Anda di halaman 1dari 5

NAZIRUL AZRI BIN AHMAD JAMEL M20131000920

TEORI PEMBELAJARAN SOSIAL



Teori ini diasaskan oleh Albert Bandura pada tahun 1986 melalui tulisannya dalam
buku yang bertajuk Social Foundations of Thought and Action yang menerangkan kerangka
Kognitif Sosial. Menurut Mazhab Sosial, pembelajaran boleh berlaku dalam konteks sosial
iaitu manusia belajar daripada orang lain yang terdapat di sekitarnya dengan memerhati
tingkah laku orang lain dalam kehidupan seharian.

Menurut teori kognitif sosial, latar belakang kebudayaan seseorang individu
merupakan faktor utama dalam pembentukan tingkah lakunya. Bandura mengatakan bahawa
pembelajaran secara peniruan melibatkan tiga unsur iaitu individu (kognitif), persekitaran dan
tingkah laku itu sendiri (Ormrod, 2008). Individu yang meniru tingkah laku orang lain,
menjadikan orang yang ditiru itu sebagai model. Terdapat dua model iaitu model
sebenar/hidup dan model simbolik. Melalui model sebenar, kita belajar melalui orang yang
sebenar. Manakala model simbolik dapat dilihat menerusi video, lakonan watak dalam cerita
atau rajah.

2 Jenis Pembelajaran Melalui Pemerhatian

Pembelajaran melalui pemerhatian juga berlaku melalui pemberian peneguhan dan
ganjaran. Ini berlaku apabila kita mengubah tingkah laku setelah melihat orang lain diberi
ganjaran atau denda untuk tindakan tertentu. Contohnya, sekiranya kita memuji dua orang
murid kerana rajin dan tekun membuat latihan di dalam kelas maka murid-murid yang
memerhatikannya mungkin akan berubah tingkah laku dengan membuat kerja dengan lebih
tekun pada masa akan datang. Begitu juga dengan denda. Contohnya, selepas melihat
beberapa orang mendapat saman kerana memandu dengan laju, kita juga akan mengurangkan
had kelajuan semasa memandu.

Pembelajaran pemerhatian yang seterusnya ialah pemerhati meniru tingkah laku
model walaupun model tersebut tidak menerima sebarang peneguhan atau denda semasa
diperhatikan oleh pemerhati. Selalunya model menunjukkan sesuatu yang hendak
dipelajarinya oleh pemerhati dan mengharapkan peneguhan apabila dapat menguasainya.
Contohnya pensyarah Muzik bermain piano dengan teknik penjarian yang betul dan lembut
NAZIRUL AZRI BIN AHMAD JAMEL M20131000920
sehingga menimbulkan rasa kagum pada diri pemerhati. Peniruan berlaku apabila pemerhati
hanya mahu menjadi seperti model yang dikaguminya.

Prinsip Pembelajaran Melalui Pemerhatian/ Permodelan

Eksperimen yang dilakukan oleh Bandura adalah pembentukan sesebuah tingkah laku
yang boleh berlaku melalui beberapa cara iaitu:

1. Peniruan secara langsung
Peniruan berlaku apabila kanak-kanak melihat model orang lain melakukan sesuatu
atau secara tidak langsung iaitu dengan menonton filem, video, mendengar huraian atau
melihat gambar foto. Contohnya, kanak-kanak meniru guru Pendidikan Jasmani mengelecek
bola.

2. Peniruan secara tidak langsung
Peniruan berlaku apabila kanak-kanak berimaginasi atau melalui pemerhatiannya.
Contohnya, kanak-kanak meniru watak kartun Ninja Turtle dengan melakukan lompatan ke
sana sini dalam kelas Pendidikan Jasmani.


3. Peniruan gabungan
Peniruan ini dilakukan dengan melakukan beberapa tingkahlaku yang berlainan.
Contohnya, murid meniru gaya guru sukan memukul bola Sofbol dan gaya pemain Sofbol
antarabangsa.

4. Peniruan melalui sekatlakuan dan tak sekatlakuan
Sekatlakuan merupakan sekatan tingkah laku yang sesuai di dalam situasi A tetapi
tidak sesuai dalam situasi B. Ini bermakna tindakan tersebut boleh dilakukan dalam situasi
tertentu sahaja. Contohnya, murid yang boleh bersorak-sorak dan berlari-lari di padang tidak
melakukannya di dalam bilik darjah kerana jika mereka melakukannya semasa guru
mengajar, sudah pasti guru akan memarahi dan memberi tahu perlakuan yang dilakukan tidak
dibenarkan dilakukan di dalam kelas.

NAZIRUL AZRI BIN AHMAD JAMEL M20131000920
Murid-murid juga meniru melalui tak sekatlakuan. Ini bermakna murid-murid akan
terus meniru sesuatu amalan di dalam mana-mana situasi. Contohnya, tutur kata dan tingkah
laku yang sopan boleh diamalkan di mana-mana sahaja sama ada di rumah, sekolah dan
sebagainya.

5. Peniruan melalui elisitasi
Peniruan ini melibatkan emosi dan keinginan. Proses ini timbul apabila seseorang
melihat perubahan pada orang lain sehingga timbul keinginan untuk melakukan perkara yang
sama seperti yang dilihatnya. Contohnya, seorang kanak-kanak melihat rakannya melukis
bunga dan timbul keinginan dalam diri kanak-kanak tersebut untuk melukis bunga. Oleh itu,
peniruan berlaku apabila kanak-kanak tersebut melihat rakannya melukis bunga (Ramlah
Jantan & Mahani Razali, 2004).

Langkah Pembelajaran Peniruan

1) Pemerhatian
Menurut Bandura dan Walters (1963) dalam buku mereka "Sosial Learning &
Personality Development", hanya dengan memerhati seorang lain pembelajaran boleh
berlaku. Pemerhati harus memberi tumpuan kepada tingkahlaku model untuk
membolehkannya mempelajari sesuatu dengan menggunakan anggota derianya. Pemerhatian
boleh dilakukan dengan memberi perhatian atau tumpuan kepada nilai, harga diri, sikap, dan
lain-lain yang dimiliki. Contohnya, seorang pemain muzik yang tidak yakin diri mungkin
meniru tingkahlaku pemain muzik terkenal sehingga tidak mewujudkan stailnya yang
tersendiri.

2) Penyimpanan dalam ingatan
Pemerhati harus menyimpan peristiwa yang diperhatikannya dalam sistem ingatannya
dalam pelbagai cara seperti dalam bentuk koding, grafik mental, simbolik dan sebagainya. Ini
membolehkan pemerhati melakukan tingkah laku yang ingin ditiru pada waktu lain.

3) Reproduksi
Setelah berlakunya penyimpanan maklumat, tingkah laku dan kemahiran yang
disimpan akan dikeluarkan dalam bentuk tingkahlaku. Sekiranya kerap membuat latihan
meniru tingkah laku model, seseorang akan berupaya melakukan tingkah laku yang hampir
NAZIRUL AZRI BIN AHMAD JAMEL M20131000920
sama dengan model yang dilihatnya. Contohnya, murid melakukan aktiviti menghantar dan
menyambut bola secara berpasangan. Pada mulanya, kemahiran tersebut tidaklah sebaik
tingkah laku model. Tetapi setelah kerap membuat latihan, murid tersebut sudah boleh
melakukan aktiviti tersebut dengan baik seperti modelnya.

4) Peneguhan dan motivasi
Seseorang yang melakukan peniruan mungkin disebabkan oleh faktor-faktor
motivasi seperti intensif atau ganjaran. Setelah mendapat peneguhan atau motivasi daripada
orang lain atau disebabkan perasaan gembira dan berjaya, individu tersebut akan terus
mengulangi tingkah laku tersebut. Contohnya, setelah mendapat pujian atau ganjaran
daripada guru atau rakan-rakan, kemahiran menghantar bola dan menyambut bola seseorang
akan menjadi lebih mahir dan cekap seterusnya berkeinginan untuk bermain bola jaring.
Murid lain yang melihatnya juga akan bermotivasi apabila melihat murid tersebut mendapat
pujian hasil daripada tingkah laku yang ditunjukkannya.

Implikasi Teori Pembelajaran Bandura Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran

Guru perlu memastikan setiap orang murid berpeluang untuk memerhati dan
mencontohi pelbagai jenis model yang menunjukkan tingkah laku yang diingini. Oleh itu,
kita hendaklah memastikan bahawa kita sendiri boleh menunjukkan tingkahlaku yang boleh
dicontohi serta memaklumkan kepada anak murid tentang kesan sesuatu tingkahlaku yang
tidak bermoral.

Guru juga mestilah mempunyai kemahiran komunikasi agar setiap kali sesi
demonstrasi pembelajaran di dalam kelas, murid dapat mendengar penerangan kita dengan
jelas, dapat difahami dan dapat diikuti oleh murid dengan mudah dan tepat. Contohnya, jika
guru mengajar cara-cara untuk menghasilkan lukisan, guru mestilah menerangkan dahulu
langkah-langkahnya agar dapat diikuti oleh murid secara mudah.

Semasa proses pengajaran dan pembelajaran, guru perlu menyemai nilai-nilai murni
dan sentiasa menggunakan psikologi untuk membentuk murid ke arah yang lebih proaktif dan
produktif. Contohnya, guru boleh membuat aktiviti seperti kuiz, teka-teki, bercerita dan
bertanyakan pelbagai soalan yang mencabar minda kepada murid agar kemahiran kognitif
NAZIRUL AZRI BIN AHMAD JAMEL M20131000920
mereka dapat berkembang secara berterusan. Dengan ini, murid dapat berimaginasi dan
seterusnya dapat memikirkan idea-idea baharu dan bernas sesuai dengan tahap mereka.

Guru juga boleh membawa bahan bantu mengajar atau contoh-contoh yang berkenaan
dengan apa yang dipelajari di dalam kelas agar murid dapat melihat secara terus dan
seterusnya lebih memahami dengan apa yang diajar oleh gurunya. Contohnya, guru yang
ingin mengajar tanaman hidroponik dalam matapelajaran Kemahiran Hidup boleh membuat
bahan separa maujud seperti Rumah Pelindung Hujan.

Guru juga boleh memanggil seorang murid agar menjadi contoh kepada murid lain
berdasarkan kerjanya yang bagus ataupun untuk membuat demonstrasi mengenai hasil kerja
terbaik yang dihasilkannya itu. Dengan ini, murid boleh belajar daripada rakan-rakan dan
meniru idea-idea yang berkualiti yang terdapat dalam kerja-kerja mereka.

Seterusnya, kita sebagai guru perlu memastikan dan berusaha menyediakan
persekitaran sosial yang kondusif dengan memberi insentif, peneguhan dan sokongan moral
kepada murid-murid secara berterusan bagi menggalakkan berlakunya tingkahlaku yang baik
dalam kalangan murid-murid pada masa kini.

Anda mungkin juga menyukai