Anda di halaman 1dari 75

BAB 1

PENDAHULUAN



1.1 Pengenalan
Agenda pendidikan negara yang berasaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan
mempunyai matlamat dwifungsi iaitu sebagai wahana pembangunan insan dari aspek duniawi
dan ukhrawi. Kewajipan dan tanggungjawab ini disalurkan kepada sekolah sebagai perantara ke
arah melahirkan generasi yang mantap ilmu pengetahuannya dan yang berakal serta dapat
berfikir dalam menghadapi kehidupan. Ini bermakna guru-guru berperanan penting dalam
melahirkan generasi pelajar yang dapat berfikir dengan mantap dan berkesan.

Pelajar lazimnya datang ke sekolah hanyalah untuk memenuhi kewajipan sebagai
seorang pelajar. Dari aspek luaran dapat dilihat kebanyakan mereka datang ke sekolah dalam
keadaan tidak bersemangat kerana persepsi mereka terhadap pengajaran guru yang dianggap
membosankan. Rata-rata pelajar mempunyai tahap motivasi yang berbeza terhadap pengajaran
dan pembelajaran di dalam bilik darjah, memberi respons yang berbeza kepada persekitaran bilik
darjah dan amalan pengajaran guru di dalam bilik darjah. Oleh itu, pengajaran dan pembelajaran
di dalam bilik darjah haruslah menarik untuk menyegarkan minda dan pemikiran pelajar-pelajar.
Pembelajaran tidak hanya berkaitan dengan penambahan pengetahuan dan mengingat
semula maklumat yang dipelajari tetapi merupakan aktiviti menguasai konsep dan memahami
maklumat pengetahuan dan seterusnya dapat mengaplikasinya ke dalam kehidupan (Hargreaves,
1996) dalam(Nurul Izni:2012). Pembelajaran juga melibatkan usaha menguasai kemahiran dan
pengetahuan di samping membentuk sikap seseorang. Kajian dalam bidang psikologi dan
pendidikan menunjukkan individu mempunyai kemahiran yang berbeza dalam memproses
maklumat. Oleh itu, guru boleh memilih pelbagai pendekatan dan teknik pengajaran yang sesuai
dengan kebolehan pelajar. Keberkesanan sesuatu pengajaran itu bergantung kepada teknik dan
strategi guru yang dapat merangsang pemikiran pelajar secara kreatif dan kritis. Hal ini juga
dapat membantu pelajar untuk berjaya, memiliki sifat belajar dan menguasai kaedah belajar
untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran.

Kementerian Pendidikan Malaysia (2002) dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa
Melayu menjelaskan bahawa dalam pendidikan bahasa Melayu, guru-guru digalakkan
menggunakan pelbagai kaedah mengajar. Hal ini demikian kerana para pelajar akan belajar
dalam pelbagai cara termasuklah dengan melihat, membaca, mendengar, menghafal, mengingat
dan menterjemah semula. Salah satu kemahiran bahasa yang diserap dalam sukatan pelajaran
bahasa Melayu ialah kemahiran membaca. Kemahiran membaca adalah salah satu kemahiran
asas dan penting untuk membentuk generasi yang celik ilmu. Oleh sebab membaca ialah asas
kemajuan dalam semua mata pelajaran, maka kepantasan dan kefasihan membaca adalah
penting. Menurut Unesco (1983) belajar membaca ialah satu tugas intelek yang kompleks yang
melibatkan lebih banyak kemahiran daripada sekadar mengenal dan menyebut perkataan.
Penguasaan dalam pembacaan bergantung kepada amalan membaca buku yang luas bidangnya.
Pembacaan ialah satu kemahiran dan sesuatu kemahiran menurut pengertiannya bererti
kebolehan yang diamalkan.

Pelajar merupakan aset penting bagi negara untuk mencapai wawasan 2020. Minat
membaca yang tinggi dalam kalangan pelajar akan menyumbang ke arah merealisasikan
wawasan tersebut. Ini bersesuaian dengan harapan Kementerian Pendidikan melalui pelaksanaan
KBSR dan KBSM supaya pelajar sekolah mempunyai sifat-sifat kritis, efisyen dan bertabiat
membaca.

1.2 Latar Belakang Kajian
Membaca boleh dimaksudkan sebagai proses tafsiran yang bermakna di atas lambang-lambang
bercetak dan bertulis (Harris & Sipay:1980). Proses membaca juga dikatakan sebagai keupayaan
seseorang mengecam bentuk visual dan menghubungkan bentuk itu dengan bunyi ataupun
makna yang diketahui melalui pengalaman (pembelajaran) dan akhirnya berupaya mentafsirkan
maksudnya. Menurut Smith & Johnson (1980), membaca adalah berteraskan keinginan
mewujudkan interaksi antara penyampaian idea penulis dengan tanggapan yang dibuat oleh
pembaca. Goodman (1973) pula menyatakan bahawa membaca ialah proses psikolinguistik yang
bermula daripada pembaca mengamati perkataan yang terdapat dalam teks yang dibaca
sehinggalah terbentuknya makna berdasarkan pengamatan yang dilakukan. Hal ini menunjukkan
melalui proses itu wujud interaksi antara bahasa dengan pemikiran kerana hubungan antara
bahasa dan pemikiran sememangnya berlaku dalam dimensi yang lebih luas. Kita menggunakan
bahasa bagi melahirkan pemikiran yang wujud dalam minda.

Membaca juga ialah proses berfikir yang melibatkan pemikiran tentang perkara tersurat
dan tersirat, menghubungkaitkan idea, menyoal dan bertindak balas dengan memberi idea dan
mengaplikasikan maklumat baru ke dalam situasi baru. Di peringkat pengajian tinggi, bahan
bacaan merangkumi buku, jurnal, makalah, nota kuliah, potongan akhbar, tesis dan bahan-bahan
rencana yang berkaitan. Keberkesanan dalam pembacaan adalah amat penting dan perlu
ditekankan oleh para pelajar ketika membaca. Proses membaca yang berkesan memerlukan
kemahiran yang tertentu sama ada sebelum, semasa ataupun selepas proses membaca. Untuk
memperoleh keputusan yang cemerlang, seseorang pelajar perlu mempunyai kemahiran
membaca yang betul.

Biasanya pelajar akan lupa dan tidak memahami apa-apa yang telah dibaca walaupun
telah membacanya dengan berulang kali. Keadaan ini sebenarnya menunjukkan bahawa cara
pembacaan mereka tidak dapat menghasilkan kefahaman pembacaan yang maksimum. Untuk
mengelakkan pembaziran masa, pelajar perlu mengetahui dan melatih diri membaca dengan
betul berdasarkan kaedah-kaedah pembacaan yang ada. Kaedah pembacaan yang tidak betul
akan menyebabkan pelajar cepat bosan, kurang berminat dan cepat mengantuk.

Saniah dalam (Nurul Izni:2012) menyatakan bahawa kemahiran membaca biasanya
terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu membaca secara pantas dan membaca secara kritis.
Contoh membaca secara pantas adalah seperti teknik sepintas lalu (scanning) dan bacaan sekilas
(skimming). Untuk bacaan secara kritis pula adalah seperti teknik SQ3R (Survey-Question-Read-
Recite-Review) dan teknik KWLH (Know-Want-Learned-How). Membaca secara pantas dengan
menggunakan kaedah sepintas lalu (scanning) adalah untuk membaca keseluruhan muka surat
dengan cepat secara sepintas lalu. Cara ini biasanya digunakan untuk mendapatkan maklumat
tertentu atau isi-isi penting yang berkaitan dengan bahan yang dibaca. Membaca secara sekilas
(skimming) adalah dengan membaca secara berlangkau-langkau untuk mendapatkan pandangan
umum tentang sesebuah buku atau teks. Lazimnya cara ini adalah tertumpu kepada pencarian isi
kandungan, tajuk utama, rumusan pada akhir bab dan bibliografi. Kaedah dan teknik yang
dinyatakan ini penting kepada pelajar untuk mengulang kaji bahan bacaan sebagai persediaan
dalam peperiksaan.

Bagi tesis ini, pengkaji telah menggunakan teknik membaca SQ4R (Survey-Question-
Read-Record-Recite-Reflect). TeknikSQ4R merupakan satu teknik membaca yang dapat
membantu pelajar memahami dan mengingat maklumat yang dibaca melalui satu siri tindakan
yang berurutan. Teknik ini dibangunkan oleh Thomas & Robinson (1972) berasaskan sistem
SQ3R yang dibina oleh Robinson (1961). Teknik ini diakui berkesan untuk membantu
pembelajaran dan ingatan pelajar. Langkah-langkah penggunaan teknik SQ4R:

Jadual 1.1 : Teknik Membaca SQ4R
SQR


R

R

R
SURVEY QUESTION READ


RECORD

RECITE

REFLECT
Skim bahan bacaan. Gunakan tajuk sebagai
panduan. Bina soalan mengenai bahan
bacaan. Baca. Gunakan soalan sebagai
panduan.


Catat idea atau maklumat yang diketahui.



Menyatakan idea kembali. Hubungkan
maklumat dengan tajuk.


Susun maklumat. Buat gambaran. Hubungkan
idea dengan apa yang diketahui.


1.3 Pernyataan Masalah
Membaca merupakan satu kegiatan penting di dalam kehidupan manusia untuk menjadi
masyarakat yang celik ilmu. Dalam kehidupan seharian, seseorang itu perlu membaca sekurang-
kurangnya buku, akhbar, majalah, surat ataupun iklan untuk memenuhi masa lapang mereka.
Untuk menghadapi cabaran ini, seseorang itu mestilah boleh membaca dengan berkesan.
Menurut Safiah (1990) seseorang yang cekap dan mahir membaca dapat meluaskan pandangan,
pengalaman serta pemikiran mereka. Oleh itu, sekiranya seseorang itu mahir membaca, tidak
sukarlah untuknya memahami apa yang dibaca tanpa perlu mengulangi apa yang dibaca berulang
kali.

Mempelajari kemahiran membaca merupakan salah satu masalah yang sering dihadapi
oleh pelajar yang ingin mencapai kejayaan yang cemerlang. Menurut Safiah (1990) lagi, sejak
akhir-akhir ini pelajar-pelajar di peringkat persekolahan tidak gemar membaca. Kebanyakan
pelajar dikatakan mengehadkan pembacaan mereka kepada buku teks sahaja. Masalah seperti ini
sudah lazim didengar dan ada langkah-langkah untuk menyelesaikannya. Namun, kini apa yang
membimbangkan ialah ada pula golongan pelajar yang tidak boleh membaca dengan berkesan,
yang bermaksud tidak mempunyai kemahiran membaca yang mencukupi bagi membantu mereka
memahami apa yang dibaca.

Kemahiran membaca penting bagi menentukan kandungan teks yang dibaca dapat
difahami. Semua pelajar menginginkan supaya mereka dapat menguruskan tahap pembacaan
mereka dengan berkesan dan dapat memanfaatkannya dalam kehidupan. Dalam zaman yang
ditandai dengan ledakan maklumat, mereka perlu memahami dan menggunakan maklumat serta
ilmu yang terkandung dalam teks bacaannya. Walau bagaimanapun, usaha murni ini sering
terhalang apabila mereka sering berhadapan dengan masalah menguasai dan memahami
kandungan teks. Pelajar selalu menghadapi masalah untuk memahami isi bacaan dalam sesuatu
teks pemahaman, mencatat nota, merancang kerja, mengagihkan masa untuk belajar dan selalu
tidak sempat menghabiskan bacaan nota semasa peperiksaan. Malah masih ramai dan bahkan
sebahagian besar pelajar masih belum memahami isi bacaannya secara efektif.

Banyak faktor yang mempengaruhi tahap pemahaman pelajar termasuklah aspek bacaan.
Menurut Safiah (1986), membaca merupakan masalah yang terus menerus dan berkaitan dengan
masalah pembelajaran. Hal ini bermaksud masalah membaca merupakan faktor utama yang
mempengaruhi tahap kefahaman pelajar. Ia dapat dilihat melalui penurunan peratusan
pencapaian bahasa Melayu yang sangat berkait rapat dengan penguasaan kefahaman bacaan
pelajar itu sendiri. Menurut Marohaini (1999), faktor yang mempengaruhi masalah pembacaan
pelajar termasuklah aspek intelektual seperti kecerdasan, kebolehan berbahasa dan pengalaman
sedia ada. Aspek kecerdasan dan kebolehan pelajar membaca adalah saling berkait.

Sekiranya pelajar mempunyai tahap kecerdasan minda yang tinggi, nescaya mereka
mampu untuk memberikan perhatian dan memahami sesuatu struktur ayat yang dibaca dengan
lebih mudah tanpa perlu mengulang dan meneliti berulang kali. Perkara ini menampakkan
perbezaan ketara sekiranya perbandingan dibuat dengan pelajar yang mempunyai tahap
kecerdasan yang rendah. Golongan pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan yang rendah akan
mengambil masa yang lama untuk memahami bahan yang dibaca. Perkara ini akan menimbulkan
masalah kepada pelajar itu sendiri dan menyebabkan mereka sukar untuk bersaing dalam mata
pelajaran yang dipelajari.
Marohaini (1999) turut menegaskan keupayaan seseorang pelajar memahami bahan
bacaan dengan mudah dipengaruhi oleh bahan bacaan tersebut. Bahan bacaan yang dibaca oleh
pelajar mempengaruhi mereka melalui pelbagai aspek. Antaranya ialah perbendaharaan kata, isi
kandungan, unsur bahasa dan penggunaan ayat. Contohnya, jika bahan yang dibaca oleh pelajar
menggunakan ayat yang kompleks, pelajar akan mengambil masa yang lama untuk memahami
isi bahan bacaan tersebut.

Oleh sebab timbulnya masalah ini, pengkaji telah menggunakan model membaca SQ4R
untuk diaplikasikan kepada pelajar dan menguji sejauh mana keberkesanannya dalam
meningkatkan kefahaman pelajar dalam subjek bahasa Melayu. Silibus bahasa Melayu bagi
menengah rendah terbahagi kepada lima bahagian iaitu Sistem Bahasa, Karangan, Ringkasan dan
Pemahaman, KOMSAS (komponen sastera) dan Novel. Teknik membaca SQ4R dalam kajian ini
telah diaplikasikan dalam salah satu bahagian iaitu bahagian ringkasan dan pemahaman.
Ringkasan dan pemahaman adalah salah satu soalan yang wajib dijawab di dalam Kertas 2
bahasa Melayu bagi pelajar menengah rendah.

Untuk menjawab soalan ringkasan, pelajar dikehendaki membaca satu petikan dengan
teliti dan menulis sebuah ringkasan berdasarkan kata kunci yang diberikan. Kata kunci biasanya
akan dihitamkan dalam arahan yang diberikan. Panjang ringkasan yang ditulis mestilah tidak
melebihi 80 patah perkataan. Markah yang diperuntukkan dalam soalan ringkasan ini ialah 20
markah dan pemahaman sepuluh markah daripada 100 markah keseluruhannya. Walaupun
nilainya nampak kecil, ia juga penyumbang bagi seseorang pelajar untuk mendapatkan gred yang
baik dalam subjek bahasa Melayu.

Menurut Izanoriza (2012), kajian tentang teori dan pendekatan psikologi dalam masalah
pembelajaran bahasa Melayu yang dijalankan olehnya telah dipraktikkan oleh guru-guru subjek
bahasa Melayu yang menghadapi masalah pembelajaran (ringkasan) terutama dalam kalangan
pelajar Cina di sekolah. Berdasarkan kajian tersebut, pengkaji telah menggunakan teknik
membaca SQ4R ini dalam ringkasan dan pemahaman bagi membantu pelajar untuk mendapatkan
sekurang-kurangnya markah lulus bagi subjek bahasa Melayu.

Teknik ini juga merupakan satu teknik membaca yang dapat membantu pelajar
memahami dan mengingat maklumat yang dibaca melalui satu siri tindakan yang berurutan iaitu
tinjauan (survey), soalan (question), membaca (read), mencatat (record), menyatakan kembali
(recite) dan membuat bayangan atau gambaran (reflect). Siri tindakan yang digunakan dalam
teknik membaca ini juga mampu diikuti oleh pelajar dengan mudah. Hal ini demikian kerana
setiap siri tindakan yang diterapkan dalam teknik SQ4R berkait secara langsung dengan cara
penghasilan sesebuah ringkasan.


Jadual 1.2 : Perkaitan antara Siri Tindakan Teknik SQ4R dan Ringkasan
Teknik SQ4R Siri Tindakan Ringkasan

SURVEY QUESTION READ Skim bahan bacaan.
Gunakan tajuk sebagai
panduan. Bina soalan
mengenai bahan bacaan.
Baca. Gunakan soalan
sebagai panduan.

Skim teks yang diperoleh.
Gunakan tajuk yang
dihitamkan pada arahan
soalan sebagai kata kunci
bagi ringkasan yang akan
dibuat. Cuba bina beberapa
soalan yang berkaitan dengan
tajuk (untuk soalan
pemahaman). Baca teks yang
diberi.

RECORD Catat idea atau maklumat
yang diketahui.


Gariskan isi-isi penting yang
terdapat dalam teks
berdasarkan tajuk ringkasan.
RECITE Menyatakan idea kembali.
Hubungkan maklumat
dengan tajuk.

Tulis semula semua isi
penting yang diperoleh dalam
bentuk catatan ringkas. Pilih
lima isi penting yang terbaik.
REFLECT Susun maklumat. Buat
gambaran. Hubungkan idea
dengan apa yang diketahui.
Susun isi-isi penting yang
diperoleh. Buat satu
ringkasan yang lengkap
berdasarkan kata kunci.
Letakkan penanda wacana
untuk menghubungkan setiap
isi penting dalam ringkasan
yang dibuat.



Kebanyakan guru sedar betapa pentingnya peranan membaca terhadap perkembangan
pelajaran seseorang pelajar secara keseluruhannya, namun tidak semua guru menyedari cara-cara
dan kaedah-kaedah yang dapat menolong mereka membaca dan memahami apa yang dibaca
dengan berkesan. Oleh itu, peranan guru amat penting untuk mencari kaedah yang sesuai untuk
membendung masalah ini.

1.4 Tujuan Kajian
Objektif kajian ini adalah seperti berikut :
1. Mengenal pasti perbezaan dalam pencapaian pelajar antara ujian pra dengan ujian pasca
setelah menjalani pengajaran menggunakan teknik SQ4R.
2. Mengenal pasti persepsi pelajar terhadap kecenderungan mereka untuk menjawab soalan
objektif atau subjektif.
3. Mengenal pasti pengetahuan pelajar tentang teknik membaca.

1.5 Persoalan Kajian
Dalam menganalisis objektif kajian, maka beberapa persoalan yang dibentuk adalah seperti
berikut:
1. Terdapatkah perbezaan dalam pencapaian pelajar antara ujian pra dengan ujian pasca
setelah menjalani pembelajaran menggunakan teknik SQ4R?
2. Bagaimanakah persepsi pelajar terhadap kecenderungan mereka untuk menjawab soalan
objektif atau subjektif?
3. Bagaimanakah pengetahuan pelajar tentang teknik membaca?
1.6 Kerangka Teori Kajian





Kemahiran Membaca

Teknik Membaca
SQ4R
Rajah 1.2 : Teknik membaca SQ4R dalam kemahiran membaca

Berdasarkan rajah di atas, teknik membaca SQ4R merupakan fokus utama yang akan
diterapkan dalam kemahiran membaca. Teknik membaca SQ4R ini terdiri daripada tinjauan
(survey), soalan (question), membaca (read), mencatat (record), menyatakan kembali (recite)
dan membuat bayangan atau gambaran (reflect). Teknik membaca SQ4R ini akan diaplikasi
dalam kemahiran membaca pelajar untuk melihat sejauh mana keberkesanannya dalam
meningkatkan tahap kefahaman pelajar terhadap teks yang dibaca.

1.7 Justifikasi Kajian
Kajian ini boleh dimanfaatkan oleh pelajar sekolah, guru dan Kementerian Pendidikan Malaysia
dalam mencari satu alternatif yang dapat meningkatkan kefahaman bacaan pelajar seterusnya
meningkatkan prestasi pelajaran pelajar dalam mata pelajaran bahasa Melayu.
Kepentingan teknik membaca SQ4R ini kepada pelajar antaranya dapat membantu pelajar
memahami dan mengingat maklumat yang dibaca dengan lebih berkesan. Hal ini demikian
kerana pelajar akan didedahkan dengan teknik membaca secara berurutan untuk memahami isi
sesuatu teks yang dibaca. Teknik ini juga dapat melatih pelajar untuk berfikir secara kreatif dan
kritis yang mana memerlukan mereka untuk membina soalan sendiri sebagai panduan memahami
teks yang dibaca seterusnya melahirkan satu interaksi antara pelajar dengan bahan yang dibaca.
Teknik SQ4R ini juga dapat menggalakkan pelajar menghubungkaitkan idea dengan
pengetahuan sedia ada (skemata) mereka. Hal ini secara tidak langsung telah merangsang
kemahiran berfikir pelajar seterusnya menyediakan satu dasar kukuh bagi perkembangan
kefahaman dan corak pemikiran mereka.

Kepentingan penggunaan teknik membaca SQ4R kepada guru ialah proses pengajaran
guru dapat berjalan dengan lancar kerana guru menerapkan proses pembacaan secara
berperingkat dan dapat diikuti dengan baik oleh pelajar. Di samping itu, penggunaan teknik
SQ4R ini dapat meningkatkan daya kreativiti guru dalam pemilihan bahan yang sesuai untuk
diberikan kepada pelajar. Hal ini demikian kerana penggunaan bahan yang sesuai akan
merangsang pemikiran pelajar untuk menerima isi pelajaran dengan lebih mudah dan berkesan.
Seterusnya, penggunaan teknik membaca SQ4R dalam proses pengajaran dan pembelajaran
dapat melahirkan satu interaksi antara guru dengan pelajar terutama dalam membina kefahaman
pelajar terhadap bahan yang dibaca. Oleh itu, proses penyampaian ilmu daripada guru akan
menjadi satu tugas yang mudah dengan adanya interaksi yang sihat di dalam kelas. Kajian ini
juga bermanfaat untuk guru mencari satu alternatif bagi meningkatkan kemampuan pelajar
memahami teks selain dapat dijadikan sebagai bahan acuan dalam proses belajar mengajar.

Teknik membaca SQ4R ini juga dapat membantu Kementerian Pendidikan Malaysia
dalam mencari alternatif meningkatkan minat pelajar untuk menjawab soalan ringkasan dan
pemahaman dengan lebih baik. Ia juga dapat membantu Kementerian Pendidikan Malaysia
dalam mengendalikan masalah membaca dalam kalangan pelajar sekolah yang mempunyai tahap
kecerdasan yang rendah. Hal ini secara tidak langsung dapat meningkatkan minat pelajar untuk
membaca sekaligus meningkatkan peratusan lulus dalam bahasa Melayu yang disebabkan
masalah membaca.

1.8 Limitasi Kajian
Kajian ini dijalankan di dua buah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri
Ampangan (SMKSA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi (SMKSP) kerana kedua-dua
sekolah ini merupakan sekolah yang menempatkan pengkaji untuk membuat latihan mengajar.
Kajian ini turut menggunakan pensampelan mudah yang cenderung bagi mewakili populasi yang
dikaji. Pensampelan mudah (Convenience Sampling) menurut Noraini Idris (2010) merupakan
kaedah memilih ahli sampel yang mudah diakses. Hal ini bermaksud sampel yang dipilih
merupakan sampel yang paling hampir atau mudah didapati oleh penyelidik.
Oleh itu, pensampelan mudah dipilih di dalam kajian ini kerana populasi dan juga sampel
yang akan dipilih merupakan tempat para pengkaji menjalani latihan mengajar selama empat
bulan. Sampel ini akan digunakan bagi memudahkan kajian dilakukan kerana sampel yang
dipilih itu berkemungkinan besar terdiri daripada anak murid pengkaji itu sendiri. Mereka sudah
saling mengenali dan hal ini lebih memudahkan program intervensi selama lapan minggu itu
berjalan dengan lancar. Selain itu, lapan teknik akan diaplikasikan semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran (P&P) untuk menguji tahap keberkesanan teknik SQ4R bagi kemahiran membaca
dalam kalangan pelajar.

Alat kajian yang digunakan untuk mengumpul data kajian ini adalah terdiri daripada
borang A, iaitu borang soal selidik dan borang B, iaitu bahan ujian. Borang A ini merupakan
borang soal selidik yang terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian A dan bahagian B.
Bahagian A merupakan soal selidik tentang latar belakang pelajar. Manakala bahagian B pula
terdiri daripada persepsi pelajar terhadap aspek yang dikaji dengan menggunakan borang soal
selidik. Borang B pula terdiri daripada bahan ujian, iaitu ujian pra dan ujian pasca. Soalan yang
akan diuji pada ujian pra dan ujian pasca ini mengandungi soalan penulisan ringkasan dan tiga
soalan pemahaman berdasarkan teks yang telah dipilih.



1.9 Definisi Istilah-istilah Penting
Dalam kajian ini, terdapat beberapa istilah penting yang digunakan oleh pengkaji. Berikut
disenaraikan beberapa istilah tersebut.

Kajian
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), kajian didefinisikan sebagai kegiatan (usaha,
proses) mengkaji tentang sesuatu berdasarkan data dan maklumat terperinci yang dikumpulkan
dalam jangka masa tertentu.

Teknik SQ4R
Teknik SQ4R merupakan satu teknik membaca yang dapat membantu pelajar memahami dan
mengingat maklumat yang dibaca melalui satu siri tindakan yang berurutan. Teknik ini
dibangunkan oleh Thomas & Robinson (1972) berasaskan sistem SQ3R yang dibina oleh
Robinson (1961). Teknik ini diakui berkesan untuk membantu pembelajaran dan ingatan
pelajar. SQ4R adalah singkatan bagi perkataan Survey-Question-Read-Record-Recite-Reflect
iaitu membuat tinjauan berkaitan teks, membina soalan sendiri dengan menggunakan tajuk teks
sebagai panduan, membaca teks secara keseluruhan, mencatat idea atau maklumat yang
diketahui,menyatakan idea kembali dan menghubungkan maklumat dengan tajuk, menyusun
maklumat dan membuat gambaran berkaitan teks.

Kemahiran Membaca
Saniah dalam (Nurul Izni:2012) menyatakan bahawa kemahiran membaca biasanya terbahagi
kepada dua bahagian utama iaitu membaca secara pantas dan membaca secara kritis. Contoh
membaca secara pantas adalah seperti teknik sepintas lalu (scanning) dan bacaan sekilas
(skimming). Untuk bacaan secara kritis pula adalah seperti teknik SQ3R (Survey-Question-Read-
Recite-Review) dan teknik KWLH (Know-Want-Learned-How). Membaca secara pantas dengan
menggunakan kaedah sepintas lalu (scanning) adalah membaca keseluruhan muka surat dengan
cepat secara sepintas lalu. Cara ini biasanya digunakan untuk mendapatkan maklumat tertentu
atau isi-isi penting yang berkaitan dengan bahan yang dibaca. Membaca secara sekilas
(skimming) adalah dengan membaca secara berlangkau-langkau untuk mendapatkan pandangan
umum tentang sesebuah buku.

1.10 Kesimpulan
Ringkasnya dalam bab ini, pelbagai maklumat telah dibincangkan bermula dari pendahuluan
sehinggalah definisi istilah penting. Segala maklumat ini juga akan digunakan untuk melanjutkan
perbincangan pada bab-bab seterusnya. Kefahaman tentang konsep membaca adalah penting
untuk memastikan seseorang itu mengetahui matlamat dan tujuan mereka melakukan proses
pembacaan. Masalah-masalah dalam proses membaca juga harus diteliti supaya kefahaman
pembacaan dapat ditingkatkan. Melalui penelitian yang dijalankan ini juga, faktor-faktor yang
membawa kepada kegagalan pelajar memahami bahan bacaan dapat dikurangkan.

BAB 2


KAJIAN LITERATUR



2.1 Pengenalan
Kajian literatur merupakan satu bahagian penulisan yang sangat penting untuk diberi perhatian
dalam menghasilkan satu kajian yang baik dan bermutu. Dalam bab ini, kajian literatur
membincangkan bahan yang dibaca dan yang dirujuk untuk dijadikan panduan dalam sesuatu
kajian. Malah, melalui bab ini, kajian akan menunjukkan bahawa topik yang akan dikaji lebih
berfokus dan tidak mencapah kepada kajian yang lain. Hal ini dijelaskan bahawa, kajian literatur
ini menunjukkan kepelbagaian bahan yang dijadikan sebagai rujukan bagi memantapkan kajian
agar boleh diterima sebagai satu kajian ilmiah yang bermutu untuk dijilid menjadi satu tesis
kajian.
Sebelum kajian diteruskan, pengkaji telah mengenal pasti bentuk soalan penilaian pra dan
pasca iaitu soalan ringkasan dan pemahaman. Pengkaji telah memilih soalan ringkasan dan
pemahaman kerana para pelajar terutama pelajar bukan Melayu kurang mahir dalam kedua-dua
bentuk soalan bahasa Melayu tersebut. Sebagai contoh, Izanoriza (2012) telah menjalankan
kajian tentang teori dan pendekatan psikologi dalam masalah pembelajaran bahasa Melayu yang
dijalankan olehnya telah dipraktikkan oleh guru-guru subjek bahasa Melayu yang menghadapi
masalah pembelajaran (ringkasan) dalam kalangan pelajar-pelajar Cina di sekolah.

Seterusnya, permasalahan kajian akan dikenal pasti untuk membina satu hipotesis kajian
berdasarkan permasalahan tersebut. Namun yang demikian, dalam bab ini, kajian literatur akan
berfungsi menjadi satu pegangan kepada pengkaji untuk menulis setiap susunan subtopik
mengikut kaedah yang telah diberi panduan. Segala maklumat yang dikaji akan dikumpulkan
bersama teknik-teknik yang akan digunakan sepanjang kajian dijalankan.

Melalui bab ini juga, terdapat beberapa hasil dapatan kajian pengkaji lepas yang
dijadikan panduan sepanjang kajian ini dijalankan. Terdapat beberapa komponen utama yang
menjadi subtopik utama dalam kajian literatur ini iaitu yang pertama, kerangka konsep yang
ingin diketengahkan oleh pengkaji dalam sesuatu permasalahan yang akan dikaji, yang kedua
ialah kajian yang akan dilakukan berfokus kepada konsep utama berkaitan dengan tajuk
penyelidikan yang akan dijalankan dan yang terakhir iaitu analisis yang dibuat berdasarkan
konsep yang dikaji dengan kajian yang dilakukan.

2.2 Teknik SQ4R
Pauk (1984) dalamKamaruddin dan Siti Hajar (1998), telah memperkenalkan teknik SQ4R
sebagai satu strategi pembacaan setelah kekecewaannya terhadap teknik membaca SQ3R. Teknik
membaca SQ4R dapat meningkatkan keupayaan pelajar memahami teks yang dibaca dalam
jangka masa yang lebih singkat lagi. Pauk percaya bahawa teknik SQ4R hanya akan memakan
masa selama 15 hingga 30 minit seperti yang dirancang oleh seseorang guru. Hal ini kerana
jangka masa membaca akan menjadi lebih singkat selepas teknik SQ4R ini diringkaskan dan
digabungkan melalui langkah-langkah yang terdapat di dalam teknik ini.

Langkah-langkah dalam teknik membaca SQ4R menjelaskan bahawa teknik merupakan
salah satu teknik membaca yang dapat membantu pelajar memahami teks sama ada deksriptif
mahupun naratif. Teknik membca SQ4R ini terdiri daripada tinjauan (survey), soalan (question),
membaca (read), mencatat (record), menyatakan kembali (recite) dan membuat bayangan atau
gambaran (reflecting).


Menurut Kamaruddin dan Siti Hajar (1998), langkah pertama dalam teknik SQ4R iaitu
tinjauan merupakan salah satu cara untuk mendapatkan pandangan terhadap sesuatu bahagian
yang dibaca. Seseorang pembaca perlu meninjau kandungan bahan yang hendak dibaca secara
ringkas dengan melihat keseluruhan bahagian. Selain itu, tinjauan ini memberi gambaran kepada
pembaca mengenai apa yang terkandung dalam keseluruhan bahagian yang akan dibaca.
Tinjauan juga membantu pembaca untuk mendapatkan satu rangka fakta yang terkandung dalam
bahagian tersebut. Oleh hal demikian, seseorang pembaca dapat mengaitkan bahagian-bahagian
lain dengan baik pada bahagian membaca soalan malah dapat menyatakan kembali kerana
pernah terbaca berdasarkan fakta-fakta semasa membuat tinjauan.

Teknik SQ4R menggunakan soalan sebagai langkah kedua bagi memastikan seseorang
pembaca memberi perhatian kepada proses membentuk soalan-soalan daripada tajuk kecil yang
terdapat dalam petikan yang hendak dikaji. Seseorang pembaca itu akan mendapati jawapan
kepada soalan-soalan itu terdapat dalam bahan atau teks bacaan yang sedang dipelajari itu. Selain
itu, seseorang pembaca juga boleh menggunakan soalan-soalan itu untuk meninjau dan
mendapatkan gambaran keseluruhan kandungan teks tersebut.

Dalam langkah bacaan, seseorang pembaca akan diminta memberi perhatian semasa
proses membaca. Pada langkah ini seseorang pembaca perlu bersedia untuk menjawab soalan
semasa membaca. Hal ini bermakna seseorang pembaca terpaksa membaca teks bacaan dengan
teliti untuk mendapatkan jawapan kepada soalan-soalan yang telah dibina. Seseorang pembaca
juga perlu membaca dengan berpandukan soalan-soalan yang perlu dijawab secara tidak
langsung akan menyebabkan pembaca sentiasa memberi perhatian kepada teks.

Kamaruddin dan Siti Hajar (1998) mengatakan bahawa catatan bermaksud membuat
catatan ringkas pada bahagian tepi petikan (margin) bacaan setelah memilih bahagian teks yang
sesuai untuk membuat penambahan. Hal ini bertujuan untuk memberi panduan kepada pembaca
dalam menyatakan kembali isi yang terdapat dalam bab atau petikan. Selain itu, pembaca perlu
mengulang kaji atau menyemak kembali bagi mengetahui sama ada pelajar berjaya mengingati
semula apa yang dibaca atau tidak.

Langkah menyatakan kembali pula bermaksud melafazkan semula dengan kuat dengan
menggunakan perkataan yang dicipta sendiri. Gunakan catatan yang dibuat sebelah petikan
(margin) sebagai panduan. Selepas itu, seseorang pembaca perlu menutup semua bahagian
petikan kecuali bahagian catatan yang dibuat di tepi petikan dan kemudian dilafazkan semula
dengan kuat. Maklumat yang diperolehi daripada muka surat tersebut berpandukan catatan
ringkas yang telah dibuat sebagai penanda.


Tambahan lagi, menurut Kamaruddin dan Siti Hajar (1998), mengatakan bahawa teknik
SQ4R iaitu membuat bayangan atau gambaran bermaksud memikirkan bagaimana seseorang
pembaca dapat menggunakan idea yang telah dibaca di dalam petikan. Fikiran juga akan
menginterprestasikan mengenai perhubungan antara bahagian yang baharu seseorang pembaca
pelajari dengan maklumat yang telah sedia ada diperoleh dalam kursus atau bacaan-bacaan lain.
Apabila seseorang pembaca dapat menghimpunkan semua pengetahuan yang diperoleh, secara
tidak langsung seseorang pembaca itu akan mendapati bahawa terdapat pertindihan antara bahan
dengan bahan lain berfungsi sebagai pelengkap antara satu sama lain. Oleh hal demikian,
langkah membuat bayangan atau gambaran merupakan langkah yang dapat mengimbas semula
semua maklumat baru bersama-sama maklumat yang telah sedia ada dalam minda seseorang
pembaca.

Pemprosesan Maklumat
Menurut Ahmad Subki dan Syed Ismail (2010), persediaan seseorang pelajar dengan pelajar
yang lain adalah berbeza. Hal ini kerana tahap atau proses pertumbuhan dan perkembangan otak
tidak sama dan searah. Oleh itu, langkah untuk mengatasi kekurangan tersebut iaitu menguasai
proses dalam kemahiran belajar dengan memproses maklumat yang diterima dengan cara yang
betul dan berkesan. Keupayaan mengumpul maklumat secara berkesan merupakan salah satu
aspek kemahiran belajar yang penting untuk mengenal pasti sumber pembelajaran, teknik
mendapatkan maklumat dan merujuk maklumat adalah sebahagian kemahiran memproses
maklumat yang perlu dikuasai oleh pelajar.
Seorang guru perlu bijak dalam memilih bahan yang bakal digunakan dalam usaha
mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan pembelajaran. Maklumat yang diperoleh perlu
diperkembangkan secara terancang bagi menggalakkan penggunaan, pemikiran kreatif serta
inovatif mengikut kekreatifan pelajar sendiri. Kemahiran memperoleh maklumat sangat penting
dan perlu dikuasai oleh semua pelajar. Hal ini kerana seorang pelajar itu perlu membuat rujukan
untuk menambah atau mengukuhkan lagi penguasaan ilmu dalam sesuatu pelajaran bukan
semata-mata bergantung kepada nota yang diberikan oleh guru.

Menurut Abdul Ghani Awang (1996), kajian menunjukkan bahawa pelajar ada merujuk
kepada rakan tentang perkara yang difahami atau mendapatkan tunjuk ajar daripada pengajar
atau pensyarah. Pelajar perlu menyelesaikan semua keraguan yang dihadapi semasa proses
belajar barulah pelajar akan memperoleh keputusan cemerlang. Terdapat beberapa perkara
penting yang perlu diketahui dan difahami oleh seseorang pelajar bagi melengkapkan diri
sebagai pencari maklumat yang mahir dan aktif. Seseorang pelajar perlu mengetahui dorongan
atau sebab mencari maklumat diikuti dengan memahami sikap manusia apabila berdepan dengan
maklumat.

Di samping itu, seseorang pelajar perlu mengetahui sikap atau psikologi manusia turut
mempengaruhi kemahiran dalam mencari maklumat. Memahami keperluan maklumat dalam
mencari maklumat adalah satu bentuk pemahaman di peringkat meta yang membolehkan
seseorang pelajar menguasai kemahiran maklumat pada tahap yang lebih baik. Menurut Ahmad
Subki dan Syed Ismail (2010), kemahiran mencari maklumat bergantung kepada sejauh mana
seseorang itu tahu tentang bentuk dan sumber maklumat.

Sumber maklumat terdiri daripada pelbagai bentuk seperti melalui manusia, bahan
digital, bahan bercetak, bahan artifak, bahan filem, bahan seni, bahan bunyi dan lain-lain.
Kemahiran mencari maklumat bagi setiap bentuk dan sumber berbeza kerana memerlukan teknik
yang berbeza bagi mendapatkan hasil yang dikehendaki. Kebolehan seseorang menduga sesuatu
bahan yang dikehendaki juga termasuk dalam kemahiran mencari maklumat. Selepas mendapat
sesuatu maklumat, seseorang itu perlu menilai maklumat yang telah berjaya dicari.

Teori Pemprosesan Maklumat
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maklumat ialah pengetahuan, data, butiran, fakta,
keterangan, maklumat atau cerita tentang sesuatu perkara. Kemahiran maklumat ialah keupayaan
seseorang mengenal pasti keperluan maklumat dengan mencari, mengumpulkan, mengurus dan
mengolah maklumat serta membekalkan maklumat bagi memenuhi keperluan tertentu. Oleh hal
demikian, disebalik teknik SQ4R ini terdapat satu teori mempunyai kaitan dengan keupayaan
mengumpul maklumat iaitu teori pemprosesan maklumat oleh R. M. Gagne.

Menurut Gagne (Shahabuddin et. al, 2003) dalam bukunya Essentials of Learning for
Instuction (1975) mengemukakan satu teori mengenai bagaimana manusia memperoleh
maklumat dalam sesuatu proses pembelajaran. Berdasarkan teori pemprosesan maklumat,
ransangan-ransangan dari persekitaran luar akan diterima dalam sistem saraf melalui deria-deria
manusia. Sesuatu maklumat itu akan ditafsir dalam stor ingatan, kemudian dihantar kepada stor
ingatan jangka panjang dan akhirnya kepada penggerak tindak balas melalui sistem saraf.

Tambahan lagi menurut Gagne, pengalaman-pengalaman yang disimpan dalam stor
ingatan jangka panjang adalah penting bagi manusia untuk mengaitkannya dengan pengalaman-
pengalaman baru demi memudahkan proses pembelajaran berlaku. Menurut Ahmad Subki dan
Syed Ismail (2010), maklumat yang dikumpul daripada berbagai-bagai sumber dan cara perlu
diproses supaya mudah dianalisis untuk membuat kesimpulan kemudian menghasilkan laporan
maklumat yang ringkas, menarik dan tepat.

Gagne (1975) telah mengenal pasti dan menyarankan teori pemprosesan maklmuat
kepada lapan fasa yang biasa dialami oleh manusia dalam sesuatu pembelajaran, iaitu fasa
motivasi, fasa kefahaman, fasa penyimpanan, fasa penahanan, fasa ingatan kembali, fasa
generalisasi, fasa prestasi dan fasa maklum balas. Fasa-fasa dalam teori pemprosesan maklumat
oleh Gagne (1975) adalah seperti berikut:

a) Fasa Motivasi - Jangkaan
Fasa motivasi ialah fasa pertama yang berlaku dalam sesuatu proses pembelajaran.
Kebiasaannya, manusia belajar kerana didorong oleh motivasi tertentu. Tanpa motivasi, proses
pembelajaran tidak akan bermakna dan berkesan. Oleh itu, motivasi memainkan peranan yang
penting dalam mana-mana proses pembelajaran. Manusia berusaha belajar kerana mempunyai
motif tertentu. Motivasi merupakan tindakan yang menimbulkan motifnya supaya belajar. Jadi
motivasi digunakan untuk menggalakkan murid-murid supaya berusaha belajar.

b) Fasa Tanggapan Perhatian
Fasa ini melibatkan aktiviti pemerhatian dan pemilihan rangsangan yang tepat dan relevan. Di
dalam fasa ini, seseorang akan menumpukan perhatian terhadap sesuatu rangsangan yang
dimotivasikan dan memilih serta membezakan rangsangan-rangsangan melalui organ derianya.
Contohnya, semasa belajar di bilik darjah, seorang murid menumpukan perhatian terhadap
aktiviti pengajaran guru dan menolak gangguan yang lain seperti bunyi perbualan daripada rakan
sekelas yang lain.

c) Fasa Penyimpanan - Kod
Apabila seseorang telah berjaya memilih rangsangan yang relevan dan mempersepsikannya
dengan tepat, maka rangsangan itu akan dibawa oleh sistem saraf ke dalam stor ingatan jangka
pendek. Di situ, rangsangan tersebut akan dikodkan dengan suatu cara yang ringkas dan
tersendiri seperti merekodkan isi-isi penting dalam bentuk yang mudah disimpan.

d) Fasa Penahanan- Stor Ingatan
Selepas rangsangan yang dipilih dan dikodkan dalam stor ingatan jangka pendek, sebahagian
atau keseluruhanya akan disalurkan dan disimpan dalam stor ingatan jangka panjang. Kod-kod
yang disimpan dalam stor jangka panjang akan ditransformasikan dan disusun semula dengan
satu sistem yang lebih kekal dalam ingatan dan lebih mudah dikeluarkan. Fasa ini dinamakan
fasa penahanan, iaitu menyimpan maklumat, peristiwa atau pengalaman yang diperoleh dengan
cara yang sistematik.

e) Fasa Mengingat Kembali - Mencari
Fasa mengingat kembali merupakan tindakan mencari maklumat atau pengalaman yang telah
disimpan dalam stor ingatan jangka panjang. Tindakan ini biasanya digerakkan oleh rangsangan
luaran atau motif dalaman. Misalnya seorang murid berusaha mengingat kembali apa yang telah
dipelajarinya untuk menjawab soalan guru.

f) Fasa Generalisasi - Pindaan
Fasa generalisasi ini merujuk kepada fasa pemindahan pembelajaran atau fasa aplikasi di mana
seseorang individu boleh mengingat kembali maklumat dalam stor ingatan jangka panjang dan
menggunakannya untuk situasi yang sama atau serupa. Misalnya, seorang murid telah
mengetahui bentuk segiempat tepat, segiempat sama sisi atau rombus yang masing-masing
mempunyai empat sisi, maka murid itu akan membuat generalisasi bahawa bentuk-bentuk
tersebut boleh diklasifikasikan dalam kategori sisi empat.

g) Fasa Prestasi - Gerak Balas
Fasa prestasi juga dikenali sebagai fasa perlakuan. Mengikut Gagne (1975), fasa ini boleh
diperlihatkan dan diukur daripada perubahan tingkah laku seseorang dalam proses pembelajaran.
Fasa prestasi berlaku apabila seseorang bertindak balas dengan perubahan tingkah lakunya
sebaik sahaja isyarat ransangan diberikan. Misalnya, murid bertindak balas dengan menjawab
soalan guru secara lisan.

h) Fasa Maklum Balas - Peneguhan
Fasa ini merupakan fasa terakhir dalam sesuatu proses pembelajaran. Fasa maklum balas ini
berlaku selepas seseorang individu telah bertindak balas dengan prestasi atau perubahan tingkah
laku yang tepat. Tindakan maklum balas mempunyai fungsi peneguhan seperti memberi galakan
kepada orang yang telah menunjukkan prestasi yang tepat. Contohnya, seseorang murid yang
dapat memberi jawapan yang harus diberikan pujian oleh guru.

Kesimpulannya, berdasarkan Teori Pemprosesan Maklumat yang dikemukakan oleh
Gagne, beberapa aspek utama dapat dikenal pasti dalam fasa proses pembelajaran. Di antaranya
ialah kesediaan, motivasi, pengamatan, ingatan dan lupaan serta pemindahan.

2.3 Konsep Membaca
Tampulobon (1993) dalam (Angkasa Zuchdi dan Darmiyati, 2007)menjelaskan bahawa
membaca merupakan satu kegiatan fizik dan mental untuk menemukan makna dalam tulisan
walaupun hanya melibatkan proses pengenalan huruf-huruf. Kegiatan mental ini khususnya
merupakan satu proses ingatan yang terlibat secara tidak langsung. Hal ini dapat menjelaskan
bahawa penemuan makna dari bacaan menjadi tujuan utama dan bukannya mengenali huruf-
huruf. Hal ini juga sebenarnya telah disokong oleh pendapat Smith (Ginting, 2005) dalam
(Angkasa Zuchdi dan Darmiyati, 2007) yang mengatakan membaca merupakan proses
membangun pemahaman dari teks yang tertulis.

Selain itu juga, proses membaca menurut Burn, Roe dan Ross (1984) dalam (Angkasa
Zuchdi dan Darmiyati, 2007)merupakan satu proses penerimaan simbol kemudian
diinterprestasikan mengikut logik dan pola tatabahasa, mengenali hubungan antara simbol dan
suara antara kata-kata kembali kepada pengalaman langsung untuk memberikan kata-kata yang
bermakna dan mengingat segala pelajaran masa lalu untuk digabungkan idea atau fakta yang
diketahui. Tarigan (1985) dalam (Angkasa Zuchdi dan Darmiyati, 2007) pula mengatakan
bahawa membaca adalah suatu proses yang dilakukan serta dipergunakan oleh pembaca untuk
memperoleh pesanan, suatu metod yang digunakan untuk berkomunikasi dengan diri sendiri dan
kadang-kadang orang lain untuk mengabungkan komunikasi antara makna tersurat dengan
tersirat pada lambang-lambang tulisan. Selain itu, Finochiaro dan Bonomo (1973) dalam
(Tarigan, 1985) mendefinisikan secara singkat bahawa membaca adalah memetik serta
memahami erti makna yang terkandung dalam bahan tertulis.

Spache & Spache (Petty & Jensen, 1980) dalam (Angkasa Zuchdi dan Darmiyati, 2007)
mengemukakan bahawa membaca merupakan satu proses yang kompleks yang terdiri daripada
dua tahap. Tahap yang pertama merupakan tahap individu melakukan perbezaan tehadap apa
yang dilihat selanjutnya individu berusaha untuk mengingat kembali, menganalisis, memutuskan
dan menggambarkan perkara yang dibaca. Sebagai satu proses yang kompleks, membaca
memiliki nilai yang tinggi dalam perkembangan diri seseorang. Secara umum orang akan menilai
bahawa membaca itu suatu identiti yang berkait rapat dengan belajar kerana dengan membaca
dapat memperolehi maklumat.

Pengertian membaca telah ditunjukkan seperti di atas, namun yang demikian terdapat
banyak lagi definisi membaca mengikut pelbagai pendapat tokoh. Membaca merupakan kegiatan
fizik dan mental yang menuntut seseorang untuk menggambarkan simbol-simbol tulisan dengan
aktif dan kritis sebagai satu pola komunikasi dengan diri sendiri agar pembaca dapat menemukan
makna dalam tulisan dan memperoleh informasi sebagai proses transisi pemikiran untuk
mengembangkan intelek dan pembelajaran sepanjang hayat.

Menurut Hasan (1996) mengatakan bahawa kebolehan membaca dengan baik adalah
kemahiran yang paling penting dalam proses pembelajaran. Tanpa pembacaan pembelajaran
tidak mempunyai makna langsung. Nota yang disalin semasa guru mengajar hendaklah dibaca
bersama-sama dengan buku dan catatan-catatan yang lain. Menurutnya juga, kajian mengatakan
bahawa salah satu sebab timbulmya keengganan dan kelesuan minat membaca dalam kalangan
pelajar khususnya adalah disebabkan oleh kelemahan cara membaca pelajar-pelajar itu sendiri.
Ramai golongan yang mengambil masa yang lama untuk membaca.

Tujuan membaca adalah untuk menghibur dan mengisi masa lapang. Selain itu juga, ada
yang menggunakan minat membaca untuk tujuan mengisi keperluan rohani seperti membaca
buku agama, Al-Quran dan kitab suci yang lain. Membaca juga akan memudahkan kita
mendapatkan maklumat secara am, mengetahui pengertian sesuatu perkataan, menilai secara
kritikal sesuatu isu yang dibincangkan dan dapat mempelajari kaedah-kaedah atau cara-cara
tertentu melalui pembacaan. Pelajar pula akan menggunakan membaca ini sebagai salah satu
proses untuk mengulangkaji pelajaran sekolah dengan menggunakan buku teks atau buku
rujukan yang berkaitan.

Pembaca yang bijak akan menentukan tujuan atau objektif pembacaannya terlebih awal.
Ia akan tahu ke mana arah yang ingin dituju dan peka tentang apa yang ingin dibaca, maklumat
yang ingin dicari dan persoalan yang ingin dijawab. Ini adalah kerana setiap tujuan pembacaan
itu sangat penting kepada cara atau stail pembacaan yang tersendiri. Secara amnya, terdapat tiga
cara atau stail pembacaan dalam Hasan (1996) iaitu :

i) Bacaan sepintas lalu
Pembacaan cara ini dilakukan sekiranya seseorang itu cuma ingin mendapatkan beberapa
maklumat yang tertentu sahaja. Ia tidak perlu membaca setiap patah perkataan atau setiap bab
yang terkandung di dalam buku itu. Ia cuma membuat rujukan kepada bahagian bab yang
diperlukan untuk dibuat rujukan dan panduan. Ia boleh mencari maklumat yang ingin diperoleh
dengan menggunakan indeks, tajuk-tajuk utama dan carta-carta yang terkandung dalam buku
yang dirujuk. Stail pembacaan ini tidak akan memakan masa yang lama kerana seseorang itu
boleh memilih untuk membaca bahagian-bahagian yang berkaitan sahaja dan boleh
meninggalkan bahagian yang tidak berkaitan.

ii) Bacaan secara terperinci
Bagi membolehkan seseorang itu benar-benar memahami sesuatu subjek, seseorang itu perlu
membaca bab-bab yang berkaitan dengan cara mendalam dan terperinci. Stail pembacaan ini
memerlukan tumpuan yang mendalam dan biasanya seseorang itu perlu membaca setiap
bahagian yang terkandung dalam buku yang dirujuk. Stail pembacaan ini memerlukan tumpuan
yang mendalam dan biasanya seseorang itu perlu membaca setiap bahagian yang terkandung
dalam buku yang dirujuk. Stail pembacaan ini memerlukan pemikiran yang analitikal dan
kritikal. Kadang-kadang anda perlu memerhati, memahami dan mengingatkan apa sahaja yang
dibaca. Stail pembacaan ini memerlukan masa yang lama jika dibandingkan dengan stail pertama
tadi.

iii) Bacaan secara estetik
Biasanya seseorang itu membaca novel, komik atau majalah hiburan sebagai satu cara memenuhi
masa lapang dan bukannya untuk mendapatkan maklumat yang penting. Oleh itu, stail
pembacaan secara estetik ini tidak memaksa anda untuk memilih atau untuk membaca setiap
perkataan atau bahagian. Seseorang itu boleh membaca bahan-bahan sedemikian bergantung
kepada minat dan masa yang terluang.

Terdapat penemuan yang mengatakan bahawa membaca adalah belajar daripada guru
yang tidak hadir. Hasan (1996), usaha ini akan berjaya jika terdapat pelaksanaan yang betul.
Namun, sebelum kemahiran membaca dapat ditingkatkan dengan berkesan, perlulah kita fahami
pelbagai peringkat pembacaan dan perbezaan di antara setiap satu peringkat itu. Kajian
Mortimer J. Adler dan Charles Van Doren dan diterjemahkan oleh Rustam A. Sani (1989)
mengatakan bahawa peringkat pertama pembacaan dipelajari pada tahun-tahun awal
persekolahan tatkala kemahiran membaca yang asas diajarkan. Peringkat ini disebut pembacaan
dasar atau permulaan.

Peringkat kedua pembacaan ada hubungannya dengan waktu. Ketika membaca pada
peringkat ini, pelajar diberi sejumlah waktu untuk menentukan masalah penyelesaian pembacaan
ini. Satu lagi cara untuk memerikan peringkat pembacaan ini ialah pembacaan, penelitian yang
bertujuan untuk mengemukakan sebanyak mungkin ciri sesebuah buku dalam jangka masa waktu
tertentu. Kebiasaannya, jangka waktu yang pendek dan tidak memungkinkan segala sesuatu yang
terkandung di dalam buku untuk ditemui. Sewaktu peringkat pembacaan ini, tujuan utama
pembaca adalah untuk mengetahui maklumat umum yang terkandung dalam buku tersebut.

Peringkat ketiga pula kita akan menyebutnya sebagai pembacaan analitis. Peringkat ini
jauh lebih sukar daripada peringkat kedua dan peringkat ketiga. Pembacaan pada peringkat ini
lebih tuntas atau pembacaannya lebih bak. Jika pembacaan penelitian merupakan pembacaan
yang terbaik lagi menyeluruh yang anda akan dapat dalam ruang waktu yang terbatas, maka
pembacaan analitis merupakan pembacaan yang paling baik. Pembacaan analitis selalunya
merupakan langkah yang giat. Pembaca berusaha memahami sesebuah buku dengan sepenuhnya.
Pembacaan pada peringkat ketiga ini bertujuan untuk memperoleh pemahaman.

Pembacaan pada peringkat keempat ialah pembacaan sintopik atau pembacaan
perbandingan. Pada peringkat ini si pembaca tidaklah sekadar membaca sebuah buku tetapi
beberapa buku dan melihat hubungan buku-buku itu antara satu sama lainnya sepanjang yang
mengenai sesuatu persoalan tertentu, sehingga si pembaca memperoleh pemahaman yang
menyeluruh tentang persoalan tersebut. Pembacaan sintopik merupakan peringkat pembacaan
yang paling aktif dan menuntut upaya yang paling banyak.

2.4 Kajian Kajian Lepas Berkaitan Membaca
Kajian dalam bidang membaca telah dilakukan oleh beberapa pengkaji yang terdiri daripada
Doktor Falsafah, Profesor, mahasiswa malah mahasiswi universiti. Kajian membaca ini telah
dijalankan oleh Baharin, Syed Mohd Shafeq dan Haliza (2007) yang bertajuk Kepelbagaian
Gaya Pembelajaran dan Kemahiran Belajar Pelajar Universiti di Fakulti Pendidikan, UTM Johor
pada tahun 2007. Dapatan kajian mereka mendapati 85.8% pelajar lebih memfokuskan kepada isi
penting semasa membaca. Pelajar mengamalkan teknik scanning untuk mencari isi penting,
pelajar mengimbas untuk mendapatkan maklumat atau isi penting di dalam sesuatu teks.

Namun begitu terdapat kelemahan yang dapat dikesan daripada responden yang jarang
membuat refleksi untuk sesuatu topik yang dibaca. Refleksi yang dibuat oleh pelajar dengan
menggunakan ayat sendiri membolehkan pelajar mengaitkan bahan yang baru dipelajari dengan
pengetahuan sedia ada mereka. Menurut hasil kajian Kamaruddin Mat Rejab (2000) dalam
(Baharin, Syed Mohd Shafeq dan Haliza, 2007) menunjukkan kemahiran membaca pelajar
hanya mencapai tahap sederhana sahaja dengan skor 58%. Dapatan kajiannya juga menunjukkan
responden dapat menganalisis maklumat, membuat rumusan, kesimpulan dan menyokong idea.

Selain itu, kajian membaca iaitu Tabiat Membaca di Kalangan Pelajar Kemahiran Hidup
di Universiti Pendidikan Sultan Idris telah dijalankan oleh Imran Ariff pada Tahun 2010. Hasil
kajian tersebut bertujuan untuk meninjau minat para pendidik terhadap aktiviti membaca. Data
yang diperolehi daripada 466 orang pelajar Kemahiran Hidup yang terdiri daripada pelbagai
kumpulan telah digunakan bagi menjawab enam soalan utama kajian ini. Dapatan kajian ini
boleh dijadikan inferensi terhadap kegiatan membaca para pelajar universiti di negara ini.
Dapatan yang pertama menjawab soalan pertama kajian ini iaitu apakah jenis bahan yang dibaca
oleh pelajar Kemahiran Hidup di UPSI.

Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa pelajar Kemahiran Hidup di universiti ini
memilih buku teks atau rujukan dan buku agama sebagai bahan yang amat kerap dibaca. Buku
rujukan adalah bahan yang amat perlu bagi para pelajar menjalankan tugas harian mereka. Maka
tidak hairanlah jika mereka lebih banyak membaca buku teks atau rujukan daripada bahan-bahan
yang lain. Di samping itu, para pelajar Kemahiran Hidup juga memilih buku agama sebagai
bahan yang paling kerap dibaca. Kajian ini juga mendapati surat khabar, majalah akademik dan
buku akademik adalah bahan bacaan yang juga kerap dibaca oleh bakal pendidik.
Kajian yang mengkaji masalah membaca dalam kalangan kanak-kanak iaitu Satu
Tinjauan Pelbagai Aspek Membaca Murid-Murid Tadika telah dijalankan oleh Lai Guan,
Rahmah dan Salihah pada tahun 1997. Kajian ini bertujuan meninjau pelbagai aspek membaca
dalam kalangan murid-murid Tadika Institut Perguruan Darul Aman (IPDA) iaitu berdasarkan
tahap kebolehan membaca, masalah dalam ujian membaca dan peranan ibu bapa dan
persekitaran keluarga. Kajian ini melibatkan seramai 18 orang murid dan 7 orang ibu bapa.
Kajian telah dijalankan dengan ujian membaca yang dibina oleh penyelidik sendiri. Ujian
membaca yang dimaksudkan terdiri daripada ujian perbendaharaan kata dan ujian bacaan
nyaring manakala, kajian kepada ibu bapa murid pula ditemu bual untuk memperoleh maklumat
tentang persekitaran keluarga dalam membantu anak mereka belajar membaca.

Hasil kajian mendapati bahawa kebanyakan murid mempunyai kebolehan membaca yang
baik. Namun perbezaan skor antara murid yang berpencapaian tinggi dan berpencapaian rendah
dalam ujian membaca adalah ketara. Murid yang berpencapaian rendah dalam ujian membaca
didapati lemah dari segi mendekod (mengeja) perkataan yang tidak dikenali. Selain dari itu,
kebanyakan ibu bapa murid memainkan peranan yang aktif dalam membantu anak mereka
belajar membaca. Ramai yang membaca kuat kepada anak tetapi tidak kerap. Buku-buku cerita
juga disediakan di rumah untuk anak-anak mereka.

Selain kajian di atas, terdapat kajian membaca yang telah dijalankan di Sekolah
Kebangsaan Taman Rasah Jaya. Kajian ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran membaca
kepada semua murid supaya memenuhi impian warga sekolah agar kadar buta huruf dalam
kalangan murid-murid adalah sifar. Justeru itu, satu kajian telah dilaksanakan kepada murid-
murid tahun dua berdasarkan keputusan peperiksaan akhir tahun semasa mereka di tahun satu.
Tinjauan awal telah menunjukkan murid-murid ini tidak dapat membaca perkataan yang
mengandungi pola KVKVK. Dalam kajian ini kaedah pembelajaran Masteri telah diaplikasikan
di dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P & P). Penggunaan teknik latih tubi dan bercerita
berdasarkan pengetahuan sedia ada lebih memudahkan lagi murid mengikuti proses P & P yang
dijalankan.

Selain itu, murid disajikan dengan bahan bantu mengajar yang menarik serta tulisan
berwarna mengikut suku kata. Teknik ini telah berjaya menarik minat mereka untuk membaca.
Setiap hari murid akan dibekalkan dengan perkataan dari ayat mudah kepada ayat yang sukar. Ia
bertujuan untuk mendedahkan murid-murid dengan perkataan yang lebih mencabar. Dapatan
kajian menunjukkan bahawa murid-murid ini dapat membaca ayat yang mengandungi gabungan
suku kata KVKV dan KVKVK dengan mudah tanpa perlu mengeja. Oleh yang demikian,
kaedah pembelajaran masteri amat sesuai digunakan dalam kalangan murid-murid pemulihan
kerana ia telah berjaya membawa mereka ini belajar dalam suasana yang menyeronokkan.

Terdapat juga kajian membaca mengenai minat membaca dalam kalangan pelajar-pelajar
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di Seberang Perai. Secara khususnya, kajian
ini tertumpu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad, satu-satunya SMKA di
Seberang Perai yang bertujuan untuk menghuraikan dan memberi gambaran yang jelas tentang
faktor-faktor yang mempengaruhi minat membaca buku, majalah dan akhbar. Sebagai salah
sebuah daripada SMKA yang selalu mendapatkan keputusan peperiksaan kebangsaan yang
cemerlang maka adalah wajar dikaji adakah faktor pendapatan penjaga, jantina, umur, lokasi
tempat tinggal pelajar dan kemudahan sumber bahan bacaan mempengaruhi minat membaca
dalam kalangan mereka.

Kajian ini menggunakan kaedah soal selidik dan dianalisis menggunakan program SPSS
for windows release 6.0. Seramai 270 orang pelajar telah dipilih secara rawak dari tingkatan satu
hingga ke tingkatan enam untuk kajian ini. Dapatan kajian daripada analisis ujian t_ dan
ANOVA menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan di antara pendapatan penjaga
dengan minat membaca buku. Terdapat perbezaan yang signifikan di antara umur dengan minat
membaca majalah dan membaca akhbar. Terdapat perbezaan yang signifikan di antara jantina
dengan minat membaca majalah dan akhbar.

Keputusan kajian juga menunjukkan bahawa 87.0% daripada pelajar membaca akhbar
dan berita yang paling diminati ialah berita utama. Peratus membaca buku ialah 98.9% di mana
buku cerita adalah yang paling diminati manakala peratus membaca majalah ialah 93.0% dengan
majalah Dewan Siswa sebagai majalah yang paling digemari. Sebanyak 76.3% daripada pelajar-
pelajar meletakkan ibu bapa sebagai orang yang menggalakkan mereka untuk membaca.
Kepentingan kajian ini terhadap sekolah ialah untuk memberi gambaran tentang kedudukan
minat membaca dalam kalangan pelajar-pelajar. Oleh itu, pihak sekolah akan dapat
mempergiatkan lagi usaha untuk memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar ke arah
mewujudkan budaya membaca dengan lebih cemerlang.

Sapinah (2008) juga telah menjalankan kajian yang berkaitan bacaan, iaitu Keberkesanan
Teknik Membaca Nyaring dan Senyap dalam Pemahaman Bacaan Murid Tahun 6. Kajian ini
mempunyai dua objektif, iaitu bertujuan untuk mengenal pasti tahap kefahaman murid dalam dua
teknik bacaan (bacaan nyaring dan senyap) yang dijalankan dan ingin mengenal pasti sejauh
mana perbezaan prestasi murid apabila menggunakan dua teknik bacaan (bacaan nyaring dan
senyap) ini. Sapinah menggunakan dua cara untuk mengkaji keberkesanan objektif yang
dinyatakan dengan menggunakan ujian pemahaman untuk bacaan nyaring dan ujian pemahaman
untuk bacaan senyap. Ujian pemahaman untuk bacaan nyaring dilaksanakan dengan
mengedarkan teks kepada murid untuk dibaca dan disusuli dengan ujian pemahaman sebanyak
24 soalan tentang teks yang dibaca. Ujian ini dijalankan secara individu dan sampel yang telah
menjalani ujian telah diasingkan daripada sampel yang belum menjalani ujian. Ujian pemahaman
untuk bacaan senyap juga menggunakan kaedah yang sama kecuali ujian ini dijalankan secara
serentak kepada semua sampel.

Walau bagaimanapun, objektif bagi kajian ini kurang berjaya kerana bagi Sapinah, kajian
ini tiada hubungan yang signifikan antara dua teknik membaca, iaitu membaca nyaring dan
membaca senyap. Menurut beliau lagi, walaupun teknik memainkan peranan penting dalam
proses pengajaran dan pembelajaran bahasa, namun semuanya bergantung kepada kekreatifan
guru mempelbagaikannya untuk menarik minat murid-murid dalam usaha memperkukuh lagi
tahap pemahaman bacaan.

Selain itu, Norizah (2007) juga menjalankan kajian untuk mengkaji tahap kefahaman
membaca terhadap murid-murid, iaitu tahap kefahaman membaca dalam kalangan pelajar
tingkatan satu. Kajian ini turut mempunyai dua objektif, iaitu tinjauan menyeluruh akan
pencapaian pelajar tingkatan satu di kesemua tahap kefahaman bacaan berdasarkan daripada
ujian-ujian kefahaman dan petikan yang digunakan. Ujian-ujian ini memainkan peranan kepada
tahap kefahaman membaca, iaitu antara petikan jenis naratif dan petikan jenis ekspositori. Beliau
menggunakan dua cara untuk menguji keberkesanan objektif kajian ini, iaitu dengan
menggunakan kaedah soal selidik dan juga ujian kefahaman berdasarkan petikan naratif dan
petikan ekspositori. Hasil kajian ini telah membuktikan bahawa petikan jenis naratif lebih
diminati murid-murid berbanding petikan jenis ekspositori. Menurut Norizah, hal ini kerana
pencapaian murid-murid lebih tinggi jika menggunakan petikan jenis naratif berbanding
pencapaian yang agak rendah jika beliau menggunakan petikan jenis ekspositori.

Tambahan lagi, Laxme Preyalatha (2009) telah menjalankan kajian berkaitan membaca
iaitu Kajian Keberkesanan Program Nilam terhadap Tahap Pemahaman Membaca dalam
kalangan murid sekolah rendah dari sebuah sekolah di Brickfields, Kuala Lumpur. Tujuan kajian
adalah mengenal pasti keberkesanan Program Nilam terhadap pemahaman membaca dalam
kalangan murid di sekolah rendah. Selain itu, kajian ini ingin melihat sama ada murid benar-
benar membaca dan memahami isi kandungan bahan yang dibaca sewaktu Program Nilam yang
akan diadakan.

Pada keseluruhannya, dapatan kajian keberkesanan Program Nilam terhadap tahap
pemahaman pembacaan menunjukkan bahawa tahap pemahaman membaca dalam kalangan
murid tahun enam di sekolah yang dikaji kebanyakan responden berada di tahap pemahaman
membaca baik dan sangat baik. Mereka menunjukkan reaksi positif semasa aktiviti bacaan
Program Nilam dikendalikan. Secara kesimpulannya, kajian ini berjaya membuktikan bahawa
Program Nilam mampu meningkatkan pemahaman pembacaan dalam kalangan para pelajar.

Nik Abdul Rahman (2003) turut menjalankan kajian berkaitan membaca yang bertajuk
pengajaran bahasa Melayu prasekolah satu kajian perbandingan Kaedah Pengajaran Membaca di
dua buah sekolah tadika di negeri Pahang Darul Makmur. Tujuan kajian ini dijalankan adalah
untuk melihat dan mengkaji kaedah-kaedah pengajaran membaca yang digunakan di tadika. Di
samping itu, mengkaji keberkesanan kaedah pengajaran membaca yang digunakan oleh guru-
guru tadika yang dikaji. Mengkaji kemampuan kaedah yang digunakan dalam mempertingkatkan
kemahiran membaca kanak-kanak di prasekolah juga merupakan tujuan kajian ini dilaksanakan.

Berdasarkan dapatan kajian, keputusan ujian lembaran kerja mengenai kaedah pengajaran
membaca dan soal selidik dengan jelas menunjukkan sokongan terhadap kaedah pengajaran
membaca perlu diterapkan kepada kanak-kanak ketika sesi proses pengajaran dan pembelajaran
berlangsung. Dengan kata lain, penggunaan kaedah pengajian membaca terutama kaedah
cerakinan tekah memberikan kesan positif kepada kanak-kanak di peringkat sekolah. Hasil kajian
telah membuktikan bahawa pengajaran membaca berpaksikan kaedah cerakinan lebih berpotensi
untuk melahirkan kanak-kanak yang cemerlang berbanding kaedah membina yang selalu guru-
guru gunakan di tadika.

2.5 Kajian Kajian Lepas Berkaitan Teknik SQ4R
Kajian teknik SQ4R telah dilakukan oleh beberapa pengkaji yang terdiri daripada Doktor
Falsafah, Profesor, mahasiswa universiti dari dalam dan luar negara. Kajian teknik SQ4R ini
telah dijalankan oleh Azizah Khairiyah Hasibuan (2011) iaitu Kesan SQ4R dan Pembelajaran
Cepat dalam Pencapaian Kefahaman Membaca Pelajar.Objektif kajian kuantitatif ini adalah
untuk menyiasat sama ada teknik SQ4R dan teknik pembelajaran cepat ketara memberi kesan
kepada pelajar dari aspek kefahaman membaca. Kajian ini adalah untuk mengesan salah satu
daripada dua kaedah tersebut merupakan kaedah paling berkesan untuk meningkatkan
pencapaian pelajar dalam kefahaman membaca. Responden kajian ini melibatkan
pelajar tahun kedua Sekolah Tinggi Islam (SMA) dan Madrasah Aliyah Negeri (MAN). Teknik
pengumpulan data adalah dengan menggunakan ujian yang telah diberikan dengan sampel yang
lain selain sampel penyelidikan. Data dianalisis dengan menggunakan ujian-t, tetapi ujian
pertama iaitu statistik normal menggunakan Ujian Lilleofors dan kehomogenan menggunakan
Bartlet. Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa SQ4R telah memberi kesan ketara kepada
kefahaman membaca dan pencapaian pelajar dalam pemahaman membaca. Teknik SQ4R adalah
lebih baik daripada Pembelajaran Cepat iaitu (84.33> 76.67). Berdasarkan ujian hipotesis dapat
dirumuskan bahawa keupayaan kefahaman membaca telah dipertingkatkan dengan menggunakan
teknik SQ4R dan Pembelajaran Cepat.

Selain itu, Potaya (2003) mengkaji kesan SQ4R pada kefahaman membaca bahasa
Inggeris dan kebolehan menulis ringkasan. Responden dalam kajian itu ialah tahun tiga puluh
enam pelajar tahun dua perakuanan peringkat vokasional yang mendaftar matapelajaran bahasa
Inggeris 4 (20001204). Kajian ini telah diuji dengan menggunakan lapan teknik SQ4R. Selepas
latihan dan ujian kefahaman membaca, para pelajar diberikan ujian bertulis ringkasan. Kajian ini
menunjukkan bahawa kefahaman membaca bahasa Inggeris dan kebolehan menulis ringkasan
para pelajar telah meningkat selepas diajar dengan menggunakan teknik SQ4R.


Kajian Utthamaharat (2004),iaitu kefahaman membaca dan kepentingan bahasa Inggeris
berdasarkan pembelajaran kumpulan secara eksperimen yang dilatih melalui teknik SQ4R dan
kumpulan kawalan yang telah dilatih melalui manual guru. Kedua-dua kumpulan telah dilatih
dengan enam sesi proses pengajaran dan pembelajaran selama enam minggu. Selepas latihan,
ujian kefahaman membaca dan soal selidik telah diberikan. Kajian ini menunjukkan bahawa
pemahaman membaca kumpulan eksperimen jauh lebih baik daripada kumpulan kawalan iaitu p
<0.01. Tambahan lagi, tahap kepentingan dalam pembelajaran kumpulan eksperimen adalah jauh
berbeza daripada kumpulan kawalan p <0.01.

Banjoungmanee (2005) dalam kajiannya iaitu mengkaji keberkesanan SQ4R membaca
kefahaman dan mencerminkan keupayaan pemikiran pelajar. Responden kajian telah melibatkan
dua puluh enam pelajar sekolah menengah atas yang mendaftar masuk untuk subjek Membaca -
Penulisan - Kursus. Para pelajar telah dilatih dengan menggunakan lapan sesi pengajaran dan
pembelajaran dengan menggunakan teknik SQ4R. Para pelajar telah menulis tujuh jurnal
reflektif sepanjang lapan sesi pengajaran dan pembelajaran. Dalam penulisan setiap jurnal
reflektif, pelajar dikehendaki menulis satu perenggan yang termasuk jawapan daripada soalan-
soalan daripada "soalan" langkah. Jurnal reflektif pelajar perlu meliputi perkara utama teks
membaca, maklumat fakta, pendapat pengarang dan tambahan idea mereka sendiri.

Selepas latihan, ujian kefahaman membaca telah diberikan. Hasil kajian menunjukkan
bahawa kefahaman membaca bahasa Inggeris para pelajar telah meningkat sebanyak 10.15%.
Keupayaan pemikiran reflektif telah dinilai melalui jurnal reflektif dengan menggunakan skala 1
hingga 5. Kedudukan skala terdiri daripada dua kriteria iaitu mengenal pasti fakta-fakta,
pendapat, kepercayaan dan sebab-sebab. Kriteria yang kedua iaitu permohonan maklumat teks
untuk meluahkan pendapat, perasaan, kepercayaan dan menyokong sebab. Secara ringkasnya,
kajian ini mendapati bahawa keupayaan pemikiran reflektif pelajar berada pada tahap yang baik
selepas diajar dengan menggunakan teknik SQ4R.

Selain itu, kajian SQ4R yang telah dijalankan oleh Yeam Hock Keng (2012), iaitu
Kesan Penerapan Kaedah SQ4R dalam Pengajaran dan Pembelajaran terhadap Kemahiran
Membaca Teks Ekonomi di Kalangan Pelajar Kemahiran Membaca Merupakan Salah Satu
Aspek Kemahiran.Kajianini bertujuan untuk meninjau perubahan kemahiran membaca dalam
kalangan sampel setelah kaedah SQ4R (Survey-Question-Read-Record-Recite-Reflect). Model
kajian ini menggunakan reka bentuk eksperimentaluntuk melihat sama ada terdapat perbezaan
dalam kemahiranmembaca dan prestasi peperiksaan dalam kalangan pelajarkumpulan rawatan
yang terdedah kepada SQ4R berbandingdengan kumpulan kawalan.Kumpulan rawatan juga
diberi soal selidikyang mengandungi 20 item untuk mendapat maklum balasmereka terhadap
kaedah SQ4R. Dapatan hasil kajianmenunjukkan kaedah SQ4R dapat mengubah kemahiran
membaca dalam kalangan pelajar dan pelajar memberi respons yang positif terhadap kaedah itu.
2.6 Modul Pengajaran
Menurut Kamaruddin dan Siti Hajar (1998), teknik SQ4R mempunyai enam langkah dalam
proses membacanya. Oleh itu, modul pengajaran berasaskan teknik SQ4R dicipta bagi
mendapatkan dapatan kajian yang sempurna. Teknik SQ4R ini dicipta untuk membantu pelajar
memahami dan mengingat maklumat yang dibaca melalui satu siri tindakan yang berurutan.

Modul Tinjauan (Survey)
Modul tinjauan ini menggunakan skim bahan bacaan secara cepat untuk mendapatkan idea
secara keseluruhan. Modul ini juga dikenali sebagai cara mendapatkan pandangan sebelum
bacaan. Semasa modul tinjauan ini, seseorang pelajar mestilah memberi perhatian terhadap
beberapa bahagian tertentu yang menjadi fokus utama. Bahagian-bahagian dalam modul tinjauan
tersebut, termasuklah:
1. Tajuk bab
2. Rangka kasar bab
3. Pengenalan
4. Tajuk utama dan subtajuk kecil
5. Ringkasan bab
6. Isi kandungan dan kenal pasti apa yang hendak anda dibaca atau dipelajari.


Modul Membina Soalan (Question)
Membina soalan kepada diri sendiri mengenai bahan yang hendak dibaca. Pelajar boleh
menggunakan tajuk atau subtopik sebagai panduan. Selain itu, modul membina soalan akan
membuat soalan dengan menggunakan kata tanya (5W1H) siapa, apa, mengapa, bila, di mana
dan bagaimana untuk membentuk soalan daripada tajuk kecil dalam petikan. Soalan yang
dibentuk itu adalah untuk meninjau gambaran keseluruhan kandungan teks. Sebagai contoh,
dalam bab 6 buku karangan James Vander Zanden (Kamaruddin dan Siti Hajar, 1998), dalam
membincangkan tajuk Stratifikasi Sosial dan di sini diberikan keseluruhan rangka isi bab
tersebut:
Sistem Kelas Di Amerika (Tajuk utama dicetak dalam huruf tebal)
MENGENAL PASTI KELAS-KELAS MASYARAKAT (Tajuk kecil dicetak dalam huruf
besar)
Kaedah Yang Digunakan (Tajuk peringkat ketiga dicetak dalam huruf condong dan tebal)

Jadi berdasarkan bab di atas, Sistem Kelas Di Amerika merupakan pengenalan kepada
bab ini, manakala tajuk kecilnya Mengenal pasti Kelas Masyarakat boleh membawa kepada
soalan-soalan yang berikut:
1. Bagaimanakah kita mengenal pasti kelas masyarakat di Amerika?
2. Kaedah manakah yang dianggap paling sesuai atau sah?
Modul Membaca (Read)
Membaca isi bacaan dalam teks yang diperoleh dengan teliti. Pelajar tidak perlu mengambil nota
secara ekstensif. Sebaik-baiknya pelajar disarankan untuk cuba menjawab soalan-soalan yang
telah dibina. Pelajar juga digalakkan menambah soalan-soalan baru sekiranya perlu. Semasa
membaca, pelajar haruslah memberikan perhatian ke atas soalan yang sudah dibina. Bahagian-
bahagian dalam modul membaca tersebut:
1. Memberikan perhatian ke atas soalan yang sudah dibina.
2. Membaca teks dengan teliti.

Modul Mencatat (Record)
Modul mencatat sangat penting bagi merekodkan perkara penting berdasarkan tugasan yang
diberikan. Membuat catatan di tepi petikan bagi menyatakan semula isi. Sebagai contoh,
berpandukan bab Stratifikasi Sosial, maka di sini diberikan contoh ringkas untuk membuat
catatan ringkas atau rangka kasar petikan yang dibaca. Merujuk kepada Sistem kelas di
Amerika yang tercetak dalam huruf-huruf tebal sebagai tajuk utama, manakala tajuk kecil
dicetak dalam huruf condong dan tebal disini diberikan cara membuat catatan seperti yang
berikut:
I. Tajuk Utama (dicetak huruf tebal)
A. TAJUK KECIL (dicetak dalam huruf besar)
B. TAJUK KECIL
1. Tajuk Peringkat Kedua (dicetak huruf condong dan tebal)
2. Tajuk Peringkat Ketiga
II. Tajuk Utama
A. TAJUK KECIL dan seterusnya yang keempat
Walau bagaimanapun, sudah tentu tidak semua buku mempamerkan bahannya sama ada seperti
contoh di atas. Contohnya seperti berikut:
1. TAJUK UTAMA
a. Tajuk kecil
b. Tajuk kecil
2. TAJUK KEDUA
3. TAJUK KETIGA dan seterusnya keempat
Berikut diberi beberapa cadangan untuk menjadikan catatan yang dibuat mudah dan senang
difahami:
1. Catatan hendaklah ringkas.
2. Catatan berdasarkan skema organisasi yang diberi oleh pengarang seperti contoh yang
diberi di atas.
3. Gariskan kata kunci.
4. Gunakan kata istilah pengarang dan jangan mencipta kata sendiri.
5. Untuk menjimatkan masa gunakan kata singkatan seperti di bawah:
Infor- informasi
Prg- pengarang
Kes- kesusasteraan
Con- contoh
Org- orang
Pol- politik
Pend- pendidikan
Dsb dan sebagainya

Modul Menyatakan Kembali (Recite)
Langkah ini untuk mempraktikkan ingatan pelajar mengenai apa yang dibaca dengan cara
menyatakan idea-idea utama bahan bacaan, mengemukakan dan menjawab soalan sendiri.
Pelajar boleh menggunakan tajuk, kata kunci dan nota untuk membina soalan kepada diri sendiri.
Selain itu, seorang pelajar perlu menyatakan dalam bentuk lafaz berdasarkan catatan yang sudah
dibuat.

Modul Bayangan atau Gambaran (Reflect)
Berdasarkan modul bayangan atau gambaranpelajar akan cuba untuk memahami secara
bermakna maklumat yang dibaca dengan menghubungkannya dengan apa yang telah diketahui,
menghubungkan sub-topik dengan konsep dan prinsip sebelumnya, cuba menyelesaikan
maklumat yang berkonflik dalam teks dan cuba menggunakan maklumat yang dibaca untuk
menyelesaikan permasalahan yang dikemukakan dalam bahan bacaan (sekiranya ada). Pelajar
juga digalakkan untuk membuat catatan di tepi petikan bagi memberi panduan menyatakan
semula isi. Bahagian-bahagian dalam modul bayangan atau gambaran tersebut:
1. Adakah bahan tersebut jelas?
2. Baca semula bahagian yang kurang jelas.
3. Bahagian manakah yang sangat perlu diingat?
4. Baca semula bahagian manakah yang sangat bermakna kepada kita?

Modul SQ3R
Teknik membaca SQ3R merupakan teknik membaca yang merupakan asas kepada pembentukan
teknik membaca SQ4R. Oleh itu, modul SQ3R digunakan sebagai salah satu modul dalam
kajian. Modul SQ3R adalah teknik yang amat berkesan untuk pembelajaran bahasa. Langkah-
langkah membaca menggunakan modul SQ3R:
1. Lihat tajuk utama sepintas lalu bagi melihat idea keseluruhan.
2. Tukarkan tajuk utama menjadi soalan.
3. Baca keseluruhan bahagian bagi mendapatkan jawapan.
4. Selepas membaca petikan, susun idea dan isi penting dengan bimbingan guru.
5. Menyebut tajuk utama bagi setiap bahagian, perenggan melalui ingatan bagi menjawab
soalan.


Modul SQ4R
Modul kelapan iaitu modul SQ4R yang akan menggabungkan modul satu sehingga tujuh bagi
membuktikan keberkesanan modul yang diuji. Oleh hal demikian, modul SQ4R akan digunakan
sebagai modul terakhir bagi menguji keberkesanan modul SQ4R. Modul SQ4R berdasarkan
langkah-langkah berikut:
A. Meninjau
1. Tajuk bab.
2. Rangka kasar bab.
3. Pengenalan.
4. Tajuk utama dan subtajuk kecil.
5. Ringkasan bab.
6. Soalan ulang kaji.
B. Menyoal
1. Membentuk soalan daripada tajuk kecil dalam petikan.
2. Soalan bagi meninjau gambaran keseluruhan kandungan teks.
C. Membaca
1. Berikan perhatian ke atas soalan yang sudah dibina.
2. Membaca teks dengan teliti.
D. Mencatat
1. Membuat catatan ditepi petikan bagi memberi panduan menyatakan semula isi.
E. Menyatakan Kembali
1. Menyatakan dalam bentuk lisan berdasarkan catatan yang sudah dibuat.
F. Membuat bayangan/gambaran
1. Memikirkan cara menggunakan idea yang sudah dibaca.
2. Apabila tidak jelas, baca semula.
3. Bahagian mana yang tidak bermakna
4. Fikirkan juga hubungan antara bab.

2.7 Kesimpulan
Ringkasnya, dalam bab dua telah membincangkan bermula dari pengenalan sehinggalah modul
pengajaran teknik SQ4R. Segala maklumat ini juga akan digunakan untuk melanjutkan
perbincangan pada bab-bab seterusnya. Kupasan modul pengajaran dalam SQ4R adalah untuk
membantu seseorang itu mengetahui kesemua langkah dalam SQ4R yang dijalankan semasa
menguji tahap keberkesanan kemahiran membaca pelajar selama lapan minggu.



BAB 3


METODOLOGI KAJIAN



3.1 Pengenalan
Metodologi merupakan aspek yang perlu diberi perhatian bagi mendapatkan satu hasil kajian
yang baik dan boleh dipercayai. Hal ini bagi menjamin kaedah yang digunakan oleh penyelidik
dalam kajian ini adalah bersesuaian dengan pernyataan masalah yang digunakan di dalam kajian.
Menurut Aizi Yahaya , Shahrin Hashim, Jamaludin Ramli, Yusof Boon dan Abdul Rahim
Hamdan (2009) menyatakan bahawa metodologi penyelidikan memberi panduan dalam
pelaksanaan serta cara pelaksanaan penyelidikan. Hal ini jelas menyatakan bahawa metodologi
kajian merujuk kepada kaedah yang paling sesuai untuk menjalankan penyelidikan dan
menentukan tatacara yang efektif bagi menjawab permasalahan kajian.

Sebelum analisis data dilakukan, bahan kajian akan dijelaskan terlebih dahulu untuk
mendapatkan data daripada subjek. Metodologi dan prosedur utama yang terlibat dalam kajian
adalah menjurus kepada menjawab persoalan yang telah digagaskan pada fasa awal kajian. Di
samping mengemukakan metodologi dan prosedur utama kajian, pemilihan instrumen dan
sampel kajian akan turut dijustifikasikan agar generalisasi yang bakal dijana di akhir kajian
adalah bebas daripada ancaman kesahan luaran dalam bab ini. Dalam menjayakan perbincangan
tersebut, aspek-aspek utama yang akan dibincangkan adalah dimulakan dengan kerangka kajian.
Seterusnya disusuli dengan instrumentasi kajian dan diikuti dengan persampelan. Peringkat akhir
di dalam bab ini ialah proses pengumpulan data serta diikuti oleh analisis data.

3.2 Kerangka Kajian
Kajian ini merupakan kajian eksperimental yang menggunakan kaedah kuantitatif. Reka bentuk
kajian eksperimental ini dipilih untuk membolehkan penyelidik memahami secara mendalam
mengapa masih terdapat pelajar yang tidak memahami teks deskriptif untuk menjawab soalan
peperiksaan. Pernyataan masalah kajian menyatakan bahawa pelajar yang tidak mahir membaca
sukar untuk fahami teks deskriptif serta tahap keupayaan dan kecerdasan pelajar turut
mempengaruhi pelajar untuk memahami teks deskriptif tersebut. Kerangka kajian ini melibatkan
pengumpulan maklumat secara sistematik dan mendalam mengenai status sosial dan tahap
pencapaian bahasa Melayu menerusi pencapaian Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR).

Kajian dibuat berdasarkan pelajar dalam kalangan tingkatan dua sahaja dan dijalankan
selepas sesi persekolahan penggal kedua. Gerak kerja dimulakan dengan merancang projek,
menjalankan tinjauan literatur, reka bentuk kajian dan membina instrumen kajian. Selepas itu,
program intervensi iaitu, ujian pra, lapan modul pengajaran selama 8 minggu dan ujian pasca
dijalankan di dua buah sekolah yang dipilih pengkaji. Setelah data diperoleh, data kajian
dianalisis berdasarkan kualitatif dan kuantitatif. Seterusnya ialah peringkat gerak kerja terakhir,
iaitu proses penulisan laporan yang lengkap. Jadual perancangan gerak kerja dapat dilihat dengan
jelas seperti Jadual 3.1 di bawah.







Jadual 3.1: Perancangan Gerak Kerja
Tahun/ Bulan
Gerak Kerja
2012 2013
4 5 6 7 8 9 10 11 12 1 2 3 4 5
Merancang projek,
menjalankan tinjauan
literatur, reka bentuk
kajian dan membina
instrumen kajian.

Program intervensi
(Ujian pra, 8 modul
pengajaran dan ujian
pasca)

Analisis data kajian
(kualitatif dan kuantitatif)

Penulisan laporan kajian

Kerangka kajian yang dibuat berdasarkan teori membaca, iaitu kaedah SQ4R. Langkah-
langkah dalam teknik membaca SQ4R menjelaskan bahawa teknik ini merupakan salah satu
teknik membaca yang dapat membantu pelajar memahami teks sama ada deksriptif mahupun
naratif. Teknik membca SQ4R ini terdiri daripada tinjaun (survey), soalan (question), membaca
(read), mencatat (record), menyatakan kembali (recite) dan membuat bayangan atau gambaran
(review). Teknik ini digunakan untuk dijadikan modul pembelajaran bagi menyelesaikan
permasalahan kajian, iaitu masih terdapat pelajar yang tidak memahami teks deskriptif untuk
menjawab soalan peperiksaan.

Selepas pernyataan masalah awal tentang permasalahan dikenal pasti, iaitu pelajar yang
tidak mahir membaca sukar untuk fahami teks deskriptif serta tahap keupayaan dan kecerdasan
pelajar turut mempengaruhi pelajar untuk memahami teks deskriptif tersebut, ujian pra dilakukan
terlebih dahulu. Ujian pra ini bertujuan untuk membandingkan pencapaian pelajar sebelum
menggunakan kaedah SQ4R sebagai modul pengajaran yang akan dijalankan dengan pencapaian
ujian pasca, iaitu selepas 8 kali modul pengajaran berasaskan kaedah membaca SQ4R dijalankan.
Dapatan kajian diperoleh setelah selesai ketiga-tiga peringkat tersebut. Tahap-tahap pelaksanaan
kajian telah diringkaskan seperti dalam Rajah 3.1 di bawah.









Teori
-Kaedah SQ4R
Permasalahan
-Pelajar tidak mahir membaca dan sukar untuk
fahami teks
-Tahap keupayaan dan kecerdasan membaca
mempengaruhi pelajar untuk memahami teks
Dapatan
Kajian
Ujian Pra
Program Intervensi
(Kaedah Pengajaran)


Rajah 3.1: Proses Kajian

3.3 Pensampelan
Menurut Sabitha Marican (2005:91), teori pensampelan merupakan satu cara penyelidik
mendapatkan sampel yang mempunyai ciri-ciri perwakilan supaya hasil kajian daripada sampel
tersebut dapat dianalisis secara statistik. Tambahnya lagi, perwakilan ini merujuk kepada sejauh
mana sampel kajian itu menyerupai populasi berdasarkan ciri-ciri yang dikaji. Populasi di sini
bererti sekumpulan individu, kumpulan, organisasi atau komuniti yang hendak dikaji manakala,
sampel pula ialah sebahagian daripada populasi yang dipilih. Hal ini adalah kerana sesuatu
populasi itu terlalu besar dan agak sukar untuk dikaji semuanya. Oleh itu, sampel akan dipilih
untuk mewakili populasi tersebut.

Noraini (2010:112) turut menyatakan bahawa pensampelan merupakan proses memilih
kumpulan individu yang mewakili kumpulan besar untuk sesuatu penyelidikan. Menurutnya lagi,
pensampelan bertujuan untuk memperoleh sampel yang menggambarkan sesuatu populasi.
Tambah beliau, populasi jarang digunakan kerana hal ini memerlukan pergorbanan yang besar
dari segi wang ringgit, masa dan tenaga untuk memungut data dari populasi. Penjelasan ini sama
dengan Fraenkel & Wallen (2006) yang menyatakan bahawa pensampelan menjimatkan masa
terutama ketika memasukkan data ke dalam komputer adalah lebih cepat dan mudah jika
dibandingkan dengan populasi.Gambar rajah 3.2 di bawah dapat menerangkan perkaitan antara
populasi dengan sampel.
Ujian Pasca








Rajah 3.2: Perkaitan antara populasi dengan sampel

Kajian yang dijalankan ini menggunakan pensampelan mudah yang cenderung bagi
mewakili populasi yang dikaji. Pensampelan mudah (Convenience Sampling) menurut Noraini
Idris (2010: 120) merupakan kaedah memilih ahli sampel yang mudah diakses. Hal ini
bermaksud sampel yang dipilih merupakan sampel yang paling hampir atau mudah didapati oleh
penyelidik. Oleh itu, pensampelan mudah dipilih di dalam kajian ini kerana populasi dan juga
sampel yang akan dipilih merupakan tempat para pengkaji menjalani latihan mengajar selama
empat bulan, iaitu di dua buah sekolah. Sampel ini akan digunakan bagi memudahkan kajian
dilakukan kerana sampel yang dipilih itu kemungkinan besar terdiri daripada anak murid
pengkaji itu sendiri. Mereka sudah saling mengenali dan hal ini lebih memudahkan program
intervensi selama lapan minggu itu berjalan dengan lancar.
Populasi
Sampel
Kajian ini akan dijalankan di dua buah sekolah di sekitar Seremban, iaitu Sekolah
Menengah Kebangsaan Seri Ampangan (SMK Seri Ampangan) dan Sekolah Menengah
Kebangsaan Seri Pagi (SMK Seri Pagi). Kajian ini hanya melibatkan responden daripada
sebahagian pelajar tingkatan 2 sahaja yang merupakan sampel yang dipilih daripada populasi
dua buah sekolah tersebut. Setiap sekolah hanya memerlukan 25 orang pelajar sahaja dan
jumlahnya yang terlibat bagi kedua-dua buah sekolah ialah seramai 50 orang pelajar sahaja.

Responden yang diambil untuk menjalankan kajian mempunyai ciri-ciri heterogeneus,
iaitu terdiri daripada pelbagai keturunan, perbezaan jantina, status keluarga, bahasa pertuturan di
rumah dan tahap pencapaian akademik. Walau bagaimanapun, kajian ini turut dijalankan
mengikut ciri-ciri homogeneous, iaitu sampel juga dipilih kerana mempunyai ciri-ciri yang sama
seperti berada di dalam satu tingkatan yang sama, kawasan persekolahan yang sama dan aliran
bahasa di sekolah yang sama.

Di bawah ini terdapat sedikit latar belakang dua buah sekolah yang dipilih, iaitu SMK
Seri Ampangan dan SMK Seri Pagi. Kedua-dua buah sekolah ini berada di dalam Negeri
Sembilan. Jarak antara kedua-dua buah sekolah ini hanya lima kilometer sahaja. Hal ini
memudahkan para pengkaji menjalankan program intervensi ini nanti.


i. Latar Belakang SMK Seri Ampangan
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampangan diasaskan sebagai Sekolah Menengah Rendah
King George V yang kedua atau ringkasnya KGV 2 pada bulan Januari 1969. Pada 27 Oktober
1979 upacara perasmian sekolah telah dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Rais Yatim
selaku Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. Dengan perasmian tersebut, nama sekolah
inti telah bertukar daripada Sekolah Menengah King George V (2) kepada Sekolah Menengah
Seri Ampangan dengan pengetua barunya Encik Mohd Zain bin Rais. Sejak tarikh itu dan
peristiwa tersebut Sekolah Menengah Seri Ampangan tetap dengan namanya hingga sekarang.
SMK Seri Ampangan merupakan sebuah Sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Jalan
Kuala Pilah. Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Ampangan memiliki 953 pelajar lelaki dan
878 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 1831 orang serta
mempunyai 140 orang guru. Sekolah ini mempunyai dua sesi persekolahan, iaitu sesi pagi dan
sesi petang.

ii. Latar belakang SMK Seri Pagi
Sekolah ini telah dirasmikan pada 14 haribulan Jun 2003 oleh Yang Amat Berhormat Dato Seri
Utama Tan Sri Haji Mohamad Isa B Dato Haji Abdul Samad, bekas Menteri Besar Negeri
Sembilan Darul Khusus. Walau bagaimanapun, sekolah ini pernah membuat penukaran nama
dari Sekolah Menengah Senawang Dua ke Sekolah Menengah Seri Pagi pada 24 September
2005 yang dirasmikan pula oleh YAB Dato Seri Utama Hj. Mohamad Bin Hj Hasan, Menteri
Besar Negeri Sembilan Darul Khusus. Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pagi memiliki 887
pelajar lelaki dan 925 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 1812
orang serta mempunyai 108 orang guru. Sekolah ini turut mempunyai dua sesi persekolahan,
iaitu sesi pagi dan sesi petang.

Sampel yang diambil dari SMK Seri Ampangan terdiri daripada murid tingkatan dua sesi
petang, iaitu sampel dalam kalangan pencapaian akademik yang sederhana dan lemah. Manakala,
sampel dari SMK Seri Pagi pula terdiri daripada murid tingkatan dua sesi pagi, iaitu sampel
dalam kalangan pencapaian akademik yang sederhana dan tinggi. Melalui perbezaan tahap
pencapaian akademik ini, pengkaji dapat mengetahui sejauh mana keberkesanan model SQ4R
digunakan dalam memantapkan kefahaman membaca murid-murid.

3.4 Instrumentasi
Instrumen yang digunakan untuk mengumpul data kajian ini adalah terdiri daripada borang A
pada bahagian B, iaitu borang soal selidik dan borang B, iaitu bahan ujian (Ujian pra dan pasca)
seperti dalam Jadual 3.2. Walau bagaimanapun, latar belakang responden pada bahagian A,
Borang A turut diambil kira bagi mendapatkan dapatan kajian bab seterusnya.


Jadual 3.2: Bahan kajian
Objektif Bahan Kajian
1. Mengenal pasti perbezaan dalam
pencapaian pelajar antara ujian pra
dengan ujian pasca setelah menjalani
Borang B (Ujian Pra dan Ujian Pasca)
pengajaran menggunakan teknik SQ4R.

2. Mengenal pasti persepsi pelajar
terhadap kecenderungan mereka untuk
menjawab soalan objektif dan subjektif.
Borang A (Bahagian B)
3. Mengenal pasti pengetahuan pelajar
tentang teknik membaca.
Borang A (Bahagian B)


i. Bahan Kajian bagi Objektif Pertama
Borang B pula terdiri daripada bahan ujian, iaitu ujian pra dan ujian pasca seperti yang terdapat
pada lampiran. Ujian pra ini dilakukan sebelum lapan modul pengajaran diajarkan kepada
responden. Ujian ini bertujuan untuk membuat perbandingan dengan ujian pasca nanti. Ujian
pasca pula dilakukan selepas tamat kelapan-lapan modul pengajaran yang dirancang dalam
kajian ini. Soalan yang akan diuji pada ujian pra dan ujian pasca nanti mengandungi soalan
berbentuk rumusan dan 3 soalan pemahaman. Berdasarkan teks untuk membuat rumusan,
responden perlu membaca teks deskriptif untuk menjawab soalan-soalan yang akan diberikan di
dalam jangka masa yang akan ditetapkan, iaitu selama 30 minit untuk membuat soalan (i) yang
berkaitan dengan rumusan dan 10 minit untuk menjawab soalan (ii) yang berkaitan dengan
pemahaman.
Jenis soalan berbentuk rumusan dipilih untuk ujian pra dan ujian pasca kerana bagi
menjawab soalan rumusan, pelajar perlu membaca dahulu petikan teks deskriptif untuk mencari
isi-isi yang diperlukan di dalam rumusan tersebut. Tambahan pula, bagi soalan pemahaman juga
memerlukan pelajar memahami teks tersebut untuk menjawab 3 soalan di bahagian ini. Kedua-
dua jenis soalan ini memerlukan pelajar memahami teks untuk menjawab soalan. Oleh itu,
disinilah keberkesanan SQ4R itu hendak diuji apabila perbezaan markah yang diperoleh
daripada ujian pra dengan ujian pasca di mana ujian pra dilakukan sebelum teknik SQ4R itu
diperkenalkan, manakala ujian pasca dilakukan selepas teknik SQ4R dipraktikkan semasa 8
minggu modul pengajaran berdasarkan teknik tersebut dijalankan.

Sebelum ujian pra dan pasca ini dilaksanakan, pengkaji terlebih dahulu merujuk soalan-
soalan tersebut kepada guru pakar bahasa Melayu agar sesuai dengan aras dan tahap pelajar
tingkatan dua. Guru pakar tersebut merupakan Ketua Bidang Bahasa SMK Tinggi Batu Pahat,
Johor, iaitu Puan Zaharah binti Mohamad. Guru pakar tersebut merupakan guru yang
berpengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu serta beliau juga pernah
menjadi penanda kertas peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) Sijil Peperiksaan
Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Selain itu, guru pakar tersebut
juga membimbing pengkaji dalam skema pemarkahan bagi penandaan ujian pra dan pasca. Bukti
pengkaji telah merujuk soalan-soalan tersebut dapat dilihat pada lampiran A.

ii. Bahan Kajian bagi Objektif Kedua dan Ketiga

Borang soal selidik ini akan dibuat ujian rintis atau ujian teknik terlebih dahulu. Hal ini adalah
kerana menurut Asmah (2006), ujian ini bertujuan untuk melihat sama ada soalan-soalan yang
digubal itu mudah difahami dengan baik, tiada kekaburan atau pertindihan maklumat. Melalui
ujian ini, soalan-soalan yang tidak sesuai akan diubah dan dibaiki semula mengikut kesesuaian
responden.

Borang A ini merupakan borang soal selidik yang terbahagi kepada dua bahagian, iaitu
Bahagian A dan Bahagian B seperti di dalam lampiran. Bahagian A merupakan soal selidik
tentang latar belakang pelajar seperti nama pelajar, nama sekolah, alamat tempat tinggal semasa,
umur, jantina, status keluarga, keturunan, bahasa pertuturan di rumah dan pencapaian Bahasa
Melayu. Manakala, Bahagian B pula terdiri daripada persepsi pelajar terhadap aspek yang dikaji
dengan menggunakan borang soal selidik. Soal selidik ini menggunakan skala likert lima, iaitu
satu (sangat tidak setuju) sehingga lima (sangat setuju).

Bahagian B ini juga terbahagi kepada dua kategori, iaitu berkaitan persepsi pelajar
terhadap kecenderungan mereka untuk menjawab soalan objektif atau subjektif dan pengetahuan
pelajar terhadap teknik membaca. Soal selidik mengenai persepsi pelajar terhadap
kecenderungan mereka untuk menjawab soalan objektif atau subjektif ini merupakan dapatan
kajian yang diperoleh untuk objektif kedua. Manakala, soal selidik mengenai pengetahuan
pelajar tentang teknik membaca pula merupakan dapatan kajian yang diperoleh untuk objektif
ketiga.

Soalan-soalan soal selidik yang digubal merupakan soalan yang mudah difahami oleh
pelajar tingkatan dua. Oleh itu, masa yang ditetapkan untuk responden menjawab soalan tidak
perlu begitu lama. Masa yang akan diambil untuk responden menjawab soalan adalah sekitar 15
sehingga 20 minit sahaja. Contoh borang A dapat dilihat pada lampiran C

3.5 Kajian Rintis
Kajian rintis ini telah dijalankan antara bulan Februari 2013 hingga akhir bulan Mac 2013 dalam
usaha untuk mengenal pasti perkaitan penjelasan soalan-soalan, makna yang jelas dan terma,
masa yang diambil untuk menjawab semua soalan dan untuk menguji kebolehpercayaan ukuran
dalaman. Sampel kajian rintis terdiri daripada 25 responden yang terdiri daripada 50 soal selidik
dengan kadar tindak balas purata 50 peratus. Jumlah ini diterima untuk tujuan satu kajian rintis
oleh Emory dan Cooper (Anis Fadzlin, 2011),apabila mereka mencadangkan bahawa responden
yang terdiri 25 hingga 100 adalah sesuai. Semua data dianalisis dengan perisian SPSS 17.0.
Maklumat umum daripada responden ditunjukkan dalam Jadual 3.3.


Jadual 3.3: Latar belakang responden (N=25)
Item Frekuensi Peratus
Sekolah
SMKSA 14 56.0
SMKSP 11 44.0
Kawasan
Bandar
Pinggir Bandar
Kampung
J antina

11
11
3

44.0
44.0
12.0

Lelaki 14 56.0
Perempuan 11 44.0
Keturunan
Melayu
Cina
16
3
64.0
12.0
India 5 20.0
Lain-lain 1 4.0
Pekerjaan Bapa
Kerajaan 7 28.0
Swasta 9 36.0
Bekerja Sendiri
Tidak Bekerja
8
1
32.0
4.0
Pekerjaan I bu
Kerajaan 4 16.0
Swasta 5 20.0
Tidak Bekerja 16 64.0
Bahasa
Melayu 16 64.0
Cina 3 12.0
Tamil 4 16.0
Lain-lain 2 8.0
Pencapaian


A 18 72.0
B 5 20.0
C 1 4.0
D 1 4.0




Dalam usaha untuk menguji kebolehpercayaan dalaman, penyelidik menggunakan
kebolehpercayaan membina soal selidik melalui langkah Cronbach Alfa. Keputusan ujian
kebolehpercayaan instrumen pandangan pelajar terhadap teknik SQ4R ditunjukkan dalam Jadual
3.4. Cronbach Alfa dalam kajian ini ialah 0.907 dan berada pada tahap yang cemerlang.


Jadual 3.4: Statistik Kebolehpercayaan
Cronbach's Alpha
Cronbach's Alpha Based on
Standardized Items N of Items
.907 .906 16


Kebolehpercayaan terhadap keputusan ujian pra dan pasca bagi kajian rintis boleh dirujuk
seperti dalam Jadual 3.5.

Jadual 3.5: Keputusan Ujian Pra dan Pasca Bagi Kajian Rintis (N = 25 )
Skala Pra Pasca
Frekuensi Peratus Frekuensi Peratus
1-5 2 8.0 0 0
6-10 2 8.0 0 0
11-15 5 20.0 20 8.0
16-20 2 8.0 1 4.0
21-25 6 24.0 7 28.0
26-30 8 32.0 15 60.0


3.6 Proses Pengumpulan Data
Proses pengumpulan data bagi kajian ini terdiri daripada borang A pada bahagian B, iaitu borang
soal selidik dan borang B, iaitu bahan ujian (ujian pra dan pasca) seperti dalam Jadual 3.6. Walau
bagaimanapun, latar belakang responden pada bahagian A, Borang A turut diambil kira bagi
mendapatkan dapatan kajian bab seterusnya.Bahagian A merupakan soal selidik tentang biodata
pelajar seperti nama pelajar, nama sekolah, alamat tempat tinggal semasa, umur, jantina, status
keluarga, keturunan, bahasa pertuturan dirumah, dan pencapaian bahasa Melayu. Bahagian A ini
akan diedarkan dan dikutip semula sebelum ujian pra dilakukan oleh para pengkaji setiap
sekolah.

Jadual 3.6: Proses Pengumpulan Data
Objektif Proses Pengumpulan Data
1. Mengenal pasti perbezaan dalam
pencapaian pelajar antara ujian pra
dengan ujian pasca setelah menjalani
pengajaran menggunakan teknik SQ4R.
Pencapaian ujian pra dan pasca
2. Mengenal pasti persepsi pelajar
terhadap kecenderungan mereka untuk
menjawab soalan objektif dan subjektif.
Borang soal selidik (soalan satu hingga
sepuluh)
3. Mengenal pasti pengetahuan pelajar
tentang teknik membaca.
Borang soal selidik (soalan sebelas hingga
enam belas)



i. Proses Pengumpulan Data bagi Objektif Pertama
Bagi objektif pertama, proses pengumpulan data melibatkan borang B yang terdiri daripada
bahan ujian, iaitu ujian pra dan ujian pasca. Ujian pra ini dilakukan sebelum lapan teknik
pengajaran diajarkan kepada responden. Ujian ini bertujuan untuk membuat perbandingan
pencapaian dengan ujian pasca nanti. Ujian pra ini dilakukan sebelum lapan modul pengajaran
diajarkan kepada responden iaitu pada minggu kedua (2 hingga 6 Julai 2012). Ujian pra
dilaksanakan secara konvensional kepada para pelajar, iaitu mereka diuji tanpa diberi
pendedahan teknik membaca SQ4R.

Ujian ini bertujuan untuk membuat perbandingan dengan ujian pasca. Ujian pasca pula
dilakukan selepas tamat kelapan-lapan modul membaca SQ4R yang dirancang dalam kajian ini.
Kelapan-lapan teknik SQ4R ini dilaksanakan selama lapan minggu selepas tamatnya ujian pra.
Hal ini demikian kerana, para pelajar mudah mengaplikasikan modul SQ4R yang telah dipelajari
semasa menjalani ujian pasca. Soalan yang akan diuji pada ujian pra dan ujian pasca
mengandungi soalan membuat rumusan dan tiga soalan pemahaman berdasarkan teks membuat
rumusan tersebut. Hal ini demikian kerana ujian ini melibatkan responden membaca teks
deskriptif agar difahami untuk menjawab soalan-soalan yang akan diberikan di dalam jangka
masa yang akan ditetapkan selama 30 minit untuk membuat soalan (i) yang berkaitan dengan
rumusan dan 10 minit untuk menjawab soalan (ii) yang berkaitan dengan pemahaman.

Kertas soalan yang dikutip daripada responden akan ditanda mengikut skema penandaan
Ringkasan dan Pemahaman PMR daripada Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan
Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia (2012). Skema penandaan ini dapat
dirujuk seperti di dalam lampiran A.Pengkaji telah membahagikan pemarkahan kepada lima
skala pemarkahan, iaitu skala markah 1 hingga 5, skala markah 6 hingga 10, skala markah 11
hingga 15, skala markah 16 hingga 20, skala markah 21 hingga 25 dan skala markah 26 hingga
30. Pembahagian pemarkahan ini dilakukakan bagi memudahkan pengkaji menganalisis data.

ii. Proses Pengumpulan Data bagi Objektif Kedua dan Ketiga
Proses pengumpulan data bagi objektif kedua pula diperoleh daripada borang A dalam bahagian
B daripada soalan satu sehingga soalan sepuluh yang menunjukkan persepsi pelajar terhadap
kecenderungan mereka untuk menjawab soalan objektif atau subjektif yang dikaji dengan
menggunakan soal selidik. Proses pengumpulan data bagi objektif ketiga pula melibatkan
bahagian A daripada soalan sebelas sehingga soalan enam belas yang menunjukkan pengetahuan
pelajar terhadap minat membaca. Pelajar dikehendaki membuat pilihan berdasarkan kepada
tahap persetujuan mereka dengan menggunakan skala likert lima. Oleh yang demikian tahap
persetujuan adalah merangkumi lima peringkat daripada skor satu hingga lima, iaitu sangat tidak
setuju, kurang setuju, sederhana, setuju dan sangat setuju (Rosni Zamuddin Shah & Siti Fatihah,
2010).

Data soal selidik yang diperoleh akan dianalisis menggunakan statistik deskriptif tahap
nilai min, iaitu dari skala min 0.01 hingga 1.00 (sangat rendah), 1.01 hingga 2.00 (rendah), 2.01
hingga 3.00 (sederhana), 3.01 hingga 4.00 (tinggi) dan 4.01 hingga 5.00 (sangat tinggi). Statistik
ini telah berjaya digunakan oleh Anis Fadzlin (2011). Bahagian B ini juga akan diberikan kepada
pelajar selepas tamat 8 modul pengajaran dan Ujian Pasca dijalankan. Setiap pengkaji dua buah
sekolah tersebut akan bertanggungjawab untuk memastikan Borang A ini diisi oleh pelajar dan
dikutip semula untuk dianalisis.

3.7 Kesahan dan Kebolehpercayaan Instrumen
Menurut Chua dalam (Anis Fadzlin, 2011), kebolehpercayaan dalam sesuatu penyelidikan
merujuk kepada keupayaan sesuatu kajian untuk memperoleh nilai yang serupa apabila
pengukuran yang sama diulangi. Jika pengukuran pada kali kedua dan seterusnya adalah serupa
maka kajian dikatakan mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi.


Jadual 3.7: Jadual Cronbachs Alpha
Cronbach's alpha Kosistensi Dalaman
0.9 Cemerlang
0.8 < 0.9 Baik
0.7 < 0.8 Diterima
0.6 < 0.7 Dipersoalkan
0.5 < 0.6 Lemah
< 0.5 Tidak diterima


Kebolehpercayaan instrumen bagi kajian rintis ini telah ditentukan dengan menggunakan
Cronbachs Alpha dalam perisian Statistical Package for The Social Sciences (SPSS) versi 17.
Berdasarkan jadual 3.7 , keputusan analisis Cronbachs Alpha menunjukkan instrumen
pandangan pelajar terhadap teknik SQ4R berada pada paras 0.907 (cemerlang).

3.8 Analisis Data
Data- data yang dianalisis dalam kajian ini menggunakan program Statistical Package for Sosial
Science versi 17.0. (SPSS 17.0). Data akhir yang diperoleh perlu dianalisis sama ada
menggunakan data berbentuk kuantitatif, iaitu borang soal selidik yang terdapat pada Borang A
dan menggunakan statistik deskriptif. Data deskriptif ini digunakan untuk menjelaskan fenomena
yang berkaitan dengan sesuatu populasi kajian atau untuk membuat anggaran terhadap populasi
yang mempunyai ciri-ciri tertentu. Selain itu data statistik deskriptif ini diperoleh melalui
respons daripada responden yang mengikuti kajian ini, iaitu dengan melalui ujian persepsi yang
terdapat pada Bahagian B (soal selidik) di Borang A. Jadual analisis Borang A (Bahagian B)
boleh dilihat pada lampiran.

Dalam menganalisis data ini, data berbentuk kualitatif turut dianalisis. Data kualitatif
dianalisis berdasarkan pembinaan bahan modul pengajaran itu sendiri, iaitu berasaskan langkah-
langkah menurut kaedah membaca SQ4R. Data ini boleh dianalisis berdasarkan Ujian Pra dan
Pasca. Selain itu, perbezaan markah antara Ujian Pra dan Pasca juga dianalisis dengan
menggunakan jadual analisis yang dibuat seperti di dalam lampiran untuk melihat keberkesanan
8 modul yang dijalankan.

Terdapat juga jadual analisis berdasarkan Pencapaian Ujian Pra dengan Pasca , Perbezaan
tahap pencapaian Soalan (i); Perbezaan tahap pencapaian Soalan (ii), soalan 1; Perbezaan tahap
pencapaian Soalan (ii), soalan 2; dan Perbezaan tahap pencapaian Soalan (ii), soalan 3. Semakin
meningkat pencapaian para pelajar pada Ujian Pasca, maka berjayalah kaedah SQ4R ini
digunakan bagi para pelajar memahami teks deskriptif. Bagi jadual-jadual analisis pencapaian
Ujian Pra dan Ujian Pasca dikira mengikut kaedah menanda kertas peperiksaan seperti di dalam
lampiran.

3.9 Kesimpulan
Secara kesimpulannya, bab 3 ini menceritakan prosedur utama yang terlibat dalam kajian yang
dijalankan ini terutama bahagian yang berkaitan bahan dan instrumen kajian. Setiap langkah
yang dirancang ini penting kerana langkah-langkah inilah yang memastikan keberhasilan dapatan
kajian.