Anda di halaman 1dari 15

Perkembangan Bahasa Melayu Abad 19 ~ 20

Oleh : Mohd. Juraini Ismail


Masnie@tm.net.com.my

1.0 Pendahuluan
Kewujudan sesuatu bangsa mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan asal-usul bahasa.
Malah sesebuah tamadun atau kerajaan sesuatu bangsa tidak akan lengkap sekiranya
bahasa tidak wujud. Oleh yang demikian kedua-duanya; bangsa dan bahasa , saling
melengkapi antara satu sama lain.

Kerajaan dan Bahasa Melayu dikatakan telah wujud sejak abad


ke - 2 masehi lagi ( Mangantar Simanjuntak, 1995 ). Ini dibuktikan dengan penemuan
sebuah Kerajaan Melayu Champa di Vietnam Tengah. Bahasa perantaraan yang
digunakan oleh kerajaan ini ialah bahasa Melayu.

Peredaran zaman menyebabkan bahasa ini mengalami proses evolusi sehingga


terhasilnya bahasa Melayu moden yang digunakan pada dekad ini. Proses evolusi tersebut
di bahagikan kepada beberapa peringkat atau zaman, iaitu zaman bahasa Melayu Purba,
zaman bahasa Melayu Kuno, zaman bahasa Melayu Klasik , zaman bahasa Melayu
Peralihan atau Pramoden dan zaman bahasa Melayu Moden. ( Asmah Haji Omar, 1993 )

2.0 Bidang Kajian


Dalam kertas kerja ini, saya hanya akan membincangkan perkembangan bahasa Melayu
yang berlaku pada pertengahan abad 19 membawa kepada abad 20. Dalam era inilah
berlakunya zaman perubahan bahasa Melayu Klasik kepada bahasa Melayu Moden yang
boleh juga dinamakan zaman peralihan atau zaman transisi.

Namun begitu, bagi memperjelaskan lagi pemahaman terhadap bentuk perubahan


yang berlaku, kertas kerja ini akan turut menyentuh sepintas lalu mengenai bahasa
Melayu Klasik dan bahasa Melayu Moden.

1
3.0 Bahasa Melayu Klasik

3.1 Definisi
Takrifan tentang Bahasa Melayu Klasik perlu dibuat terlebih dahulu sebelum kita
memahaminya. Merujuk kepada perkataan klasik, Kamus Dewan ( !986 : 590 )
mentakrifkannya sebagai kesenian atau kesusasteraan yang lama atau yang mempunyai
sifat-sifat yang tidak lagi terpakai; yang tinggi dan abadi nilainya atau lawan bagi
perkataan moden.

Takrifan ini menjelaskan kepada kita bahawa bahasa Melayu Klasik diakui
kepenggunaannya pada suatu masa dahulu. Namun, perubahan masa dan zaman
menyebabkan bahasa ini tidak lagi menjadi wahana kepada para pengkaji sebagai bahan
kajian dan penyelidikan tentang perkembangan dan pertumbuhannya.

3.2 Ruang Lingkup Bahasa Melayu Klasik


Bahasa Melayu Klasik bermula pada abad ke-14 hingga awal abad ke-19. Zaman
permulaan bahasa Melayu Klasik ditandai dengan penemuan prasasti di Ulu Berang
Kuala Terengganu bertarikh 702 H bersamaan 1303 Masehi. Selain penemuan prasasti
tersebut terdapat juga prasasti bahasa Melayu Klasik terutamanya di negeri Kedah,
Kelantan, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Pengkalan Kempas. Ada juga prasasti
yang ditemui di Sumatera, contohnya di Jambi, Riau, Sumatera Selatan, Acheh dan lain-
lain lagi (Amat Juhari Moain. 1994).

Bukti-bukti kewujudan bahasa Melayu Klasik juga boleh ditemui dalam bentuk
manuskrip. Pengkaji-pengkaji menganggap sebanyak 12,000 manuskrip di temui tetapi
semuanya tersimpan di luar negara .
Manusrip yang tertua sekali ialah surat Sultan Ternate, Baluku kepada Raja Portugis
bertarikh 1521 Masehi ( Ahmat Adam , 1992 ). Manakala manuskrip bentuk buku yang

2
paling tua yang ditemui setakat ini ialah kitab Aqa'id Al-Nasafi yang bertarikh pada 1590
M (998 H). Manuskrip lain yang ditemui bagi membuktikan kewujudan bahasa Melayu
Klasik ialah manuskrip Tutinameh (1600M), Hikayat Seri Rama (1633 M), surat Raja
Acheh kepada Harry Middleton (1602M) dan surat Emas Sultan Iskandar Muda Mahkota
Alam, Acheh kepada Raja Inggeris, King Jame 1 (1615 M).
( Nik Safiah Abd. Karim. 1992. Bahasa Melayu Moden : Kemuncak Tradisi Melaka-
Johor-Riau. Dlm S. Othman Kelantan (pngr.) 100 Tahun Pergerakan bahasa Dan sastera
Melayu 1888 - 1988 : 38-53. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.)

Dalam kajian yang berhubung dengan perkembangan Bahasa Melayu, terdapat


percanggahan pendapat antara para sarjana. Misalnya Prof. Dato' Asmah Haji Omar
dalam bukunya Susur Galur Bahasa Melayu ( Kuala Lumpur . DBP : 1985) menjelaskan
bahawa bahasa ini berkembang dari abad ke-13 hingga ke-17 masehi. Manakala Prof.
Dato' Ismail Hussien melalui bukunya Tamadun Melayu Jilid Dua ( Kuala Lumpur.
DBP : 1993 ) menyatakan bahasa Melayu berkembang dari abad ke-13 dan ke-14 masehi.

Namun begitu, apa yang perlu ditegaskan di sini , bermula abad ke-14 hingga ke abad 19
masehi Bahasa Melayu telah menjadi bahasa perantaraan utama bagi masyarakat ketika
itu. Malah ada di kalangan pengkaji menyamakan bahasa ini dengan bahasa Latin dan
Perancis kerana penggunaannya begitu meluas iaitu sehingga dituturkan di India dan juga
Eropah ( Abdul Samad Ahmad : 1966 )

3.2 Ciri-ciri Bahasa Melayu Klasik


Bahasa Melayu Klasik dikatakan terpisah dari bahasa Melayu Kuno apabila wujudnya
tulisan jawi. ( Asmah haji Omar : 1993 ). Sebelum ini tulisan yang digunakan oleh
masyarakat Melayu dalam Bahasa Melayu Kuno ialah tulisan "palava" ( Raminah Hj
Sabran dan Rahim Syam : 1986). Kedatangan Islam membawa perubahan yang amat
ketara ke atas masyarakat Melayu. Perubahan tersebut bukan sahaja dari aspek tauhid
danakidah tetapi sistem tulisan masyarakat Melayu turut berubah,

3
Tulisan jawi berasal dari tulisan Arab. Pendakwah-pendakwah Islam berketurunan Arab
pada mulanya menerapkan sistem tulisan Arab dalam tulisan Jawi. Tujuan utamanya
ialah memudahkan bacaan, kerana tulisan jawi merupakan sesuatu yang baru bagi
masyarakat Melayu. Bagi memudahkan ejaan, tanda baris atas dan bawah dimansuhkan.

Bahasa Melayu Klasik dikatakan banyak menerima fonem-fonem Arab. ( Abdullah


Hassan : 1992 ) Contohnya 'kh', 'z' dan 'sy'. Penggunaan fonem-fonem ini begitu meluas
terutama sekali dalam penghasilan karya sastera seperti kitab-kitab agama, cerita-cerita
rakyat dan lain-lain lagi. Contoh perkataan yang menerima fonem arab adalah seperti
berikut :
? Akhirat
? Syarat
? Zaman

Selain penggunaan dalam aspek tulisan dan fonem, Bahasa Melayu Klasik juga telah
menyerapkan perkataan-perkataan Arab dalam bahasa Melayu. Keadaan ini
menyebabkan kata-kata atau perbendaharan Melayu semakin bertambah. Pinjaman dari
perkataan Arab juga disebabkan kurangnya perkataan Melayu dalam menterjemahkan
sesuatu perkara. Antara contoh perkataan yang dipinjam dari perkataan Arab ialah
? Duniawi
? Jahaman
? Akhirat
? Mu'tabar
? Fakir
? Sultan
? Jumaat

4
Bahasa Melayu Klasik juga banyak menggunakan Kata Tunjuk, Kata Penegas dan Kata
Hubung. Terdapat pengulangan dalam penggunaan perkataan tersebut. Kata tunjuk yang
sering digunakan berulang ialah :
? Itu
? Sana
? Maka

Kata Hubung :
? Yang
? Dan
? atau

Kata Penegas :
? Lah
? Pun

Penterjemahan karya atau kitab-kitab Arab ke dalam Bahasa Melayu menyebabkan


struktur atau sintaksis Arab menyerap ke dalam bahasa Melayu. Terjemahan kitab banyak
menggunakan Frasa Sendi Arab. Antara Frasa Sendi yang dipinjam dari bahasa Arab
ialah ;
daripadanya; atas dengan; dia dan lain-lain lagi.

Selain dari itu ayat-ayat dalam bahasa Melayu Klasik juga dikatakan meleret-leret,
terutama sekali apabila menyatakan sesuatu perkara. Pengarang sesebuah buku sering
memasukkan perkataan yang sukar difahami. Begitu juga dengan pengunaan ayat-ayat
pasif yang begitu meluas terutama dalam hikayat-hikayat.

Dalam bahasa Melayu Klasik juga tedapat pendepanan pradikat dalam ayat yang
digunakan atau dengan kata lain berlaku penyongsanan ayat. Pendepanan predikat terdiri
daripada predikat kata kerja, objek atau pelengkap.

5
Ini merupakan pengaruh nahu Arab dalam bahasa Melayu klasik, contohnya :
a) Berjalanlah baginda berhari-hari untuk mencari permaisuri yang telah melarikan diri
b) Maka kepala budak itu digondolkan oleh tukang gunting dengan sebilah beliung.
(Prof. Mohd. Taib Osman & Abu Hasaan Sham (pngr.) 1978. Warisan Prosa Klasik.
Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka ).

Selain dari itu, ciri-ciri yang dapat dikesan dalam bahasa Melayu klasik ialah adanya
pengaruh Islam. Kedatangan Islam ke alam Melayu memberi impak yang begitu besar .
Roh Islam bukan sahaja ada pada individu malah turut terdapat dalam istilah dan
ungkapan bahasa. Jika agama Hindu banyak mempengaruhi setiap aspek dan perbuatan
orang Melayu pada suatu ketika, perkara sedemikian juga turut berlaku apabila wujudnya
pengaruh Islam. Istilah dan ungkapan Islam telah diterima pakai oleh masyarakat Melayu
sebagai perantaraan dalam komunikasi atau penghasilan sesuatu karya.

Tokoh-tokoh Islam seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Daud Abdullah al-
Patani serta Raja Ali Riau banyak membantu dalam memperkembangkan istilah dan
ungkapan bercirikan Islam. Karya-karya sastera Melayu Klasik banyak menggunakan
watak-watak ciptaan dengan nama Islam, khususnya nama-nama raja. Misalnya Raja
Nursyirwan Adil, Raja Abdul Jalil dan Sultan Muhammad Syah. Di samping itu terdapat
juga nama campuran unsur Sanskrit, India dan Islam. Contohnya Merong Mahawangsa,
Raja Donan dan Seri Rama

Salah satu dari ciri yang membezakan bahasa Melayu Klasik dengan moden ialah
pengunaan kata-kata adapun, syahdan, hatta, setelah, arakian,al-kisah, bahawasanya,
kelakian, sebermula dan sebagainya.

Dalam zaman bahasa Melayu klasik banyak berdiri kerajaan Melayu yang menggunakan
bahasa Melayu Klasik sebagai bahasa pemerintahan seperti kerajaan Pasai-Samudera,
Melaka, Johor-Lama, Johor-Pahang-Riau-Lingga, empayar Brunai yang menyebar luas di
daerah Kalimantan Utara hingga ke Filipina Selatan; Patani, Ligor, Palembang, Jambi,
Siak, Sri Inderapura, Langkat, Pahang, Perak dan lain-lain. Bahkan ada empayar atau

6
kerajaan bukan Melayu tetapi menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa
pemerintahan. Contohnya kerajaan Ache di Sumatera Utara.

Zaman bahasa Melayu klasik menempuh kemajuan yang amat pesat berbanding dengan
zaman bahasa Melayu Kuno. Pada masa ini perkembangan ilmu pengetahuan dan
kegiatan intelektual dalam bahasa Melayu mencapai tahap yang tinggi. Pada akhir abad
yang ke-16 M, umpamanya, sudah lahir hasil-hasil karya falsafah tasawwuf dalam bahasa
Melayu. Bahkan pada awal abad ke-17 M, berlaku pula polemik-polemik ilmiah tentang
falsafah, tasawwuf dan ilmu-ilmu ugama yang lain khususnya seperti polimek yang
dilakukan oleh Hamzah Fansuri, Syamsudin Pasai, Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf
Singkel. Kelahiran hasil-hasil karya bersifat intelektual ini berpunca daripada pengaruh
Islam yang meresap ke dalam bahasa dan budaya Melayu. Keadaan ini tidak berlaku pada
zaman Hindu.

Lantaran itulah maka bahasa Melayu telah menjadi bahasa utama di Asia Tenggara untuk
urusan pengembangan agama Islam bahkan ianya menjadi salah satu di antara enam
bahasa dunia Islam iaitu selain Arab, Farsi, Turki, Inggeris dan Hindi. Oleh sebab itu juga
orang-orang Kristian menggunakan bahasa Melayu dalam penyebaran agama Kristian di
kawasan Asia Tenggara (Manggantar Simanjuntak : 1995)

4.0 Bahasa Melayu Zaman Peralihan ( Pramoden)


Setelah memahami dan menghalusi bahasa Melayu klasik, kini eloklah diteliti bahasa
Melayu zaman peralihan yang menjadi inti kepada kertas kerja ini.

Bahasa Melayu zaman peralihan dikatakan bermula pada pertengahan abad 19 membawa
kepada awal abad 20. Abad ke-19 adalah abad kebanjiran pendatang luar Asia Tenggara.
Pada masa ini pelbagai bangsa terutama dari barat datang untuk menguasai Asia
Tenggara. Orang-orang Belanda menguasai sebahagian besar kepulauan Melayu yang
kemudian dikenali sebagai Indonesia. Inggeris pula menguasai negeri-negeri Melayu
terutama di Semenanjung Tanah Melayu, Brunai, Sarawak dan Borneo Utara. Orang

7
Perancis pula menguasai Indo-China, orang Portugis di Timor Timur, manakala orang
Sepanyol dan kemudiannya Amerika menguasai Filipina.

Bangsa-bangsa Barat ini bukan sahaja menguasai perdagangan tetapi juga politik. Bagi
meneguhkan penguasaan mereka, pihak penjajah telah mengkaji bahasa dan budaya
peribumi, sehinga dengan itu timbul pusat-pusat pengajian tentang bahasa, sastera dan
budaya peribumi, terutama Melayu di universiti-universiti di Barat, misalnya di Belanda
dan Inggeris. Pada masa yang sama penjajah barat memperkenalkan beberapa teknologi
moden seperti alat pencetak, kapal api dan lain-lain termasuk penerbitan akhbar, majalah
dan jurnal serta percetakan buku-buku dan kitab-kitab (Ahmat Adam. 1992 ).

Bertitik-tolak dari sinilah perkataan-perkataan dari bahasa barat seperti Inggeris dan
Belanda mula meresap ke dalam bahasa Melayu sediit demi sedikit. Akibat dari itu juga
pusat kegiatan penulisan Melayu mula mengusur dari istana-istana ke dalam masyarakat
umum. Ini menjadikan kegiatan penulisan mula bersifat kemasyarakatan dan kerakyatan.

Pada zaman ini juga terdapat banyak buku-buku Melayu tulin sempat dicetak. Misalnya
buku Sejarah Melayu, Taj al-Salatin, Hikayat Abdullah dan lain-lain. Begitu juga dengan
kitab-kitab agama yang terkenal banyak dicetak pada zaman ini terutamanya di Asia
Barat seperti di Istanbul dan Mesir.

Suatu perkara yang terjadi pada zaman ini dan tidak wujud pada zaman bahasa Melayu
klasik ialah pencetakan dan penerbitan majalah dan akhbar Melayu. Contohnya Soerat
Kabar Bahasa Malaijoe yang diterbitkan di Surabaya, Jawa Timur pada tahun 1856.
Akhbar Bintang Timor di Padang Sumatera Barat (1865), Jawi Peranakan di Singapura
(1876). Selain dari itu terdapat juga akhbar Melayu Alamat Langkapuri di Colombo, Sri
Lanka (1869). Malah di Melaka sendiri pada tahun 1821 terbitnya majalah Melayu
Bustan Arifin, begitu juga majalah Bintang Oetara yang diterbitkan di Rotterdam,
Belanda pada tahun 1856 M
( Ahmat Adam. 1992)

8
Peristiwa-peristiwa yang berlaku pada abad ke-19 ini seperti satu pertembungan budaya
Melayu dengan Barat. Perkembangan teknologi cetak dan teknologi-teknologi lain serta
perkembangan perhubungan yang lebih mudah menjadikan bahasa Melayu terdedah
kepada pengaruh barat. Dengan itu sedikit demi sedikit bahasa Melayu diresapi oleh
unsur-unsur Barat sehingga berlaku beberapa perubahan pada bahasa Melayu. Hal ini
ditambah lagi dengan penguasaan Inggeris serta penjajah lain terhadap penerbitan
kebanyakan akhbar dan majalah Melayu.

Namun begitu satu perkara yang tidak dapat dinafikan ialah penjajah turut membantu
perkembangan penggunaan bahasa Melayu secara tidak lansung di Asia Tenggara.
Sebagai contoh, pada tahun 1821 Sekolah Melayu telah ditubuhkan di Pulau Pinang dan
kemudiannya diikuti oleh Negeri-negeri Selat yang lain.

Hal yang sama turut berlaku di Indonesia. Kerajaan Belanda telah mengiktiraf bahasa
Melayu Riau sebagai bahasa Melayu tinggi dan menjadi alat perhubungan utama
peribumi Indonesia. Bahasa Melayu Riau menjadi bahasa utama di sekolah-sekolah
bukan sahaja di Riau tetapi juga di Sumatera Timur dan Pulau Jawa. Dengan keadaan
sedemikian, abad ke-19 ini meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi di
seluruh pelosok nusantara.

4.1 Ciri-ciri Bahasa Melayu Zaman Peralihan dan Perkembangannya (abad 19- 20)
Seperti bahasa Melayu zaman klasik, bahasa Melayu zaman peralihan juga mempunyai
ciri-cirinya yang tersendiri yang membolehkannya dipisahkan dari bahasa zaman klasik.
Ciri-ciri ini amat penting untuk diketahui kerana ciri-ciri inilah yang akan menjadi garis
pengukur dalam menentukan kedudukan bahasa itu sama ada berada dalam zaman kuno,
zaman klasik, zaman peralihan atau zaman moden.

Ciri-ciri bahasa Melayu zaman peralihan atau zaman pramoden yang dapat dikesan untuk
kertas kerja ini ialah :

9
a) Gaya bahasa zaman peralihan masih lagi mengikut gaya bahasa klasik, seperti
penggunan sahaya, arakian, kemudian daripada itu, adapun, maka, sekalian dan
sebagainya. Walau bagaimanapun penggunaan perkataan-perkataan tersebut tidaklah
begitu keterlaluan seperti zaman sebelumnya.

b) Fonem-fonem Melayu ditambah dengan fonem-fonem baru daripada bahasa Arab


masih kekal. Di sini pada awalnya unsur-unsur Inggeris belum terlihat dengan ketara.
Walau bagaimanapun, apabila penjajah mula menguasai urusan penerbitan beberapa
akhbar dan majalah barulah unsur-unsur Inggeris mula terlihat.

c) Kata-kata istilah baru mula muncul terutama dalam pentadbiran moden seperti yang
diamalkan di Johor pada zaman pemerintahan keluarga Temenggung Johor. Pada masa
itulah beberapa banyak istilah Inggeris, Portugis dan Belanda mula diguna pakai.
Antaranya istilah majestret, lawyer, kompeni, Gabenor, kemeja, office-boy, beranda dan
berbagai lagi. Pada masa yang sama juga beberapa istilah Inggeris diterjemahkan ke
dalam bahasa Melayu untuk urusan pentadbiran seperti jawatankuasa, setiausaha, pejabat,
pesuruhjaya dan jabatan.

d) Perkembangan bahasa dalam zaman pramoden ini juga memperlihatkan penerbitan


akhbar dan majalah yang datang dari pengaruh Barat. Hal ini telah dimanfaatkan
sepenuhnya oleh intelektual Melayu. Mereka mula menerbitkan bahan-bahan cetak untuk
rakyat tempatan. Ini membantu dalam penguasaan bahasa bukan sahaja oleh penduduk
tempatan tetapi juga oleh penjajah.

e) Sesuatu yang lebih ketara pada zaman ini ialah dalam bidang percetakan iaitu
bermulanya era penerbitan buku-buku Melayu. Buku-buku ini dicetak sama ada di
Malaya, Batavia atau di Asia Barat seperti di Makkah , Istanbul atau Mesir.

f) Dalam bidang penulisan dan penghasilan karya pula terlihat bermulanya penulisan
gaya laporan mula berkembang. Gaya penulisan ini juga lebih dikenali dengan gaya
kewartawan seperti yang dilakukan oleh Abdul Rahim Kajai ( Talib Samat :1998 )

10
g) Dunia persuratkhabaran dan majalah yang berkembang pesat telah membuka ruang
kepada bidang pekerjaan sebagai wartawan akhbar dan majalah. Hal ini menyemarakkan
lagi proses pengembangan bahasa Melayu di peringkat yang lebih luas. Bukan sahaja
istilah-istilah bahasa Melayu semakin bertambah, malah ianya semakin meninggalkan
ciri-ciri bahasa Melayu zaman klasik. Struktur ayatnya telah berubah, tidak lagi meleret-
leret ketika menjelaskan sesuatu maksud atau perkara.

h) Sesuatu yang menarik dalam memperkatakan ciri-ciri bahasa Melayu pramoden ini
ialah bahasa Melayu telah menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah yang didirikan
oleh penjajah. Ini membuktikan bahawa bahasa Melayu telah mendapat pengiktirfan
sebagai bahasa komunikasi antarabangsa ( pelbagai kaum ), tidak seperti zaman
sebelumnya yang meletakakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi tidak formal
sahaja.

i) Perkembangan bahasa Melayu turut membawa kepada penghasilan buku-buku teks


bahasa Melayu di sekolah-sekolah . Perkara ini dilakukan oleh Syed Mahmud bin Syed
Abdul Kadir ( A.M Iskandar Hj Ahmad : 1980 )

Zaman pramoden atau zaman peralihan ini juga ditandai dengan lahirnya aktiviti
penghasilan perkamusan di alam Melayu. Beberapa buah kamus besar telah disusun
seperti Kamus Jawi-melayu-Inggeris yang disusun oleh R.J Wilkinson. Kamus ini
berbidang besar dan tebal serta mempunyai maklumat yang banyak tentang bahasa
Melayu. Kamus ini diterbitkan pada tahun 1903. Selain dari itu terdapat juga kamus
Melayu-Belanda dan Belanda-Melayu yang disusun oleh Van Ronkel pada tahun 1918.
Kamus lain yang terhasil pada awal abad ke-20 ialah Buku Katan ( Kamus Melayu) oleh
Muhamad said Sulaiman (1936), Kamus Melayu oleh Haji Syamsudin Muhamad Yunus
yang bertulisan Jawi (1948).

Kejayaan menghasilkan kamus ini memberikan impak yang besar terhadap pekembangan
bahasa Melayu. Dengan terhasilnya kamus-kamus tersebut maka secara lansungnya

11
menambahkan lagi perbendaharaan kata bagi bahasa Melayu. Oleh itu dalam zaman
peralihan ini, penghasilan kamus menjadi satu elemen penting ketika memperkatakan
perkembangan bahasa Melayu zaman peralihan atau zaman pramoden.

5.0 Bahasa Melayu Zaman Moden


Setelah meneliti era dua zaman perkembangan bahasa Melayu; zaman klasik dan zaman
peralihan, eloklah pula ditinjau sepintas lalu bahasa Melayu zaman moden bagi
menjelaskan pemahaman terhadap sejarah perkembangan bahasa Melayu. Tinjauan
sepintas lalu ini akan menjelaskan akan peri pentingnya zaman peralihan ( pertengahan
abad ke-19 hingga awal abad ke-20 ) kepada sejarah perkembangan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu berubah sedikit demi sedikit untuk menuju ke bentuk baru iaitu bahasa
Melayu Moden apabila menjelangnya abad ke-20. Prosesnya berjalan mengikut urutan
waktu tetapi lancar. Ianya bermula dengan pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa
urusan pemerintahan di negeri-negeri Melayu. Keadaan menjadi semakin kukuh apabila
munculnya teknologi percetakan yang dibawa oleh penjajah ke Tanah Melayu.
Penerbitan akhbar, majalah dan buku-buku telah menyemarakkan lagi perkembangan
bahasa Melayu.

Pada pertengahan abad ke-20 bahasa Melayu sudah menjadi bahasa terpenting di
Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Brunei dan Borneo Utara. Hal yang
sama berlaku di Indonesia yang dijajah oleh Belanda.

Di Indonesia, pada tahun 1928 tercatatnya peristiwa penting dalam kalendar sejarah
bahasa Melayu apabila diadakan Sumpah Pemuda yang menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa persatuan bagi negara dan bangsa Indonesia ( Ensiklopedia Sejarah dan
Kebudayaan Melayu : 1994).
Peristiwa ini membawa kepada terangkatnya bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara
Indonesia yang kemudiannya dikenali dengan Bahasa Indonesia pada 1945. Hal yang
sama terjadi di Tanah Melayu pada tahun 1967. Manakala di Brunei Darulsalam bahasa

12
Melayu telah dijadikan bahasa rasmi pada tahun 1959 dan di Singapura pada tahun 1965 (
Amat Jauhari Moain : 1994 ).

Bahasa Melayu Moden terus berkembang dan menjadi utuh apabila penerbitan majalah,
akhbar, buku, jurnal menjadikan bahasa Melayu sebagai wadah untuk menyampaikan
maklumat dan ilmu pengetahuan. Tujuannya bukan sekadar meningkatkan kecerdasan
berfikir dan perluasan ilmu tetapi juga untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa
ilmu. Anatara akhbar dan majalah yang memainkan peranan berkenaan ialah al-Imam
(1906), Panji Poestaka dan Poesdjangga Baroe (1933), Warta Malaya, Lembaga Melayu
dan lain-lain lagi diterbitkan di sekitar separuh awal abad kedua puluh.

Bagi mengukuhkan lagi kedudukan bahasa Melayu serta memastikan perkembangannya


tidak terbantut maka berbagai usaha telah dijalankan. Antaranya penubuhan Pakatan
Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor ( Pa. Ba. Mim. Pa. Ba.) yang kemudiannya
diikuti dengan tertubuhnya Pejabat Karang Mengarang SITC, Dewan Bahasa dan
Pustaka, Institusi-institusi Pengajian Tinggi, Jawatakuasa Tetap Bahasa Melayu, serta
tertubuhnya Kementerian Pelajaran.( Abdul Samad Ahmad : 1966).

Melihat kepada perkembangan istilah dan perbendaharaan kata, pada zaman bahasa
Melayu Moden ini, munculnya istilah-istilah baru sama ada pinjaman dari bahasa asing
mahupun pinjaman dari bahasa serumpun. Istilah-istilah asing yang tiada dalam bahasa
Melayu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Ini menjadikan bahasa Melayu
kaya dengan istilah-istilahnya walaupun ada di antaranya dipinjam dari istilah Inggeris,
Belanda, Portugis, Arab, Sanskrit, Jawa, Indonesia, Brunei dan sebagainya.

Penggunaan bahasa Melayu yang semakin meningkat mendorong lahirnya kerjasama


kebahasaan antara Tanah Melayu dan Indonesia pada tahun 1959. Kerjasama ini
dikukuhkan lagi apabila pada tahun 1972 majlis Bahasa Indonesia-Malaysia (MBIM)
ditubuhkan. Pada tahun 1985 kedudukannya semakin meningkat apabila MBIM menjadi
MABBIM atau Majlis Bahasa Brunei Darussalam - Indonesia - Malaysia ditubuhkan.

13
Peningkatan mutu bahasa Melayu semakin jelas terserlah apabila bahasa ini digunakan
dalam pelbagai laras dan wacana dalam pengajaran pelbagai ilmu dari peringkat rendah
hingga ke peringkat pengajian tinggi.

6.0 Kesimpulan
Kedudukan bahasa Melayu menjadi sedemikian tinggi kerana pengaruh bahasa-bahasa
dari luar terutama dari barat seperti Inggeris dan Belanda, yang mula meresap ke dalam
bahasa Melayu pada abad ke-19. Pengaruh-pengaruh ini membuahkan hasil yang amat
baik kepada bahasa Melayu dalam alaf baru ini ( menjelang abad 21 ) Bermula dari
pertengahan abad ke-19, pengaruh-pengaruh luar telah mempengaruhi kosa kata dan
istilah-istilah Melayu yang akhirnya menjadikannya bahasa moden.

Tidak dapat dinafikan bahawa pertengahan abad ke-19 membawa ke abad 20 merupakan
era yang amat penting dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu. Zaman ini yang
lebih dikenali dengan Zaman Pramoden atau Peralihan merupakan titik-tolak yang
menjadikan bahasa Melayu hari ini sebagai bahasa lingua franca dan bahasa ilmu pada
abad ini.

14
Rujukan

A.M Iskandar Hj Ahmad. 1980. Persuratkhabaran Melayu 1876 - 1968. Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Hassan. 1997. Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu Dan Esei-Esei Lain. Shah
Alam : Penerbitan Fajaar Bakti Sdn. Bhd.

Ahmat Adam. 1992 . Sejarah dan Bibliografi Akhbar dan Majalah Melayu Abad
Kesembilan Belas. Bangi : Penerbitan Universiti kebangsaan Malaysia.

Amat Juhari Moain. 1994. Sejarah Bahasa Melayu dalam Linguistik Melayu oleh
Zaharani Ahmad. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.

________________1996. Perancang Bahasa: Sejarah Aksara Jawi. Kuala Lumpur :


Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Asmah Haji Omar. 1993. Susur Galur Bahasa Melayu Dalam Gelombang Tamadun .
Dlm Ismail Hussien, A.Aziz Deraman & Abd. Rahman Al-Ahmadi (pngr.) Tamadun
Melayu Jilid Dua (536-553). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

_______________1985. Susur Galur Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa


dan Pustaka.

Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Jilid 1 . 1994. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan . 1986. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Maganatar Simanjuntak. 1995. Pengutamaan Bahasa Melayu Dalam Semua Bidang,


Termasuk Sains & Teknologi, Menjamin Potensinya Sebagai bahasa Ilmu Dan Bahasa
Supranasional, Di Samping Menjamin Pembangunan Negara Yang Maksimum. Dlm.
Kertas Kerja Kongres Melayu Sedunia. Kuala Lumpur. Ogos 1995

S. Othman Kelantan (pngr.) 1992. 100 Tahun Pergerakan Bahasa dan Sastera Melayu
1888 - 1988. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.Hal. 7

Sejarah Bahasa Melayu

15