Anda di halaman 1dari 2

Ibu Bapa Sebagai Pemimpin Keluarga

JANUARI 15, 2010 TINGGALKAN KOMEN


Tugas ibu bapa sebagai pemimpin keluarga memang sudah terbukti dan ini tidak boleh
dipersoalkan lagi . Apa yang perlu diperkatakan ialah ciri-ciri kepimpinan ini, kerana cici-ciri
inilah yang menentukan keberkesanan seseorang itu sebagai ibu atau bapa. Oleh yang demikian,
adalah amat penting untuk semua ibu bpa mengetahui ciri-ciri ini.
Pertama, ibu bapa yang berjaya sebagai pemimpin keluarga mestilah berkebolehan untuk
berkomunikasi dengan baik. Ini bermakna ibu bapa mestilah mempunyai kebolehan untuk
berbicara dengan anak-anak mereka. Pada amnya, ramai ibu bapa mampu untuk berbicara
secara terus terang, jujur dan secara langsung dengan anak-anak mereka. Ibu bapa yang begini
tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyatakan hasrat hati mereka dan juga
menyampaikan berbagai ajaran kepada anak-anak. Ibu bapa yang berkebolehan ini dapat
menanamkan sikap jujur dan berangungjawab dalam jiwa anak-anak mereka. Pada masa yang
sama anak-anak dapat mempercayai ibu bapa mereka.
Ada juga ibu bapa yang kurang mahir dalam berkomunikasi secara jujur dan langsung ini.
Mereka sering menggunakan sindiran dan sentiasa mengejek anak-anak. Cara yang begini boleh
menimbulkan perasaan rendah diri dan kurang yakin anak-anak terhadap kebolehan mereka.
Jadi bagi ibu bapa yag mengamalkan cara ini, adalah lebih baik jika mereka dapat
menghentikannya dan sebagai gantinya, gunalah cara jelas dan jujur.
Kedua, ibu bapa yang berjaya juga mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk mendidik
anak-anak mereka dengan sempurna. Ini tidak bermakna ibu bapa berkenaan harus mempelajari
semua perkara, tetapi apa yang diutamakan ialah jika ibu bapa itu memperkatakan sesuatu
perkara, mereka tahu dan faham apa yang diperkatakan. Jika mereka tidak tahu sesuatu perkara
itu, mereka bersedia mencari maklumat yang dikehendaki.
Keadaan yang begini berbeza dengan ibu bapa yang tidak mempunyai keyakinan. Apabila
mereka ditanya tentang sesuatu yang mereka tidak tahu, mereka akan berpura-pura tahu dan
membohongi anak-anak mereka. Mereka menganggap bahawa sebarang jawapan adalah lebih
baik daripada mengaku tidak tahu. Cara ini akan diteladani oleh anak-anak dan mereka
mungkin akan mengamalkan sikap berbohong dan sombong ini. Jadi janganlah ibu bapa
bersikap demikian. Sebagai seorang manusia, kita tidak mampu mengetahui semuanya dengan
lengkap. Oleh itu, tidaklah menjadi satu kelemahan atau kesalahan mengaku tidak tahu.
Walaupun begitu, ini tidak bermakna semua soalan harus dijawab dengan tidak tahu sahaja. Ibu
bapa mestilah berusaha untuk menambah pengetahuan mereka selaras dengan perkembangan
pengetahuan yang ada sekarang.
Ciri yang ketiga ialah kemahiran menyelesaikan masalah. Ibu bapa sebagai pemimpin, bukan
sahaja berkebolehan menyelesaikan masalah perhubungan di antara mereka berdua, tetapi juga
berkebolehan menyelesaikan masalah perhubungan di antara anak-anak. Ibu bapa harus
bersikap adil dalam menyelesaikan masalah dan konflik yang dihadapi oleh anak-anak. Mereka
juga dapat menyelesaikan masalah dengan cara baik, apabila mereka menghadapi pergolakan
perhubungan dengan ibu bapa mereka sendiri, kepincangan perhubungan dengan jiran-jiran atau
teman sekerja. Dengan adanya kemahiran ini, semua masalah yang mereka hadapi tidak
menimbulkan kesan negatif dalam perhubungan keluarga mereka.
Kemahiran menyelesaikan masalah bergantung kepada beberapa faktor tertentu. Faktor-faktor
ini ialah, kebolehan mengenal pasti masalah yang dihadapi, kebolehan mengumpul data
berkaitan dengan masalah itu, mencari jawapan yang sesuai dan melaksanakan tidakan yang
berpatutan. Kegagalan salah satu faktor ini dengan sendirinya akan menjejas seseorang itu
menyelesaikan masalahnya.
Ibu bapa yang berkesan sebagai pemimpin, dapat membahagikan tugas-tugas tertentu dengan
adil kepada semua anak-anak mereka. Sejak kecil lagi, ibu bapa harus membiasakan anak-anak
mereka bertanggungjawab dengan menjalankan tugas-tugas tertentu selaras dengan kematangan
dan kecerdasan fikiran anak-anak tersebut. Cara begini ibu bapa tidak membebani diri mereka
dengan segala tugas. Perkongsian tugas juga dapat membantu anak-anak memahami sedikit
sebanyak tugas ibu bapa. Ini adalah penting sebagai satu proses sosialisasi. Tiap-tiap individu
pada satu masa nanti akan menjadi ibu atau bapa. Jadi proses sosialisasi dapat menyediakan
peranan yang sesuai untuk diri mereka.
Dalam memberikan tugas-tugas tertentu kepada anak-anak, ibu bapa mempunyai tugas
tambahan untuk memimpin anak-anak itu menjalankan tugas-tugasnya dengan sempurna.
Galakan dan pujian sentiasa diberi supaya anak-anak lebih rajin menjalankan tugas mereka.
Bukan itu sahaja, ibu bapa juga perlu menghargai segala sumbangan yang diberikan oleh anak-
anak terhadap keluarga.
Penghargaan ini boleh menimbulkan perasaan bangga dan dikehendaki. Kedua-dua perasaan
ini, adalah penting kerana dapat mewujudkan keyakinan kepada diri sendiri.
Di samping berkeboleh memberi tugas-tugas tertentu kepada anak-anak, ibu bapa itu sendiri
mestilah gigih menjalankan tugas mereka. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik
dalam menjalankan tugas yang telah diamanatkan kepada mereka. Ini bermakna ibu bapa
janganlah cuai menjalankan tugas mereka. Amat penting bagi ibu bapa mempunyai daya usaha
yang tersendiri untuk memulakan sesuatu tugas dan aktiviti itu. Daya usaha inilah yang
membuktikan kreativiti ibu bapa berkenaan.
Ciri-ciri yang lain termasuklah pandai menyelesaikan konflik dan menjalankan tugas mereka
dengan mesra dan saling hormat menghormati. Dalam menyelesaikan konflik di antara anak-
anak, ibu bapa mestilah adil dan tidak menyebelahi mana-mana anak. Bersikap adil begini,
memanglah susah kerana selalunya ibu bapa mempuyai anak tersayang. Oleh itu, ibu bapa
mestilah bekerja lebih kuat lagi supaya pilih kasih tidak begitu ketara. Pilih kasih boleh
menyebabkan rasa rendah diri di kalangan anak-anak. Pada masa yang sama anak-anak
mungkin saling bermusuhan. Permusuhan ini perlulah dielakkan.
Kemesraan ai antara ibu bapa dan anak-anak akan menjaminkan perhubungan yang bahagia.
Segala tindak-tanduk dengan anak-anak mestilah berasaskan kepada kemesraan ini. Di samping
itu, ibu bapa harus menghormati di antara satu sama lain dalam keluarga mereka. Sekali lagi
ibu bapa terpaksa menunjukkan teladan yang baik.
Menjadi ibu bapa mempunyai beberapa keistimewaan yang tersendiri. Di sebalik keistimewaan
ini, terdapat beberapa tanggungjawab yang perlu dijalankan. Salah satu daripada
tanggungjawab ini ialah menjadi pemimpin keluarga. Untuk menjadi pemimpin yang berjaya,
ibu bapa perlu mempunyai beberapa ciri yang tertentu seperti yang telah diperkatakan di atas.
Diharap ibu bapa yang merasa diri mereka berkurangan, mencari jalan untuk mengatasi
kekurangan ini. Ibu bapa mestilah sentiasa berusaha memperbaiki cara pendidikan mereka
supaya anak-anak menjadi lebih sempurna dan bahagia.
Sumber: PERANAN KEIBUBAPAAN oleh Dr. Mat Saat Baki, dalam Siri
KELUARGA BAHAGI A, diterbitkan oleh Lembaga Penduduk & Pembangunan Keluarga
Negara Malaysia.
http://netkeluarga.wordpress.com/2010/01/15/ibu-bapa-sebagai-pemimpin-keluarga/About these ads