Anda di halaman 1dari 21

BAB I

PENGENALAN

1.1

Pendahuluan

Malaysia memberikan peluang kepada pelajar-pelajar untuk mendapat kemudahan peluang pendidikan prasekolah diberi kepada semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang sosial, agama, lokasi tempat tinggal, keadaan kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak, serta perkembangan intelek mereka. Menurut Nik Aziz Nik Pa (1988), pendidikan merupakan satu usaha nasional untuk mewujudkan pembangunan insan dengan memupuk nilai murni, mengembangkan kekuatan ilmu, dan membentuk sikap hidup positif agar menjadi insan yang berdaya maju, dinamik dan prograsif dalam semua aspek pertumbuhan dan perkembangan diri, selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Negara. Pendidikan merupakan satu makanisma utama yang dapat mengubah dan membangunkan Negara, sekaligus membolehkan manusia meningkatkan kemahiran serta mengembangkan kreativiti diri.

Pendidikan prasekolah merupakan pengalaman awal yang paling penting dalam dunia persekolahan kepada seseorang kanak-kanak. Pengalaman prasekolah dan

2 pembelajaran yang berkesan, bermakna dan mengembirakan akan dapat membekalkan mereka dengan kemahiran, keyakinan diri dan sikap yang positif sebagai persediaan untuk memasuki alam persekolahan formal dan pendidikan sepanjang hayat. Pendidikan prasekolah diakui dapat memberi kesan yang positif kepada kanak-kanak. Pengalaman ini telah memberi kesan yang mendalam kepada perkembangan pendidikan kanak-kanak tersebut. Pendidikan pada peringkat ini adalah asas yang akan membentuk kanak-kanak dalam satu acuan yang membolehkannya berkembang dan membesar dalam bentuk acuan yang telah dibuat pada peringkat awal lagi. Rasullallah s.a.w bersabda bahawa, kanak-kanak mula bercahaya akal mereka pada umur lima tahun. Menurut Hassan Langgulung (1977), pada peringkat umur lima tahun kanak-kanak telah mempunyai keupayaan untuk menerima sebarang pengetahuan yang diajarkan. Oleh itu, pendidikan awal bermula pada tahap umur lima tahun merupakan sesuatu yang dituntut.

Di Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil langkah wajar dengan memberi penekanan terhadap kurikulum pemikiran dan kreatif bermula di peringkat awal belajar dan kemudian sinambung ke peringkat menengah dan seterusnya di peringkat yang lebih tinggi sejak tahun 1980-an lagi. Pada masa itu pemikiran kreatif kanak-kanak diterapkan melalui Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif (KBKK). Ironinya kini, elemen kreativiti dalam pembelajaran dan pengajaran telah diterapkan secara langsung di dalam Kurikulum Prasekolah Kebangsaan bermula 2003. Perkembangan kanak-kanak di peringkat prasekolah perlu dicapai melalui enam komponan pembelajaran yang dilaksanakan secara bersepadu. Asasnya adalah komponen perkembangan kreatif dan estetika tetapi ia juga berkait rapat dengan perkembangan kognitif, perkembangan fizikal, perkembangan sosioemosi, perkembangan bahasa dan kerohaniaan.

3 Pendidikan awal kanak-kanak sejak kebelakangan ini telah dikenali umum sebagai pendidikan prasekolah dan ianya dianggap penting oleh semua pihak. Persekitaran prasekolah merupakan satu transit dan persediaan ke peringkat pendidikan rendah. Rohaya Yahya (1996) berpendapat pendidikan prasekolah sebagai education as a preparation for going into the word. Pada hari ini, pendidikan prasekolah telah berada sebaris dengan peringkat rendah, menengah dan tinggi yang memerlukan perhatian seperti peringkat yang lain. Akta Pendidikan 1996 yang diluluskan telah memberi satu perubahan yang signifikan terhadap pendidikan prasekolah. Perubahan yang berlaku menyebabkan pendidikan peringkat awal kanak-kanak memerlukan satu kurikulum yang universal, terancang dan dapat memenuhi keperluan murid-murid semasa. Kurikulum Prasekolah Kebangsaan telah digubal sebagai usaha untuk menyelaras dan meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah. Ianya telah menjadi satu dokumen rujukan yang standard kepada semua pengusaha tadika seperti yang terdapat dalam pindaan Akta Pendidikan 1996.

Kurikulum Prasekolah Kebangsaan merangkumi aspek-aspek yang diperlukan dalam perkembangan kanak-kanak yang universal iaitu perkembangan bahasa dan komunikasi, perkembangan kognitif, kerohanian dan moral, sosioemosi, fizikal dan kreativiti dan estetika. Pengalaman di sekolah dan proses pembelajaran yang berkesan, bermakna dan menggembirakan dapat memperkenalkan murid dengan kreativiti, kemahiran, keyakinan diri dan sikap positif. Program pendidikan prasekolah sama ada di bawah seliaan kerajaan atau tadika swasta diharapkan dapat menjadi asas untuk melahirkan murid yang kreatif, berkeyakinan diri, bercita-cita tinggi, daya tahan, semangat juang, gigih berusaha dan mampu mengubah diri. Semua asas yang dibina

4 dalam diri murid akan menyumbangkan kepada kemajuan keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

Sehubungan itu, program pendidikan prasekolah adalah bertujuan melahirkan murid-murid yang berjaya mengembangkan daya intelek ke tahap yang maksima berlandaskan nilai dan tradisi bangsa yang murni. Keperluan kepada program yang sedemikian sememangnya amat diperlukan, memandangkan agenda pendidikan kini semakin menjadi tumpuan kritis bagi dasar dan pembangunan negara. Malah, program pendidikan prasekolah melalui Akta Pendidikan Kebangsaan 1996, telah memartabatkan sebagai sebahagian dari sistem pendidikan kebangsaan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 1996). Ini diperkukuhkan lagi dengan pernyataan oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Haji Rafei Haji Mahat yang mengatakan :

Akta Pendidikan 1996 yang telah diluluskan memberi satu perubahan yang signifikan bagi pendidikan prasekolah. Pendidikan prasekolah telah dimasukkan ke dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan. Peruntukan akta ini memberi penekanan kepada pendidikan prasekolah bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur 46 tahun. Perubahan dasar ini menunjukkan Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa menumpukan usaha untuk mengekal dan mempertingkatkan kualiti pendidikan prasekolah (Pusat Perkembangan Kurikulm KPM, 2001).

Perkembangan dalam sistem pendidikan negara sejak tahun 1980an telah mendorong berlakunya perkembangan dalam pendidikan prasekolah. Menurut Hussein Ahmad (1996), terdapat lebih daripada 10,350 buah sekolah prasekolah di seluruh negara yang dikelolakan oleh pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, swasta, pertubuhan sosial dan agama, serta pertubuhan politik. Perkembangan yang begitu pesat dan berterusan ini berpunca dari kesedaran semua pihak terutamanya para ibu bapa, para pendidik dan kumpulan-kumpulan khidmat masyarakat tentang kepentingan pendidikan awal kanak-kanak terhadap pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak sebelum

5 memasuki persekolahan formal. Ini telah dibuktikan oleh pakar psikologi dan ahli-ahli pendidik, bahawa peringkat awal kanak-kanak adalah peringkat yang paling kritikal dalam perkembangan kanak-kanak.

Menurut Rohaty Mohd. Majzub (1994), matlamat dan aktiviti serta kualiti setiap program adalah sangat berbeza. Banyak institusi pendidikan prasekolah terutamanya tadika-tadika swasta lebih menumpukan kepada aspek kognitif iaitu, kemahiran 3M berbanding aspek-aspek lain, dan ada pula yang hanya menitik beratkan aspek sosial, moral dan keagamaan serta berbagai-bagai lagi tumpuan dan penekanan yang berbezabeza. Bahkan, terdapat pusat prasekolah yang melaksanakan program yang tidak mengambil kira aspek-aspek terpenting mengenai perkembangan kanak-kanak, dan wujudlah pusat prasekolah yang tidak berkualiti tetapi sebaliknya hanya mengutamakan keuntungan. Hassan Langgulung (1983), telah memetik pendapat Rousseau yang mengatakan. pentingnya masa kanak-kanak di mana peribadi kanak-kanak terbentuk yang pengaruhnya besar sekali pada kehidupan selanjutnya, yakni masa dewasa dan masa tua, hal-hal pertamalah yang patut dipelihara, sebab kanak-kanak pada asalnya diciptakan siap untuk menerima baik dan buruknya. Hanya orang tuanyalah yang mencenderungkan kepada salah satu antaranya.

Pendapat ini hampir serupa dengan maksud hadis junjungan nabi besar Muhammad s.a.w, yang diriwayatkan oleh Muslim r.a (Mustika Hadis, 1996) yang bermaksud, setiap anak yang dilahirkan adalah suci bersih mengikut fitrahnya (kecenderungan untuk percaya dan mematuhi Allah s.w.t) maka ibu bapanyalah yang menjadikan Yahudi, Nasarani atau Majusi. Oleh itu, tindakan ibu bapa yang memberikan didikan awal diperingkat prasekolah merupakan satu usaha untuk membentuk anak-anak menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Salah satu konsep asas yang perlu untuk kualiti pendidikan adalah berkaitan dengan guru memberikan pengajaran yang

6 baik dan berkesan untuk membantu pertumbuhan dan pembangunan diri kanak-kanak. Justeru itu, seseorang pendidik prasekolah yang berkesan mestilah memahami dan menghayati kualiti pengajaran, agar matlamat pendidikan dilaksanakannya tercapai.

1.2

Penyataan Masalah.

Setiap manusia dan hidupan di muka bumi ini memerlukan keperluan asas iaitu makanan dan minum. Kepentingan makanan dan pemakanan kepada perkembangan mental dan fizikal adalah untuk membekalkan tenaga serta membantu dalam mengembangkan mental bagi menggalakkan proses berfikir. Tabiat pemakanan yang baik bermula daripada awal kehidupan manusia. Pengambilan makanan yang berkhasiat terhadap keperluan tubuh badan membantu menjadikan seseorang itu sihat dan pengambilan makanan yang tidak teratur akan mengundang pelbagai penyakit. Proses tumbesaran kanak-kanak memerlukan pemakanan yang berkhasiat, berzat dan bersih. Kebanyakkan ibu bapa sering memberikan makanan yang boleh menarik minat anak-anak untuk makan walaupun makanan tersebut tidak mengandungi khasiat yang diperlukan untuk proses tumbesaran. Makanan bergoreng seperti KFC, McDonald dan Pizza Hut sering menjadi pilihan ibu bapa yang sibuk bekerja dan tiada masa untuk masak di rumah. Keadaan ini boleh mengundang kepada masalah tumbesaran kanak-kanak sekiranya tidak dikawal dengan baik. Justeru itu, ibu bapa memainkan peranan penting dan bertanggungjawab untuk mengatur amalan pemakanan yang seimbang agar anak-anak dapat membesar dengan baik.

7 Selain itu, ibu bapa juga perlu merancang jadual pemakanan yang teratur untuk anak-anak yang sedang membesar. Hal ini kerana, kanak-kanak sering tidak mengendahkan jadual pemakanan mereka kerana terlalu sibuk dengan aktiviti harian mereka. Kelekaan bermain dan menjalinkan hubungan sosialisasi dengan rakan-rakan akan mendorong kanak-kanak untuk tidak makan tepat pada waktunya. Keadaan ini akan membawa kepada masalah kepada kanak-kanak yang aktif kerana mereka amat memerlukan tenaga untuk melakukan aktiviti dengan rakan-rakan. Sumber makanan yang terpenting boleh diperolehi melalui amalan pemakanan yang seimbang. Oleh itu, ibu bapa perlu sentiasa peka dan prihatin dengan jadual waktu makan anak-anak yang sedang membesar.

Menurut Arokiasamy (1990) perkembangan dan pertumbuhan yang sempurna bagi kanak-kanak amat bergantung kepada status pemakanan mereka. Kanak-kanak akan memulakan sistem persekolah apabila menjangkau umur lima tahun dan semasa kanakkanak berada di peringkat prasekolah keperluan makanan ke atas mereka adalah lebih tinggi berbanding kanak-kanak pada peringkat usia yang lain. Dalam lingkungan usia 4 ke 6 tahun kanak-kanak memerlukan kesemua tujuh kelas makanan untuk memenuhi keperluan komposisi badan yang sedang membesar dan sebagai pengekalan fizikal dan mental yang sempurna sepanjang hayat. Kanak-kanak amat memerlukan tenaga untuk melakukan aktiviti harian mereka di sekolah seperti belajar dan bersukan. Pengambilan makanan yang seimbang membantu dalam membekalkan tenaga dan mengelakkan kanak-kanak berasa letih. Proses memberikan amalan pemakanan yang berkhasiat kepada kanak-kanak bukan sahaja perlu dilakukan oleh ibu bapa malah guru-guru prasekolah juga perlu memastikan amalan pemakanan yang diberikan kepada kanakkanak prasekolah mengandungi khasiat yang seimbang.

8 Kanak-Kanak memerlukan makanan dan kemudiannya akan belajar tentang banyak perkara sebagai memenuhi kehendak dan keperluan sosial. Mereka akan bermula dengan prasekolah dan kemudiannya ke peringkat yang lebih tinggi. Makanan yang berkhasiat akan membantu mengembangkan daya berfikir kanak-kanak. Pada peringkat prasekolah keupayaan berfikir dan kreativiti mereka mula dicabar dan persaingan antara rakan-rakan juga sudah mula wujud. Menurut Saayah Abu (2009), prasekolah adalah medan terbaik dan perlu digunakan sebaik mungkin bagi mengembangkan kreativiti kanak-kanak ke arah pembestarian prasekolah. Struktur otak akan turut berkembang jika makanan yang diambil mengandungi zat dan khasiat yang diperlukan otak. Oleh itu, ibu bapa dan guru-guru tidak boleh mengabaikan kandungan yang terdapat dalam makanan yang dimakan anak-anak bagi membantu mengembangkan potensi otak mereka.

Menurut Baglin et al. (1994) dalam bukunya Handbook On Quality Chilcare for Young Children menyenaraikan ciri-ciri yang perlu untuk prasekolah berkualiti ialah hubungan positif di antara guru dengan kanak-kanak, kurikulum yang tepat (sesuai) dengan umur, persekitaran yang bersih, tidak berselerak dengan alat permainan yang mudah diambil untuk digunakan, polisi kesihatan dan keselamatan yang jelas digariskan, makanan yang seimbang, penjadualan aktiviti fizikal yang tetap, nisbah guru dan kanakkanak yang tepat, berdasarkan umur dan latihan guru yang cukup. Oleh itu, semua memastikan perhubungan yang positif wujud dalam sistem prasekolah, guru-guru hendaklah sentiasa peka dan mengambil kira faktor-faktor yang boleh membawa kepada pertumbuhan kanak-kanak yang positif.

Kreativiti adalah satu proses dan bukannya produk atau peristiwa. Ramai yang beranggapan bahawa kreativiti kanak-kanak boleh dikembangkan melalui pelbagai

9 aktiviti seperti menulis cerita, bermain muzik, menjalani uji kaji dan sebagainya. Kanakkanak mengembangkan daya kreativiti mereka melalui aplikasi secara praktikal kerana kanak-kanak masih belum berupaya untuk menggunakan daya pemikiran bagi perkaraperkara yang abstrak. Kanak-kanak yang mempunyai daya pemikiran yang tajam mampu untuk mengembangkan daya fantasi dan mula berinteraksi secara kreatif apabila berada di alam persekolahan. Kanak-kanak juga mula belajar melalui pengalaman dan penerokaan alam sekeliling mereka. Mereka mula menunjukkan pencapaian kreatif dan berusaha meluahkan perasaan melalui aktiviti seni. Melalui aktiviti seni, kanak-kanak akan berusaha untuk mempamerkan perasaan mereka.

Apabila kanak-kanak bermain mereka selalunya menunjukkan komitmen serta kesungguhan dan memberikan fokus yang sepenuhnya terhadap aktiviti mereka itu. Kanak-kanak akan berimaginasi terhadap pengalaman yang dilalui dan diperhatikan kemudian diluahkan menerusi aktiviti bermain. Permainan merupakan suatu aktiviti yang sangat bermakna kerana memberikan pengalaman kepada kanak-kanak. Semasa bermain kanak-kanak secara aktif memaparkan dunia sebenar imaginasi mereka dan menggunakan sedikit sahaja masa dan tenaga untuk merancang dan berunding mengenai apa dan bagaimana hendak bermain. Mereka berkorban sepenuh jiwa raga dan masa mereka untuk bermain kerana bermain merupakan simbolik untuk memaparkan pengalaman hidup kanak-kanak sendiri.

Profesor Neville Bennett dalam satu seminar pembentangan kertas kerjanya mengenai Konsep-Konsep Pembelajaran Kanak-Kanak di Ruth Wong Memorial Lecture (National University of Singapore April,1991) memberi penegasan bahawa kanak-kanak perlu di asuh supaya mengetahui bagaimana menggunakan pengetahuan yang mereka

10 kuasai. Peranan ibu bapa dan guru adalah untuk membantu kanak-kanak memahami bagaimana untuk mengaplikasikan segala ilmu pengetahuan yang diperolehi dalam kehidupan harian mereka. Kanak-kanak perlu dilatih dengan pelbagai pengetahuan untuk membantu mereka mengembangkan kreativiti diri mereka. Memenuhi keperluan kanakkanak bukan sekadar memenuhi dada mereka dengan pengetahuan tetapi turut menjadi keutamaan untuk memenuhi keperluan untuk menyelesaikan masalah, kemahiran berfikir kreatif dan yang paling penting perlu difikirkan oleh pendidik ialah bagaimana untuk melahirkan satu situasi dan persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi merangsang perkembangan kanak-kanak dalam pelbagai aspek.

Aspek perkembangan dan penerapan unsur-unsur kreativiti secara formal bermula semasa kanak-kanak berada di peringkat prasekolah. Jika sebelum itu unsur kreativiti tidak menonjol dan tidak pula ditonjolkan kerana tiada keperluan untuk perkara tersebut, tetapi semasa di peringkat ini kanak-kanak mula menterjemahkan ciri-ciri kreatif yang ada pada diri mereka. Kajian menunjukkan kreativiti kanak-kanak berkembang dengan pesat di antara umur lima ke tujuh tahun. Menurut Cropley (2003), Buzan (2002) dan Amabile (1989), bakat dan kreativiti individu semakin berkurang apabila meningkat usia. Keupayaan otak untuk memproses maklumat juga sudah semakin lemah seiring dengan peningkatan usia. Pada peringkat umur lima tahun sehingga remaja kreativiti individu boleh capai sehingga 90%. Sebaliknya apabila berada pada peringkat dewasa tahap kreativiti hanya berada pada 2% sahaja. Kanak-kanak boleh berimiginasi dan memikirkan sesuatu perkara yang kadang kala tidak boleh dijangka oleh orang dewasa. Oleh itu, Amabile (1992) menyifatkan peringkat prasekolah adalah sebagai institusi penting untuk memupuk kreativiti kanak-kanak.

11 Natijah kepada pendidikan prasekolah bukan sekadar memenuhi keperluan pendidikan dari sudut kecemerlangan akedemi semata-mata, tetapi yang lebih utama ialah untuk membangunkan kanak-kanak yang berumur antara 4 hingga 6 tahun dengan sempurna. Menurut Rahimah Ahmad (1996), pembangunan manusia sempurna akan memberikan pengertian perlaksanaan nilai murni secara menyeluruh dalam setiap aspek tindakan, peranan dan operasi kehidupan. Guru-guru tidak boleh mengabaikan aspek pembangunan diri dan kanak-kanak prasekolah kerana kegagalan guru membentuk kanak-kanak prasekolah dalam bidang ilmu pengetahuan akan membantutkan usaha kerajaan untuk melahirkan insan yang mempunyai akal fikiran yang kreatif dan inovatif. Keperluan makanan, pendidikan dan kemahiran kanak-kanak perlu dikembangkan bermula dari peringkat kanak-kanak untuk dimajukan bagi peringkat seterusnya. Oleh itu, peranan prasekolah dalam mensosialisasikan manusia adalah sangat penting untuk membantu pembangunan negara.

Walaubagaimanapun, aspek pemakanan kanak-kanak di prasekolah juga merupakan satu perkara yang perlu dititikberatkan. Pertumbuhan mental dan fizikal juga dipengaruhi oleh amalan pemakanan yang berkhasiat yang diberikan kepada kanakkanak. Sistem pengurusan di prasekolah juga menekankan aspek pemakanan yang seimbang untuk pembangunan fizikal dan mental kanak-kanak. Keperluan tenaga hanya boleh diperolehi dengan sumber makanan yang boleh membekalkan karbohidrat, protein dan vitamin kepada kanak-kanak. Kanak-kanak cenderung untuk memilih makanan yang disukai seperi makanan ringan dan makanan segera tanpa mengambil kira kandungan makanan yang diambil. Keadaan ini jika tidak di kawal akan membawa kepada masalah kepada diri kanak-kanak seperti serangan penyakit. Sehubungan itu, wajar penilaian

12 dibuat untuk mengenalpasti amalan pemakanan yang diamalkan di prasekolah dan melihat kecenderungan kreativiti yang dijalankan oleh kanak-kanak prasekolah.

Semasa di peringkat prasekolah kanak-kanak didedahkan secara langsung dengan aspek berfikir dan kreativiti. Mereka bermain, berinteraksi, belajar dan bebas bergerak. Keadaan ini memerlukan mereka menggerakkan kemampuan otak untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Kreativiti kanak-kanak mula berkembang walaupun kanak-kanak masih belum boleh membaca dan menulis. Dalam kelangsungan hidup kanak-kanak, mereka perlu kreatif, jika tidak mereka akan ketinggalan, gagal dalam pengurusan diri dan mereka juga tidak boleh menangani tekanan hidup yang mendatang. Namun begitu, dalam senario prasekolah, terdapat kanak-kanak yang menunjukkan daya kreativiti yang tinggi dan ada juga yang tidak. Situasi ini telah menarik minat pengkaji untuk melihat sama ada kreativiti kanak-kanak diperingkat prasekolah disamping melihat amalan pemakanan yang diambil oleh kanak-kanak.

Menurut Saayah Abu (2009), Nor Hashimah Hashim & Yahya Che Lah (2003), kreativiti kanak-kanak dibentuk oleh ibu bapa dan guru melalui galakan, dorongan dan latihan kreatif. Menurut Leornard Yong Mee Seng (1986) dalam kajiannya A Study of Creativity and its Correlates among Form Four Pupils menyatakan bahawa tahap kreativiti pelajar Malaysia masih boleh dipertingkatkan dengan penyusunan kurikulum, aktiviti dan pendekatan yang lebih terancang dan sistematik. Memandangkan trend masa kini ibu bapa menghantar anak-anak ke tadika untuk diberi pendidikan awal yang formal, pengkaji ingin melihat kreativiti kanak-kanak prasekolah menerusi pemberian gred oleh guru-guru. Walaupun Kurikulum Prasekolah Kebangsaan telah mengangkat martabat pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia namun kajian tentang kreativiti kanak-kanak

13 di peringkat prasekolah masih kurang dijalankan. Oleh itu, pengkaji merasakan perlunya kajian untuk melihat amalan pemakanan dan kreativiti dijalankan. kanak-kanak prasekolah

1.3

Objektif Kajian

Kajian ini bertujuan untuk melihat amalan pemakanan dan kreativiti kanak-kanak prasekolah. Di samping itu, kajian ini dijalankan untuk melihat respon ibu dan guru terhadap amalan pemakan yang diambil kanak-kanak prasekolah. Kajian ini juga dijalankan adalah untuk melihat respon ibu bapa dan guru-guru terhadap hubungan amalan pemakanan dengan kretiviti kanak-kanak prasekolah. Kajian ini dilakukan kepada kanak-kanak prasekolah Tadika Akrab Early Learning Centre di Bandar Baru Bangi yang terdiri daripada 24 orang kanak-kanak lelaki dan 27 orang kanak-kanak perempuan. Sampel kajian terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan berbangsa Melayu sahaja. Manakala bagi sampel guru pula seramai 10 orang guru diambil sebagai sampel kajian dan sampel ibu pula seramai 10 orang.

1.4

Persoalan Kajian

Pengkaji telah mengemukakan beberapa persoalan kajian antaranya adalah seperti berikut:

1.4.1 1.4.2

Sejauhmanakah pengambilan makanan mengikut jantina. Sejauhmanakah kekerapan amalan pemakanan kanak-kanak.

14 1.4.3 Sejauhmanakah tahap berdasarkan jantina. pemberian gred terhadap kreativiti kanak-kanak

1.4.4

Sejauhmanakah kekerapan jadual waktu pengambilan pemakanan kanak-kanak berdasarkan jantina. Sejauhmanakah kekerapan jenis makanan yang diambil kanak-kanak berdasarkan jantina. Bagaimanakah respon guru-guru terhadap amalan pemakanan kanak-kanak sewaktu di sekolah. Bagaimanakah respon ibu terhadap amalan pemakanan kanak-kanak sewaktu di rumah.

1.4.5

1.4.6

1.4.7

1.5

Kepentingan Kajian

Kajian tentang amalan pemakanan dan kreativiti kanak-kanak prasekolah perlu dijalankan untuk dimanfaatkan oleh pihak yang berkepentingan bagi tujuan meningkatkan kreativiti kanak-kanak prasekolah menerusi pengambilan makanan yang bersesuaian. Respon guru dan ibu diberikan tumpuan kerana kanak-kanak banyak menghabiskan masa di prasekolah dan di rumah. Keadaan ini memudahkan untuk pemantauan dan penjagaan pengambilan makanan kanak-kanak apabila di rasekolah dan di rumah.

Selain itu dapatan kajian ini dapat dijadikan sebagai maklumat untuk memberi kesedaran kepada pihak pentadbiran dan pengurusan tentang peranan yang harus dimainkan oleh mereka dalam membentuk amalan pemakanan bersesuaian bagi menjamin pertumbuhan fizikal dan mental kanak-kanak. Amalan pemakanan yang berkhasiat sering dipandang ringan oleh segelintir pihak, sedangkan ia merupakan salah satu keperluan yang sangat penting bagi membantu kanak-kanak membesar dengan baik

15 dan tubuh badan mereka mendapat khasiat yang seimbang. Biasanya pertumbuhan intelek kanak-kanak juga sangat berkait dengan amalan pemakanan yang diambil mereka. Kajian ini di harap dapat memberikan input kepada guru-guru prasekolah dan ibu bapa dalam membantu mengawasi amalan pemakanan kanak-kanak yang sedang membesar.

Kajian ini juga diharapkan dapat menggalakkan kerjasama di antara sekolah, ibu bapa dan masyarakat bagi usaha-usaha memberikan perhatian terhadap amalan pemakanan harian yang berkhasiat untuk kanak-kanak prasekolah. Maklumat yang diperolehi juga adalah untuk memberikan maklumat kepada ibu bapa agar sentiasa melebihkan pemantauan apabila kanak-kanak di rumah dan mengelakkan kanak-kanak daripada memakan makanan yang tidak berkhasiat. Punca wujudnya pelbagai penyakit adalah disebabkan makanan yang tidak seimbang. Oleh itu, pengkaji mengharapkan ibu bapa dan guru memainkan peranan yang aktif untuk menggalakkan kanak-kanak menitikberatkan amalan pemakanan harian yang seimbang

Pengkaji juga mengharapkan menerusi kajian yang dijalankan, sedikit sebanyak dapat memberi syor dan cadangan yang sesuai kepada ibu bapa, pihak sekolah dan pihakpihak yang berwajib yang lain supaya menyediakan makanan yang berkualiti untuk menjamin kreativiti kanak-kanak. Pendedahan perlu diberikan kepada pihak-pihak lain agar menumpukan amalan pemakanan yang berkhasiat kepada kanak-kanak. Maklum balas daripada ibu bapa atau penjaga kanak-kanak dapat membantu pihak jabatan mahupun kementerian, untuk meneliti dan memantau amalan pemakanan yang disediakan di prasekolah serta membolehkan langkah-langkah positif diambil untuk meningkatkan lagi amalan pemakanan yang berkhasiat diberikan kepada para pelajar.

16 Demensi amalan pemakanan berkhasiat di prasekolah adalah suatu yang penting dan perlu diberi perhatian. Kreativiti kanak-kanak juga mungkin mampu berkembang dengan positif menerusi amalan pemakanan yang seimbang

Kajian juga dapat dijadikan kayu pengukur, di samping dapat memberikan maklumat kepada pihak-pihak pentadbir pendidikan prasekolah (khasnya Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia) mengenai prasekolah. Ia boleh menjadi panduan dalam menentukan tindakan ke arah mengemaskinikan dasar atau peraturan untuk pendidikan prasekolah di Malaysia umumnya, selari dengan matlamat dan objektif Kurikulum Prasekolah Kebangsaan 2001 yang baru diperkenalkan. Matlamat yang terkandung di dalam Kurikulum Prasekolah Kebangsaan 2001, berkenaan adalah: Pendidikan prasekolah bertujuan untuk menyuburkan potensi murid dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah. Oleh itu, pelbagai aspek perlu diambil perhatian antaranya keperluan fisiologi kanak-kanak itu sendiri sebelum berpindah ke peringkat yang seterusnya.

Sehubungan itu, kajian ini selanjutnya diharapkan akan menjadi pemangkin ke arah menggalakkan pemikiran yang kreatif menerusi penilaian terhadap aspek keperluan kanak-kanak apabila di prasekolah memandangkan usaha sebegini belum giat dijalankan di Malaysia. Semoga akan ada lebih banyak usaha dan penyelidikan penilaian amalan pemakanan bagi prasekolah dilakukan. Ini demi meningkatkan lagi pertumbuhan dan perkembangan awal kanak-kanak. Bagi pihak ibu bapa yang menghantar anak-anak ke pusat prasekolah, diharapkan kajian ini boleh dijadikan panduan untuk ibu bapa lebih

17 peka dengan keperluan kanak-kanak dan menjadikan contoh amalan pemakanan yang dilakukan di sekolah untuk dilaksanakan di rumah.

1.6

Batasan Kajian

Kajian ini memfokuskan kepada amalan pemakanan dan kreativiti kanak-kanak prasekolah yang melibatkan keseluruhan populasi Tadika Akrab Early Learning Centre di Bandar Baru Bangi yang telah diambil sebagai sampel kajian. Dapatan kajian terhad untuk kanak-kanak prasekolah lelaki dan perempuan berbangsa Melayu yang terlibat dalam kajian yang dijalankan. Oleh itu, kajian ini tidak boleh digeneralisasikan untuk kanak-kanak prasekolah yang lain.

Selain itu, kajian ini melibatkan kajian deskriptif untuk mendapatkan respon ibu bapa dan guru-guru terhadap soalan yang diberikan pengkaji. Lokasi sekolah yang dikaji adalah di kawasan bandar kerana berdekatan dengan tempat tinggal pengkaji dan ini dapat mengurangkan kos untuk menjalankan kajian. Pemilihan keseluruhan populasi sebagai sampel kajian melibatkan seramai 24 orang kanak-kanak lelaki dan 27 orang kanak-kanak perempuan. Sampel guru yang terlibat dalam kajian ini seramai 10 orang manakala ibu pula seramai 10 orang.

Kajian yang dilakukan oleh pengkaji ini hanya mengambil masa 2 bulan sahaja dan maklumat yang diperolehi dianalisis menggunakan SPSS 10.0 manakala penilaian terhadap respon guru dan ibu bapa dijalankan untuk pengujian deskriptif yang menggunakan temubual berstruktur. Tempoh kajian yang singkat juga menghadkan

18 dapatan yang menyeluruh. Kreativiti kanak-kanak pula diukur berdasarkan hasil kerja kompenen kreativiti dan estetika Kurikulum Prasekolah Kebangsaan sahaja iaitu melukis, mewarna, membuat kolaj, puisi, muzik dan bercerita. Data kajian ini diperolehi melalui soal selidik dan temubual dengan guru-guru dan ibu kanak-kanak prasekolah tidak semestinya menjadi kesimpulan untuk mewakili semua prasekolah yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia di seluruh negara. Walaubagaimanapun, ia masih relevan untuk menjadi kayu ukur bagi melihat amalan pemakanan dan kreativiti kanakkanak prasekolah.

1.7

Definisi Istilah

Untuk tujuan kajian, istilah berkaitan didefinisikan seperti berikut:

1.7.1

Prasekolah

Prasekolah adalah merujuk kepada mana-mana institusi pendidikan yang dihadiri oleh kanak-kanak sebelum kanak-kanak memasuki sekolah elementeri atau sekolah rendah (Barbour & Seefgeldt, 1998). Justeru mengikut Akta Pendidikan 1996, pendidikan prasekolah adalah merupakan pendidikan awal kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun. Program pendidikan pada tahap ini merupakan suatu program yang fleksibel yang menitik beratkan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh, bersepadu dan seimbang. Ia merupakan satu program yang tidak formal namun bertujuan untuk menyediakan kanak-kanak dengan asas ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai murni yang diperlukan dalam konteks kehidupan seharian.

19 Peringkat ini merupakan asas bagi pemupukan, pembinaan dan penyuburan perkembangan kanak-kanak sebagai persediaan untuk ke sistem persekolahan formal seterusnya. Ini selari dengan pernyataan Mc Carthy (1975), di mana prasekolah merujuk kepada satu pusat pendidikan untuk kanak-kanak sebelum memasuki sekolah rendah. Pembelajaran dijalankan setengah hari sebanyak 5 hari dalam 1 minggu mengikut jadual persekolahan. Miller dan Dyer (1983), telah mendapati bahawa pendidikan prasekolah telah memberikan kesan yang positif daripada segi kognitif bagi kanak-kanak bukan sahaja untuk peringkat awal perkembangan mereka tetapi untuk jangka masa yang panjang. Namun, prasekolah dalam kajian ini merujuk kepada prasekolah Tadika Akrab Early Learning Centre di Bandar Baru Bangi.

1.7.2

Kanak-kanak

Kanak-kanak merupakan individu yang perlu dididik dengan kasih sayang. Pada peringkat asas, seseorang kanak-kanak itu belum lagi boleh untuk mempelajari sesuatu yang jauh daripada mereka. Kanak-kanak bukan sahaja belum mengalami perkembangan kognitif yang lengkap sehingga umur dewasa malah, pertumbuhan fizikal mereka juga masih belum matang dan memerlukan khasiat yang boleh membantu pertunbuhan diri. Kanak-Kanak dalam kajian ini adalah berumur 6 tahun yang lahir pada tahun 2003. Kanak-kanak ini akan mengikuti sesi persekolahan tahun satu pada sesi persekolahan akan datang.

1.7.3

Amalan Pemakanan

Amalan pemakanan merupakan kebiasaan pengambilan makanan seseorang individu mengambil makanan hariannya. Amalan pemakanan terbahagi kepada amalan

20 pemakanan yang berkhasiat atau tidak. Namun, amalan pemakanan dalam kajian ini merujuk kepada kebiasaan makanan yang diambil oleh kanak-kanak prasekolah sewaktu di rumah dan di sekolah.

1.7.4

Kreativiti

Kreativiti merujuk kepada Komponen Kreativiti dan Estetika menerusi Kurikulum Prasekolah Kebangsaan. Komponen Kreativiti dan Estetika merangkumi 5 perkara iaitu Persekitaran, Lukisan dan Kraf, Muzik, Nyanyian dan Pergerakan Kreatif, Puisi dan Drama serta Warisan Budaya. Kanak-kanak prasekolah dalam kajian ini dilihat kreativiti mereka menerusi pemberian gred markah oleh guru-guru terhadap aktiviti yang dijalankan.

1.7.5

Guru

Guru merupakan kakitangan kerajaan atau bukan kerajaan yang terlibat dalam sistem pendidikan. Guru prasekolah merupakan individu yang mempunyai pengalaman dengan kanak-kanak, bercakap dengan mesra dengan kanak-kanak, menggunakan disiplin yang positif, tidak menggunakan kata-kata pedih, minat dalam menjaga kanak-kanak, terdapat buku rujukan guru, ibu bapa dibenarkan melawat pada bila-bila masa, menjawab soalan ibu bapa, berkongsi maklumat tentang kanak-kanak dengan ibu bapa, memberi peluang ibu bapa terlibat dalam program, merancang program yang sesuai untuk kanak-kanak seperti main olok-olok, ada kawasan berlari, tempat bercakap dengan kuat, membiarkan kanak-kanak bekerjasama dengan rakan-rakan.

21 1.7.6 Ibu

Ibu merupakan individu yang melahirkan dan membesarkan seorang anak Di samping itu, ibu juga merujuk kepada individu yang mempunyai tanggungjawab untuk memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Dalam kajian ini, ibu merupakan penjaga yang telah menghantar anak ke sekolah Tadika Akrab untuk mendapatkan pendidikan awal.

1.8

Kesimpulan

Bab ini telah menerangkan tentang permasalahan yang menyebabkan pengkaji ingin menjalankan kajian. Selain itu, pengkaji juga mengemukakan beberapa persoalan kajian untuk dijawab dalam bab 4. Objektif kajian ini adalah untuk memastikan amalan pemakanan dan kreativiti kanak-kanak prasekolah. Respon daripada guru dan ibu juga dijalankan untuk menghuraikan data deskriptif bagi menjawab persoalan kajian. Kajian ini dibataskan kepada kanak-kanak prasekolah Tadika Akrab Early Learning Centre di Bandar Baru Bangi.

Anda mungkin juga menyukai