Anda di halaman 1dari 8

Soalan: Huraikan ciri-ciri kepimpinan yang dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Pengenalan
Menurut pandangan Islam, manusia dijadikan Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi
dan setiap manusia adalah pemimpin secara langsung atau tidak langsung. Nabi Muhammad
s.a.w. merupakan pemimpin yang dipilih dan dilantik oleh Allah SWT untuk memimpin manusia
ke jalan yang benar. Kepimpinan baginda terserlah sewaktu baginda berada di kota Makkah
iaitu sebelum menerima wahyu sebagai Nabi dan Rasul. Kepimpinan itu makin jelas setelah
baginda berhijrah ke Madinah.
Isi
Antara ciri kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. ialah bersifat adil. Isteri baginda iaitu
Saidatina Aisyah binti Abu Bakar al Siddiq menyatakan baginda bersikap adil dalam segala hal
seperti percakapan dan perbuatan. Baginda telah menghapuskan diskriminasi kaum dengan
menghapuskan semangat assabiyah. Baginda juga membela kaum wanita serta
memperkenalkan sistem ekonomi yang adil. Amalan riba dan penipuan yang selama ini menjadi
kebiasaan para pedagang Arab telah diharamkan dan digantikan dengan ekonomi Islam.
Seterusnya baginda juga seorang yang bijak. Baginda pintar mengatur taktik dan strategi
peperangan. Contohnya, walaupun tentera Islam cuma seramai 313 orang dalam Perang Badar,
namun dengan adanya strategi bijak yang diatur oleh baginda, mereka berjaya mengalahkan
tentera Musyrikin/Quraisy Makkah yang seramai 1000 orang. Sebagai pemimpin tertinggi,
baginda tidak sombong malah menerima pakai nasihat para sahabat. Contohnya baginda
menerima cadangan Salman al Farisi agar menggali parit sekeliling kota Madinah untuk
menyekat kemaraan tentera musuh dalam Perang Khandak.
Selain itu, Nabi Muhammad s.a.w. juga seorang yang berani dan tegas. Baginda bukan
sahaja seorang nabi dan rasul yang diutuskan malah juga seorang pahlawan yang tiada tolok
bandingnya. Baginda mengetuai setiap ekspedisi perang walaupun jumlah tenteranya kecil
malah baginda berasa bertanggungjawab meniupkan semangat jihad dalam kalangan tentera
Islam. Ketegasan baginda pula terserlah dengan menyingkirkan kaum Yahudi Bani Qainuqa,
Bani Nadhir dan Bani Quraizah dari bumi Madinah setelah melanggar Piagam Madinah. Mereka
telah cuba menimbulkan keadaan huru-hara serta memecahbelahkan penduduk Madinah.
Kesannya, penduduk Madinah kini Cuma terbatas kepada orang Islam sahaja.
Baginda juga seorang yang cekal. Walaupun menerima tentangan hebat seawal usaha
penyebaran Islam di Makkah, namun baginda tetap meneruskan dakwah Islamiyah walaupun
terpaksa berhijrah ke tempat lain. Baginda tetap tabah menghadapi tentangan walaupun
penentang itu datangnya daripada ahli keluarga terdekat seperti Abu Lahab yang merupakan
bapa saudara baginda. Pelbagai cara digunakan oleh Quraisy untuk menunjukkan protes
mereka namun usaha mereka itu menemui kegagalan dan akhirnya Nabi Muhammad s.a.w.
berjaya membina sebuah negara Islam Madinah yang mampu menyaingi kota Makkah dari
aspek ekonomi yang ketika itu dipegang oleh kaum Yahudi.
Nabi Muhammad s.a.w. juga seorang yang berakhlak mulia. Akhlak mulia mampu
menarik hati tidak kira kawan ataupun lawan. Dalam aspek kekeluargaan, baginda merupakan
ketua keluarga yang patut dicontohi ekoran sifat pengasih dan penyayang. Contohnya, baginda
sering membantu isteri memasak, menampal pakaian yang koyak, melayan anak-anak serta
membersihkan rumah. Orang Arab Quraisy menggelarkan baginda al-Amin kerana segala
perkataan dan perbuatan baginda sentiasa dipercayai. Baginda juga seorang pemaaf seperti
memaafkan Saidina Umar al Khattab yang pernah menjadi musuh ketat Islam malah pernah
cuba membunuh baginda.
Penutup
Ciri-ciri kepimpinan yang dimiliki Nabi Muhammad s.a.w. telah diimplementasi dalam
dasar-dasar negara. Sebagai seorang pemimpin, baginda amat dihormati sehinggakan baginda
dianggap seorang negarawan yang ulung.
















Soalan 3: Jelaskan peranan Perlembagaan Madinah yang digubal pada tahun 622M.
Piagam Madinah merupakan piagam bertulis yang pertama di dunia. Ia digubal
oleh Nabi Muhammad s.a.w berdasarkan wahyu yang diperturunkan oleh Allah s.w.t.
Piagam yang mengandungi 47 fasal merupakan satu langkah mendirikan negara Islam
di Madinah.
Piagam Madinah merupakan batu asas pengiktirafan penduduk bukan Islam
terutamanya masyarakat Yahudi ke atas negara Islam. Penggubalan Piagam Madinah
membolehkan Nabi Muhammad menubuhkan negara Islam Madinah yang berdaulat
dan diiktiraf oleh semua kaum termasuk Yahudi. Baginda kemudiannya diiktiraf
sebagai ketua negara dan berperanan menyelesaikan sebarang perbalahan di Madinah.
Baginda berjaya menyelesaikan masalah perkauman.
Selain itu, Piagam Madinah juga merupakan asas kepada penyatuan penduduk
Madinah. Penduduk Madinah terdiri daripada kaum Muhajirin, Ansar dan Yahudi.
Piagam Madinah ini membolehkan penduduk berbilang kaum di Madinah hidup aman
dan damai. Hal ini demikian kerana Piagam Madinah menjamin kebebasan beragama,
berfikir, berkerja selain menekankan konsep keadilan selain menolak diskriminasi
kaum. Sikap saling menghormati antara satu sama lain amat ditekankan bagi
mengelakkan permusuhan.
Selain itu, Piagam Madinah membolehkan sistem perundangan Islam diamalkan
oleh semua penduduk Madinah. Baginda telah menubuhkan sistem kehakiman dan
keadilan yang sistematik. Sebagai contoh, hukuman terhadap pesalah dilakukan
dengan adil tanpa mengira kaum. Pada masa yang sama, peraturan dalam sesebuah
kabilah tidak dihapuskan selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Dari segi
ekonomi pula, unsur penipuan dan dan riba dihapuskan. Semua penduduk Madinah
diberi peluang yang sama dalam bidang ekonomi.
Piagam Madinah turut menekankan keselamatan negara Madinah. Semua
penduduk Madinah diseru untuk mempertahankan Madinah dari sebarang ancaman
luar. Keselamatan dan kesejahteraan penduduk bukan Islam iaitu kaum Yahudi
dijamin selagi mereka mematuhi Piagam Madinah. Piagam Madinah amat menekankan
konsep bersatu dalam menentang musuh yang cuba mengganggu gugat kedaulatan
negara Madinah.
Penggubalan Piagam Madinah oleh Nabi Muhammad s.a.w merupakan satu
langkah bijak dalam mewujudkan perpaduan penduduk Madinah. Madinah akhirnya
muncul sebagai sebuah negara Islam yang bukan sahaja kuat tetapi turut dihormati
oleh negara luar.





Soalan 2: Bincangkan struktur masyarakat jahiliah
Pengenalan:
Zaman jahiliah berlangsung selama kira-kira 300 tahun di Semenanjung Tanah
Arab. Zaman ini bermula setelah runtuhnya Empangan Maarib dalam kerajaan Saba
pada sekitar tahun 300M dan berakhir setelah turunnya al Quran serta Allah SWT
mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Rasul pada tahun 610M.

Isi:
Struktur sosial masyarakat jahiliah adalah berasaskan sistem kabilah. Kabilah
terbentuk daripada beberapa keluarga yang membentuk ihai, beberapa ihai bergabung
membentuk kaum dan beberapa kaum bergabung mewujudkan kabilah. Dari segi
akhlak, masyarakat jahiliah sangat rendah moralnya. Kaum wanita dipandang rendah
sehingga amalan menanam bayi perempuan hidup-hidup menjadi kebiasaan. Kaum
wanita dianggap sebagai pembawa sial dan hanya dijadikan sebagai pemuas nafsu.
Golongan hamba pula dianggap golongan bawahan dan dijadikan sebagai barang
dagangan. Walau bagaimanapun, terdapat juga sifat positif yang diamalkan oleh
masyarakat jahiliah iaitu pemurah, berani, menghormati tetamu dan berpegang teguh
kepada janji.
Dari aspek politik pula, masyarakat jahiliah tidak mempunyai struktur politik
yang sistematik. Masyarakat jahiliah hidup berasaskan kabilah. Setiap kabilah
diketuai oleh seorang syeikh iaitu individu yang sangat dihormati. Walaupun
mempunyai ketua tetapi setiap keputusan bergantung kepada ketetapan bersama.
Kabilah-kabilah ini kental dengan semangat asabiyah iaitu sikap kesukuan dan
bermegah dengan kabilahnya. Semangat asabiyah ini kerap menimbulkan
persengketaan dan peperangan antara kabilah.
Dalam bidang ekonomi pula, kegiatan pertanian, penternakan dan perdagangan
menjadi sumber utama. Kegiatan pertanian dan penternakan biasanya dijalankan oleh
masyarakat Arab Badwi yang kebanyakannya tinggal di kawasan luar bandar. Walau
bagaimanapun, kegiatan pertanian dan penternakan ini sukar berkembang pesat
kerana cara hidup berpindah-randah yang diamalkan oleh masyarakat Arab Badwi.
Masyarakat Arab Hadari yang majoritinya tinggal di kawasan bandar terlibat dengan
ekonomi perdagangan. Perdagangan dijalankan secara sistem barter. Amalan riba dan
penipuan berlaku secara meluas.
Dari aspek agama dan kepercayaan, masyarakat jahiliah mengamalkan pelbagai
jenis agama dan kepercayaan. Sebahagian besar daripada masyarakat jahiliah
mengamalkan agama Wathani iaitu menyembah berhala. Antara berhala yang terkenal
ialah al-Uzza, al-Lata dan al-Manat yang dianggap mempunyai kuasa. Selain itu,
terdapat juga masyarakat jahiliah yang menganut agama Kristian dan Yahudi. Walau
bagaimanapun, agama Kristianyang diturunkan bersama kitab suci Injil telah
diselewengkan. Masyarakat jahiliah turut menganut agama seperti Majusi, Hanif
sereta mengamalkan kepercayaan karut atau khurafat seperti memuja kubur, pokok
bukit dan sebagainya.
Dari aspek ilmu pengetahuan pula, masyarakat jahiliah dianggap masyarakat
yang tidak memiliki ilmu pengetahuan tinggi. Hal ini dibuktikan melalui kegagalan
mereka mendirikan semula Empangan Maarib yang telah pecah. Selain itu, bilangan
masyarakat jahiliah yang celik huruf amat sedikit iaitu seramai 17 orang sahaja. Ilmu
hanya disampaikan secara lisan dan hafalan. Oleh itu, ilmu akan hilang apabila
penghafal tersebut meninggal dunia. Walau bagaimanapun, masyarakat jahiliah
berpengetahuan dalam bidang kesusasteraan. Mereka mahir bersajak, bersyair dan
berkhutbah. Labid dan Tarafa merupakan antara tokoh sastera yang terkenal.
Kesimpulan:
Secara umumnya, zaman jahiliah merupakan zaman kegelapan dalam
masyarakat di Semenanjung Tanah Arab. Hal ini ditandai kemunduran yang dialami
oleh masyarakat Arab sama ada dari segi sosial, politik, agama, ekonomi dan ilmu
pengetahuan.




Soalan 1: Huraikan tentang agama dan kepercayaan yang diamalkan oleh masyarakat
jahiliah.

Masyarakat jahiliah secara umumnya merujuk kepada yang bodoh dan sesat.
Mereka hidup tanpa sebarang pedoman kerana tiada kitab suci yang boleh dijadikan
sebagai panduan. Mereka mengamalkan pelbagai agama dan juga kepercayaan.
Agama paling dominan dianuti masyarakat jahiliah ketika itu ialah agama
Wathani atau lebih dikenali sebagai agama menyembah berhala. Berhala yang
diperbuat daripada batu, kayu dan logam itu mempunyai pelbagai bentuk dan rupa.
Berhala-berhala ini dikatakan mempunyai kuasa termasuk kuasa penyembuhan. Pada
ketika itu, dikatakan terdapat kira-kira 360 buah berhala disusun dengan kemas di
sekeliling kaabah. Antara berhala yang terkenal ialah al-Latta, al-Uzza dan al-Manat.

Agama yang turut dianuti masyarakat jahiliah ialah agama Nasrani atau
Kristian yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. Para penganutnya berpegang kepada ajaran
kitab Injil. Walau bagaimanapun, isi kandungan kitab ini telah diubahsuai oleh
segelintir penganutnya untuk kepentingan peribadi. Mereka yang masih mengamalkan
ajaran asal digelar Ahl al Kitab.

Masyarakat jahiliah juga menganuti agama Majusi yang berasal dari Parsi.
Para penganutnya tidak mempunyai kitab suci malah tidak mengakui nabi yang
diutuskan oleh Allah SWT. Mereka percayakan dua tuhan iaitu tuhan baik dan tuhan
jahat selain menyembah api. Api dipercayai berfungsi sebagai penerang dan pemusnah.

Agama seterusnya dianuti masyarakat jahiliah ialah agama Hanif yang
dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s. Para penganutnya dipanggil Hunafa yang beriman
kepada Allah SWT. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan salah seorang penganut agama
ini.

Agama Yahudi juga dianuti masyarakat jahiliah khasnya Bani Israel.
Agama ini dibawa oleh Nabi Musa a.s. bersama kitab Taurat. Walau bagaimanapun,
seperti agama Nasrani, kandungan asal kitab ini telah diubahsuai oleh penganutnya
untuk kepentingan sendiri.

Selain daripada agama, masyarakat jahiliah juga mengamalkan
kepercayaan animisme dan kepercayaan karut atau tahyul. Mereka menyembah
objek-objek alam sekitar seperti batu, pokok dan api yang dipercayai boleh
membantu mereka dalam kehidupan seharian. Kepercayaan terakhir yang diamalkan
masyarakat ini ialah kepercayaan tahyul atau karut. Mereka menilik nasib,
percayakan roh orang mati akan menjadi burung serta percayakan ahli nujum, tangkal
dan azimat.

Mereka juga menyembah alam cakerawala dengan memuja matahari,
bintang dan bulan. Matahari dipuja ketika siang manakala bulan disembah pada waktu
malam. Matahari dipercayai boleh membantu tumbesaran tumbuh-tumbuhan agar
dapat menjadi sumber makanan binatang ternakan. Selain itu, masyarakat jahiliah
turut mengamalkan ajaran sihir. Mereka percaya kewujudan jin dan dewa. Mereka
menyembah malaikat lelaki dan malaikat perempuan. Selain itu, terdapat segelintir
masyarakat ini menyembah Tuhan Padang Pasir.
Masyarakat jahiliah akan percaya dan menyembah sebarang perkara atau
bentuk yang boleh membawa keuntungan. Oleh yang demikian, mereka sanggup
menyembah pelbagai bentuk tuhan termasuklah alam semulajadi yang dianggap boleh
mendatangkan kebaikan kepada mereka.


Soalan: Huraikan kaedah-kaedah pemilihan khalifah yang diamalkan bagi memilih
khalifah dalam Khulafa/Khalifah al Rasyidin.

Khalifah merupakan satu jawatan memerintah negara Islam
menggantikan Nabi Muhammad s.a.w. yang telah wafat. Perkataan khalifah berasal
daripada perkataan khulafa yang bermaksud pengganti. Tugas dan tanggungjawab
khalifah sama seperti seorang rasul, cuma khalifah tidak diperlengkapkan dengan
mukjizat dan wahyu. Dalam sejarah Islam, terdapat empat orang khalifah yang
menerajui Khulafa al Rasyidin dan cara pemilihan mereka adalah berbeza.
Kaedah pelantikan terawal yang digunakan ialah perundingan
beramai-ramai atau lebih dikenali sebagai musyawarah. Nabi Muhammad s.a.w. tidak
meninggalkan sebarang wasiat mahupun pesanan tentang calon pengganti sebelum
baginda wafat. Baginda memberi kebebasan kepada umat Islam memilih calon
khalifah sendiri bagi meneruskan pemerintahan negara Islam. Oleh itu, umat Islam
telah mengadakan rundingan dan persetujuan tanpa menetapkan calon terlebih
dahulu.
Berpandukan pelantikan Saidina Abu Bakar al Siddiq yang pernah
mengimamkan sembahyang sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. sedang uzur, para
sahabat seolah-olah dapat meneka calon khalifah yang pertama. Kaum Muhajirin dan
Ansar telah mewakili umat Islam berhimpun di Dewan Bani Saadah untuk berbincang
dan melantik khalifah. Bagi mengelak perselisihan antara Muhajirin dan Ansar, Saidina
Abu bakar al Siddiq mencalonkan Saidina Umar al Khattab mewakili Muhajirin dan Abu
Ubaidah mewakili Ansar sebagai khalifah. Namun, kedua-duanya menarik diri malah
mereka mencalonkan Saidina Abu Bakar al Siddiq sebagai khalifah. Akhirnya, Saidina
Abu Bakar al Siddiq telah dibaiah dalam syura sebagai khalifah pertama.
Cara pemilihan seterusnya ialah mengusul atau mencadangkan
seorang calon. Khalifah sebelumnya mengusulkan nama calon dan akan dibawa ke
musyawarah dalam Majlis Syura dan dibaiah umat Islam. Cara ini digunakan dalam
proses pelantikan khalifah kedua iaitu Khalifah Umar al Khattab. Bagi mengelakkan
berulang kembali Gerakan Al Riddah, Khalifah Abu Bakar al Siddiq yang sedang gering
telah mencalonkan Saidina Umar al Khattab sebagai penggantinya. Pencalonan ini
telah dipersetujui umat Islam dan setelah bermusyawarah bersama para sahabat dan
ahli lembaga Majlis Syura, Saidina Umar al Khattab telah dibaiah oleh umat Islam
tanpa bantahan. Cara ini bukan berasaskan keturunan atau warisan.
Kaedah seterusnya ialah mengusulkan beberapa orang calon.
Khalifah terdahulu akan mencadangkan nama beberapa orang calon dalam kalangan
para sahabat untuk dipilih salah seorang daripada mereka. Khalifah Umar al Khattab
yang sedang tenat akibat tikaman seorang keturunan hamba Parsi telah menyebut
nama Saidina Uthman bin affan, Saidina Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf,
Talhah bin Ubaidillah, Zubair al Awwam dan saad bin Abu Waqas. Puteranya sendiri
iaitu Abdullah bin Umar al Khattab tidak dicalonkan. Musyawarah diadakan di rumah
Saidatina Aisyah binti Abu Bakar dan tiga hari selepas kewafatan Khalifah Umar al
Khattab, Abdul Rahman bin Auf dipilih mempengerusikan musyawarah memilih
pengganti khalifah. Undian telah dibuat dan akhirnya Saidina Uthman bin Affan
mendapat kelebihan undi setelah empat orang calon menarik diri. Khalifah Uthman
bin Affan memerintah sebagai khalifah ketiga dalam Khulafa al Rasyidin.
Kaedah terakhir yang digunakan ialah pengusulan oleh
sekumpulan masyarakat. Setelah kewafatan Khalifah Uthman bin Affan pada 656M,
berlaku pergolakan dalam kalangan umat Islam untuk menentukan bakal khalifah
seterusnya. Madinah ketika ini dikuasai pemberontak. Penduduk Mesir mencadangkan
Saidina Ali bin Abu Talib sebagai pengganti khalifah sedangkan penduduk Basrah
mencadangkan Talhah bin Ubaidillah manakala penduduk Kufah mencadangkan Zubair
al Awwam. Musyawarah terpaksa diadakan dan keputusannya Saidina Ali bin Abi Talib
dibaiah sebagai khalifah. Walaupun pada awalnya beliau menolak pelantikan itu,
namun atas desakan para sahabat, akhirnya beliau menerima cadangan itu.
Pemilihan dan perlantikan khalifah dijalankan dengan pelbagai
cara. Walaupun begitu, terdapat persamaan dalam setiap cara tersebut iaitu
kesemuanya berasaskan musyawarah dan persetujuan ramai. Ciri demokrasi ini amat
ketara ditambah dengan kriteria pemilihan yang tidak berlandaskan keturunan.