Anda di halaman 1dari 8

Hadith 1

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:


"Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang
belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau
mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di
sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon
istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka
puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan
kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana
hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-
halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak
menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka
lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir
Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka
sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah,
adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW:
"Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan
setelah menyempurnakan tugasnya."

Hadith 2

Ubadah Bin Somit ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda
pada suatu hari ketika Ramadhan hampir menjelang: "Telah datang
kepadamu bulan Ramadhan, di mana Allah melimpah ruahkan di
dalamnya dengan keberkatan, menurunkan rahmat, mengampuni dosa-
dosa kamu, memakbulkan doa-doa kamu, melihat di atas perlumbaan
kamu untuk memperolehi kebaikan yang besar dan berbangga
mengenaimu di hadapan malaikat-malaikat. Maka tunjukkanlah kepada
Allah Taala kebaikan dari kamu. Sesungguhnya orang yang bernasib
malang ialah dia yang dinafikan daripada rahmat Allah pada bulan ini."

Hadith 3

Abu Sa'id Al Khudri ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW
bersabda: "Setiap hari siang dan malam pada bulan Ramadhan, Allah
Tabaraka wa Taala membebaskan begitu banyak sekali roh daripada
api neraka. Dan pada setiap orang Islam pada setiap hari siang dan
malam doanya pasti akan diterima."

Hadith 4

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Terdapat tiga jenis orang yang doa mereka tidak ditolak; doa daripada
orang yang berpuasa sehinggalah dia berbuka puasa; imam (penguasa)
yang adil, dan orang yang dizalimi yang kerana doanya itu Allah
mengangkatnya melepasi awan dan membuka untuknya pintu-pintu
langit dan Allah berfirman: "Daku bersumpah demi kemuliaanKu,
sesungguhnya Daku pasti menolongmu walaupun pada suatu masa
nanti."

Hadith 5

Ibn Umar ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas
mereka yang memakan sahur."

Hadith 6

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa berbuka satu hari di siang hari bulan Ramadhan tanpa
alasan yang wajar (disegi syariah) atau sakit yang kuat, tidak akan
dapat menampung atau mengganti hari tersebut walaupun akan
berpuasa sehingga ke akhir hayatnya."




RAMADAN : KELEBIHAN DAN CARA MENCAPAI KESEMPURNAAN PUASA



Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah



KELEBIHAN BULAN RAMADAN

Bulan Ramadhan adalah bulan yang sangat tinggi darjat dan besar
martabatnya di sisi Allah Subhanahu wa Taala dan RasulNya, ia juga
menjadi penghulu segala bulan.

Di antara kelebihan dan keistimewaan bulan Ramadhan itu Allah
Subhanahu wa Taala telah menurunkan kitab suciNya (Al -Quran) yang
menjadi petunjuk bagi manusia. Firman Allah Subhanahu wa Taala:

Tafsirnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bul an
Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi
sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang
menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang
benar dengan yang salah.

(Surah Al-Baqarah: 185)

Dipilih di antara malam-malam bulan Ramadhan itu suatu malam
Lailatul-qadr yang mana ia lebih baik dan lebih utama daripada seribu
bulan. Seribu bulan itu kira-kira 83 tahun. Menurut ulama Lailatul-qadr
itu jatuh pada salah satu malam sepuluh yang terakhir daripada bulan
Ramadhan. Sayugia jangan disia-siakan malam-malam di bulan
Ramadhan khasnya malam-malam pelikurannya dengan perkara-
perkara yang tidak memberi faedah, bahkan hendaklah diisi dengan
amal ibadat sebagai saham dan bekalan di dunia dan akhirat.

Lain-lain keistimewaan bulan Ramadhan itu sebagaimana sabda Nabi
Muhammad Shallallahu alaihi wasallam:

Maksudnya: Sembahyang lima waktu, dan sembahyang Jumaat ke
sembahyang Jumaat berikutnya, dan bulan Ramadhan ke bulan
Ramadhan berikutnya adalah menjadi penebus dosa yang terjadi di
antara waktu-waktu tadi, selama orang itu menjauhi dosa-dosa besar.

(Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi:

Maksudnya: Dia (bulan Ramadhan itu) ialah bulan kesabaran dan
ganjaran kesabaran itu ialah masuk syurga.

(Shahih Ibnu Khuzaimah)

Sementara kesabaran itu pula ganjaran pahala tanpa perhitungan.
Firman Allah Subhanahu wa Taala:

Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang
akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.

(Surah Az-Zumar: 10)

KELEBIHAN PUASA DI BULAN RAMADAN

Apabila membincangkan mengenai bulan Ramadhan, dengan sendirinya
ia mempunyai hubungan dengan kewajipan puasa yang disyariatkan di
dalamnya. Suatu kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan.
Meninggalkan atau sengaja tidak menunaikan kewajipan puasa, bukan
saja suatu dosa besar bahkan ia tidak boleh ditebus dengan apa jua
cara. Tidak boleh ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya
berpuasa seumur hidup. Ini jelas sebagaimana sabda Nabi Muhammad
Shallallahu alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa
ada rukhshah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan
dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu,
sekalipun dia berpuasa seumur hidup.

(Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasai, Ibnu Majah dan Ibnu
Khuzaimah)

Adapun kewajipan puasa ini bukan hanya sekadar menahan diri
daripada makan dan minum atau perkara-perkara yang membatalkan
puasa mulai dari terbit fajar shadiq hingga terbenam matahari, bahkan
hendaklah juga menahan anggota badan daripada melakukan perkara-
perkara yang boleh membawa dosa, kerana dosa itu boleh melupuskan
matlamat puasa. Nabi Muhammad Shallallahu alaihi wasallam telah
memberi peringatan dalam hal ini sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya: Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat
sesuatu daripada puasanya selain lapar dan dahaga.

(Ditakhrijkan oleh Ibnu Majah)



MENUJU KESEMPURNAAN IBADAH PUASA

Matlamat puasa itu bukan hanya memelihara kewajipan-kewajipan
lahiriahnya, bahkan memelihara kewajipan-kewajipan bathiniyahnya.
Al-Imam Al-Ghazali telah menggariskan kewajipan-kewajipan
bathiniyah puasa itu antara lain seperti berikut:

1) Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan
pemandangan kepada segala perkara yang tercela dan dibenci oleh
agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh menggangu hati,
serta melalaikannya daripada mengingati Allah Subhanahu wa Taala.

2) Memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, bohong,
mengumpat, membuat fitnah, bercakap kotor, menimbulkan
permusuhan dan mengucapkan kata-kata ria.

3) Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang
dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula
didengarkan. Dan kerana itu jugalah, Allah Subhanahu wa Taala telah
menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan
memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam
firman-Nya:

Tafsirnya: Mereka sangat suka mendengar perkara yang bohong dan
memakan barang yang haram.

(Surah Al-Maidah: 42)

4) Memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada
membuat dosa, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci.
Demikian pula menahan perut daripada makan makanan yang syubhah
waktu berbuka puasa. Kerana apalah gunanya berpuasa daripada
memakan makanan yang halal, kemudian bila berbuka pula, dia
memakan makanan yang haram. Orang yang berpuasa seperti ini,
samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana, kemudian
dia menghancurkan sebuah kota (kerana dalam kota ada istana itu).

5) Janganlah membanyakkan makan waktu berbuka puasa, sekalipun
daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang,
kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah Subhanahu wa
Taala daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal.

Cubalah renungkan, bagaimanakah dapat menentang musuh Allah dan
melawan syahwat, kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang
berpuasa waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu
dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak
mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan
yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya, sehingga menjadi
semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah
bermacam-ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan,
dan dihidangkanlah pula dalam satu bulan itu bermacam-macam
makanan yang tidak pernah dihidangkan dalam bulan-bulan
sebelumnya.

Sebagaimana yang dimaklumi, bahawa maksud puasa itu adalah
menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk
taat dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Taala. Tetapi kalaulah
hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa berbuka,
lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya
kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai makanan
yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan
bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan
timbul daripada syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak
dibuang, mungkin ia tetap pada kebiasaannya. Semua ini adalah
bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya.
Sebab hakikat puasa dan rahsianya adalah untuk melemahkan
kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan, sebagai cara-
cara untuk menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal
kemahuan dan keinginan ini tiada dapat ditentang, melainkan dengan
mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara
hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan, maka
dia terlindung daripada kerajaan langit.

6) Hendaklah hati merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana
tiadalah diketahui apakah amalan puasa itu diterima oleh Allah
Subhanahu wa Taala, sehingga seseorang itu digolongkan ke dalam
puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak,
maka terhitung dia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada
rahmat Allah Subhanahu wa Taala. Perasaan seumpama ini seharusnya
sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu
ibadat kepada Allah Subhanahu wa Taala.

Oleh kerana itu apabila puasa itu dapat dilaksanakan dengan sempurna
menurut syarat-syarat zahir dan batinnya, iaitu bukan hanya berpuasa
dengan menahan perut dan syahwatnya serta mengekang
pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki juga seluruh anggota,
bahkan menahan dirinya daripada melakukan perkara-perkara yang
membawa dosa, ditambah lagi bahawa hatinya berpuasa daripada
perkara-perkara yang memesongkan perhatiannya selain Allah
Subhanahu wa Taala, maka orang yang berpuasa sedemikian akan
mudah mencapai martabat orang-orang yang taqwa sebagaimana
firman Allah Subhanahu wa Taala:

Tafsirnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu
berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum
kamu agar kamu bertaqwa.

(Surah Al-Baqarah: 183)

PUASA BAGI ORANG-ORANG YANG TAKWA

Di antara huraian atau maksud Supaya kamu menjadi orang-orang
yang bertaqwa ialah: Orang-orang yang beriman dilarang makan dan
minum dan dilarang bersetubuh ketika berpuasa, ialah kerana terdapat
hikmah dan faedah yang besar dalam larangan itu. Yang pertama ialah
latihan mengendalikan diri. Kalau di sepanjang waktu umat Islam
dilarang memakan makanan yang haram, tetapi ketika berpuasa
makanan yang halalpun dilarang. Orang yang beriman akan dapat
menahan nafsunya semata-mata kerana melaksanakan perintah Allah
Subhanahu wa Taala. Walaupun dia hidup terpencil seorang diri, jauh
daripada pandangan manusia atau tidak seorang pun manusia
melihatnya, namun dia akan tetap berpuasa, sebab dia meyakini
bahawa Allah sentiasa melihatnya. Sikap demikian dapat mendidik
iradat serta mengendalikan kemahuannya dan dapat juga mengekang
nafsunya. Ada dua syahwat yang sangat mempengaruhi hidup, iaitu
syahwat faraj (kelamin) dan syahwat perut. Kalau kedua-duanya ini
tidak terkendali, maka kemanusiaan manusia menjadi runtuh dan turun
bertukar menjadi kebinatangan. Tetapi apabila dapat dikendalikan
khususnya dengan berpuasa, kemanusiaan tadi akan naik tingkatnya
ke tingkat ketaqwaan.

Mudah-mudahan kelebihan puasa sebagaimana sabda Nabi Muhammad
Shallallahu alaihi wasallam:

Maksudnya: Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya,
bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum pada sisi
Allah daripada bau-bauan minyak kasturi. Allah azzawajalla berkata:
Sesungguhnya dia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan
minumnya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan Akulah
yang akan memberikan balasannya sendiri.

(Hadis riwayat Ahmad)

Daripada maksud hadis di atas diharapkan akan mendorong seseorang
itu untuk menghidupkan Ramadhan supaya tercapai pula keampunan
daripada Allah Subhanahu wa Taala, sebagaimana yang dikhabarkan
oleh Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam:

Maksudnya: Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh
keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah, akan diampunkan
dosanya yang terdahulu.

(Hadis riwayat Bukhari)