Anda di halaman 1dari 4

JURNAL MINGGU PERTAMA

TARIKH: 14 JULAI 18 JULAI 2013


MASALAH:

Pada awal minggu pertama ini, saya masih belum mendapat jadual kelas yang
akan mengajar, kerana kehadiran kami sebagai guru praktikum amat mengejutkan
pihak sekolah. Ini kerana surat makluman tentang kehadiran kami lambat sampai di
sekolah ini. Oleh itu, jadual mengajar perlulah disusun dan semestinya mengambil
masa yang lama. Bagi memenuhi masa yang lapang, saya dan rakan praktikum
banyak menghabiskan masa berada di dalam bilik guru bagi menyiapkan buku
Rancangan Pengajaran Harian dan portfolio sebagai persediaan awal bagi penilaian
pensyarah pembimbing pada minggu hadapan. Masa yang lapang digunakan sebaik
yang mungkin bagi memastikan kerja tidak tertangguh. Namun permasalahan mula
wujud apabila jadual waktu mengajar yang diperolehi diantara saya dan pasangan
praktikum tidak sama hari dan waktu untuk mata pelajaran yang akan dinilai
menyebabkan pensyarah kami terpaksa datang ke sekolah dua kali seminggu.
Perubahan jadual tidak dapat dibuat berikutan daripada kesibukan pihak sekolah
dan setiap perubahan yang dilakukan memerlukan tempoh masa yang lama.
Selain itu, permasalahan sampingan yang wujud ialah apabila stor sukan di
sekolah ini perlu diselenggara dan disusun semula berikutan daripada susunan
alatan yang kurang sesuai. Bagi memenuhi permintaan pihak sekolah dan adanya
rasa tanggungjawab sebagai guru Pendidikan Jasmani, saya dan pasangan
praktikum perlu melakukan banyak perkara dari segi susunan, kekemasan dan
proses keluar masuk alatan kerana stor sukan yang sesuai dan selamat memerlukan
pengurusan yang terbaik.





ANALISIS:

Bagi masalah pertama untuk minggu ini, saya dapati permasalahan jadual
waktu berpunca daripada pemakluman tentang kehadiran kami sebagai guru
praktikum yang lambat diketahui oleh pihak sekolah. Berikutan daripada hal tersebut,
pihak sekolah tidak dapat membuat persediaan awal terutamanya menyusun jadual
waktu. Tambahan pula, kami berlima sebagai guru praktikum akan mengajar Mata
Pelajaran Pendidikan Jasmani menyebabkan pihak sekolah sukar untuk mengagih-
agihkan jadual waktu. Maka, kami hanya memperolehi jadual waktu yang
selengkapnya pada hari Rabu. Kelewatan ini juga menyebabkan kami terpaksa
membuat persediaan dari segi pengambilan Buku Teks dan berjumpa dengan guru
pada hari terakhir untuk minggu pertama.
Seterusnya, bagi masalah yang kedua iaitu stor sukan adalah disebabkan
tugas setiausaha sukan di sekolah ini. Mungkin disebabkan kerja yang banyak dari
segi proses pengajaran dan pembelajaran serta urusan sekolah menyebabkan stor
sukan dilihat sambil lewa. Berdasarkan perbincangan bersama Pn Zaliha bt Ismail
yang merupakan Guru Kokurikulum merangkap guru pembimbing saya menyatakan
hasrat beliau bagi membaik pulih dan mengemaskan lagi keadaan stor sukan. Oleh
itu, memandangkan kehadiran kami sebagai guru praktikum di sekolah ini, maka
sudah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu beliau dan pihak sekolah.










CADANGAN UNTUK MEMPERBAIKI:

Antara cadangan yang harus saya lakukan untuk mengatasi masalah ini ialah:
a) Saya sepatutnya berjumpa dengan pihak sekolah seminggu sebelum
kedatangan kami sebagai guru praktikum untuk sekadar makluman
b) Saya seharusnya menelefon pihak sekolah sebagai pemberitahuan jika tidak
dapat melawat sekolah seminggu sebelum kehadiran kami sebagai guru
praktikum
c) Saya perlu menyemak dan memeriksa alatan sukan yang boleh digunakan
untuk proses penyemakan stok
d) Peraturan berkaitan stor sukan juga harus ditampal di dalam dan di luar stor
sukan sebagai peringatan kepada pengguna stor sukan
e) Buku keluar masuk harus dibuat sebagai dokumen bukti adanya proses keluar
masuk alatan untuk memudahkan urusan jika berlakunya sebarang
kehilangan dan kerosakan.
f) Pelabelan bagi setiap alatan juga perlu disiapkan segera bagi memudahkan
murid untuk mengenal alatan

TEMPOH MASA:

Saya akan cuba menyelesaikan masalah ini secepat yang mungkin. Hal ini
demikan kerana seorang guru yang cekap dan efektif adalah seorang guru yang
berilmu, mahir dalam menguruskan stor sukan dan dan tidak cepat berputus asa
dalam menghadapi sebarang masalah semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.
Sekiranya masalah ini tidak dapat diatasi seperti yang dirancangkan,
berkemungkinan besar saya tidak dapat mencapai sebarang tujuan asal menjalani
praktikum Fasa II ini.





PENILAIAN KEJAYAAN:

Bagi menilai sejauh mana tahap kejayaan yang diperolehi, Guru Besar akan
menilai dan memantau setiap perkara yang kami lakukan termasuklah membaik pulih
dan menghias stor sukan. Untuk proses pengajaran dan pembelajaran, beliau juga
mungkin akan memantau setiap kali kami mengajar kerana beliau mahukan kami
menjadi guru terbaik.

TINDAKAN SUSULAN:

Untuk memastikan setiap masalah yang berlaku dapat diatasi, maka segala
cadangan penambahbaikan yang disarankan akan dilakukan oleh saya secepat
mungkin. Tujuannya agar tugasan yang di amanahkan oleh pihak sekolah dapat
dijalankan dengan jayanya.