Anda di halaman 1dari 5

Dadah Mengancam Kesejahteraan Ummah

dan Negara (Sempena Hari Antidadah


Kebangsaan)
Oleh:
HJ. ABDULLAH BIN HJ. ABD RAHMAN*

Ketakwaan kepada Allah SWT merupakan dua perkara penting yang akan menjamin penduduk
sesebuah negeri atau kawasan memperoleh keberkatan daripada Allah SWT.

Firman Allah dalam Surah al-A`raaf ayat 96 bermaksud;

Dan sekiranya penduduk sesebuah negeri itu beriman dan bertakwa nescaya Kami (Allah)
bukakan pintu-pintu keberkatan kepada mereka, sama ada dari langit ataupun bumi

Tidak dapat kita nafikan bahawa sebahagian dari pintu-pintu keberkatan itu telah terbuka luas
untuk kita hambanya di muka bumi Allah ini. Sebagai contoh kita dapat menjalankan kerja-kerja
dan tugas seharian tanpa ada apa-apa halangan dan gangguan termasuklah amalan-amalan yang
difardhukan oleh Allah SWT dengan sempurnanya. Atau dengan lain perkataan kita dapat
menunaikan segala tanggungjawab yang diberikan sesuai dengan tugas sebagai khalifah Allah di
muka bumi ini atau tugas-tugas utama kita sebagai pemimpin atau yang dipimpin.

Jika kita perhatikan serta melihat secara terperinci masih terdapat lagi perkara-perkara yang
menyayatkan hati kita yang masih terus berlaku dalam masyarakat pada masa ini dimana-mana
sahaja tidak kira di bandar atau pun di desa nun yang terpencil sekalipun. Masalah-masalah
seperti pembuangan bayi hidup-hidup tanpa belas kasihan oleh ibu yang melahirkannya, kes
penderaan kanak-kanak, sumbang mahram, lepak, ponteng sekolah serta masalah disiplin dalam
kalangan pelajar-pelajar. Malah yang amat menggerunkan sekali ialah keterlibatan para remaja
dengan gejala dadah khususnya bangsa Melayu yang rata-ratanya beragama Islam.

Kajian yang dilaksanakan oleh Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan pada tahun 2010 yang lalu ke atas remaja di tiga Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur, Labuan dan Putrajaya mendapati bahawa rata-rata para remaja mengharapkan mendapat
perhatian sewajarnya dari ibu bapa mereka terutama bagi membentuk masa depan mereka yang
lebih cemerlang disamping faktor alam persekitaran yang lain. Faktor keluarga merupakan faktor
yang paling diutamakan kerana ianya amat penting dalam mencorak masa depan mereka.
Sekiranya para keluarga khususnya para ibu dan bapa tidak memberikan perhatian sudah pasti
pelbagai perkara boleh berlaku termasuklah penyalahgunaan dadah.Bagi mereka, ibu dan bapa
adalah segala-galanya disamping para guru yang merupakan tempat pergantungan mereka yang
kedua terutama semasa mereka di sekolah.

Mengimbas kembali perangkaan yang dikeluarkan oleh Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan
(NADI) dalam tempoh 10 tahun iaitu dari tahun 1988 hingga 1999 sahaja seramai 162,750 orang
penduduk di negara ini telah disahkan terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Dimaklumkan
juga bahawa jumlah penagih dadah untuk sehari ialah seramai 103 orang dan yang ramai ialah di
kalangan orang melayu beragama Islam iaitu sebanyak 66%.Sejumlah besar daripadanya adalah
kalangan remaja dan para belia berumur antara 13 hingga 39 tahun yang bakal mewarisi negara
iaitu meliputi sebanyak 79.3%.

Menurut perangkaan yang diterbitkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia,
Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2011 menunjukkan angka yang paling tinggi diperolehi
oleh orang Melayu iaitu 78.23% diikuti India, China dan lain-lain. Berbanding pada tahun 2010
perbezaan yang amat ketara penurunan jumlah penagih dalam kalangan orang Melayu dan India
iaitu sebanyak 53.15%.Penurunan jumlah penagihan yang amat ketara ini membuktikan
keprihatinan kerajaan dalam menanganinya. Pelbagai usaha yang telah dilaksanakan terutama
apabila berlakunya transformasi kerajaan ke arah yang lebih signifikan termasuk membuat
penambahbaikan dari pelbagai aspek seperti menaik taraf pusat pemulihan yang sedia ada,
kaedah perawatan yang berkonsepkan fun, effective and easy to implementdan beberapa perkara
lagi bentuk pemulihan serta pencegahan melalui cara yang lebih berhikmah.

Daripada perangkaan yang disebutkanjelaslah kepada kita bahawa isu dadah sudah sampai
ketahap serius serta kritikal dimana pernah satu ketika diisytiharkan sebagai musuh nombor satu
Negara.Sebagai langkah penyelamat kerajaan telah mengambil langkah-langkah khusus bagi
menanganinya antaranya menjadikan unsur-unsur agama dan kerohanian sebagai asas utama bagi
menanganinya.Justeru itu, para remaja dan belia sepatutnya inilah masanya untuk mereka
memenuhi masa yang amat berharga itu dengan menuntut ilmu serta berbakti kepada agama,
bangsa dan negara tercinta bukannya menjadi musuh negara.

Para Ulama juga turut memainkan peranan mereka dengan bersepakat bahawa dadah adalah
haram disisi Islam. Ibnu Taimiyah pernah menegaskan bahawa sesiapa yang mengatakan dadah
itu halal maka orang itu menjadi murtad nauzubillah min zaalik. Begitu juga mereka bersepakat
bahawa semua jenis dadah adalah haram (termasuk dalam pengertian khamar atau arak ) kerana
kedua-duanya boleh memabukkan, mengkhayalkan, meletihlesukan, merosakkan akal fikiran,
menyebabkan ketagihan dan gangguan tingkah laku. Pengharaman penyalahgunaan dadah adalah
berdasarkan firman Allah dalam surah al-Maidah , ayat 90 yang bermaksud;

Wahai orang yang beriman, sesungguhnya khamar atau arak atau dadah, berjudi, menyembah
berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji dan kotor yang terdiri dari amalan syaitan,
maka jauhilah perbuatan-perbuatan ini supaya kamu memperoleh kejayaan.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

Setiap yang memabukkan adalah khamar (arak atau dadah) dan setiap khamar itu adalah
haram.(Hadis riwayat Muslim)

Menurut Imam Syaukani dalam Nailul Authar, hadis tersebut merupakan ancaman keras kerana
pemabuk sama dengan penyembahan berhala dan pada pandangan Islam merupakan kekufuran
dan amat berat. Hal ini membuktikan betapa penyalahgunaan dadah itu adalah larangan yang
amat keras kepada mereka yang mempunyai perasaan fikiran sedangkan mereka mengetahuinya.

Sepertimana kita maklum bahawa amalan kebajikan atau ibadat penagih dadah atau arak juga
tidak diterima oleh Allah SWT selama 40 hari kecuali dia bertaubat melalui syarat-syarat
tertentu sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

Barang siapa yang meminum arak (atau menagih dadah) tidak diterima solatnya oleh Allah
selama 40 hari, jika dia bertaubat maka Allah akan menerima taubatnya.

Banyak Kemusnahan Akan Berlaku Akibat Pengambilan Dadah

Sebenarnya banyak kesan-kesan buruk boleh berlaku akibat penagihan dadah antaranya ialah
kesihatan sering terganggu, akan terdedah dengan pelbagai jenis penyakit yang tidak terkira pedih
dan peritnya, antaranya boleh berlakunya kematian mengejut akibat lebihan dos (sukatan dadah
yang diambil) berlebihan, menyebabkan gangguan emosi dan psikologi, memusnahkan
keharmonian rumahtangga, melumpuhkan ekonomi serta mengancam keselamatan negara.
Biasanya antara punca utama berlakunya penagihan dadah dalam kalangan remaja ialah kerana
pengaruh kawan-kawan, perasaan ingin tahu, untuk keseronokan dan kerana tekanan jiwa.

Kesemua faktor-faktor tersebut boleh diatasi sekiranya anak-anak muda kita mempunyai jati diri
serta sahsiah yang baik dan yakin diri. Mereka mesti mempunyai daya fikir yang kreatif dan
berani mengatakan tidak kepada apa juga pengaruh serta ism-ism atau kefahaman yang cuba
mendekati mereka atau apa-apa sahaja yang ingin menggoda mereka terutama untuk menjerumus
ke arah penagihan dadah yang tidak mengenal dan memilih mangsa.

Tindakan Yang Diperlukan Untuk Mengatasinya

Semua pihak khususnya yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat setempat seperti
pemimpin politik, para ulama, para professional, pemimpin belia termasuklah ibu bapa sendiri
hendaklah sentiasa bertanggungjawab dalam mengawal para belia remaja dan anak masing-
masing supaya mempunyai daya yang kental dan kebal bagi menghadapi sebarang bentuk
ancaman dadah serta gejala sosial yang lain.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya dari hal apa yang dipimpin
kepadanya. Seorang pemimpin adalah pemerintah dan akan ditanya dari hal yang diperinyahkan
kepadanya. Seorang isteri adalah pemimpin terhadap ahli keluarganya dan akan ditanya dari
hal apa yang diperintahkan kepadanya. Seorang isteri adalah pemimpin dalam rumahtangga
suaminya dan dia akan ditanya dari hal apa yang diperinyahkan kepadanya. Seorang khadam
(pembantu) adalah pemimpin terhadap harta benda tuannya dan dia akan ditanya dari hal apa
yang diperintahkan kepadanya.Kesimpulannya setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu
akan ditanya dari dari hal pimpinan kamu.
(Hadis ini riwayat Bukhari dan Muslim).

Akhirnya sama-samalah kita bermuhasabah dan menginsafi diri tentang sejauh manakah kita
telah menjalankan tanggungjawab untuk menjaga orang tersayang di bawah jagaan kita agar
terselamat daripada sebarang bentuk ancaman penyalahgunaan dadah dan gejala sosial yang kian
bermaharajalela. Masalah yang berlaku kini bukan sahaja di kawasan terpencil dan lorong-lorong
gelap namun telah menjalar ke kawasan lain termasuk ke rumah-rumah ibadat seperti masjid,
institusi pondok, madrasah-madrasah atau pusat pengajian tinggi.

Bagi merealisasikan kemampuan tindakan kita beberapa perkara berikut boleh dijadikan panduan
antaranya ialah;

Pertama;kita perlu mengemas kini pelaksanaan undang-undang pencegahan jenayah berkaitan
dadah di negara ini dengan lebih ketat atau memikirkan sesuatu kaedah alternatif yang baru dan
lebih efektif serta berkesan menurut perspektif Islam dengan harapan masalah dadah dapat
diselesaikan hingga ke peringkat akar umbi.

Kedua; memastikan anak-anak kita mengerjakan sembahyang dengan sempurna kerana solat
yang sempurna boleh mencegah dari melakukan segala kemungkaran sepert firman Allah dalam
surah al-Ankabut ayat 45 bermaksud;

Dirikanlah solat (kerana) sesungguhnya solat (yang sempurna itu) boleh mencegah (umat
Islam) dari melakukan perkara-perkara yang keji dan mungkar.

Ketiga; menghidupkan atau membiasakan adab memberi salam yang boleh membawa rasa kasih
sayang sesama ummah serta mewujudkan persefahaman dalam kalangan masyarakat seperti
sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;

Kamu sekali-kali tidak dapat masuk syurga sehingga kamu beriman, kamu sekali-kali tidak
beriman (dengan sempurna) sehingga kamu berkasih sayang sesama kamu

Keempat; mewujudkan suasana amar makruf nahi mungkar dalam kalangan masyarakat agar
kita dan anak-anak muda turut merasai kesan suasana tersebut dan merasa malu serta segan untuk
melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104
yang bermaksud;

Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu satu golongan yang menyeru kepada kebaikan,
menyeru kepada berbuat-buat baik serta meninggalkan kemungkaran dan merekalah orang yang
beriman

Firman-Nya lagi dalam Surah at Taubah ayat71 bermaksud;

Dan orang yang beriman (lelaki dan perempuan), sebahagian mereka menjadi penolong bagi
sebahagian yang lain. Mereka menyeru yang makruf dan mencegah dari yang mungkar,
mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasulnya, mereka itu
akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lag Maha Bijaksana

Kelima; yang paling penting sekali ialah memahami dan mewujudkan kesedaran bahawa dadah
dan arak ini adalah masalah kronik dan hanya mempunyai kesan negatif ke atas ummah dan
negara. Masyarakat perlu melihatnya dalam konteks yang lebih luas terutama tentang bahayanya
menurut kaca mata Islam. Selain itu sentiasalah menasihati dan memberi peringatan kepada
masyarakat agar sentiasa peka dengan masalah ini khususnya jika ia menjalar menjadi wabak
atau virus yang serius dalam kalangan remaja dan belia dimana mereka adalah pewaris masa
depan ummah dan negara. Akan hancurlah sesebuah Negara itu jika muda-mudi yang menjadi
tiang negara ini tewas akibat dipengaruhi dadah durjana ini.

Akhirnya marilah sama-sama kita berganding bahu dan melipatgandakan usaha serta tenaga
dalam membanteras dan menangani gejala ini daripada berterusan membaham serta merosakkan
anak-anak kita. Janganlah sekali-kali kita mengikuti jejak langkah para syaitan, kerana
sesungguhnya syaitan itu tidak akan pernah berhenti menghasut dan menggoda manusia ke arah
kejahatan dan sentiasa hendak menimbulkan permusuhan serta kebencian antara sesama manusia.

*Artikel ini ditulis Sempena Hari Anti Dadah Kebangsaan (HADAK) pada 19 Februari
2013. Penulis adalah Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Rawatan, Perubatan dan
Pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan, Kementerian Dalam negeri ( KDN ).

Anda mungkin juga menyukai