Anda di halaman 1dari 2

Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Alor Akar, Tuan Haji Mokhtar Bin Abdullah, Yang dihormati

Guru Penolong Kanan Pentadbiran Encik Zulkefli Bin Wan Hasan, barisan hakim yang adil lagi
bijaksana, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Asalamualaikum dan selamat
sejahtera serta salam satu Malaysia
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Berdirinya saya pada hari yang berbahagia ini adalah untuk menyampaikan syarahan yang
bertajuk Punca-punca berlakunya Masalah Disiplin dalam kalangan Murid Sekolah.Masalah disiplin
boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk mematuhi peraturan yang telah
ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan pendidik
untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku ?
Sebenarnya, masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian
ibubapa era globalisasi ini. Ibubapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa
tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Akibatnya, pelajar
terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk
menarik perhatian ibubapa mereka.
Sementara itu kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan
drastik. Kelakuan yang tidak senonah yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk
mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru
kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan
kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu.
Tuan-tuan dan puan-puan serta rakan seperjuangan sekalian,
Rakan sebaya juga turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering
menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup
berkorban untuk mereka berbanding ibubapa yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka.
Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot
dengan drastiknya.

Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut
menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan
masalah disiplin sekolah mereka kerana tidak mahu nama sekolah mereka terjejas. Tindakan ini
menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tetapi tidak akan
dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini
menyebabkan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari kita diberikan
dengan pelbagai cadangan yang tinggal cadangan sahaja. Mungkin kali ini kita perlu bertegas dan
berpijak di bumi nyata.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Sebelum saya mengundur diri, saya menyusun sepuluh jari dan memohon maaf jika ada kesilapan
tutur kata semasa menyampaikan syarahan saya tadi. Semoga apa yang telah saya sampaikan
sebentar tadi dapat memberi manfaat kepada kita semua.
Sekian. Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai