Anda di halaman 1dari 20

1

BAB 1

PENGENALAN KEPADA
PENTADBIRAN BURUH



OBJEKTIF BAB


Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh:
1. Mengetahui tentang apa yang dikatakan bidang hubungan buruh.
2. Memahami tentang konsep-konsep dan istilah penting dalam
konteks hubungan buruh.
3. Membandingkan persamaan dan perbezaan di antara bidang
hubungan buruh dan bidang-bidang lain.
4. Membandingkan bidang hubungan buruh secara merentas
sektor, yakni sektor awam dan sektor swasta.


1.1 PENGENALAN

Kursus ini memberi tumpuan kepada proses dan struktur pentadbiran
buruh di Malaysia. Secara amnya ia membincangkan tentang teori-teri,
latar belakang sejarah, struktur dan amalan dalam pentadbiran buruh,
khususnya dalam sektor awam di Malaysia. Di akhir kursus ini para
pelajar akan mendapat pengetahuan tentang sejauh mana organisasi
buruh beroperasi dalam usaha untuk menjayakan sistem hubungan antara
pekerja dan majikan. Persekitaran di mana wujudnya hubungan antara
pekerja dan majikan ini dikenali dengan konsep hubungan industri
(industrial relations).

1.2 KONSEP UMUM HUBUNGAN INDUSTRI

Mengapakah sistem hubungan antara pekerja dan majikan dikenali
sebagai hubungan industri?

Secara amnya konsep ini dinamakan hubungan industri kerana
mengambil sempena zaman perkembangan di mana munculnya teori-
teori dan bermulanya gerakan organisasi buruh sebagai usaha
mengimbangi kuasa pemilik-pemilik industri yang semakin menekan
golongan pekerja. Zaman perkembangan ini dikenali sebagai zaman
perindustrian, di mana muncul organisasi-organisasi bentuk baru seperti
yang kita lihat pada hari ini. Konsep organisasi tradisional sebelum ini
2
lebih menekankan kepada hubungan master-servant, di mana orang yang
bekerja bergantung kepada orang yang memberi kerja untuk mendapat
perlindungan atau naungan. Keadaan ini memberi peluang kepada
golongan yang berada untuk mengeksploitasi golongan miskin melalui
pendekatan unilateral dan otokratik. Golongan pekerja adalah bertaraf
hamba yang sentiasa mengharap ihsan orang yang memberi kerja untuk
mendapat upah dan sara hidup.

Sebaliknya, zaman perindustrian menekankan kepada hubungan employer-
employee kerana wujud organisasi formal dengan sistem gaji, upah dan
faedah-faedah pekerjaan yang lebih tersusun. Pekerja-pekerja
menyumbang tenaga dan sebagai balasan mereka akan mendapat upah
yang setimpal. Kemunculan berbagai organisasi juga menyebabkan
golongan pekerja mempunyai pilihan sama ada untuk kekal dalam
sesebuah organisasi atau bertukar ke organisasi lain. Wujudnya pilihan ini
telah meningkatkan kuasa tawar-menawar di pihak ketiga. Ini
menyebabkan organisasi-organisasi merasa bimbang akan kehilangan
pekerja yang akhirnya boleh menjejaskan operasi pengeluaran mereka.
Jadi, para pekerja telah diberi ruang untuk berunding bagi menentukan
bentuk dan syarat-syarat pekerjaan yang boleh memberi keadilan bersama
kepada mereka dan kepada organisasi mereka. Interaksi di antara majikan
dan pihak pekerja ini berlaku dalam satu sistem hubungan yang dikenali
sebagai hubungan industri, khusus untuk membincangkan tentang
hubungan antara majikan dan pekerja, untuk berbincang mengenai
pekerjaan dan faedah-faedah pekerjaan di tempat kerja.

Persekitaran di mana berlakunya perkembangan hubungan industri ini
dikenali sebagai dunia kapitalis (capitalism). Organisasi-organisasi buruh
atau pertubuhan berasaskan pekerjaan pula dikenali sebagai kesatuan
sekerja (trade unions). Oleh yang demikian, perbincangan tentang konsep
hubungan industri tidak akan dapat mengelak daripada membincangkan
tentang gerakan kesatuan-kesatuan sekerja. Bagaimanapun, para pelajar
seharusnya tidak keliru bahawa konsep kesatuan sekerja hanyalah khusus
bagi organisasi pekerja kerana pihak majikan juga boleh bersatu dalam
satu organisasi berasaskan pekerjaan untuk mengimbangi kuasa-kuasa
(atau tentangan) dari pihak pekerja. Jadi, ingatlah bahawa kesatuan
sekerja boleh mewakili kedua-dua pihak dalam sistem hubungan industri,
iaitu kesatuan sekerja pekerja dan kesatuan sekerja majikan.

Bagaimanapun, sepanjang kursus ini, perbincangan modul lebih
menekankan kepada proses dan struktur organisasi di kalangan pekerja.
Jika selama ini para pelajar banyak didedahkan kepada konsep
pengurusan secara menghala ke bawah (top down), kursus ini sebaliknya
banyak menekankan kepada konsep artikulasi secara menghala ke atas
(bottom up). Ringkasnya, kita cuba memahami bagaimana para pekerja
3
mengorganisasikan kelompok mereka untuk mengimbangi kuasa pihak
majikan dalam proses menyelesaikan sesuatu isu atau menuntut sesuatu
kehendak.

1.3 ISTILAH-ISTILAH DALAM HUBUNGAN INDUSTRI

Seperti juga bidang lain, aktor-aktor dalam hubungan industri beroperasi
dan berfungsi dalam satu persekitaran yang tersendiri. Tambahan lagi,
terdapat pula perbezaan secara merentas sektor, di mana persekitaran
hubungan industri sektor awam kadang-kadang tidak serupa dengan
amalan hubungan industri di sektor swasta. Oleh yang demikian, terdapat
istilah-istilah atau konsep-konsep dalam persekitaran ini yang mungkin
sama dan tidak sama untuk difahami melalui bidang-bidang kajian yang
lain. Bahagian ini cuba memberikan definisi secara operasional bagi
konsep-konsep dan istilah-istilah penting yang bakal para pelajar temui di
sepanjang kursus ini. Perlu diingat bahawa, sepanjang perbincangan
kursus ini, istilah-istilah dan konsep-konsep ini mungkin disentuh secara
langsung ataupun tidak langsung di dalam menjelaskan sesuatu keadaan
tertentu. Antaranya ialah

(a) Hubungan industri

Seperti yang digambarkan di atas, hubungan industri secara umumnya
adalah bidang yang meliputi hubungan antara pekerja dan majikan.

Wu Min Aun dalam pengenalannya, mendefinisikan hubungan industri
sebagai:

the subject which deals with the manner in which the relationship
between an employer or groups of employers and employees is carried
on, and the methods which they use in their relationship with each
other. Trade unions of either employers or employees have become an
essential agency of industrial relations (1995 : xvii).

Ini bersesuaian dengan pandangan Clegg dalam karyanya yang lebih awal
(1972:1) dengan melihat hubungan industri sebagai bidang yang;

..concerned with strikes, with negotiations between unions and
employers, and with government intervention in strikes and
negotiations, dan juga berkaitan rules which govern
employment or the rules which regulate jobs, yang secara
keseluruhannya meliputi the study of job-regulation.

Maimunah Aminuddin (1992:205) juga melihat hubungan industri
sebagai bidang kajian yang tidak dapat dipisahkan daripada penglibatan
4
kesatuan sekerja. Hubungan industri yang juga dikenali sebagai
hubungan buruh (labour relations) atau hubungan pekerja (employee
relations) biasanya akan wujud dan beroperasi dalam persekitaran
organisasi yang berkesatuan (unionized environment). Apakah bentuk
hubungan antara pekerja dan majikan dalam persekitaran organisasi
tanpa berkesatuan (non-unionized environment)? Jawapannnya mungkin
dalam bentuk hubungan manusia dalam organisasi.

(b) Kesatuan sekerja

Negara-negara yang menjadi ahli Pertubuhan Buruh Antarabangsa
(International Labour Organisation atau ILO) biasanya menerima pakai
konsep kebebasan mengorganisasikan kesatuan dalam organisasi seperti
yang dipersetujui melalui Konvensyen No 87 Tahun 1948 berjudul
Freedom of Associaton and Protection of the Right to Organisation.

Secara umumnya, kesatuan sekerja merupakan suatu pertubuhan
pekerja-pekerja yang bersatu kea rah meningkatkan keadaan-keadaan
pekerjaan mereka (Maimunah Aminudin: 207). Definisi ini
bagaimanapun boleh diperincikan mengikut kesesuaian dan kepentingan
nasional sesebuah Negara. Contohnya, Trade Union Act 1871 Britian,
mendefinisikan kesatuan sekerja sebagai:

any combination, whether temporary or permanent, the principal
objects of which are under its constitution statutory objects, namely,
the regulation of relations between workmen and masters, or
between workmen and workmen, or between masters and masters,
or the imposing of restrictive conditions on the conduct of any trade
or business, and also the provision of benefits to members (Clegg,
1972 : 350).

Manakala Akta Kesatuan Sekerja 1959 Malaysia yang banyak dipengaruhi
oleh sistem perundangan British telah menambah peruntukan supaya
sesuai dengan keadaan tempatan, iaitu dengan mendefinisikan kesatuan
sekerja sebagai:

apa-apa pertubuhan atau gabungan orang-orang kerja
atau majikan-majikan, iaitu orang-orang kerja di mana
tempat pekerjaan mereka adalah di Malaysia Barat, Sabah
atau Sarawak, mengikut mana yang berkenaan, atau
majikan-majikan yang mengambil kerja orang-orang kerja
di Malaysia Barat, Sabah atau Sarawak, mengikut mana
yang berkenaan:-
5
(i) Dalam mana-mana penubuhan, tred, pekerjaan
atau industri yang tertentu atau dalam apa-apa
tred, pekerjaan atau industri yang serupa;
(ii) Sama ada secara sementara atau tetap; dan
(iii) Yang mempunyai di antara tujuan-tujuannya satu
atau lebih daripada tujuan-tujuan yang berikut-
Peraturan perhubungan di antara orang-
orang kerja dengan majikan-majikan, bagi
maksud menggalakkan perhubungan
perindustrian yang baik di antara orang-
orang kerja dan majikan-majikan,
memperbaiki syarat-syarat pekerjaan
orang-orang kerja atau memperbaiki
status ekonomi dan sosial mereka, atau
meningkatkan produktiviti; peraturan
perhubungan di antara orang-orang kerja
dan orang-orang kerja, atau di antara
majikan-majikan dan majikan-majikan;
Perwakilan sama ada orang-orang kerja
atau majikan-majikan dalam pertikaian-
pertikaian tred; menjalankan atau
menguruskan dengan, pertikaian-
pertikaian tred dan perkara-perkara yang
berhubungan dengannya; atau
Menggalakkan atau mengaturkan atau
membiayai mogok atau tutup-pintu dalam
mana-mana tred atau industri atau
peruntukan gaji atau faedah-faedah lain
bagi ahli-ahlinya semasa suatu mogok atau
tutup-pintu.

(Akta Kesatuan Sekerja 1959, Seksyen 2)

(c) Peraturan-peraturan substantif ( )

Dalam banyak keadaan hubungan industri banyak menyentuh mengenai
peraturan-peraturan berkaitan pekerjaan. Contohnya, peraturan-
peraturan mengenai gaji dan upah, jumlah jam bekerja, kerja lebih masa,
cuti dan tatacara pelaksanaan sesuatu kerja. Peraturan-peraturan
berkaitan pekerjaan ini dinamakan peraturan-peraturan substantif dan
istilah ini digunakan apabila perundingan diadakan di antara pihak
pekerja dan pihak majikan. Pelanggaran terhadap peraturan-peraturan
yang berkaitan ini dikatakan sebagai bercanggah dengan peraturan-
peraturan substantif.

6
(d) Peraturan-peraturan prosidural ( )

Pada asasnya peruntukan-peruntukan substantif dibuat melalui
mekanisme-mekanisme tertentu. Proses di mana peruntukan-peruntukan
substantif itu dibuat dinamakan peraturan prosidural. Perlanggaran
mana-mana langkah dalam proses pembuatan peruntukan tersebut
dikatakan sebagai perlanggaran peraturan-peraturan prosidural.

(e) Peraturan-peraturan tata tertib ( )

Kedua-dua peraturan, substantif dan prosidural dikawal oleh mekanisme
yang dinamakan peraturan tata tertib. Peraturan tata tertib
menterjemahkan kedua-dua peraturan di atas berdasarkan batas-batas
sempadan yang menentukan sama ada sebarang peraturan dilanggari atau
dipatuhi.

(f) Peraturan-peraturan pekerjaan

Hubungan industri adalah hubungan antara pekerja dan majikan yang
berkaitan perturan-peraturan pekerjaan. Peraturan-peraturan pekerjaan
adalah perkara-perkara yang menjadi garis panduan bagi pekerja dan
majikan untuk memastikan pelaksanaan tugas-tugas dalam organisasi
dilaksanakan mengikut cara yang betul berdasarkan hak dan bidang kuasa
masing-masing. Peraturan-peraturan pekerjaan dalam organisasi boleh
dibuat melalui tiga cara yang utama iaitu:

1. Peraturan majikan

Dalam sesetengah organisasi, majikan secara mutlak mewujudkan
peraturan-peraturan pekerjaan dan pekerja-pekerja akan mematuhinya
sebagai syarat memperoleh ganjaran gaji dan upah di atas pelaksanaan
tugas yang disempurnakan. Peraturan-peraturan yang berbentuk satu hala
(unilateral regulation) secara atas ke bawah (top down) ini dinamakan
peraturan majikan. Peraturan majikan ini dikatakan berleluasa di zaman-
zaman awal perkembangan zaman perindustrian di mana majikan yang
sangat mementingkan keuntungan cenderung untuk mentadbir pekerja
(buruh) secara zalim dan autokratik. Golongan pekerja tidak dapat
bersuara dalam proses penggubalan peraturan pekerjaan menyebabkan
berlaku ketidakadilan dan eksploitasi yang berleluasa ke atas mereka.
Bandingan masa kini boleh dilihat di mana pengurus-pengurus
memformulasikan peraturan pekerjaan dalam organisasi bagi pihak
majikan tanpa berunding atau meminta pandangan daripada pihak
pekerja.

7
2. Penawaran bersama

Perkembangan zaman industri berikutnya menyaksikan golongan pekerja
mulai sedar aan eksploitasi berterusan oleh majikan ke atas mereka. Ini
menyebabkan sesetengah mereka bangkit dan mengorganisasikan
pertubuhan-pertubuhan untuk memperjuangkan kebajikan, pembelaan
terhadap rakan-rakan dan jaminan pekerjaan mereka. Kebanyakan
majikan mula mengiktiraf pertubuhan-pertubuhan dalam pekerjaan ini
kerana bimbang kemungkinan golongan pekerja akan bangkit
memberontak yang akibatnya boleh mewujudkan keadaan tidak stabil
dalam organisasi. Di dalam perbincangan kursus ini, pertubuhan-
pertubuhan dalam pekerjaan seperti ini dinamakan kesatuan-kesatuan
sekerja.

Ingat, kesatuan sekerja tidak hanya khusus untuk mewakili golongan
pekerja. Ia juga boleh mewakili golongan majikan.

Salah satu cara golongan pekerja ini memperjuangkan kepentingan
mereka ialah dengan melibatkan diri dalam proses pembuatan peraturan-
peraturan pekerjaan. Proses pembuatan peraturan-peraturan pekerjaan
seperti ini dinamakan penawaran bersama. Peraturan-peraturn yang
dihasilkan lebih berbentuk dua hala (bilateral) ataupun peraturan bersama
(joint regulation) dan wujud dalam bentuk persetujuan yang dikenali sebagai
perjanjian bersama (collective agreement).

3. Peraturan sah ( )

Di dalam mana-mana Negara, kerajaan akan mempunyai garis panduan
dan peraturan-peraturan pekerjaan yang seragam untuk diamalkan. Ini
biasanya dibuat demi menjaga kepentingan nasional sesebuah negara.
Peraturan-peraturan sah(statutory regulation) ini boleh wujud dalam bentuk
akta, enakmen, dasar-dasar negara, pekeliling dan sebagainya. Demi
menjaga kepentingan nasional tadi, peraturan-peraturan sah ini boleh
dibuat sama ada dalam bentuk sehala (unilateral) ataupun dua hala
(bilateral), mengikut kesesuaian tempa dan ketika. Dalam konteks kursus
ini, peraturan sah ini membolehkan sesebuah negara merangka proses
dan struktur perancangan buruh agar dapat memenuhi matlamat politik,
sosial dan ekonomi negara berkenaan.

(g) Konflik industri ( )

Konflik biasanya wujud apabila terdapat lebih daripada satu pihak
bertelingkah sama ada untuk bersetuju atau tidak bersetuju ke atas isu
tertentu. Konflik boleh melibatka lebih daripada dua pihak dan lebih
daripada satu isu. Di dalam konteks kursus ini, konflik industri dikatakan
8
wujud apabila berlaku pertelingkahan atau perselisihan pendapat di
antara pihak pekerja (atau kesatuan yang mewakilinya) dan pihak majikan
(atau kesatuan yang mewakilinya) ke atas isu-isu berkaitan syarat-syarat
dan faedah-faedah pekerjaan. Isu-isu ini boleh berbentuk sekecil isu
dalaman organisasi ataupun seluas isu pada tahap industri.

(h) Penyelesaian konflik ( )

Penyelesaian konflik adalah faedah yang boleh digunakan oleh pihak-
pihak yang bertelingkah untuk mencari jalan perdamaian ke atas isu-isu
yang dipertikaikan. Sepanjang kursus ini, para pelajar akan
membincangkan beberapa kaedah yang boleh digunakan dalam
menyelesaikan konflik industri. Di antaranya ialah dengan menggunakan
kaedah perdamaian/perantaraan (conciliation/mediation), penimbangtaraan
(arbitration), semak siasat (investigation and inquiry) dan sebagainya.

(i) Tindakan perusahaan ( )

Tindakan perusahaan merupakan langkah-langkah yang diambil ke arah
menyelesaikan konflik perusahaan, biasanya setelah semua kaedah
penyelesaian konflik yang terdahulu telah digunakan. Oleh itu, bolehlah
dianggap tindakan perusahaan merupakan jalan terakhir bagi pihak-pihak
yang bertikai mendapatkan apa yang dihajati. Di antara jenis-jenis
tindakan perusahaan yang bakal para pelajar bincangkan adaah seperti
piket (picket), mogok (strike), ancaman (threat) dan tutup pintu (lock-out).

(j) Industri ( )

Industri merupakan satu bidang pengeluaran di mana barangan atau
perkhidmatan dihasilkan. Contohnya, industri kereta motor, perkilangan,
telekomunikasi, pertahanan, pertanian dan perikanan. Industri
merupakan satu persekitaran di mana kesatuan-kesatuan sekerja boleh
wujud dalam sesebuah negara.

(k) Jenis perniagaan atau tred ( )

Persekitaran organisasi di mana kesatuan-kesatuan sekerja boleh wujud
juga boleh dikenal pasti berdasarkan jenis perniagaan atau trednya.
Perniagaan atau tred merupakan proses kerja yang dilakukan untuk
memenuhi kehendak sesuatu industri. Jadi, perniagaan atau tred dapat
dikenali melalui jenis-jenis pekerjaan dalam organisasi. Contohnya,
penyelia, akauntan, peguam, jurutera, kerani, juruteknik, pembantu
makmal, guru, jururawat dan sebagainya.

9
(l) Sektor awam ( )

Sektor awam merupakan persekitaran di mana pentadbiran awam
melaksanakan fungsinya di dalam sesebuah negara. Ia merupakan sektor
kerajaan kerana kerajaan menjadi majikan kepada mereka yang bekerja
dalam sektor ini. Kakitangan yang bekerja dalam sektor ini dipanggil
kakitangan awam. Pelaksanaan tugas-tugas sektor awam bagaimanapun,
boleh dijalankan oleh agensi awam ataupun agensi swasta. Sektor awam
melaksanakan fungsi untuk mencapai matlamat kesejahteraan sosial
sesebuah negara.

(m) Sektor swasta ( )

Sektor swasta merupakan sektor bukan kerajaan. Ia boleh merupaan
aktiviti yang dijalankan oleh seorang ataupun sekumpulan individu.
Individu mengeluarkan modal sendiri untuk menjalankan aktiviti dan
mengharapkan pulangan daripada modal yang dilaburkan itu. Dalam
konteks kursus ini, individu-individu ini menjadi majikan yang membayar
upah kakitangan yang bekerja dalam sektor berkenaan. Kakitangan yang
bekerja ini dikenali sebagai kakitangan sektor swasta. Matlamat akhir
sektor swasta adalah keuntungan atas modal yang dilaburkan. Tanpa
keuntungan, entiti-entiti sektor swasta sukar meneruskan hayat (survive)
dalam sesebuah sistem ekonomi di mana mereka berada.

Pera pelajar tidak harus keliru dengan status sektor swasta, terutamanya
dalam dua keadaan. Pertamanya, sektor swasta juga boleh melaksanakan
sesetengah daripada fungsi pentadbiran awam. Ini dilakukan melalui
proses yang dikenali sebagai penswastaan (privatization). Keduanya,
sektor swasta juga boleh mendapatkan modal daripada kerajaan untuk
dilaburkan dalam operasi perniagaan mereka. Ini biasanya diperoleh
dalam bentuk tabungan yang disediakan oleh kerajaan secara pinjaman.
Pihak-pihak yang membuat pinjaman ini dikehendaki membayar balik
pinjaman berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui bersama antara
mereka dengan kerajaan.

Walaupun dalam banyak keadaan, agensi-agensi swasta bertindak
mengikut cara dan keputusan sendiri, mereka sebenarnya tertakluk
kepada perundangan kerajaan sama ada secara langsung (melalui badan-
badan penguatkuasaan kerajaan) ataupun tidak langsung (melalui undang-
undang dan peraturan yang digubal oleh kerajaan) demi menjaga
kepentingan nasional sesebuah negara.



10
(n) Kapitalis dan sosialis

Kajian mengenai hubungan industri tidak dapat mengelak daripada
mengkaji pertembungan dua aktor utama daripada kelas yang berbeza,
iaitu golongan kapitalis dan golongan sosialis. Pertembungan ini juga
dapat kita lihat sebagai pertembungan antara ideologi-ideologi yang
berkenaan. Golongan kapitlis lebih merupakan golongan pemilik industri
yang mengeluarkan modal, manakala golongan sosialis ditunjangi oleh
golongan masyarakat pekerja. Pertembungan siapa mendapat apa ini
sering merujuk kepada matlamat keuntungan oleh golongan kapitalis dan
matlamat kesejahteraan sosial bagi golongan pekerja.

Hubungan industri bagaimanapun dikatakan wujud dalam persekitaran
yang dikenali sebagai persekitaran kapitalisma (capitalism) kerana wujud
tindak balas golongan pekerja ke atas eksploitasi oleh golongan kapitalis
yang menjadi pemilik organisasi. Tinda balas ini bagaimanapun jika tidak
terkawal akan mencapai satu penghujung ekstrem (di atas kontinum
ideologi) yang dikuasai oleh golongan pekerja. Penghujung ini
merupakan satu persekitaran yang agak radikal dan mendokong ideologi
komunisme, iaitu menganggap masyarakat berada dalam satu kelas yang
sama.

1.4 KAITAN BIDANG HUBUNGAN INDUSTRI DENGAN
BIDANG-BIDANG LAIN

Sebenarnya bidang hubungan industri juga mempunyai kaitan dengan
disiplin-disiplin kajian yang lain. Oleh itu, kajian mengenai hubungan
industri tidak akan lengkap jika kita tidak memahami bidnag-bidang yang
mempunyai kaitan dengannya itu. Antara bidang-bidang yang berkaitan
ialah

(a) Sains politik

Seperti yang dibincangkan terdahulu, kajian mengenai hubungan industri
adalah kajian ynag berkaitan dengan perkembangan pertubuhan
berasaskan pekerjaan dalam organisasi, khususnya kesatuan-kesatuan
sekerja. Persekitaran di mana kesatuan-kesatuan sekerja ini wujud pula
menyaksikan pertembungan kelas-kelas yang berbeza berdasarkan
kepentingan dan ideologi masing-masing. Perbezaaan kepentingan dan
ideologi ini mewujudkan situasi yang sama dengan persaingan untuk
mendapatkan kuasa dalam dunia politik yang sebenar.

Di negara-negara yang boleh dikatakan mempunyai gerakan buruh yang
kuat dan lebih tersusun, terutamanya negara-negara maju, kesatuan
sekerja boleh melibatkan diri dalam aktiviti politik dengan cara berfungsi
11
sebagai atau bergabung dengan parti-parti politik dalam menentukan
arus politik sesebuah negara. Contohnya, United Kingdom ketika modul
ini dihasilkan sedang ditadbir oleh kerajaan (Parti Buruh) yang disokong
oleh golongan pekerja melalui sayap politik tajaan gabungan kesatuan-
kesatuan sekerja negara berkenaan.

Jika kajian mengenai politik adalah berkaitan dengan kajian mengenai
persaingan mendapatkan kuasa, kajian dalam hubungan industri juga
tidak dapat mengelak daripada realiti yang sedemikian. Kita akan dapat
lihat persaingan secara dalaman untuk mendapatkan kuasa dalam
pertubuhan-pertubuhan pekerja di samping persaingan yang luas di
antara pertubuhan-pertubuhan untuk mencapai kepentingan masing-
masing dalam organisasi. Jadi, mempunyai pengetahuan tentang politik
akan dapat membantu pelajar memahami dengan lebih mudah tentang
kajian dalam bidang hubungan industri.

(b) Pengurusan

Kita telah fahami setakat ini bahawa bidang pengurusan merupakan
kajian tentang proses di mana segala sumber digembling ke arah
mencapai satu matlamat. Kajian mengenai hubungan industri juga
melihat bagaimana kesatuan-kesatuan sekerja melibatkan diri dalam
proses mengurus dan menggemblingkan segala sumber ke arah mencapai
matlamat yang ditetapkan. Kesatuan-kesatuan juga perlu melaksanakan
fungsi pengurusan, iaitu perancangan, pengorganisasian, penstafan,
pengarahan, pengawalan dan belanjawan (POSDCOB) ke atas sumber
manusia dan sumber bukan manusianya supaya dapat berfungsi dengan
cekap dan berkesan dalam mencapai matlamat berkenaan.

(c) Ekonomi

Bidang ekonomi merupakan satu lagi tunjang kepada kajian tentang
mana-mana sistem perburuhan. Dalam bidang hubungan industri ini,
kajian tentang kesatuan-kesatuan sekerja akan membincangkan tentang
persaingan yang disebabkan oleh faktor kesejahteraan ekonomi.
Golongan-golongan yang terlibat bertelingkah disebabkan oleh faktor-
faktor ekonomi, seperti kekurangan sumber (scarcity), keseimbangan dan
keadilan ekonomi (equality and equilibrium), dan juga eksploitasi
(exploitation). Jadi, dengan memahami aspek-aspek ekonomi, kita akan
dapat memahami tentang mengapa individu itu berjuang kea rah siapa
mendapat apa, kerana bidang ekonomi sendiri mengesahkan bahawa
amat sukar untuk memberi kebaikan (better off) kepada semua orang tanpa
membawa keburukan (worse off) kepada sesuatu pihak yang lain, dengan
mengandaikan (assumption) bahawa sesuatu kebaikan itu telahpun tercapai
apabila kita dapat memberi kebaikan kepada sesuatu pihak yang lebih
ramai walaupun ada pihak yang mengalami kesengsaraan.
12
(d) Sosiologi

Secara ringkasnya, kita menggunakan perspektif sosiologi untuk mengkaji
secara teliti dan saintifik tentang kewujudan, interaksi dan gelagat-gelagat
di dalam dan di antara kelompok masyarakat. Menurut Selfe (1975:1-5),
melalui sosiologi kita akan dapat memahami tentang beberapa perkara
mengenai sesuatu kelompok masyarakat seperti:

(i) Teori-teori dan pendekatan-pendekatan yang digariskan
untuk mengkaji sistem dan proses dalam masyarakat.
(ii) Bagaimana mereka diorganisasikan dalam menghadapi
aktiviti-aktiviti setiap masa.
(iii) Bagaimana masyarakat mempengaruhi dan dipengaruhi
oleh persekitaran di mana mereka berada.

Keadaan ini banyak bezanya dengan bidang hubungan industri. Ini
kerana bidang hubungan industri banyak merangkumi kajian tentang
bagaimana ahli-ahli organisasi membentuk kumpulan-kumpulan untuk
memperjuangkan kepentingan masing-masing. Jika sosiologi banyak
menggunakan pendekatan kelas sosial (sosial class) untuk mengkaji
berbagai aspek kehidupan sosial, hubungan industri juga memerlukan
pendekatan berkenaan untuk mengkaji faktor-faktor yang berkaitan
dengan interaksi di antara pekerja dan majikan di dalam skop organisasi.

(e) Psikologi

Kita menggunakan pendekatan psikologi untuk mengkaji pemikiran yang
menjana tingkah laku seseorang individu. Ini sesuai dengan definisi
Oxford Students Dictionary yang menggariskan psikologi sebagai:

the scientific study of the mind and its processes

ataupun oleh Selfe (1975:13) sebagai:

the scientifis study of the behaviour of man, and
in particular the behaviour of the individual.

Ruang lingkup hubungan industri juga banyak menggunakan
pendekatan-pendekatan psikologi keran terdapat berbagai interaksi,
tindakan-tindakan dan tingkah laku di dalam bidang ini yang memerlukan
pendekatan berkenaan. Ini kerana bidang ini adalah berkaitan dengan
cara bagaimana satu pihak boleh mengeksploitasi pihak lain dalam usaha
mencapai matlamat masing-masing. Contohnya, pemimpin-pemimpin
kesatuan sekerja biasanya cuba mengeksploitasi masa yang sesuai untuk

13
membuat tuntutan-tuntutan terhadap majikan ataupun mendahului
pertubuhan-pertubuhan yang lain dalam merebut sumber-sumber yang
terhad dalam organisasi demi kepentingan ahli-ahli mereka.

1.5 PERBANDINGAN HUBUNGAN INDUSTRI DENGAN
BIDANG-BIDANG BERKAITAN YANG LAIN

Perbandingan yang kita bincangkan terdahulu menunjukkan bahawa
bidang hubungan industri juga mempunyai kaitan dengan bidang-bidang
lain. Kajian mengenai bidang ini tidak akan lengkap tanpa menggunakan
pendekatan-pendekatan yang dipakai oleh bidang-bidang lain. Bidang-
bidang lain juga boleh membantu kita untuk mudah memahami sistem
dan proses-proses yang berlaku di dalam bidang hubungan industri.

Bagaimanapun, terdapat juga bidang-bidang kajian lain yang sering
disalah anggap mempunyai hubungan rapat dengan bidang hubungan
industri walaupun secara realitinya wujud perbezaan-perbezaan yang
tertentu. Ini mungkin disebabkan kedudukan bidang-bidang berkenaan
juga memberi tumpuan kepada subjek-subjek yang dirangkumi oleh
bidang hubungan industri. Antara bidang-bidang yang sering di salah
anggap itu ialah seperti:

(a) Pengurusan sumber manusia (
)

Jika pengurusan secara amnya adalah proses menggerakkan segala
sumber dalam organisasi untuk mencapai matlamat yang ditetapkan,
pengurusan sumber manusia adalah proses yang khusus melibatkan
perancangan dan penggunaan sumber manusia ke arah pencapaian
matlamat organisasi berkenaan. Proses ini akan melibatkan langkah-
langkah awal melalui proses pengrekrutan sehinggalah khidmat tenaga
manusia berakhir daripada organisasi berkenaan. Fungsi ini biasanya
dilaksanakan oleh Jabatan Sumber Manusia dalam sesebuah organisasi
dan peranan utama terletak di bahu pengurus sumber manusia ataupun
pengurus yang berkaitan. Jadi, fungsi pengurusan sumber manusia secara
amnya adalah secara menjurus ke bawah.

Sebaliknya hubungan industri (dalam organisasi) memberi penekanan
kepada hubungan antara pekerja dan majikan. Disebabkan majikan
merupakan pemilik organisasi dan pembuat polisi, tumpuan hubungan
industri adalah kepada golongan pekerja yang cuba menyuarakan sesuatu
kehendak melalui pertubuhan-pertubuhan berasaskan pekerjaan.
Walaupun majikan juga boleh bersatu demi kepentingan mereka, langkah
mereka lebih merupakan langkah defensif untuk mengimbangi gerakan
atau kuasa pekerja. Jadi fungsi hubungan industri lebih dilihat sebagai
proses artikulasi secara menegak ke atas.
14
Pengurusan sumber manusia yang diamalkan dalam pertubuhan-
pertubuhan berasaskan pekerjaan adalah di luar konteks perbincangan ini
kerana fungsi yang dilaksanakan adalah untuk kecekapan dan
keberkesanan pertubuhan-pertubuhan berkenaan, bukan organisasi
secara keseluruhan. Ini kerana, sesebuah pertubuhan yang diiktiraf oleh
organisasi akan menjadi satu entity yang sah (badan yang perlu
diuruskan).

(b) Hubungan manusia dalam pentadbiran

Hubungan manusia (human relations) adalah bidang yang membincangkan
tentang berbagai interaksi manusia dalam organisasi, termasuklah
hubungan antara pekerja dan majikan. Perspektif perbincangannya
memberi tumpuan bagaimana hubungan manusia berlaku secara
menegak (ke atas atau ke bawah) dan mendatar dalam organisasi.
Hubungan industri juga membincangkan tentang interaksi manusia
dalam organisasi, terutamanya antara majikan dan pekerja.

Bagaimanapun, definisi awal dalam bab ini dapat menjelaskan perbezaan
di antara bidang hubungan industri dan bidang hubungan manusia.
Perbezaan yang utama adalah hubungan industri hanya beroperasi di
dalam persekitaran organisasi yang membenarkan kesatuan sekerja
beroperasi (unionized organization). Manakala hubungan manusia boleh
berlaku di dalam kedua-dua persekitaran, sama ada persekitaran yang
membenarkan berkesatuan ataupun tidak. Oleh itu, di dalam organisasi
tanpa kesatuan, hanya hubungan manusia yang berlaku, di mana
hubungan secara personel antara individu turut dibincangkan.

Hubungan industri sebaliknya hanya melibatkan hubungan yang
berkaitan dengan pekerjaan dan faedah-faedah pekerjaan di tempat kerja
melalui proses tawar-menawar di antara pihak pekerja dan majikan.

(e) Undang-undang

Undang-undang boleh didefinisikan dalam dua perspektif, iaitu secara
umum dan secara khusus. Secara umum, Oxford Students Dictionary
mendefinisikannya sebagai:

a rule made by authority for the proper regulation of a community
or society or for behaviour.

Secara khusus pula, undang-undang boleh didefinisikan mengikut
keperluan yang dikehendaki. Menurut Barker dan Padfield (1992:1):

15
we may speak of the laws of physics, mathematics, science,
or the laws of football or health. When we speak of the law of a
state we use the term law in a special and strict sense, and in
that sense law may be defined as a rule of human conduct,
imposed upon and enforced among, the members of a given state.

Jelas bahawa undang-undang hanya wujud dan berfungsi dengan adanya
sumber-sumber peraturan (turun temurun atau digubal), boleh menjad
garis panduan kepada tingkah laku (selain pertimbangan etika dan moral),
dilaksanakan dalam sesuatu skop (tidak diabaikan), dikuatkuasakan
(boleh memberi keputusan yang setimpal), boleh diubah (mengikut
kesesuaian masa dan keadaan), dan boleh membawa keadilan (secara
relatif jikapun tidak sepenuhnya). Barker dan Padfield (1992:3)
mengklasifikasikan undang-undang kepada empat iaitu

(i) Undang-undang jenayah dan undang-undang sivil;
(ii) Undang-undang awam dan undang-undang persendirian;
(iii) Undang-undang substantif dan undang-undang
prosidural; serta
(iv) Undang-undang tempatan (municipal) dan undang-undang
antarabangsa (international).

Penjelasan di atas memberikan satu gambaran ringkas apa yang akan
dirangkumi apabila kita mempelajari tentang undang-undang. Jelas juga
kepada kita bahawa undang-undang meliputi semua aspek kehidupan dan
tempat, termasuklah kehidupan manusia dalam sesebuah organisasi.

Bagaimanapun, tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa kedudukan
bidang hubungan industri di sisi undang-undang agak eksklusif. Ini
kerana, kebanyakan proses yang berlaku di dalam hubungan ini adalah
berdasarkan kontrak sosial (sosial contract), terkeluar daripada klasifikasi
oleh Barker dan Padfield tadi. Di samping itu, kebanyakan persetujuan
yang dibuat antara pekerja dan majikan, walaupun memberi keputusan
yang muktamad dan mengikat (final and binding), sebenarnya tidak
membawa kesan perundangan kecuali prinsip-prinsip asas undang-
undang itu sendiri dilanggar. Cuba kita lihat beberapa keadaan berikut:

(i) Hampir semua negara di dunia mempunyai undang-
undang perburuhan yang khusus mengatur hubungan
industri agar dapat berjalan dengan penuh harmoni tetapi
tidak terdapat undang-undang yang boleh menentukan
penyertaan pekerja dalam kesatuan-kesatuan. Ini
menunjukkan bahawa undang-undang masih tidak dapat
menutup ruang bagi pihak majikan untuk mengeksploitasi
pekerja mereka. Majikan-majikan yang kuat biasanya
16
dapat menghalang pekerja-pekerja mereka daripada
menubuhkan kesatuan-kesatuan jika dilihat boleh
mengancam kuasa mereka dalam organisasi.
(ii) Negara-negara biasanya menggubal undang-undang
perburuhan di dewan-dewan perundangan sama ada
peringkat persekutuan, negeri atau tempatan. Ini berlaku
setelah rang undang-undang (bill) dibentang dan dibahas
di dewan perundangan berkenaan, termasuk undang-
undang berkaitan dengan hubungan industri.
Bagaimanapun, penyelesaian masalah berkaitan hubungan
industri biasanya berlaku secara tertutup dan peringkat
dalaman sesebuah organisasi. Contohnya, terdapat
undang-undang yang menggariskan syarat-syarat dan hak-
hak untuk menubuhkan sesebuah kesatuan dalam
organisasi. Ini berasaskan kepada prinsip keadilan asasi
yang menjadi asas kepada kebanyakan perlembagaan
negara di dunia. Bagaimanapun, apabila terdapat kesatuan
yang ditubuhkan tetapi tidak diiktiraf oleh majikan, tidak
terdapat undang-undang yang boleh menghukum majikan
di luar organisasi, kecuali arahan supaya pengiktirafan itu
diberikan dengan sewajarnya.
(iii) Kita ketahui bahawa undang-undang merangkumi semua
aspek kehidupan. Setiap tingkah laku ada peraturan yang
menjadi sempadan dan apabila sempadan dilanggar,
undang-undang akan menghukum dengan sewajarnya.
Bagaimanapun ini tidak sepenuhnya berlaku dalam
konteks hubungan industri. Hubungan industri
memerlukan terjemahan undang-undang oleh badan
kehakiman yang berbeza dari beberapa klasifikasi
undang-undang yang telah kita senaraikan. Untuk
mendengar kes-kes berkaitan hubungan industri, biasanya
wujud badan-badan berasingan seperti tribunal, timbang
tara, perantar, dan Mahkamah Perusahaan yang terkeluar
dari hierarki mahkamah kehakiman yang biasa.
(iv) Di dalam organisasi yang membenarkan penubuhan
kesatuan sekerja, banyak syarat-syarat dan peraturan
pekerjaan dapat dirangka melalui proses penawaran
bersama di antara pekerja dan majikan. Hasil perundingan
ini akan dimeterai secara bertulis sebagai persetujuan dan
dikenali sebagai perjanjian bersama (collective agreement).
Perjanjian bersama ini boleh membawa kesan di sisi
undang-undang apabila ianya disahkan (endorse) oleh pihak
yang menjalankan fungsi kehakiman. Bagaimanapun,
perjanjian bersama juga tidak dapat menambah kuasa
pihak pekerja kerana dihadkan oleh faktor perkara-
17
perkara yang boleh dan tidak boleh (dos and donts)
dirunding dengan pihak majikan. Perkara-perkara yang
tidak boleh dirunding itu dikenali sebagai perkara yang
berada dalam bidang kuasa (prerogative) majikan.

Jelas bahawa skop hubungan industri berada di dalam satu ruang yang
eksklusif di sisi undang-undang. Ruang ini banyak dipengaruhi oleh
faktor kontrak sosial. Walau bagaimanapun, kita tidak pula boleh
mengatakan bahawa undang-undang berkaitan hubungan industri
memiliki undang-undang yang terasing sepenuhnya kerana masih
terdapat ruang untuk sesetengah perkara dibawa ke muka pengadilan
sistem kehakiman yang biasa. Contohnya, jika mana-mana prinsip asas
undang-undang tidak dipatuhi ketika keputusan dibuat dan membawa
kemudaratan (damages) kepada pihak lain, maka kes berkenaan masih
boleh dicabar di mahkamah-mahkamah sivil. Oleh itu, adalah diharapkan
agar dengan mendalami kursus ini mungkin para pelajar akan lebih dapat
memahami tentang ruang-ruang yang masih kabur (grey area) berhubung
dengan kedudukan bidang hubungan industri di sisi undang-undang.

1.6 HUBUNGAN INDUSTRI DI SEKTOR AWAM

Sehingga kini para pelajar mungkin telah mengetahui secara umum
melalui kursus-kursus yang lain bahawa terdapat perbezaan di antara
sektor awam dan sektor swasta dari beberapa aspek. Ini menunjukkan
bahawa kedua-dua sektor ini beroperasi di dalam dua persekitaran
(settings) yang berbeza. Perbezaan ini turut mempengaruhi amalan
hubungan industri kedua-dua sektor berkenaan.

Cirri-ciri perbezaan secara terperinci akan dibincangkan dalam bab
berikutnya. Bagaimanapun secara amnya, boleh kita perhatikan bahawa
kedudukan sektor awam sebagai organisasi, di mana kerajaan merupakan
majikan dan juga pemerintah negara, seharusnya berbeza dengan
kedudukan sektor swasta itu. Ini kerana, segala perkembangan yang
berlaku dalam sektor awam adalah manifestasi kedudukan kerajaan yang
memerintah. Contohnya, suasana hubungan industri sektor awam yang
harmoni melambangkan kejayaan kerajaan mengawal kakitangan
kerajaan, manakala suasana pertelingkahan (conflict) pula melambangkan
kegagalan dasar kerajaan dalam mencapai matlamat yang telah
ditetapkan. Ini seterusnya akan membawa kesan selanjutnya terhadap
suasana sosial, ekonomi dan politik sesebuah negara.

Sektor swasta sebaliknya memberi tumpuan kepada operasi organisasi
secara individu (syarikat atau kumpulan/gabungan), di mana sebarang
keputusan lebih memberi kesan langsung kepada organisasi berkenaan.
Keputusan ini hanya membawa kesan tidak langsung terhadap sesebuah
18
negara. Itupun bergantung kepada saiz organisasi sektor swasta yang
terlibat (besar atau bilangan). Contohnya, jatuh bangun organisasi swasta
yang bersaiz gergasi (giant) mungkin memberi kesan tidak langsung
terhadap pendapatan hasil negara melalui cukai. Ataupun bilangan
syarikat yang menerima atau menentang polisi kerajaan mungkin
memberi kesan kepada sokongan terhadap kerajaan yang memerintah.

1.7 PENTADBIRAN BURUH DI MALAYSIA

Seperti yang kita ketahui, sejarah sosial, politik dan ekonomi Malaysia
adalah melalui beberapa tahap (stages) perkembangan. Tahap-tahap
perkembangan ini begitu unik kerana negara kita melalui pengalaman
berada di bawah beberapa kuasa penjajahan.

Tidak dapat dinafikan bahawa penjajahan merupakan satu faktor penting
yang turut mempengaruhi suasana sosial, politik dan ekonomi negara.
Dari perspektif kursus ini, kita dapati zaman penjajahan Inggeris telah
memberi satu kesan yang signifikan dalam mencorakkan proses dan
struktur pentadbiran buruh di Malaysia. Ia telah menjadi asas kepada
model pentadbiran buruh ketika mula-mula diperkenalkan di negara kita.

Walau bagaimanapun, sistem pentadbiran buruh negara kita seperti yang
terdapat pada hari ini adalah mengikut kehendak dan kepentingan negara
kita. Ini kerana, sejak merdeka, kebanyakan statut dan undang-undang
perburuhan telah digubal atau dipinda mengikut kesesuaian tempatan
negara ini.

1.8 KESIMPULAN

Sebagai pengenalan, kursus ini mendedahkan para pelajar tentang proses
dan struktur pentadbiran buruh di Malaysia. Secara amnya, kita
membincangkan tentang konsep dan sejarah pentadbiran buruh, proses-
proses dalam hubungan pekerja dan majikan, tindakan-tindakan dan
kesan-kesan dalam hubungan pekerja-majikan, serta perbandingan di
antara proses dan struktur pentadbiran buruh di sektor awam dan sektor
swasta.

Secara konsepnya, para pelajar dapat mengetahui skop kursus ini yang
terangkum di dalam bidang yang dinamakan sebagai hubungan industri.
Perkembangan bidang ini dikatakan berkembang di negara kita
terutamanya melalui sumbangan pengaruh zaman penjajahan. Model
yang diasaskan oleh kuasa penjajah itu kini telah mengalami banyak
perubahan bersesuaian dengan kehendak-kehendak tempatan.

19
Sepanjang kursus ini juga kita akan banyak membincangkan tentang
bagaimana sistem pentadbiran buruh di negara kita dilaksanakan dengan
mendedahkan para pelajar kepada pola-pola hubungan antara pekerja
dan majikan melalui proses-proses dalam hubungan industri seperti
perundingan, penawaran, tindakan perusahaan, dan penyelesaian konflik
yang berlaku. Akhirnya kita juga dapat melihat secara perbandingan
apakah bentuk persekitaran yang membolehkan sistem hubungan
industri di sektor swasta dan sektor swasta beroperasi.


SOALAN PENILAIAN KENDIRI


1. Jelaskan apa yang dimaksudkan dengan istilah hubungan
industri.

2. Bincangkan TIGA cara bagaimana peraturan-peraturan pekerjaan
boleh dibuat dalam sesebuah organisasi.

3. Bandingkan kaitan di antara bidang hubungan industri dengan
bidang sosiologi.

4. Jelaskan secara umum perbandingan skop hubungan industri di
sektor awam dan sektor swasta.


Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.





20

Anda mungkin juga menyukai