Anda di halaman 1dari 6

Adat kematian kaun Bisaya.

Persediaan Sebelum Berlakunya Kematian



Sekiranya terdapat ahli dalam sesebuah keluarga jatuh sakit dan semakin tenat dalam
jangka masa yang lama serta didapati tidak mempunyai harapan untuk sembuh lagi,
maka kaum keluarga si pesakit akan membuat persediaan untuk menghadapi keadaan
ini. Langkah pertama yang dilakukan adalah dengan memaklumkan kepada semua
ahli keluarga keadaan pesakit. Segala permintaan orang yang sakit tenat ini juga mesti
ditunaikan oleh ahli keluarganya bagi menyenangkan hati pesakit dan sebagai tanda
kasih sayang kaum keluarganya pada saat-saat akhir hayatnya. Seboleh-bolehnya, ahli
keluarga terdekat akan dipanggil berhimpun di rumah pesakit dan mereka digalakkan
untuk memohon kemaafan daripada pesakit dan memaafkan juga segala kesalahannya
jika ada. Ahli keluarga terdekat akan membisikkan di telinga pesakit bahawa mereka
merelakannya pergi dengan aman. Masyarakat Bisaya tradisional percaya sekiranya
ada dalam kalangan ahli keluarga yang tidak reda dengan keadaan pesakit, maka hal
ini mengganggu dan melambatkan dia menghembuskan nafas terakhir. Apabila
pesakit sudah nazak, segala haiwan peliharaan seperti burung yang di kurung di dalam
sangkar, sama ada di dalam atau di bawah rumah mesti dilepaskan kerana dipercayai
memudahkan pesakit menghembuskan nafas terakhir.

Kaedah Memaklumkan Berlakunya Kematian

Apabila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga, jiran terdekat akan dimaklumkan
terlebih dahulu, kemudian diikuti penduduk kampung yang lain. Salah seorang
daripada penduduk kampung akan memalu beduk di masjid atau surau yang
berdekatan sebagai memaklumkan kepada penduduk kampung bahawa adanya
kematian dalam kampung tersebut. Beduk tersebut dipalu secara perlahan-lahan dan
bunyi paluan itu disebut bunyi Kokor. Setelah mendengar bunyi Kokor itu, berita
tentang kematian atau dikenali sebagai Nasusaan akan cepat tersebar di seluruh
pelosok kampung dan daerah. Sejurus mendengar berita kematian, penduduk
kampung akan menziarahi keluarga si mati sebagai tanda simpati dan mereka
biasanya menghulurkan pelbagai bantuan, sama ada dalam bentuk wang ringgit atau
sumbangan tenaga seperti membantu menggali kubur dan membantu kerja-kerja yang
perlu dilakukan di rumah arwah.
Masyarakat Bisaya tradisional juga sangat percaya kepada alamat berlakunya
sesuatu musibah seperti kematian, walaupun mereka belum mendapat makluman
tentang kematian tersebut. Misalnya apabila mereka mendengar bunyi burung yang
disebut sebagai burung Bibiyou atau Uwit-uwit yang mendatangi mereka dalam jarak
yang sangat dekat. Mereka mempercayai burung itu sebenarnya ingin memaklumkan
kematian saudara yang terdekat. Begitu juga apabila bermimpi gigi mereka patah,
turut membawa makna akan berlaku kematian dalam jangka masa terdekat dan jika
kelopak mata sebelah bawah sentiasa berdenyut-denyut juga dianggap membawa
tanda tidak baik, iaitu akan berlaku perkara yang menyedihkan hati mereka. Mereka
biasanya bersiap sedia menghadapi kenyataan jika musibah berlaku setelah mendapat
alamat yang tidak baik ini. Ada juga dalam kalangan ahli keluarga yang mendapat
mimpi buruk ini berusaha untuk cuba menolak musibah yang bakal dihadapi. Mereka
memberikan Sedekah Idup kepada orang yang dipercayai mempunyai ilmu agama
untuk berdoa agar mereka terlepas daripada segala perkara yang buruk. Barang-
barang yang disediakan untuk Sedekah Idup ini terdiri daripada beras (anggaran
setengah cupak) dan wang ringgit yang jumlahnya terpulang kepada keikhlasan
mereka. Wang tersebut akan dibungkus dengan kertas dan diletakkan di dalam beras.

Tindakan Awal Setelah Berlakunya Kematian

Setelah berlaku kematian, ahli keluarga dilarang menunjukkan kesedihan dengan
tangisan yang kuat. Tubuh jenazah akan dibersihkan terlebih dahulu oleh ahli
keluarga terdekat sebelum jenazah dimandikan. Segala barang perhiasan yang dipakai
ditanggalkan dan tubuh jenazah ditutup dengan kain batik lepas bagi jenazah wanita
dan kain pelekat yang tidak dijahit bagi jenazah lelaki. Selepas itu, jenazah akan
ditutupi Sangkap-sangkap, iaitu penutup usungan yang ditutupi kain batik atau kain
yang ditulis dengan ayat-ayat suci al-Quran. Jenazah akan diletakkan di tengah-tengah
bilik. Kemenyan akan dibakar di dalam bekas menyimpan kemenyan yang disebut
Pabaraan, dan diletakkan berdekatan dengan kepala jenazah. Isteri atau anak arwah
akan menjaga supaya api kemenyan itu sentiasa hidup dan mengeluarkan bau. Kaum
keluarga serta orang ramai diberi peluang untuk memasuki bilik berkenaan secara
bergilir-gilir untuk membaca surah Yasin atau bertemu dengan waris arwah bagi
menyampaikan ucapan takziah dan sedekah. Walau bagaimanapun, wanita yang
sedang mengandung dilarang mendekati jenazah apatah lagi menyentuhnya kerana
dipercayai akan menyebabkan "terkenan", iaitu akan mendapat penyakit yang disebut
sebagai Paing Bangkai setelah anak tersebut dilahirkan. Kanak-kanak yang
menghidapi penyakit tersebut biasanya akan sentiasa menangis dan mudah jatuh sakit
ketika berlaku kematian dalam kalangan anggota keluarga dan jiran-jiran sekampung.
Oleh sebab itu, wanita yang mengandung hanya boleh memandang jenazah dari jauh
dan dilarang turut serta menghantar jenazah ke kuburan. Haiwan peliharaan di dalam
rumah seperti kucing akan dikurung. Sekiranya kucing melompat ke arah jenazah,
dipercayai mayat tersebut akan menjadi hantu. Ketika jenazah masih berada di dalam
rumah, dilarang makan dan minum serta merokok bagi menghormati arwah dan kaum
keluarganya.

Memandikan, Mengapankan dan Menyembahyangkan Jenazah

Semasa memandikan jenazah, keluarga terdekat dan orang yang diamanahkan untuk
memandikan jenazah sahaja yang berada di tempat mandian tersebut. Waris arwah
pula dikehendaki menyimpan dengan baik air baki mandian itu dan kain tutup muka
jenazah kerana baki air mandian akan digunakan untuk membasuh muka bagi
menghilangkan rasa sedih yang berpanjangan, terutama bagi kanak-kanak kecil yang
sangat merasai kehilangan ibu atau bapa mereka. Sekiranya kain tutup muka tidak
disimpan dengan baik, kemungkinan akan dicuri oleh orang yang tidak
bertanggungjawab untuk dijadikan bahan ilmu sihir yang boleh membinasakan orang
lain. Jenazah dimandikan dan dikapankan mengikut cara pengurusan jenazah dalam
ajaran Islam.
Setelah jenazah siap dikapankan, setiap ahli keluarga terdekat akan bergilir-gilir
melakukan adat Jumara, iaitu mengucup dahi, mencium tangan serta kaki arwah
sebagai tanda penghormatan terakhir dan ketika ini mereka diingatkan agar tidak
mengeluarkan air mata sehingga membasahi kain kapan. Selepas itu, ahli keluarga
hendaklah memberikan sedekah kepada orang-orang yang telah memandikan jenazah.
Sedekah ini disebut sebagai Sedekah Uluan, iaitu sedekah yang mula-mula diberikan
selepas kematian berlaku. Sedekah ini harus disampaikan sebelum jenazah dibawa ke
tanah perkuburan. Waris hendaklah menyediakan sedekah seperti sebuah periuk yang
berisi nasi sebagai sedekah utama yang diberikan kepada ketua yang memandikan
jenazah, iaitu orang yang berada di kepala jenazah semasa dimandikan. Sebuah cerek
bagi melambangkan alat untuk menyimpan air diberikan kepada orang yang
membersihkan najis, iaitu orang yang berada di bahagian tengah semasa memandikan
jenazah. Kemudian, sebuah dulang diberikan kepada orang yang membersihkan
bahagian kaki jenazah dan peralatan dapur seperti sebiji pinggan, gelas atau cawan,
mangkuk dan sudu diberikan kepada setiap orang yang memandikan jenazah.
Seterusnya, disedekahkan juga bahan makanan yang kering seperti beras, gula dan
kopi serta bahan makanan yang bermasak seperti lauk-pauk dan kuih-muih kepada
setiap orang yang memandikan jenazah. Selain itu, sepasang pakaian arwah dan juga
wang ringgit turut disedekahkan kepada setiap orang yang memandikan jenazah.
Jumlah wang yang diberikan bergantung pada kemampuan keluarga. Selepas Sedekah
Uluan disampaikan, jenazah akan disembahyangkan di ruang tamu rumahnya.


Menghantar J enazah ke Tanah Perkuburan

Dalam amalan tradisional masyarakat Bisaya, sebelum jenazah dibawa turun dari
rumah, kaum keluarga akan menyampaikan Sundait, iaitu lagu mengiringi jenazah ke
kuburan. Seni kata lagu itu menzahirkan kesedihan kaum keluarga yang ditinggalkan
dan harapan agar roh arwah tenang dan sejahtera dalam perjalanan menemui Tuhan.
Selepas itu, kaum keluarga arwah diminta untuk lalu di bawah usungan jenazah
sebagai tanda penghormatan kepada arwah. Jika ahli keluarga tidak menyusup di
bawah usungan jenazah sebelum jenazah dibawa ke kuburan, dipercayai boleh
menyebabkan kesedihan berpanjangan. Alat untuk mengusung jenazah disebut
Kalangkapa. Alat tersebut dibuat daripada kayu yang menjadi asas binaan yang
dikenali sebagai Gandaran dan pelepah rumbia yang menjadi lantai dan dinding
Kalangkapa. Kalangkapa ditutup dengan Sangkap-sangkap. Selesai adat menyusup di
bawah usungan, jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan dan diiringi kaum keluarga
dan sahabat handai. Secerek besar air mawar, bunga-bungaan dan Pabaraan dibawa
bersama-sama oleh waris. Ketika jenazah dikebumikan, waris terdekat hendaklah
mengambil sekepal tanah lalu dibacakan surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas dan
kemudian tanah itu diletakkan di dalam liang lahad pada bahagian kepala jenazah.
Selain itu, ahli keluarga juga harus menanam sekeping timah yang berukuran lebih
kurang dua inci bersama-sama dengan jenazah dan menaburkan beberapa biji kacang
hijau di atas tanah kuburan, kononnya untuk mengelakkan si mati daripada menjadi
hantu. Selepas selesai tanah ditimbus, akan dibacakan talkin dan selepas itu waris
akan menyampaikan sedekah kepada pembaca talkin. Sedekah yang diberikan ialah
sebiji Kubamban (alat perhiasan yang diperbuat daripada perak), sebatang lilin, sebiji
gelas dan wang ringgit. Waris akan bergilir-gilir pula menyiram air mawar dan
menaburkan bunga di atas pusara sebelum meninggalkan tanah perkuburan.


Bentuk batu nisan masyarakat Bisaya.


Amalan dan Pantang Larang Selepas Kematian
Selepas selesai pengebumian, bermulalah pantang larang yang perlu diamalkan oleh
kaum keluarga arwah. Setelah pulang ke rumah masing-masing, orang yang
mengiringi jenazah ke tanah perkuburan dimestikan mandi terlebih dahulu sebelum
melakukan sebarang pekerjaan. Ahli keluarga pula tidak boleh menyikat rambut di
dalam rumah selama tujuh hari kerana dipercayai sesiapa yang menyikat rambut di
dalam rumah akan pendek umur dan segera menyusuli jenazah yang baharu sahaja
dikebumikan. Sekiranya hendak menyikat rambut, mereka hendaklah melakukannya
di luar rumah. Alat usungan jenazah atau Kalangkapa pula dimusnahkan selepas
selesai pengebumian dan jika tidak dimusnahkan dipercayai akan berlaku kematian
orang lain dalam waktu terdekat. Sisa-sisa alat Kalangkapa yang telah dimusnahkan
itu akan diambil oleh keluarga terdekat dan sangat berguna untuk melindungi haiwan
ternakan. Apabila sisa kayu Kalangkapa diletakkan di dalam reban ayam, dipercayai
musang, binatang buas atau pencuri takut menghampiri reban ayam tersebut.
Di dalam rumah pula, segala barang kepunyaan arwah dijaga dengan baik. Barang
di dalam bilik, iaitu tilam, bantal dan kain arwah dibiarkan terhampar hingga 44 hari
selepas kematiannya kerana dipercayai dalam tempoh tersebut roh arwah akan
berkunjung ke rumahnya dan berada di tempat tidurnya. Ahli keluarga dilarang
meninggalkan rumah tanpa penghuni dalam tempoh 40 hari selepas kematian kerana
dipercayai menyebabkan roh yang bertandang ke rumah itu berada dalam kesedihan
dan kesusahan. Tempat tidur arwah ini disebut "Mayat-mayat" atau Bangkai-
bangkaian. Ahli keluarga juga tidak boleh tidur pada malam pertama selepas
kematian kerana boleh membawa kesusahan kepada roh. Waris pula boleh berbaring
di tempat tidur tersebut, tetapi dilarang berbaring di bahagian tengah tilam yang
diletakkan dengan pakaian arwah. Daun bemban batu, daun rotan dan daun limau
purut digunakan untuk menyapu bilik arwah. Peralatan untuk memandikan jenazah
seperti langir, cendana dan limau nipis tidak boleh di kemas sebelum selesai tujuh
hari selepas kematian. Pelita yang dinamai Salung dipasang di bilik arwah bermula
pada malam pertama hingga malam ketujuh dan pada setiap malam Jumaat dalam
tempoh 44 hari selepas kematian. Pelita itu tidak dipadamkan selama tujuh malam dan
sekiranya tidak berbuat sedemikian dipercayai membawa kesusahan kepada si mati.
Orang yang ditugaskan memasang pelita ini ialah balu atau duda atau anaknya.
Orang yang memasang pelita ini pula hendaklah orang yang sama dari malam
pertama hingga malam ketujuh. Orang yang sama juga akan ditugaskan
menghanyutkan sumbu dan minyak pelita di sungai selepas 44 hari kematian.
Di dinding bilik arwah pula digantungkan Sangkut-sangkut daripada baki kain
kapan yang disimpul setiap hari sehingga menjadi 40 simpulan yang menunjukkan
hari ke-40 selepas kematian. Selain itu, cara masyarakat Bisaya tradisional mengira
hari selepas kematian juga adalah dengan menggunakan kapur dan puntung api yang
digariskan berselang-seli setiap hari. Warna yang berbeza dan berselang-seli setiap
hari memudahkan mereka menentukan kiraan hingga 40 hari selepas kematian.
Kenduri mengingati arwah diadakan bermula pada malam pertama selepas kematian
yang dikenali sebagai Makan Partama. Kenduri berikutnya akan diadakan pada
malam ketiga (Makan Tiga), ketujuh (Makan Tujuh), hari ke-40 (Makan 40 atau
Makan Gayuh) dan hari ke-100 (Makan Saratus Hari) selepas kematian. Dalam
kenduri ini, diadakan solat berjemaah Maghrib dan Isyak di rumah dan bacaan tahlil
dibuat selepas waktu solat Maghrib. Selepas solat Isyak, jamuan makan disediakan
kepada semua orang yang menghadiri kenduri arwah tersebut. Pada masa kenduri ini
juga, keluarga tersebut memberikan sedekah berupa pakaian arwah, barang-barang
makanan kepada orang-orang yang membaca tahlil dan doa untuk arwah. Selepas
kenduri pada hari yang ke-100, terpulanglah kepada keluarga untuk mengadakan
kenduri pada bila-bila masa mengikut kemampuan mereka. Biasanya, kenduri
mengingati arwah ini diadakan setiap tahun pada bulan Syaaban sebelum umat Islam
berpuasa pada bulan Ramadan. Keluarga juga menyediakan sedekah yang disebut
"sedekah si mati" pada setiap hari Jumaat (bergantung pada kemampuan keluarga
tersebut). Sedekah ini dihantar kepada orang yang dipercayai boleh membacakan doa
dengan harapan pahala sedekah itu akan sampai kepada arwah. Antara barang yang
disedekahkan termasuklah beras (anggaran setengah cupak), sedikit gula, kopi, lauk-
pauk, kuih-muih, sehelai sirih, sebiji pinang yang telah dikupas kulitnya, sedikit buah-
buahan (misalnya sebiji pisang dan limau).
Seterusnya, bagi individu yang kematian isteri atau suami, banyak pantang larang
yang mesti dipatuhi dalam tempoh tujuh hari dan 40 hari hingga 44 hari selepas
kematian berlaku. Selepas jenazah suami atau isteri mereka dikebumikan, bermulalah
pantang bagi balu atau dudanya. Setelah pulang daripada menghantar jenazah, balu
arwah dimandikan oleh orang lain di halaman rumah. Semasa mandi, kepala
hendaklah ditutup dengan tujuh helai daun keladi. Setelah naik ke rumah, balu
tersebut pergi ke dapur dan diminta menyentuh sebuah nyiru yang berisi garam, asam,
Supit (penyepit untuk makan Ambuyat) dan Kakuar (senduk besar yang digunakan
untuk membancuh Ambuyat). Nyiru tersebut diletakkan di atas kayu api yang disusun
di atas para. Dalam tempoh tujuh hari kematian berlaku, balu atau duda tidak boleh
menyikat rambut, menghadap cermin, memakan daging ayam. Sekiranya melanggar
pantang ini dipercayai mereka akan Mompongou, iaitu menghadapi keadaan resah
gelisah dan tidak sabar mencari pasangan baharu selepas kematian pasangan mereka.
Dalam tempoh 40 hari pula, mereka tidak boleh keluar rumah tanpa tujuan penting
dan jika terpaksa keluar, mesti ditemani ahli keluarga dan hendaklah memakai tutup
kepala daripada baki kain kapan. Bagi wanita, baki kain kapan itu mesti dijadikan
tudung atau kain yang dililitkan pada sanggul rambut. Mereka dilarang masuk ke
hutan bersendirian kerana dipercayai mudah disesatkan oleh makhluk halus yang
berada di dalam hutan. Mereka juga dilarang ke laut kerana bimbang dihanyutkan
oleh ombak yang besar. Selain itu, mereka juga dilarang menyusup di bawah rumah
dan pokok. Jika mereka menyusup di bawah pokok yang berbuah, dipercayai buah
akan jatuh dan jika di bawah pokok yang tidak berbuah, dipercayai pokok itu tidak
akan berbuah selama-lamanya. Namun, sekiranya terpaksa menyusup di bawah
pokok, hendaklah meludah atau menendang pangkal pokok berkenaan agar tidak
membawa mudarat kepada pokok tersebut.
Setelah sampai hari yang ke-44 selepas kematian arwah, balu atau duda tersebut
bebas daripada pantang larang yang ditetapkan itu. Mereka hendaklah ke laut untuk
mandi laut atau memijak air laut. Pada masa yang sama, mereka akan menghanyutkan
Pabaraan (bekas tempat menyimpan kemenyan) di laut. Selepas itu, mereka tidak
boleh lagi memakai tutup kepala daripada baki kain kapan. Walau bagaimanapun,
terdapat juga amalan masyarakat Bisaya yang meminta bantuan daripada golongan
tua yang dipercayai banyak ilmu, disegani dan dipercayai di kampung mereka untuk
menghanyutkan Pabaraan. Bagi mengetahui sama ada berlaku kematian dalam
jangka waktu terdekat, golongan tua Bisaya percaya kepada tanda yang boleh dilihat
pada abu tempat kemenyan dibakar di dalam Pabaraan itu. Sekiranya kesan seperti
lubang ditemui, maka tiada kematian akan berlaku dalam jangka masa terdekat.
Namun, jika terdapat kesan seperti bergaris panjang pada abu tersebut, bermakna ada
kematian dalam tempoh terdekat di kampung mereka.
Pada masa kini, selari dengan perubahan zaman dan kefahaman yang lebih teguh
kepada agama Islam, kebanyakan adat dan pantang larang ketika dan selepas
kematian mulai mengalami perubahan dan pengubahsuaian. Mana-mana adat dan
pantang larang yang bertentangan dengan ajaran Islam, ditinggalkan secara beransur-
ansur. Misalnya tindakan memusnahkan alat usungan jenazah tidak lagi dilakukan
kini, malah alat usungan berbentuk kekal telah disediakan untuk kemudahan pada
masa akan datang. Begitu juga pantang larang kepada balu atau duda. Mereka tidak
lagi terlalu terikat dengan pantang larang yang ada, kecuali perkara-perkara yang
ditetapkan mengikut syariat agama Islam.

KESIMPULAN
Masyarakat Bisaya sememangnya kaya dengan adat tradisional yang diwarisi
daripada nenek moyang mereka. Perkembangan pendidikan moden dan agama Islam
telah memberi peluang kepada generasi muda Bisaya menimba ilmu pengetahuan dan
seterusnya mengukuhkan pengetahuan mereka dalam ajaran Islam. Perkembangan
inilah yang menyumbang kepada perubahan yang berlaku terhadap pemikiran
masyarakat yang secara beransur-ansur membawa perubahan dari segi amalan adat
resam mereka. Pengaruh ajaran Islam merupakan faktor penting pembentukan identiti
budaya yang baharu bagi masyarakat Bisaya menerusi penggabungjalinan budaya asli
yang diperturunkan dengan unsur-unsur budaya baharu yang mencerminkan
keteguhan ajaran Islam yang diamalkan dalam kehidupan harian mereka.
Kebijaksanaan mereka mengekalkan adat tradisional, di samping melakukan
pengubahsuaian mengikut ajaran Islam dan perkembangan semasa menyebabkan
masyarakat ini masih mengekalkan budaya mereka yang tidak bertentangan dengan
ajaran Islam. Meskipun zaman berubah, adat tradisional masyarakat Bisaya masih
mampu bertahan daripada terus lenyap dibawa arus pemodenan.

Anda mungkin juga menyukai