Anda di halaman 1dari 2

Karangan penuh :

Pelaburan ialah kaedah penanaman modal terhadap sesuatu syarikat dengan tujuan
untuk mendapat keuntungan dalam tempoh tertentu. Terdapat pelbagai jenis pelaburan
yang boleh disertai seperti pelaburan amanah saham dan pelaburan terbuka. Contohnya,
Amanah Saham Nasional Berhad dan Amanah Saham Didik. Amalan melabur wajar
diamalkan kerana banyak kepentingannya kepada masyarakat.
Antara kepentingan melabur kepada masyarakat ialah simpanan untuk masa depan atau
untuk usia tua. Hal ini kerana apabila usia kita telah meningkat, kemampuan untuk bekerja
semakin berkurangan. Tambahan pula, orang yang berada di sekeliling kita sekarang belum
tentu dapat menyara kita pada usia tua kelak. Penting untuk kita melabur sekarang sebagai
persiapan kita menghadapi hari tua. Sejajar dengan peribahasa, sediakan payung sebelum
hujan.
Selain itu, pelaburan penting untuk pendidikan anak-anak. Kos untuk melanjutkan
pelajaran pada peringkat diploma dan ijazah semakin mahal pada masa ini. Pinjaman atau
biasiswa yang disediakan kerajaan mungkin tidak mencukupi untuk menampung kos
pengajian tersebut. Pelaburan yang dibuat ibu bapa pada masa ini mampu menyerap
kenaikan kos pengajian yang semakin meningkat kelak.
Seterusnya, pelaburan juga penting sebagai pengurangan inflasi. Kenaikan harga barang
keperluan asas seperti gula, garam, beras dan sebagainya menimbulkan keresahan dalam
kalangan masyarakat. Pendapatan yang diperolehi tidak mampu menampung kenaikan
harga barangan tersebut. Oleh itu, melabur dapat menghadapi masalah inflasi iaitu
peningkatan harga barang di pasaran.
Akhir sekali, pelaburan juga memberi keuntungan kepada negara dan juga kepada
pelabur. Melabur seperti rumah, hartanah, saham dan sebagainya dapat memberi
keuntungan lumayan. Bukan itu sahaja, pelabur asing secara tidak langsung dapat
meningkatkan pembangunan infrastruktur negara ini kerana teknologi dari luar negara di
bawa masuk ke negara kita.
Kesimpulannya, pelaburan amat penting bagi memenuhi tujuan kita. Pelaburan awal
akan memberi keuntungan untuk masa depan kita. Oleh itu, amalan melabur wajar
diterapkan dalam kalangan masyarakat agar masa depan terjamin. Jangan hendaknya,
sudah terhantuk baru tergandah, kerana kesukaran hidup pada masa tua sukar dijangka.




(Nicholas Seling dan Gerry Betty)
5C/2014