Anda di halaman 1dari 7

LATAR BELAKANG KSSR

Transformasi

Transformasi Kurikulum Kebangsaan bertitik tolak daripada keputusan Mesyuarat Susulan Jemaah
Menteri Bil.6/2008 yang dipengerusikan oleh Y.B. Menteri Pelajaran pada 23 Mei 2008. Satu usaha
penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara terutamanya di peringkat sekolah rendah perlu
dilaksanakan supaya kurikulum persekolahan memenuhi keperluan dan cabaran semasa serta akan
datang. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan satu kajian dan
mendapati wujudnya keperluan untuk melakukan transformasi kurikulum sekolah rendah.

Transformasi kurikulum sekolah rendah merupakan penyusunan semula dan penambahbaikan
kurikulum persekolahan rendah sedia ada. Tujuan transformasi adalah untuk memastikan murid
dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan dengan keperluan semasa bagi
menghadapi cabaran abad ke-21. Fokus transformasi kurikulum persekolahan rendah adalah kepada
kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M), sebaliknya mengambil kira kemahiran penaakulan,
kreativiti dan inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) serta elemen keusahawanan.

Dalam proses transformasi kurikulum persekolahan rendah, KPM telah melakukan penandaarasan
dengan kurikulum persekolahan negara maju bagi memastikan kurikulum persekolahan kebangsaan
yang dibangunkan setanding dengan pendidikan global. Di samping itu, KPM turut mendapatkan input
daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan, industri, akademik dan ibu
bapa. Berdasarkan kepada input-input tersebut maka konsep kurikulum persekolahan rendah
berasaskan standard dibangunkan.

Lanjutan daripada itu, konsep kurikulum persekolahan rendah mendapat kelulusan Mesyuarat
Jawatankuasa Kurikulum Pusat Bil.3/2009 pada 2 Oktober 2009. KPM membangunkan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR) berasaskan prinsip-prinsip Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah
(KBSR) dan berlandaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kurikulum yang dibangunkan turut
melibatkan kurikulum Pendidikan Khas. Bagi memastikan kurikulum tersebut mantap, pelaksanaan rintis
telah dilakukan di sekolah rendah terpilih di seluruh negara.



HASRAT KSSR
Hasrat KSSR

Kurikulum Standard Sekolah Rendah berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif,
kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan
estetika, keterampilan diri, kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai

Kurikulum Standard Sekolah Rendah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar
Pendidikan Kebangsaan. KSSR mengambil kira cabaran abad ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan
teori pembelajaran terkini. KSSR juga mengguna pakai empat tonggak pendidikan UNESCO, iaitu belajar
untuk mengetahui (learning to know), belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup
bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be).

Murid yang mengikuti KSSR akan mempunyai asas-asas berikut:
- Insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial
- Warganegara yang bertanggungjawab
- Warganegara yang boleh berperanan di arena global (Global Player)
- Pekerja berilmu

Prinsip KSSR

Kurikulum Standard Sekolah Rendah mengekalkan kesemua prinsip KBSR. Prinsip ini dikekalkan kerana
masih sesuai dan relevan untuk melahirkan insan yang seimbang dan holistik. Prinsip-prinsip tersebut
adalah seperti berikut:



Pendekatan Bersepadu
Tumpuan utama diberikan kepada pendekatan bersepadu. Unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan
nilai digabungkan supaya wujud kesepaduan dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial.

Perkembangan Individu Secara Menyeluruh
KSSR digubal untuk memastikan semua mata pelajaran berperanan untuk memenuhi keperluan intelek,
rohani, emosi, jasmani dan sosial. Setiap potensi murid dikembangkan secara bersepadu.

Pendidikan Saksama Untuk Semua Murid
KSSR memberi peluang yang luas dan saksama kepada semua murid untuk mendapatkan ilmu
pengetahuan dan kemahiran yang menyeluruh dan seimbang.

Pendidikan Seumur Hidup
KSSR menyediakan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan oleh semua murid sebagai asas untuk
menghadapi cabaran kehidupan seharian dan pendidikan sepanjang hayat.

BENTUK KURIKULUM
Bentuk Kurikulum

Konsep tunjang yang diperkenalkan dalam KSSR, merupakan satu bentuk pengklasifikasian bidang ilmu,
kemahiran dan nilai. Konsep ini berfokus kepada pembentukan modal insan seimbang dari segi jasmani,
emosi, rohani, intelek dan sosial.
Enam tunjang dikenal pasti mewakili bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang menjadi asas kepada
pembangunan insan yang berfikiran kreatif, kritis dan inovatif. Tunjang-tunjang tersebut
menggambarkan penstrukturan secara eksplisit bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang perlu dikuasai
murid. Setiap tunjang saling berhubung kait dan bersepadu.




Tunjang Komunikasi

Tunjang Komunikasi memberi penekanan kepada proses menggabung jalin kemahiran berbahasa dalam
bentuk lisan dan bukan lisan semasa berinteraksi. Tunjang ini memberi fokus kepada kemahiran bahasa
seperti mendengar dan bertutur, membaca dan menulis, serta nilai tambah menaakul.

Murid perlu menguasai kemahiran ini bagi membantu mereka dalam proses pemerolehan ilmu
pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam tunjang-tunjang yang lain. Penguasaan kemahiran berbahasa
menyediakan murid untuk membuat pemilihan bahasa yang bertepatan dan sistematik dalam interaksi
sosial.

Disiplin ilmu dalam Tunjang Komunikasi ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa
Tamil, Bahasa Arab, Bahasa Cina Sekolah Kebangsaan, Bahasa Tamil Sekolah Kebangsaan, Bahasa Iban,
Bahasa Kadazandusun dan Bahasa Semai.


Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika

Tunjang Perkembangan Fizikal dan Estetika memberi penekanan kepada perkembangan jasmani dan
kesihatan untuk kesejahteraan diri dan pemupukan daya imaginasi, kreativiti, bakat dan apresiasi.
Disiplin ilmu yang membangunkan aspek fizikal ialah Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan.
Kreativiti, bakat dan apresiasi dipupuk melalui Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik.


Tunjang Kemanusiaan

Tunjang Kemanusiaan memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dan amalan tentang
kemasyarakatan dan alam sekitar setempat, negara dan global, serta penghayatan semangat
patriotisme dan perpaduan. Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Kemanusiaan ialah Sejarah yang
diperkenalkan mulai Tahap II persekolahan.


Tunjang Keterampilan Diri

Tunjang Keterampilan diri memberi penekanan kepada pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui
aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Murid diberi peluang menyepadukan pengetahuan, kemahiran dan
nilai yang dipelajari di bilik darjah dan mengamalkannya dalam kegiatan kokurikulum. Penglibatan dalam
kegiatan kokurikulum seperti persatuan, badan beruniform dan sukan memberi peluang kepada murid
meningkatkan potensi diri sebagai pemimpin kepada diri, rakan sebaya, keluarga dan masyarakat.


Tunjang Sains dan Teknologi

Tunjang Sains dan Teknologi memberi penekanan kepada penguasaan:
pengetahuan sains, kemahiran dan sikap saintifik
pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam matematik
pengetahuan dan kemahiran berasaskan teknologi

Disiplin ilmu yang terdapat dalam Tunjang Literasi Sains dan Teknologi ialah Sains, Matematik, Reka
Bentuk dan Teknologi (RBT) serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK).


Tunjang Kerohanian, Sikap Dan Nilai

Tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai memberi penekanan kepada bidang pembelajaran yang berfokus
kepada penghayatan amalan agama, kepercayaan, sikap dan nilai. Disiplin ilmu dalam tunjang ini
merangkumi Pendidikan Islam bagi murid Islam dan Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam.


Fokus KSSR

KSSR memastikan selepas enam (6) tahun persekolahan murid mencapai standard pengetahuan,
kemahiran dan nilai yang ditetapkan bagi setiap tahap. KSSR memberi penekanan kepada 4M iaitu
kemahiran membaca, menulis, mengira dan menaakul. Kemahiran menaakul adalah keupayaan
membuat pertimbangan dan penilaian dengan menggunakan akal atau logik.


Pada Tahap I, pengajaran dan pembelajaran menekankan penguasaan asas 4M. Penekanan diberikan
untuk literasi dan numerasi bagi membolehkan murid menguasai kemahiran tersebut. Penekanan juga
diberikan kepada kemahiran nilai tambah iaitu kreativiti dan inovasi, keusahawanan dan TMK.

Pada Tahap II, penekanan diberikan kepada pengukuhan dan aplikasi kemahiran 4M di samping
menguasai kemahiran TMK, penguasaan kemahiran yang lebih kompleks, pemerolehan pengetahuan,
dan perkembangan sahsiah.

Organisasi Kurikulum

KSSR diorganisasikan dalam bentuk modular dengan mengelompokkan mata pelajaran dalam kumpulan
tertentu yang dikenali sebagai modul. Mata pelajaran juga diorganisasikan secara modular iaitu
kandungan mata pelajaran disediakan dalam bentuk modul yang kendiri-lengkap (self-contained). Setiap
modul mengandungi pengetahuan, kemahiran dan nilai yang telah dikenal pasti untuk dikuasai oleh
murid.

PERNYATAAN STANDARD
Kurikulum Berasaskan Standard
KSSR digubal dalam bentuk pernyataan standard. Pernyataan standard terdiri daripada standard
kandungan dan standard pembelajaran yang perlu dicapai oleh murid dalam suatu tempoh dan tahap
persekolahan.



Standard Kandungan Standard Pembelajaran
Penyataan spesifik tentang
perkara yang murid patut
ketahui dan boleh lakukan
dalam suatu tempoh
persekolahan merangkumi
aspek pengetahuan, kemahiran
dan nilai.
Satu penetapan kriteria
atau petunjuk (indicator)
kualiti pembelajaran dan
pencapaian yang boleh
diukur bagi setiap standard
kandungan.

Elemen Merentas Kurikulum
Elemen Merentas Kurikulum ialah unsur nilai tambah yang diterapkan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran selain yang ditetapkan dalam standard kandungan. Elemen-elemen ini diterapkan
bertujuan mengukuhkan kemahiran dan keterampilan modal insan yang dihasratkan serta dapat
menangani cabaran semasa dan masa hadapan. Elemen merentas kurikulum yang sedia ada adalah
sepertiBahasa, Sains dan Teknologi, Pendidikan Alam Sekitar, Nilai Murni danPatriotisme.

Elemen merentas kurikulum yang baharu, iaitu Kreativiti dan Inovasi,Keusahawanan, serta Teknologi
Maklumat dan Komunikasi dikenal pasti sebagai pelengkap kepada usaha memantapkan kualiti
pelaksanaan KSSR.

Guru hendaklah memastikan kesemua elemen merentas kurikulum diterapkan secara efektif dalam
proses pengajaran dan pembelajaran demi melahirkan insan yang dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.

Hubungan elemen merentas kurikulum yang sedia ada dan baharu dalam pembangunan insan yang
seimbang digambarkan melalui rajah di bawah.

Anda mungkin juga menyukai