Anda di halaman 1dari 1

Bincangkan Sebab Berlakunya Proses Morfologi

Seperti yang kita tahu, bidang Morfologi merupakan bidang dalam bahasa yang mengkaji pembentukan kata. Dalam bahasa Melayu, bidang Morfologi juga merupakan satu daripada bidang yang kerap dikaji oleh para pengkaji tidak kira pengkaji tempatan mahupun pengkaji dari luar negara. Proses Morfologi pula merupakan proses yang melibatkan pembentukan dan perubahan perkataan yang berlaku dalam mana-mana bahasa di dunia. Proses morfologi ini juga melibatkan peminjaman perkataan daripada perkataan dari bahasa lain. Proses morfologi seperti pengakroniman, peminjaman dan pembentukan perkataan berlaku kerana antaranya sifat bahasa itu sendiri. Antara sifat bahasa iaitu bahasa bersifat dinamik. Bahasa bersifat dinamik kerana kemampuannya untuk berubah dan berkembang. Perubahan dan perkembangan ini berlaku kerana manusia yang menuturkan bahasa tersebut berinteraksi dengan manusia yang menuturkan bahasa lain. Secara tidak langsung, bahasa daripada budaya yang berlainan dapat meresap ke dalam bahasa yang lain. Seperti contoh, penggunaan angpau dan capati. Kata pinjaman banyak berlaku disebabkan oleh sifat ini. Selain itu, sifat bahasa yang arbitrari juga mempengaruhi punca berlakunya proses morfologi. Bahasa melibatkan lambang dan simbol, dan lambang dan simbol itu haruslah difahami oleh masyarakat penutur dan kemudiannya dipersetujui untuk menghasilkan lambang atau simbol yang dikenali. Pengakroniman perkataan berlaku disebabkan ciri bahasa yang arbitrari. Malahan, istilah-istilah seperti bohsia, rempit, twerk (Bahasa Inggeris), dan YOLO (Bahasa Inggeris) juga terhasil daripada sifat bahasa yang arbitrari.