kebanyakkan orang tentang muzik. Kita hanya melihat muzik daripada skop yang cukup sempit. Bidang muzik atau peranannya dianggap tidak penting seperti kerjayakerjaya lain. Namun kita sebenarnya haruslah sedar bahawa sumbangan muzik juga amat besar dalam mempengaruhi emosi, psikologi, ketrampilan diri dan pembentukan nilai intelek seseorang, terutamanya di peringkat persekolahan. Agak mengecewakan juga apabila ada sesetengah insan yang bernama guru sanggup menjadikan masa pendidikan muzik untuk mengajar mata pelajaran lain. Walau bagaimanapun, saya beranggapan bahawa bilangan guru yang mengamalkan amalan ini adalah amat sedikit. Mungkin ia hanyalah melibatkan individu yang sebenarnya buta muzik . Jika disebut Pendidikan Muzik, sudah pasti ianya tidak asing lagi dalam kalangan murid mahupun guru. Ramai yang mempercayai bahawa muzik adalah merupakan satu unsur yang boleh mempengaruhi emosi individu. Oleh yang demikian, muzik seringkali dijadikan sebagai bahan pelengkap dalam satu-satu mata pelajaran. Bagi mata pelajaran muzik itu sendiri, sudah menjadi kemestian ianya dilaksanakan mengikut garis panduan. Malah mata pelajaran muzik

juga merupakan satu mata pelajaran yang merupakan mata pelajaran yang diminati oleh ramai murid. Ada kalangan murid yang tidak sabar-sabar menantikan masa pendidikan muzik. Bukan sahaja pada masa kini, tetapi muzik juga telah lama digunakan untuk tujuan pendidikan. Sejak dahulu lagi, muzik bukan sahaja digunakan untuk mata pelajaran muzik sahaja malah turut digunakan oleh guru-guru yang mengajar mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Matematik, Sains dan Pendidikan Moral. Didapati bahawa proses pengajaran dan pembelajaran bagi semua mata pelajaran ini menjadi lebih berkesan setelah aspek muzik diintegerasikan ke dalam mata pelajaran ini. Bukan itu sahaja, malah murid lebih mudah untuk memahami dan menghafal isi pelajaran yang dipelajari. Sebagai contohnya, bagi mata pelajaran Bahasa Melayu , murid lebih mudah mengingati huruf-huruf atau abjad melalui pengajaran dengan kaedah nyanyian lagu ABC. Begitulah juga perihalnya dengan kefahaman murid dalam mata pelajaran Matematik yang lebih mudah untuk menghafal nombor dan susunannya dengan betul melalui nyanyian lagu Satu, dua, tiga. Lagunya sangat mudah , tetapi ia meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada murid. Baik di rumah mahupun sebagai hiburan dalam perjalanan pulang sekolah, lagu inilah yang akan menjadi siulan. Secara tidak langsung, proses pembelajaran telah berlaku sepanjang masa. Lebih membanggakan, bagi murid yang mempunyai adik-adik kecil di rumah yang belum bersekolah, lagu ini akan menjadi ikutan kepada mereka dan secara tidak langsung, ia telah menjadi pendidikan awal bagi mereka. Tidak hairanlah, apabila telah memasuki zaman persekolahan di pra-sekolah, kanak-kanak ini telah dapat melafazkan susunan huruf A hingga Z dan nombor satu hingga sepuluh dengan betul. Contoh lagu :

Tajuk: Lagu ABC ABCDEFG, HIJKLMN, OPQRSTU, VWXYZ.

Tajuk : Lagu Satu, dua, tiga Satu dua, tiga empat.. Lima enam, tujuh lapan.. Siapa rajin , ke sekolah.. Tuntut ilmu, sampai dapat.. Sungguh senangsangat senang.. Bangun pagi-pagi,..sungguh senang 1

Melalui dua contoh lagu ini, maka kita dapat melihat dengan jelas dan nyata bahawa muzik digunakan untuk tujuan pendidikan telah lama dipraktikan. Namun persoalannya, di dalam mata pelajaran muzik itu sendiri, adakah perlaksanaannya berjalan dengan lancar dan menepati objektif sebagaimana yang digariskan? Secara peribadi, saya mengakui dan berpendapat bahawa pelaksanaannya telah berjalan dengan lancar dan menepati objektif sebagaimana yang telah digariskan oleh kementerian. Untuk mengukuhkan lagi pernyataan ini, saya akan membuat ulasan hasil daripada pemerhatian dan kajian saya terhadap pelaksanaan kurikulum yang terkini iaitu

Kurikulum Standard Sekolah Rendah ( KSSR ). Sebagai seorang guru dan juga merupakan Jurulatih Utama KSSR Muzik tahun 1, Tahun 2 dan tahun 3, saya telah mendapat perincianperincian yang positif yang dapat memberikan sokongan kepada pendapat saya bahawa

pelaksanaan muzik telah berjalan dengan lancar dan menepati objektif seperti yang telah digariskan di dalam Dokumen Standard Kurikulum ( DSK ) terutama di dalam penyampaian konsep muzik seperti ; i/ Melodi Murid akan mengetahui secara mendalam bahawa melodi adalah merupakan satu susunan pic secara melintang. Pic boleh terdiri daripada sama ada tinggi atau rendah.Pic juga boleh bergerak menuju ke arah tinggi,rendah dan mendatar.Pic boleh bergerak secara bertangga atau melompat yang dikenali sebagai skel.Gabungan beberapa rangkaian pic akan membentuk sebuah melodi / lagu atau muzik. ii/ Irama Murid juga akan mengetahui bahawa irama adalah merupakan unsur masa dalam muzik.Irama boleh bergerak kepada beat bunyi yang stabil.Irama juga mempunyai beat dan rehat mempunyai nilai yang sama ada panjang atau pendek yang dikenali juga sebagai meter.Dalam irama juga, terdapat tekanan dalam beat dan gabungan beat-beat ini akan menghasilkan corak irama. iii/ Bentuk Pengetahuan yang turut diperolehi oleh murid melalui pengetahuan pengkhususan tajuk ini ialah mengetahui bahawa bentuk ialah merupakan patern atau corak yang dihasilkan melalui gabungan pic atau ton.

iv/ Warna Ton Murid juga seterusnya akan mengetahui warna ton ialah bunyi-bunyian yang dihasilkan oleh pelbagai sumber sama ada dari suara manusia,binatang,kenderaan atau alam semula jadi.Pengetahuan murid terhadap warna ton juga ialah mengetahui bahawa bunyi mempunyai mutu yang berlainan.

v/ Tekstur Pengetahuan selanjutnya yang akan diperolehi oleh murid dalam pendidikan muzik ini ialah mengetahui tekstur terdiri daripada bunyi nipis atau tebal. Bunyi yang nipis boleh dihasilkan oleh nyanyian secara solo, manakala bunyi ynag tebal pula dapat dihasilkan dengan nyanyian secara berkumpulan. vi/ Ekspresi ekspresi ialah merupakan gabungan semua elemen deskriptif termasuk tempo dan dinamik yang mana akan menghasilkan satu ekspresi idea muzik vii/ Harmoni Pengetahuan yang seterusnya akan diperolehi oleh murid dalam tajuk / tema ini ialah mengetahui konsep muzik harmoni merupakan hasil gabungan 2 pic atau lebih yang disusun secara menegak dan dinyanyikan atau dimainkan secara serentak.terdapat 2 ciri muzik harmoni yang akan diketahui olah murid iaitu yang pertama ialah jeda iaitu 2 pic dimainkan serentak dan kedua ialah Triad iaitu 3 pic dimainkan secara serentak.

Untuk membuktikan dan mengukuhkan pendapat bahawa pelaksanaan muzik telah berjalan lancar dan mengikut garis panduan, saya akan membuat perincian terhadap proses pengajaran yang telah pun saya laksanakan. Semenjak KSSR diperkenalkan dan mula

dijanakan kepada murid tahun satu pada tahun 2011, saya telah mendapati bahawa ramai murid yang telah menunjukkan minat yang sangat mendalam malah sering kali menyatakan bahawa masa yang diperuntukan untuk pendidikan muzik tidak mencukupi oleh kerana masa yang diperuntukan untuk muzik ialah 30 minit sahaja. Ada kalangan murid pula sangat ghairah dan bersemangat untuk bermain alat perkusi.Pemerhatian awal telah menunjukkan murid

sangat berminat dengan alat perkusi dan keinginan untuk mencuba sangat tinggi. Kemahiran

dalam konsep muzik seperti Dinamik dan Tempo adalah penting bagi setiap murid untuk membantu mereka dalam penghasilan muzikal dan apreasasi muzik. Untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh murid Tahun 1 di dalam penguasaan konsep muzik Dinamik lembut dan kuat ,saya mengaplikasikan kaedah Bermain Berpandukan Ikon Gambar.Untuk mengatasi masalah menguasai tempo cepat,lambat dan konsisten beat pula, saya memperkenalkan kaedah Permainan Pasing Barang.Saya telah memperkenalkan pelbagai jenis dan saiz ikon gambar untuk mereka mengahasilkan corak irama sepanjang satu bar yang akan dimainkan secara diulang-ulang (repetition) mengikut kreativiti murid sendiri.Saya juga telah memilih lagu yang sesuai untuk melakukan aktiviti Permainan Pasing Barang. Seramai 6 orang murid terlibat termasuk saya sendiri sebagai pembimbing. Aktiviti ini dijalankan selama 60 minit iaitu 30 minit untuk Bermain berpandukan Ikon Gambar dan 30 minit pada masa yang berikutnya untuk Permainan Pasing Barang . Aktiviti ini dijalankan pada hari yang berlainan. Hasil yang didapati melalui kaedah ini ialah ia mudah, senang dan menyeronokkan murid. Pengajaran dan

pembelajaran menggunakan kaedah ini telah membantu murid menguasai konsep asas dalam pendidikan muzik dan ini telah membuktikan bahawa pelaksanaanya telah mengikut garis panduan seperti mana yang dikehendaki oleh kementerian.

Pendapat saya mempersetujui bahawa pelaksanaanya muzik ini telah berjalan lancar dan mengikut garis panduan tidak terhenti di sini sahaja, malah diteruskan dengan bukti-bukti yang akan saya usulkan berdasarkan kepada kajian yang telah saya laksanakan.

Kajian yang telah saya jalankan ini adalah berfokuskan kepada kemahiran dalam menguasai Dinamik ( lembut dan kuat ) dan penguasaan Tempo ( cepat,lambat dan konsisten beat ). Kajian ini adalah penting terutamanya bagi murid tahap satu untuk menguasai konsep asas dalam muzik iaitu Dinamik dan Tempo. Untuk menguasai konsep Dinamik dan Tempo dalam sesuatu muzik, ia memerlukan kemahiran berfikir, serta keyakinan diri. Jika murid tidak boleh menguasai kedua-dua konsep ini, murid tersebut akan mengalami masalah dalam penghasilan muzikal,apreasasi muzik dari pelbagai repetoir malah mengalami masalah dalam nyanyian. Sekali gus, ini akan membawa masalah kepada murid apabila dewasa kelak kerana sememangnya diakui bahawa muzik adalah merupakan satu aspek yang sangat penting kerana ini boleh mempengaruhi mud seseorang.Dengan kemahiran mengetahui konsep muzik seperti dinamik dan tempo, adalah menjadi harapan agar murid dapat menghasilkan muzik yang lebih

kreatif serta dapat mengadili muzik sedia ada baik muzik dari penggiat seni tanah air mahupun luar Negara.

Namun, bagaimanakah untuk mengetahui dan memastikan bahawa ianya telah dijalankan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan? Bagaimana saya menyampaikan pengajaran konsep dinamik mengikut garis panduan? Bagi mengukuhkan pendapat ini, sekali lagi saya akan membuktikan dengan kajian yang telah saya laksanakan di sekolah dimana saya mengajar sekarang.

Saya telah membahagikan murid kepada 3 kumpulan. Kumpulan yang pertama saya namakan sebagai kumpulan Kayu Tik Tok. Kumpulan yang kedua saya namakan sebagai kumpulan Drum. Manakala kumpulan yang ketiga saya namakan sebagai kumpulan Kerincing. Saya hanya menggunakan tiga kumpulan oleh kerana bilangan murid yang sangat sedikit.

Sebagai bahan bantu belajar, saya telah menyediakan 3 jenis ikon gambar yang berbeza. Ikon yang telah saya sediakan ialah gambar Gajah, Kucing dan Pili air. Sebelum melaksanakan kajian, saya telah menerangkan makna bagi setiap ikon gambar. Bagi mengelakkan murid keliru dengan konsep muzik, untuk pelaksanaan kajian ini, saya telah menukarkan sombol muzik krocet kepada bentuk ikon. Ikon gambar gajah,kucing dan pili air ialah merujuk kepada nilai not krocet. Pendekatan ini diambil kerana berdasarkan kepada pengalaman yang lalu murid akan keliru sekiranya bermain muzik dengan merujuk kepada notasi atau pun skor lagu. Saya mendapati masalah ini berlaku kerana pada peringkat usia murid Tahun satu, mereka masih sukar untuk menguasai kemahiran membaca skor lagu. Maka, untuk mengatasi masalah ini, pendekatan untuk menggunakan ikon gambar ialah kaedah yang terbaik untuk menggantikan nilai not dalam skor lagu.

Langkah seterusnya yang dilaksanakan ialah dengan membahagikan ikon gambar kepada kumpulan. Setiap kumpulan mendapat tiga gambar bagi setiap ikon. Kumpulan akan menyusun setiap ikon mengikut kreativiti sendiri. Guru hanya akan memberitahu sekiranya ikon gambar yang disusun telah melebihi nilai not dalam satu bar. Ini kerana, kajian ini hanyalah mengkehendaki murid untuk menghasilkan corak irama dalam meter lagu 4 krocet dalam satu bar. Setelah murid menyusun kad ikon mengikut kreativiti kumpulan masing-masing, kini

tibalah masanya guru memberikan arahan unuk melaksanakan permainan perkusi. Saya mendapati bahawa murid tidak mengalami masalah untuk mengenali nilai not. Secara tidak 5

langsung, ini telah menjadi satu lagi contoh dimana pengajaran muzik telah dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Sebagai seorang guru muzik, sudah pastinya kita akan ada mengalami pengalaman yang sama terutama sewaktu membuat pengajaran bermain alat perkusi untuk mengukuhkan pengetahuan dalam konsep dinamik.Kita akan mendapati bahawa ada kalangan murid yang akan bermain alat perkusi walaupun belum diarahkan. Secara jujur, sekiranya pengajaran yang disampaikan tidak mengikut perancangan dan garis panduan yang betul , objektif utama untuk menyampaikan konsep-konsep muzik kepada murid tidak akan tercapai. Oleh yang demikian, pengajaran ini haruslah dirancang dengan teliti terlebih dahulu. Untuk membuktikan bahawa pendapat saya terhadap pelaksanaan pengajaran muzik ini telah dilaksanakan mengikut garis panduanya, sekali lagi saya akan membutikannya melalui hasil kajian saya baru-baru ini. Saya telah menerangkan kepada murid kaedah bermain alat perkusi Drum,Kayu Tik Tok dan Kerincing kepada keseluruhan kelas. Keadah ini ternyata dapat menarik perhatian semua murid. Sebelum bermain saya menunjukkan cara bermain alat perkusi dengan berpandukan kepada ikon gambar yang dilihat. Sekiranya bermain alat perkusi pada ikon gambar gajah, alat perkusi haruslah dimainkan dengan kuat untuk menunjukkan dinamik kuat.Bagi ikon Kucing pula, alat perkusi haruslah dimainkan dengan lembut untuk menunjukkan dinamik lembut. Manakala bagi ikon Pili air pula, murid haruslah berhenti bermain untuk menunjukkan rehat.

Berdasarkan kepada hasil kajian didapati bahawa hanya kumpulan kerincing yang ada menggunakan ikon gambar Pili air. Kumpulan ini memilih satu ikon gajah dan tiga ikon pili air. Ini menunjukkan bahawa kumpulan ini hanya perlu memainkan sekali sahaja kerincing dalam setiap bar. Bagi kumpulan Drum , mereka telah memilih dua ikon gajah dan dua ikon kucing. Ini bermakna , kumpulan Drum akan memukul drum dengan kuat sebanyak 2 kali dan memukul drum dengan lembut sebanyak 2 kali. Manakala kumpulan Kayu Tik Tok pula telah memilih satu ikon Gajah dan tiga ikon Kucing. Ini bermakna , kumpulan ini akan memukul kayu tik tok dengan kuat sekali sahaja dan memukul kayu tik tok dengan lembut sebanyak tiga kali. Setiap kumpulan akan mengulangi bar sebanyak 4 kali. Hasil kajian mendapati murid dapat mengaplikasikan dinamik lembut dan kuat dengan bermain merujuki kad ikon gambar. Setelah berpuas hati murid memainkan ciptaan corak irama masing-masing,saya seterusnya melaksanakan aktiviti seterusnya iaitu bermain perkusi secara berkumpulan.

Langkah pertama yang saya ambil ialah dengan dengan mengarahkan setiap kumpulan menyusun corak irama melalui kad ikon yang telah dihasilkan dihadapan kelas. Setiap kumpulan akan memainkan bar masing-masing dengan pengulangan sebanyak 4 kali kemudian disambung pula dengan kumpulan seterusnya dengan memainkan penghasilan corak irama masing-masing. Kaedah ini diulang sehinggalah semua kumpulan memainkan bar masingmasing. Hasil daripada kajian ini, saya telah mendapati bahawa murid telah dapat menghasilkan corak irama sepanjang 12 bar dengan mudah. Di samping itu, saya juga mendapati bahawa murid telah berjaya menguasai konsep Dinamik di dalam permainan perkusi. Untuk menjadikan sesi pembelajaran dan pengajaran lebih menyeronokkan, saya telah mengarahkan murid untuk menghasilkan lirik lagu sendiri yang berkaitan dengan aktiviti harian untuk dinyanyikan mengikut corak irama yang telah dihasilkan.Berpaksikan kepada pengajaran yang telah saya laksanakan ini, ia telah menguatkan lagi pendapat saya bahawa pelaksanaan muzik di sekolah telah berjalan mengikut garis panduan. Ini kerana, saya telah mambayangkan bahawa seramai 39 orang guru yang menghadiri kursus pelaksanaan KSSR di bawah seliaan saya di daerah Bau akan mengambil langkah yang sama.

Di samping dapat mengukuhkan pendapat saya saya juga mendapati bahawa perkara yang amat membanggakan saya hasil dari kajian ini ialah mendapati murid telah mendapat pengalaman muzikal yang sepatutnya diperolehi dalam setiap sesi P&P dan telah menghasilkan idea yang kreatif. Sebagai seorang guru muzik, saya merasakan kepuasan apabila mendapati murid Tahun satu dapat menghasilkan idea-idea yang kreatif . Kini, tibalah masanya untuk saya melaksanakan kajian saya yang seterusnya untuk mengukuhkan lagi pendapat saya terhadap persoalaan ini iaitu untuk membantu murid menguasai tempo cepat, lambat dan konsisten beat melalui kaedah Permainan Pasing Barang.

Untuk melaksanakan pengajaran ini, saya memerlukan beberapa persediaan terutama untuk dijadikan sebagai bahan bantu balajar. Peralatan yang diperlukan ialah seperti;

i. CD audio ( La Poh Bear ) Untuk aktiviti konsisten beat ii. CD audio lagu ( Mari Bergerak) Untuk aktiviti tempo cepat iii.CD audio lagu ( Selamat Pagi ) Untuk aktiviti tempo lambat iv.CD audio ( Cepat , Lambat, Cepat ) v. Cawan kertas vi.Radio 7

Sebelum melaksanakan permainan pasing barang, murid diarahkan untuk mengalihkan kerusi dan meja ke tepi dinding kerana permainan ini memerlukan ruang yang agak besar. Murid kemudian diarahkan untuk duduk di atas lantai kemudian membentuk satu bulatan. Saya telah memberikan arahan kepada murid cara bermain. Cara permainan ini ialah; i. Guru akan memainkan lagu ii. Murid akan memasing cawan kepada rakan mengikut lawan arah jam iii. Murid akan melakukan aktiviti memasing barang bergantung kepada tempo muzik yang diperdengarkan. Setelah bersedia dengan peralatan, murid dibekalkan dengan satu cawan setiap orang. Cawan ini akan diletakkan dihadapan masing-masing di sebelah kiri. Setelah muzik dimainkan, guru akan memberikan isyarat untuk memulakan permainan. Untuk aktiviti yang pertama, saya telah memainkan lagu Mari Bergerak yang mempunyai tempo cepat. Hasil dari kajian dalam aktiviti yang pertama, saya mendapati murid agak sukar untuk memasing cawan menepati tempo. Masalah yang dihadapi juga ialah terdapat murid yang mempunyai lebih dari satu cawan dan ada pula murid yang tidak memiliki cawan apabila muzik habis dimainkan.

Setelah mendapati masalah ini, saya kemudian meneruskan kajian dengan aktiviti yang kedua iaitu permainan dengan menggunakan muzik lambat iaitu menggunakan lagu Selamat Pagi. Murid masih lagi duduk dalam bulatan dan bersedia untuk memasing barang kepada rakan. Apabila semuanya telah bersedia, saya memainkan lagu Selamat Pagi dan bersedia memberikan isyarat mula memasing barang kepada rakan. Setelah muzik habis dimainkan, saya mendapati bahawa ada penambahbaikan berbanding aktiviti yang pertama. Bagi saya, ini telah menunjukkan perkembangan yang sangat positif. Walaupun ada kalanya cawan akan terkumpul pada salah seorang murid, namun ia dapat diperbetulkan semula setelah murid dapat menguasai tempo lagu.

Kajian ini diteruskan lagi dengan melaksanakan aktiviti yang ketiga. Untuk aktiviti ini, saya menggunakan audio La Poh Bear kerana ia mempunyai beat yang konsisten. Murid masih lagi duduk di dalam bulatan. Apabila muzik dimainkan, murid bersedia mendengar isyarat dari saya untuk mula memasingkan barang kepada rakan. Setelah muzik habis dimainkan , saya mendapati murid dapat memasing barang dengan lancar. Ini telah membuktikan bahawa kaedah yang telah saya pilih berjaya membantu murid untuk menguasai tempo cepat, lambat

dan konsisten beat. Permainan ini saya teruskan dengan berulang-ulang mengikut audio yang berbeza-beza bagi memastikan murid benar-benar telah menguasai tempo.

Hasilnya, saya sangat berpuas hati kerana perkembangan murid dalam mempelajari dan menguasai tempo lagu sangat memberangsangkan. Dalam mata pelajaran muzik misalnya, saya telah membuat kajian ini kerana saya mendapati murid sukar bermain alat perkusi dengan betul dan pada pengamatan saya, masalah ini berpunca daripada kelemahan murid dalam menguasai tempo. Ternyata kajian saya membuahkan hasil kerana selepas kajian ini dijalankan, murid Tahun satu telah boleh mempamerkan aksi yang menarik dalam permainan perkusi terutama untuk mengiringi lagu. Secara tidak langsung, hasil kajian yang saya lakukan ini telah membuktikan bahawa pelaksanaan pendidikan muzik telah mengikut objektif yang telah digariskan.

Sebelum mengakhiri kupasan mengenai isu dan persoalan ini, suka juga saya mengatakan bahawa pendedahan dalam bidang muzik terutamanya daripada peringkat awal tumbesaran kanak-kanak amat penting dan dipercayai banyak mempengaruhi emosi serta pemikiran kanak-kanak. Tidak hairanlah ramai pakar psikologi Barat yang mendedahkan muzik pada peringkat dalam kandungan lagi dengan muzik-muzik tertentu seperti klasikal bagi membantu perkembangan otak janin. Ramai juga yang percaya bahawa, sekiranya ibu yang mengandung memperdengarkan lagu-lagu yang sentimental, anak yang dilahirkan kelak akan lebih bersifat keperibadian. Begitulah juga perihalnya sekiranya ibu yang mengandung memperdengarkan lagu rock, mungkin anak yang dilahirkan kelah akan memperlihatkan sikap atau perlakuan yang agak menjurus kepada jiwa rock.

Muzik secara komersialnya juga, bukan sahaja berlangsung di dalam dunia muzik sahaja, malah berlaku dalam dunia pendidikan Islam juga tidak ketinggalan menerapkan alunan irama-irama tertentu dalam melahirkan insan yang membangun seiring dengan pengaruh spritual dan jasmani sejak bayi masih dalam kandungan. Selain itu, pendidikan muzik pada peringkat kanak-kanak juga akan mendedahkan mereka dengan pelbagai genre dan perkembangan muzik yang amat luas serta daya kreativitinya.

Pantasnya, muzik seharusnya dibincangkan secara lebih intelek bagi mengupas segala macam nilai pemikiran dan kreativiti dalam penghasilannya. Bertitik tolak dari sinilah ia juga boleh diadaptasi ke dalam pelbagai lagi bidang yang merangkumi kerjaya dan cabang-cabang 9

kehidupan yang lain. Ini kerana apalah gunanya negara mencapai status negara maju sedangkan tahap pemikiran, pengetahuan dan apresiasi kita termasuklah terhadap muzik masih lagi berada ditakuk seperti negara dunia ketiga?

Kalaulah pendekatan ini dipandang serius, saya amat yakin generasi sekarang yang banyak didedahkan dengan muzik akan menjadi lebih progresif pada masa depan. Pendidikan muzik sejak dari peringkat kanak-kanak secara tidak langsung akan mudah melahirkan masyarakat yang bukan sahaja 'celik muzik' tetapi juga tahap apresiasi mereka yang lebih tinggi. Para peminat kelak tentunya akan mempunyai citarasa dan pemilihan atas sesuatu karya muzik dengan memilih hanya yang benar-benar kreatif serta bermutu sahaja. Sebagai kesimpulan, pelaksanaan pendidikan muzik sebenarnya bukan sahaja telah berlangsung pada masa kini, tetapi juga telah dilakukan dengan baik sejak dahulu lagi. Dengan adanya pendidikan muzik yang dijalankan dengan baik pada masa dahulu, kita telah melihat hasilnya pada hari ini di mana pemuzik tanah air kita telah mampu bersaing dengan pemuzik di negara lain. Kejayaan mereka ini tidak hadir begitu sahaja tanpa kesungguhan para guru yang menerapkan elemen muzik dalam diri mereka. Secara tidak langsung, kelahiran-kelahiran pemuzik yang berwibawa pada hari ini sebenarnya telah merungkaikan persoalan yang dibincangkan ini. Ianya telah menjadi satu bukti bahawa sejak dahulu lagi pelaksanaan pendidikan muzik telah dilaksanakan mengikut objektif seperti yang telah digariskan. Tanpa pelaksanaan yang baik, adalah sukar untuk melahirkan individu yang benar benar dapat menghayati muzik dengan baik.

Oleh yang demikian, sekali lagi saya menyuarakan bahawa saya berpendapat bahawa muzik untuk tujuan pendidikan sememangnya telah lama digunakan oleh guru dan ianya telah berjalan dengan lancar seperti yang telah digariskan.

Rujukan :

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan

Dokumen Standard Kurikulum, Pengalaman Muzikal ,Terbitan Bahagian Pembangunan Kurikulum. Kementerian Pelajaran Malaysia.

Dokumen Standard Prestasi KSSR Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3 , Terbitan Bahagian Pembangunan Kurikulum . Kementerian Pelajaran Malaysia.

11

Lampiran A Corak Irama yang dihasilkan oleh murid dimainkan menggunakan alat perkusi.

Dinamik kuat

Dinamik Iembut

Rehat

Kumpulan Kerincing

Kumpulan Drum

Kumpulan Kayu Tik Tok

Anda mungkin juga menyukai